Selasa, 18 September 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Beli-belah melalui telefon pintar

Posted:

Beli-belah melalui telefon pintar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR



SEBELUM ini Terrence Tan sentiasa memastikan dia membawa beberapa kad setia yang disimpan di dalam dompetnya ke mana sahaja dia pergi. Tujuannya, supaya dia tidak terlepas peluang jualan istimewa bagi pemegang kad setia atau tiba-tiba naluri membeli-belah tercetus di destinasi tertentu yang memerlukan penggunaan kad tersebut.

Situasi itu menyebabkan dompetnya kelihatan sendat kerana dipenuhi dengan himpunan kad ganjaran. Namun, baru-baru ini keadaan berubah apabila dia hanya membawa gajet Samsung Galaxy Note sewaktu berkunjung ke Plaza Low Yat di Kuala Lumpur.

Diimbas jurujual

Ketika membeli beberapa produk berkaitan teknologi, dia hanya menunjukkan kod QR bagi aplikasi Moola Frenz yang baru disertainya untuk diimbas oleh jurujual kedai terbabit.

"Aplikasi mudah alih Moola Frenz ini sangat hebat. Ia memudahkan pengguna tanpa perlu menyimpan kad setia yang banyak.

"Malah, apabila kita membeli-belah di rangkaian Moola Shopz, lebih banyak ganjaran yang dapat dinikmati. Ia benar-benar mengujakan saya sebagai pengguna," jelas Terrence kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

Aplikasi mudah alih Moola dilancarkan oleh ICT Utopia Sdn. Bhd. iaitu subsidiari milik penuh 1 Utopia Berhad pada majlis di plaza tersebut baru-baru ini.

Ia merupakan program Pulangan Tunai-Gaya Hidup pertama seumpamanya yang menyasarkan pengalaman membeli-belah pengguna dengan ganjaran tanpa henti.

Langkah ini seiring dengan permintaan pengguna yang mahukan harga yang lebih rendah, berkualiti, pilihan lebih baik dan berkemampuan untuk mencapai perniagaan melalui semua saluran yang ada pada bila-bila masa.

Berbeza dengan program ganjaran konvensional, Moola ialah program mobil evolusi yang berfungsi menggunakan aplikasi mobil dan kod QR menggunakan teknologi terkini.

Aplikasi mobil ini dicipta khas untuk kemudahan pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah secara percuma. Pada masa yang sama, mereka berpeluang memperoleh tawaran paling hebat tanpa memerlukan sebarang kad. Majlis ini dilancarkan oleh Pengarah Urusan 1 Utopia Berhad, Victor Chin dan Pengurus Besar Kumpulan Low Yat, Michael Lee.

Pengarah Eksekutif 1 Utopia Berhad, Kenny Chow berkata, Moola merupakan lebih daripada program kesetiaan biasa. Ia menyamai kehebatan wang tunai yang digunakan sebagai pembayaran alternatif untuk ahli-ahlinya yang dikenali sebagai Moola frenz.

"Sama ada anda untuk membayar sepenuhnya atau melunaskan harga belian serta-merta ketika menjamu selera, membeli produk IT, melancong dan produk fesyen di rangkaian Moola Shopz.


KEBANYAKAN perniagaan kini tidak terlepas daripada penggunaan telefon pintar. – Gambar hiasan


"Moola menawarkan kemudahan maksimum untuk membayar barangan dan perkhidmatan tanpa wang tunai sebaliknya menggunakan teman paling rapat pengguna, telefon pintar. Tanpa proses berlarutan, anda hanya perlu imbas dan urus niaga selesai," jelas Kenny.

Moola sememangnya unik jika dibandingkan dengan program yang terdapat di pasaran. Ia menawarkan penebusan fleksibel di mana-mana Moola Shopz menggunakan Moola yang telah diperoleh dan dikumpul.

Setiap pembelian akan memperoleh poin Moola, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menjamu selera di pelbagai restoran dan outlet F&B, membeli-belah untuk produk ICT termasuk percutian dan fesyen.

Moola memberi ganjaran tanpa henti kepada pembeli seperti baucer FreeMakan dan pelbagai tawaran hebat lain apabila mereka menggunakan Moola yang diperoleh untuk lebih banyak penjimatan dan nilai wang.

Pengarah Projek Moola, Ryan Loh berkata, semua ahli Moola Frenz akan menikmati keahlian sepanjang hayat percuma tanpa dikenakan caj pentadbiran atau yuran penyertaan.

"Apabila dibandingkan dengan pengalaman membeli-belah linear tradisional, Moola memberi lebih manfaat kepada pedagang melalui peningkatan belian impulsif dengan kesan sampingan ke atas keuntungan. Ia berdasarkan maklumat masa sebenar yang Moola berikan kepada pelanggan mengenai promosi dan produk baharu.

"Penggunaan media sosial pintar adalah satu lagi aspek utama Moola. Keputusan membeli amat dipengaruhi oleh pendapat yang diberikan melalui media sosial dan ulasan dalam talian.

LAMAN web Moola menyediakan senarai kedai yang menyertai dan promosi terkini program tersebut.


"Tidak ada perniagaan yang imun daripada segmen mudah alih apabila sebahagian besar pengguna beralih ke telefon pintar. Program afiniti saudagar Moola melalui teknologi aplikasi mudah alih khusus akan membawa ribuan pelanggan baharu ke kedai pedagang yang mengambil bahagian sekali gus meningkatkan jualan, keuntungan dan kesetiaan pelanggan mereka dalam rangkaian Moola Shopz," jelas Ryan panjang lebar.

Tambahnya, kadar penembusan telefon mudah alih di Malaysia telah mencatat rekod yang menakjubkan pada 127.7 peratus manakala kadar penembusan pengguna telefon pintar pula dijangka mencecah 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

Di samping itu, berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh PayPal menyatakan, 642,770 rakyat Malaysia melakukan pembelian menggunakan peranti mudah alih pada tahun 2011, berbanding 253,960 tahun sebelumnya.

Transaksi telefon pintar ini bernilai RM337 juta, mewakili hampir tiga per empat daripada keseluruhan pasaran dagangan mudah alih, berbanding RM108 juta yang dicatatkan melalui tablet.

"Angka ini amat positif untuk Moola dan ICT Utopia yakin bahawa mampu memperoleh dua juta keahlian dalam tempoh setahun dari sekarang," tutur Ryan lagi.

Kesedaran jenama

ICT Utopia telah memperuntukkan RM1.5 juta ke atas belanjawan pengiklanan dan promosi untuk mewujudkan kesedaran jenama yang lebih besar buat Moola.

Pada masa ini, ICT Utopia mempunyai 25 pedagang F&B dan 40 pedagang runcit ICT di Lembah Klang dan Plaza Low Yat. Jumlah tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang awal tahun hadapan. Setakat ini, 1 Utopia telah memulakan media sosial, aktiviti saudagar setempat, peraduan dan bakal diikuti oleh radio untuk membina kesedaran yang lebih tinggi mengenai Moola.

Dalam pada itu, setiap Moola Frenz atau ahli Moola berpeluang memenangi kereta BMW 3 Series sebagai hadiah utama. Peraduan di seluruh negara ini terbuka kepada semua Moola Frenz yang berbelanja melebihi RM500 bagi setiap transaksi di ICT Moola Shopz dan RM50 di F&B Moola Shopz.

Apa yang perlu dilakukan oleh semua peserta ialah mendaftarkan nombor siri peraduan di dalam aplikasi Moola mereka. Poskan ke pusat perkhidmatan Moola atau masukkannya ke dalam kotak khas yang terdapat di Plaza Low Yat.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.moola.my atau www.facebook.com.moolamalaysia. Anda juga boleh muat turun Moola App dari GooglePlay, Blackberry App World dan Apple Aps Store.

Taufan Isaac landa Louisiana

Posted:

Taufan Isaac landa Louisiana

PENDUDUK yang terjejas teruk di Lousiana beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.


BERPULUH-PULUH ribu orang masih lagi dalam keadaan bergelap pada hari Isnin awal bulan lalu di Louisiana dan Mississippi, Amerika Syarikat (AS).

Keadaan masih tidak berubah walaupun telah seminggu Taufan Isaac yang tidak pernah berlaku melanda kawasan pinggir teluk itu. Sehingga kini, kawasan-kawasan rendah masih lagi dibanjiri air.

Lebih kurang 100,000 penduduk yang tinggal di Lousiana dilaporkan tidak mempunyai bekalan kuasa. Itu termasuk beribu-ribu lagi penduduk di Mississippi dan Arkansas.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah melawat Lousiana pada Isnin, 3 September lalu dan mendekati persekitaran kawasan yang telah musnah di St. John.

Kawasan kecil itu ditenggelami air akibat keganasan Taufan Issac.

"Kami memberitahu mangsa bahawa kami di peringkat persekutuan sedang menyelesaikan kes ini secepat mungkin selain memastikan kemusnahan seperti ini tidak berlaku lagi serta memutuskan perkara yang perlu dilakukan," kata Obama kepada para pemberita di sebuah kawasan sejauh 50 kilometer di luar New Orleans.

Obama turut melawat kawasan kejiranan Ridgewood yang diperbuat daripada batu-bata. Halaman perumahan tersebut masih lagi memberikan peringatan betapa teruknya kesan ribut taufan yang berlaku akhir bulan lalu.

BARANGAN kelengkapan rumah yang rosak akibat ditenggelami air dilonggokkan di hadapan salah sebuah sebuah rumah.


Timbunan sampah sarap yang mengandungi penebat, perabot rosak dan permainan kanak-kanak memenuhi laman rumah. Obama sempat bersalaman dengan penduduk La Place.

La Place merupakan antara kejiranan yang teruk ditenggelami air selain beberapa penduduknya terpaksa diselamatkan dari atas bumbung dengan menggunakan bot.

Dalam keadaan panas yang membahang, Obama berjalan ke setiap rumah untuk menanyakan keadaan mangsa. Sampah masih lagi bersepah manakala air tidak menunjukkan sebarang tanda akan surut.

Di St. John, para penduduknya menghabiskan cuti umum mereka dengan menarik permaidani dan perabot yang basah ke tempat yang lebih bersih serta kering. Menggunakan peluntur dan air, mereka bertungkus-lumus membersihkan barangan itu dengan harapan kulapuk tidak merebak.

SEBUAH keranda terlambung keluar dari tanah selepas Taufan Isaac melanda sebuah kawasan perkuburan di Plaquemines.


Bau busuk

Di sebuah tempat yang ditenggelami air sedalam 60 sentimeter, sampah sarap, serpihan perabot dalam air yang tidak bergerak mengeluarkan bau yang sangat busuk tambahan pula suhu yang tinggi melebihi 30 darjah Celsius.

"Ia sangat panas dan kotor tetapi saya cuba untuk mengeluarkan semua lumpur dari rumah saya," kata salah seorang penduduk dis itu, Melton, 60.

Beberapa buah rumah selepas kediaman Melton, seorang lagi penduduk, Ed Powell berkata, Taufan Isaac telah menyebabkan dia berfikir sama ada untuk terus tinggal di situ.

"Saya tahu, tinggal di Lousiana sama seperti bertaruh tetapi kami tidak mahu menggadai nasib seperti ini. Apabila kamu rugi dengan cara begini, kamu rugi besar," keluhnya.

Tambah Powell, walaupun Obama dapat menyediakan penyelesaian atau pelan menangani masalah banjir di kawasannya, isu masa akan membatasi usaha tersebut.

Lebih 2,800 orang kini masih berada di pusat penempatan sementara di Lousiana. Angka tersebut telah menurun daripada 4,000 orang.

Jurucakap rasmi negeri tidak dapat menganggarkan bilangan orang yang masih memerlukan pusat penempatan sementara untuk tempoh yang panjang.

Ketua pejabat darurat negeri, Kevin Davis berkata, penempatan sementara termasuk hotel dan rumah sewa yang dipilih adalah berdekatan dengan kediaman kediaman penduduk yang musnah.

Ketua kawasan Plaquemines, Billy Nungesser berkata, ribut taufan kategori pertama telah melanda kawasannya dan tempat-tempat lain. Dia mengakui, kerosakan yang berlaku adalah lebih teruk berbanding ribut Katrina pada tahun 2005. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved