Selasa, 18 September 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Dua firma Jepun tutup operasi

Posted:

Dua firma Jepun tutup operasi

DUA penunjuk perasaan merosakkan sebuah pasar raya Jepun di Shenzhen, selatan China kelmarin.


BEIJING - Sekurang-kurangnya dua firma utama Jepun menggantung operasinya di China ekoran peningkatan protes anti-Jepun pada hujung minggu lalu, kata kedua-dua syarikat berkenaan semalam.

Kakitangan kilang Canon Inc. di bandar Zhoushan, dalam wilayah Guangdong di selatan China diberikan cuti dua hari bermula semalam selepas berlaku tunjuk perasaan yang berlaku di berpuluh-puluh buah bandar di negara berkenaan berhubung pembelian tiga kepulauan kecil oleh kerajaan Jepun.

Pulau-pulau berkenaan turut dituntut oleh Beijing.

"Notis yang diterima menyatakan kami diberikan dua hari cuti dan akan mula bekerja pada 19 September ini," kata seorang kakitangan kilang Canon.

Menurutnya, cuti tersebut diberikan "kerana hal ehwal dalaman" pihak pengurusan kilang tersebut.

Seorang kakitangan kilang firma Panasonic Corp. di bandar Zuhai yang terletak berdekatan Zhoushan pula memberitahu bahawa mereka diberikan cuti sehingga esok.

Pekerja Panasonic itu yang dikenali sebagai Liao menyatakan beberapa pekerja kilang berkenaan melancarkan mogok berhubung pemilikan tiga kepulauan kecil tersebut.

SEORANG penunjuk perasaan mengibarkan bendera China di depan Kedutaan Jepun di Beijing semalam.


Gugusan pulau berkenaan dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun.

"Sekitar 12 pekerja China melancarkan mogok kerana isu kepulauan Diaoyu," kata Liao.

"Anda tahu, kami marah berhubung isu ini (pembelian kepulauan berkenaan oleh kerajaan Jepun," tambahnya.

Media Jepun pula melaporkan Canon menggantung operasinya di dua kilang lain di China semalam.

Media negara berkenaan menyatakan, peruncit Jepun, Muji telah menggantung jualan di beberapa kedainya di sini manakala beberapa kedai dan restoran berkaitan Jepun di bandar raya ini turut ditutup semalam.

Serangan ke atas beberapa kereta buatan Jepun dan kedai serta restoran berkaitan Jepun turut dilaporkan di sini dan beberapa bandar raya lain pada hujung minggu lalu.

Dalam usaha mengawal bantahan tersebut, polis dan media China semalam menggesa penunjuk perasaan supaya bertindak secara rasional dan mematuhi undang-undang serta mengelak daripada menyerang hartanah dan rakyat Jepun. - dpa

Kedutaan AS dilempar bom petrol

Posted:

Kedutaan AS dilempar bom petrol

BEBERAPA penunjuk perasaan membaling batu ke arah Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta semalam.


JAKARTA - Sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan bertempur dengan polis Indonesia di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini semalam selepas tunjuk perasaan membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW bertukar menjadi ganas.

Beratus-ratus orang di Indonesia menunjuk perasaan pada Jumaat dan Sabtu lalu kerana membantah filem bajet rendah, Innocence of Muslims yang menghina agama Islam tetapi bantahan tersebut berlangsung secara aman.

Namun, demonstrasi yang diadakan semalam bertukar ganas apabila sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan melaungkan slogan anti-AS.

Polis pencegah rusuhan bertindak balas dengan menembak meriam air dan melepaskan tembakan amaran ke udara dalam usaha menyuraikan sekitar 700 penunjuk perasaan.

Anggota-anggota polis turut dilihat menendang dan menyeret beberapa penunjuk perasaan ketika asap hitam daripada bom-bom petrol itu menyelubungi udara.

Seorang anggota polis yang cedera di muka dibawa meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki ambulans.

"Amerika, Amerika pergi jahanam!" laung beberapa penunjuk perasaan dengan sebahagian mereka membawa sepanduk yang menyatakan, "hapuskan Amerika" dan "penggal kepala mereka yang menghina Islam".

BEBERAPA penduduk Islam membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel di bandar Marawi, Pulau Mindanao semalam.


Sebelum ini, seorang lelaki yang dikatakan penulis skrip filem itu, Nakoula Basseley Nakoula mengaku dia membocorkan sebahagian kandungan filem itu disiarkan di laman YouTube.

Filem itu telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara sejak Rabu lalu sehingga mengakibatkan tujuh orang terbunuh termasuk di Lebanon.

Pada minggu lalu, agensi berita melaporkan filem itu dihasilkan oleh sebuah kumpulan agama Kristian di AS yang dikenali sebagai Media for Christ.

Ia melaporkan filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah filem lucah, Alan Roberts yang berusia 65 tahun.

Roberts pernah mengarahkan filem lucah seperti Young Lady Chatterley II.

Filem bajet rendah itu yang mana para pelakonnya bertutur dengan menggunakan loghat AS menampilkan orang Islam sebagai tidak bermoral dan ganas.

Ia memperlekehkan Nabi Muhammad dan menyentuh tentang tema homoseks serta fidofilia.

Filem tersebut menunjukkan Nabi Muhammad tidur bersama beberapa wanita, bercakap mengenai pembunuhan kanak-kanak dan merujuk keldai sebagai "haiwan Islam yang pertama".

Beberapa tunjuk perasaan turut berlaku semalam di Yemen, India. Filipina, Pakistan dan penduduk Islam di London. - Agensi

William, Kate naik perahu perang

Posted:

William, Kate naik perahu perang

WILLIAM (berbaju merah) menaiki sebuah perahu perang di Tavanipupu, Kepulauan Solomon semalam.


HONIARA - Pewaris kedua takhta Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton menaiki sebuah perahu perang di Tavanipupu, Kepulauan Solomon semalam.

Pasangan diraja itu diraikan ribuan penduduk yang menunggu kedatangan mereka.

William dan isterinya itu tiba di sini kelmarin selepas melakukan lawatan ke Malaysia dan Singapura.

Kate memakai gelaran Catherine selepas berkahwin dengan William pada 29 April tahun lalu.

Lawatan itu diteruskan walaupun terdapat laporan berita bahawa majalah Chi di Itali telah menyiarkan gambar separuh bogel Kate.

Edisi khas majalah itu kelmarin menyiarkan 18 gambar yang dirakamkan paparazi yang menunjukkan Kate dan William berjemur di sebuah rumah di Perancis.

KATE dan William berbual dengan seorang lelaki di sebuah kampung budaya di Honiara semalam.


Para peguam pasangan diraja itu telah memfailkan aduan di sebuah mahkamah di Perancis ekoran sebuah lagi majalah, Closer menyiarkan gambar payu dara Kate.

Kate dan William menuntut ganti rugi kerana mendakwa majalah tersebut menceroboh kehidupan peribadi mereka apabila gambar berkenaan dirakamkan.

Bagaimanapun, gambar bogel tersebut tidak menjejaskan lawatan pasangan diraja itu.

Kate dan William turut melawat sebuah kampung budaya di sini.

Kelmarin pada satu majlis William berkata: "Tanah ini adalah yang paling indah dan penduduk di Kepulauan Solomon merupakan antara yang paling ramah serta baik."

Ketika berucap, William memakai baju batik.

Lawatan diraja itu diadakan sempena sambutan ulang tahun pemerintahan nenda William, Ratu Elizabeth II kali ke-60. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved