Ahad, 9 September 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Korban gempa bumi cecah 89 orang

Posted:

Korban gempa bumi cecah 89 orang

SEORANG wanita membawa anak-anaknya berpindah dari runtuhan sebuah bangunan di bandar Luozehe di daerah Yiliang semalam.


SHANGHAI - Pasukan penyelamat di barat daya China cuba untuk sampai dan membantu penduduk di pedalaman semalam selepas sekurang-kurangnya 89 orang terkorban manakala ribuan bangunan turut rosak dalam bencana gempa bumi berkembar, lapor media negara berkenaan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, dua gempa bumi cetek berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan kawasan pergunungan di China kelmarin dengan angka kematian dijangka terus meningkat ekoran ketibaan laporan dari beberapa kawasan yang terputus hubungan.

Bencana itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan mencetuskan tanah runtuh yang menghalang laluan jalan-jalan raya sekali gus menggugat usaha menyelamat.

Selain situasi tersebut, anggota-anggota penyelamat dijangka berdepan hujan lebat yang diramalkan turun selama tiga hari bermula hari ini.

Stesen televisyen China menyiarkan imej dinding-dinding bangunan runtuh manakala jalan-jalan raya dipenuhi timbunan batu dan runtuhan.

Lebih 200,000 orang di wilayah Yunnan dipindahkan selepas gempa bumi berkembar itu meruntuhkan lebih 6,600 buah rumah dan merosakkan ribuan lagi bangunan.

Menurut beberapa pegawai, hingga 740,000 penduduk di enam daerah di wilayah berkenaan paling teruk terjejas dalam bencana kali ini.

Di wilayah Guizhou yang berjiran dengan Yunnan pula, lebih 11,700 buah rumah rosak dengan kehidupan hampir 28,000 orang terjejas.

ORANG ramai berlindung di sebuah dataran selepas dua gempa bumi melanda daerah Yiliang di wilayah Yunnan kelmarin.


Xinhua melaporkan lebih 800 orang cedera akibat dua gempa bumi tersebut.

Kebanyakan mangsa yang cedera berasal dari daerah Yiliang dalam wilayah Yunnan, berhampiran pusat gempa.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Wen Jiabao mengadakan satu mesyuarat tergempar di dalam pesawatnya semasa beliau menuju ke zon bencana lewat kelmarin.

Xinhua melaporkan, Jiabao tiba di Yilian sejurus selepas tengah malam dan meluangkan masa melawat mangsa-mangsa terselamat di beberapa buah kampung serta hospital di daerah berkenaan.

Pasukan penyelamat di Yunnan menyatakan, mereka telah tiba di kebanyakan kawasan paling teruk terjejas di wilayah berkenaan dengan Jabatan Hal Ehwal Awam memberitahu, kerugian ekonomi akibat bencana kali ini dianggarkan sekitar 3.5 bilion yuan (RM1.71 bilion).

Gempa pertama berlaku pada pukul 11.19 pagi kelmarin (waktu tempatan) disusuli gegaran kedua sekitar 45 minit kemudian pada kedalaman 10 kilometer (km) di bawah tanah.

Gempa bumi berpusat kurang 70km dari permukaan bumi dianggap cetek dan boleh mendatangkan kemusnahan besar walaupun pada magnitud rendah.

Pada 2008, sekitar 87,600 orang terbunuh di wilayah Sichuan, barat daya China apabila gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda. - Reuters

Lelaki terkaya Perancis pohon kewarganegaraan Belgium

Posted:

Lelaki terkaya Perancis pohon kewarganegaraan Belgium

BERNARD ARNAULT


BRUSSELS - Lelaki terkaya Perancis dan keempat terkaya di dunia, Bernard Arnault telah memfailkan permohonan untuk menjadi warganegara Belgium, menurut beberapa laporan semalam.

Permohonan tersebut difailkan selepas Paris merancang untuk mengenakan cukai kekayaan sebanyak 75 peratus di negara berkenaan.

Akhbar Belgium, La Libre Belgique memetik seorang pegawai sebagai menyatakan, bilionair berusia 63 tahun itu yang mengetuai empayar barangan mewah LVMH telah mengemukakan permohonannya pada minggu lalu.

"Permohonan beliau akan dilayan sama seperti permohonan-permohonan lain," kata ketua Suruhanjaya Naturalisasi, Georges Dallemagne.

"Kami kini menerima 47,000 permohonan untuk diproses."

Arnault tinggal di Paris tetapi memiliki kediaman di ibu negara Belgium, Brussels.

Menurut majalah Forbes, lelaki berkenaan yang memiliki anggaran kekayaan bernilai AS$41 bilion (RM127.5 bilion) merupakan sekutu rapat bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. - AFP

PM Australia tinggalkan APEC selepas bapa meninggal dunia

Posted:

PM Australia tinggalkan APEC selepas bapa meninggal dunia

JULIA GILLARD


SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menyatakan beliau akan meninggalkan forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Rusia lebih awal kerana bapanya meninggal dunia di tanah airnya.

Dalam satu kenyataan semalam, Perdana Menteri berkenaan berkata, John Gillard menghembuskan nafas terakhir pagi semalam di bandar raya Adelaide.

Justeru kata Gillard, beliau akan pulang secepat mungkin untuk "berkabung bersama keluarga saya."

Lelaki berkenaan berusia 93 tahun.

"Beliau jatuh sakit sejak beberapa tahun lalu tetapi kematiannya mengejutkan saya dan keluarga," katanya.

Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan Gillard tiba di bandar raya Vladivostok, timur Rusia kelmarin untuk menyertai rundingan peringkat tinggi tetapi gagal menghadiri sesi pembukaan APEC.

Menurut pemimpin berkenaan, Menteri Perdagangan, Craig Emerson kini akan menggantikan tempat beliau pada forum tersebut yang berakhir hari ini. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved