Ahad, 9 September 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Limpahan cahaya sepanjang BBKLCC

Posted:

Limpahan cahaya sepanjang BBKLCC

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

JIKA di London, Oxford Street merupakan salah satu destinasi utama pelancong bagi menikmati suasana malam yang bercahaya, di samping membeli-belah barangan daripada pelbagai jenama terkenal.

Tidak kurang pula di Singapura, Orchard Road merupakan salah satu destinasi yang wajib dikunjungi kerana menawarkan pemandangan malam yang menarik selain tawaran harga berangan yang berpatutan.

Dalam usaha memacu Malaysia terutamanya ibu negara ke arah sebuah destinasi pelancongan setaraf kota kosmopolitan luar, Kementerian Pelancongan kini memperkenalkan satu lagi mercu tanda Kuala Lumpur iaitu dekorasi pintu gerbang bercahaya di Bukit Bintang dan Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC).

Melalui inisiatif itu juga limpahan cahaya lampu candelier menerangi sepanjang laluan pejalan kaki ke dua destinasi tersebut.

Kewujudan dekorasi lampu-lampu di tempat tumpuan pelancong yang berkunjung ke ibu kota itu sekali gus menjadikan Bukit Bintang dan KLCC setaraf dengan ibu kota London.

"Mercu tanda baharu ibu kota merupakan produk baharu pelancongan negara dan dijangka menarik 36 juta pelancong ke Malaysia menjelang tahun 2020," kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen sewaktu berucap pada majlis perasmian BBKLCC di pintu masuk pusat beli-belah Pavilion hujung bulan lalu.

LAMPU candelier dipasang di sepanjang jalan kawasan segi tiga ibu kota itu.


Pesta cahaya ibu kota

Menurutnya, selain daripada limpahan cahaya lampu candelier, jejantas pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan dua destinasi tersebut juga memberi keselesaan kepada pelancong untuk menikmati suasana malam di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis perasmian BBKLCC, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Pengerusi Persatuan Pelancongan BBKLCC, Joyce Yap.

Acara perasmian BBKLCC turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan negara, tarian jalanan dan persembahan busking.

Tidak kurang pula kehadiran badut-badut di sekitar Pavilion yang menari mengikut alunan muzik ternyata menghiburkan pengunjung. Kemuncak adrenalin pengunjung malam itu sudah tentunya pancaran bunga api yang menerangi ruang udara kawasan segi tiga emas ibu kota tersebut.

Pintu gerbang gergasi

Dua pintu gerbang gergasi bercahaya telah dibina di hadapan pusat beli-belah Suria KLCC dan Pavilion, manakala lampu-lampu candelier berwarna-warni tersusun rapi di sepanjang laluan kawasan tersebut sehingga ke Plaza Sungei Wang dan Berjaya Times Square.

Projek yang menelan belanja RM2 juta itu merupakan inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) kelolaan Kementerian Pelancongan dan Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan BBKLCC.

Seorang pelancong dari Iran, Moier Rostami, 28, amat teruja apabila kunjungan kali kedua bersama isteri ke Malaysia berpeluang menyaksikan pelancaran BBKLCC dan turut berada dalam lipatan sejarah mercu tanda Malaysia.

"Saya akan memberitahu keluarga dan rakan-rakan mengenai keunikan sinaran lampu BBKLCC apabila pulang daripada percutian ini nanti," jelasnya.

Joyce pula memberitahu, limpahan cahaya lampu yang menerangi BBKLCC dianggap sebagai batu loncatan kepada perkembangan acara-acara besar yang akan dianjurkan menerusi projek tersebut.

"Dalam kerancakan pelancong membeli-belah, mereka dapat merasai suasana malam setaraf Oxford Street, London dan Orchard Road, Singapura.

"Mereka juga tidak perlu khuatir mengenai keselamatan ketika berada di kawasan tersebut kerana aspek-aspek keselamatan akan diperketatkan terutamanya ketika waktu malam," ujarnya.

YEN YEN berharap projek BBKLCC dapat melonjakkan lagi imej Kuala Lumpur sebagai sebuah destinasi pelancongan dan beli-belah.


Menurut Joyce lagi, beliau berharap BBKLCC akan membantu industri pelancongan negara dalam usaha untuk meningkatkan perkembangan ekonomi dalam sektor pelancongan negara.

Persatuan Pelancongan BBKLCC dibentuk pada September 2011 bagi menghimpunkan pusat beli-belah, kedai-kedai dan pihak hotel di kawasan BBKLCC untuk kerjasama dengan pihak kementerian dan Pemandu bagi merealisasikan projek tersebut.

BBKLCC ditunjangi oleh 39 ahli daripada wakil pengusaha pusat beli-belah, kedai dan pihak hotel. Kami juga dalam perancangan untuk menambah ahli termasuk organisasi pusat perubatan dan organisasi yang terlibat dengan industri pelancongan.

Sementara itu, seorang lagi pelancong Aisha Abdullah, 26 mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah berjaya memukau pelancong asing menerusi cahaya pintu gerbang dan lampu candelier yang berwarna-warni.

"Ia kelihatan seperti suasana di kebanyakan negara Eropah, tetapi mempunyai identiti tersendiri yang masih mengekalkan imej Malaysia. Saya sukakan suasana ini," ujarnya yang bercuti ke Malaysia bersama dua lagi rakannya.

Kejayaan sukan daripada peringkat akar umbi

Posted:

Kejayaan sukan daripada peringkat akar umbi

PLAY More, Learn More adalah komitmen Milo dalam melahirkan remaja Malaysia yang lebih aktif dan cemerlang dalam pelbagai cabang kehidupan.


MURID sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Gembira di Klang pada mulanya tidak begitu berminat untuk menyertai kelab hoki sehinggalah guru sekolah mereka menyedari bahawa sekolah mereka tidak mempunyai kayu hoki yang sesuai untuk membolehkan mereka bersukan.

Kini ramai murid mahu menyertai kelab hoki sejak kayu hoki baharu disumbangkan kepada sekolah tersebut pada 2009.

Sumbangan itu merupakan salah satu daripada inisiatif Milo Play More, Learn More (PMLM) sebagai membawakan sesuatu yang bermakna kepada kehidupan kanak-kanak dengan menggalakkan mereka meluangkan masa untuk bersukan.

"Selepas kem PMLM Milo pada 2009, kami menerima 170 kayu hoki baharu yang benar-benar mengubah kelab hoki. Kayu hoki baharu itu telah memberi motivasi dan menaikkan semangat pemain hoki kami. Mereka kini bermain setiap hari untuk meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan semangat berpasukan," kata Guru Penolong Kanan Kokurikulum di SK Taman Gembira, Azman Ali, dengan bangga.

Pada mulanya hanya 20 hingga 30 ahli yang datang untuk setiap sesi latihan, tetapi angka itu meningkat kepada lebih 50 murid setiap sesi berikutan kem Milo PMLM 2009 dan tajaan kayu hoki baharu daripada Nestle Milo. Sebelum kem, hoki merupakan satu-satunya sukan aktif di SK Taman Gembira.

Kini beliau melihat semakin ramai pelajar aktif melibatkan diri dalam sukan lain seperti bola sepak, bola jaring dan bola baling.

"Sukan boleh mendekatkan kanak-kanak kepada masyarakat, mereka boleh berinteraksi dengan orang dewasa yang membimbing atau melatih mereka dan mengelakkan amalan biasa yang hanya tertumpu kepada pendidikan serta peperiksaan," katanya.

Lahir pelajar cemerlang

Azman menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan untuk memberikan mereka peluang merasai keseronokan dan semangat pertandingan.

Pasukan hoki sekolah tersebut menyertai Pesta Hoki Pulau Pinang pada 2009 ihsan daripada Nestle Milo.

SK Taman Gembira telah mengekalkan kedudukan sebagai 10 sekolah berprestasi tinggi terbaik dan sejak 2009, sekolah itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga pelajar yang menerima biasiswa untuk menuntut di sekolah sukan di Malaysia. Menurut statistik sekolah tersebut, empat daripada 12 pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR ialah pemain hoki yang aktif.

"Saya masih ingat seorang murid yang berubah sama sekali selepas dia bermain hoki. Keputusan akademiknya semakin cemerlang dan beliau mampu berkomunikasi lebih baik bersama rakan. Malah, dia juga lebih prihatin dan melibatkan diri dalam kelas! Keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) membolehkan beliau mendapatkan biasiswa penuh ke Sekolah Sri Puteri selepas menamatkan sekolah rendah," katanya.

SK Taman Gembira bukan satu-satunya sekolah rendah yang menggalakkan murid mereka menimba pengalaman hidup menerusi sukan.

Menurut Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai II Petaling Jaya, Chong Kok Hiang, bersukan adalah jauh lebih baik daripada duduk di hadapan televisyen, komputer atau melepak di pusat beli-belah.

"Sukan mengajar kanak-kanak bersikap bertanggungjawab walaupun dalam perkara kecil seperti menyimpan kunci bilik stor atau mengutarakan pandangan mereka dengan jelas untuk meningkatkan kerjasama sepasukan," tegas Kok Hiang.

SJKC Puay Chai II, Petaling Jaya menghadapi cabaran yang sama seperti SK Taman Gembira. Sekolah itu mempunyai pasukan bola tampar yang kuat, tetapi pada 2009 mereka kekurangan dana untuk peralatan sukan, jadi sambutan kepada usaha mendapatkan pemain baharu kurang memberangsangkan.

"Kami mendapat sambutan yang lebih baik daripada pelajar selepas kem Milo PMLM dan menerima 50 bola, serta net dan jersi daripada Milo. Sekolah kami muncul juara daerah bagi kategori bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun dalam tempoh lima tahun lepas," katanya.

Komitmen Milo

"Sejak 2009, matlamat kami ialah untuk menggalakkan penglibatan kanak-kanak dalam sukan sepanjang hayat," jelas Pengurus Pemasaran Pengguna Milo, Ng Su Yen.

SUMBANGAN peralatan hoki berjaya menarik minat pelajar sekolah SK Taman Gembira untuk bermain hoki dan meraih pelbagai kejuaraan.


"Kecekapan fizikal, iaitu keupayaan meloncat, melompat, membaling dan menangkap, tidak kurang penting daripada membaca dan mengira. Kami amat berbangga kerana telah menyemarakkan semangat beribu-ribu kanak-kanak dan membolehkan mereka menimba pengetahuan menerusi klinik, kem dan aktiviti sukan kami. Di samping itu, ia juga mengeratkan hubungan dengan sekolah dan masyarakat setempat dalam pelbagai cara kerana kami memahami keperluan sebenar di peringkat akar umbi."

Komitmen Nestle Milo terhadap kanak-kanak Malaysia bukan setakat memberikan pendidikan sukan asas. Penglibatan sekolah, sokongan ibu bapa dan kerjasama dengan majlis tempatan adalah beberapa faktor yang mendorong kejayaan Milo PMLM.

Tahun ini, Milo berganding bahu dengan majlis perbandaran tempatan untuk mengenal pasti lokasi yang kekurangan peralatan atau kemudahan yang sesuai dan cara kami boleh menyediakan persekitaran permainan yang selamat.

"Setiap kanak-kanak berhak untuk bermain dan hak tersebut termasuk bermain dalam persekitaran yang selamat. Persekitaran yang selamat memberikan ketenangan fikiran kepada anak-anak kita untuk bersukan dan memberi tumpuan menimba pengalaman sambil belajar," jelas Su Yen.

Tambah beliau lagi, Milo PMLM ialah komitmen jangka panjang kami kepada Malaysia.

"Kami mengambil langkah demi langkah untuk meneruskan perjuangan kami. Tiada kempen yang boleh mengubah sesuatu dalam sekelip mata, tetapi kami komited untuk terus melangkah maju. Walaupun usaha ini nampak kecil, tetapi ia amat penting untuk mencapai matlamat kami dengan jayanya," katanya.

Estetika kristal mewah Tittot

Posted:

Estetika kristal mewah Tittot

KRISTAL yang diberi nama Hidden Power ini 'bercerita' tentang kebebasan dan ketajaman fokus.


MENYAMBUT ulang tahun ke-18, jenama seni kristal oriental, Tittot, menawarkan koleksi khas Esthetic Flowing yang menyerlahkan konsep estetika ringan kepada para pelanggan.

Sama seperti setiap karya lukisan yang mempunyai maksud tertentu di mata pelukisnya, Begitu juga dengan penghasilan ukiran kristal ini.

Setiap satunya disertai pengertian penuh mendalam di sebalik imej yang dipaparkan. Diiringi kekuatan falsafah, setiap koleksi kristal Tittot itu lebih daripada sekadar kerja kraf yang terbentuk dengan penuh ketelitian. Ia juga menjadi simbol ketajaman skil pembikin dalam memastikan kualiti setiap produk dapat dicapai.

Esthetic Flowing menyerlahkan idea-idea ilustrasi seni menggunakan semangat, kecantikan dan penghargaan kepada kehidupan.

Nilai sebenar seni tersebut diserlah secara terperinci melalui kualiti ukiran yang penuh penghayatan.

Koleksi Esthetic Flowing mewakili cita rasa moden, sikap dan falsafah terhadap kehidupan dengan dedikasi sepanjang jenama itu wujud.

Tittot percaya koleksi itu bukan sahaja mengenai warisan kebudayaan malah menterjemah gaya dan penghargaan terhadap erti kehidupan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved