Jumaat, 28 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Puas tawan tujuh puncak dunia

Posted:

Puas tawan tujuh puncak dunia

KIRA-KIRA 14 tahun lalu, tiada sesiapa yang mengenali seorang pemuda bertubuh sasa yang profilnya hanyalah sebagai penuntut biasa jurusan Diploma Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pemuda yang meminati sukan olahraga sejak zaman sekolah itu bagaimanapun tetap meneruskan minat tersebut sepanjang tempoh pengajiannya di universiti.

Dalam tempoh itu, pencapaiannya tidak terkira, malah dia juga pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah UiTM pada tahun 2001.

Minat Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, 30, tidak terbatas setakat itu sahaja. Dia juga sangat meminati aktiviti pendakian. Tidak hairanlah pada tahun 2003, dia memberanikan diri mewakili UiTM untuk misi memasang Jalur Gemilang terbesar di puncak Gunung Kala Patthar, Nepal.

Kecemerlangannya menyebabkan dia dipilih menyertai misi Demi Negara Ke Everest 2004 bersama seorang lagi pelajar UiTM, Ahmad Reduan Rozali.

Tarikh 12 Mei 2004 telah mengubah sejarah hidup anak keempat daripada 12 orang adik-beradik itu. Pada usia 22, tahun dia dan Ahmad Reduan menjadi kumpulan kedua rakyat Malaysia yang menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia itu selepas dua pendaki negara, N. Mohandas dan M. Magendran pada tahun 1997.

Pasang impian

"Bukan sedikit keringat yang saya curahkan untuk menjayakan misi itu malah saya juga terpaksa terpaksa menangguhkan pengajian selama tiga semester untuk berlatih bagi projek berkenaan.

"Bagaimanapun segalanya berbaloi, apatah lagi kejayaan itu berjaya mengharumkan nama universiti, negara dan bangsa Melayu khususnya," katanya yang lebih mesra dengan pangilan Qobin, ketika mengimbau kenangan manis yang dilaluinya lapan tahun lalu itu.

Bapa kepada dua cahaya mata, Thariq Alfatih, 2, dan Dhia Althafunnisa, dua bulan, itu berkata, populariti yang diraih tidak membuatkannya lupa diri, sebaliknya terus menaikkan semangatnya untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Qobin mula memasang impian untuk melaksanakan misi seterusnya iaitu menawan tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua atau lebih dikenali sebagai Seven Summits.

Hasrat itu bagaimanapun terpaksa dipendamkan seketika dek kesibukan menghabiskan pengajiannya yang tertangguh selain terlibat dalam pelbagai program motivasi di seluruh negara.

Pada masa yang sama, dia juga terlibat dalam beberapa misi penting seperti Penjelajahan Ekstrem Merentasi Tujuh Benua dengan berbasikal dan motosikal. Ia melibatkan jarak sejauh 25,000 kilometer merentasi 21 negara yang mengambil masa lebih lapan bulan.

MELEPASKAN lelah seketika sambil menikmati panorama flora dan fauna ketika dalam misi menawan Gunung Kilimanjaro, Tanzania.


Tidak cukup dengan itu, Qobin juga terlibat dengan Eksplorasi Gunung-Gunung Para Nabi yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) melibatkan 18 gunung yang terletak di Sri Lanka, Turki, Mesir, Syria, Arab Saudi, Jordan, Palestin dan rantau Kaukasia.

Dia yang merupakan presiden KE7B telah mendaki beberapa gunung yang terkenal dengan kisah para nabi terdahulu mula mendaki dan mengenal diri, mencari kekuatan spiritual dan mengenal siapa Tuhannya serta membentuk perwatakan diri.

Antaranya, Gunung Judi, Gunung Qasiyyun, Lorong Dariel di Pergunungan Kazbek; Puncak Adam di Gunung Serindip; Gunung Zaitun; Gunung Thursina; Jabal Rahmah; Safa; Marwah; Jabal Nur dan Jabal Thur.

Biarpun sibuk dengan pelbagai program lain, hasrat Qobin untuk menawan Seven Summits masih membara.

Bagi mengumpulkan dana untuk membiayai misi itu, dia telah melaksanakan projek nombor plat kenderaan Gagasan 1 Malaysia (G1M).

"Nombor plat G1M 1 telah mencatat bidaan tertinggi iaitu RM1.3 juta. Dua nombor pendaftaran yang turut mendapat sambutan hangat ialah G1M 5 dan G1M 2 yang berjaya dijual dengan harga RM300,000.

"Semua hasil jualan digunakan untuk membiayai kos sepanjang misi berkenaan. Saya sanggup bersusah payah mencari dana sendiri kerana tidak mahu mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata," ujarnya yang memberitahu, sehingga kini lebih 6,000 nombor plat G1M berada di atas jalan raya.

Bermula pada tahun 2010, dia gigih menjalani latihan bagi menjayakan misi Ekspedisi 7 Puncak, 7 Benua, 7 Nilai yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Penaung Kehormat ketika itu.

Selepas kejayaan menawan Gunung Everest yang merupakan gunung tertinggi di benua Asia pada tahun 2004, Qobin meneruskan usaha menawan enam puncak gunung tertinggi di enam benua.

"Misi saya bermula dengan menawan puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania setinggi 5,892 meter (m) yang merupakan puncak gunung tertinggi di benua Afrika.

"Dalam tempoh dua tahun itu, saya berjaya menawan beberapa gunung lain seperti Gunung Aconcagua, Argentina (6,962m), Gunung Vinson Massif, Antartika (4,892m), Gunung McKinley, Alaska (6,194m), Gunung Kosciuszko, Australia (2,228m) dan yang terakhir, Gunung Elbrus, Rusia (5,642m)," jelasnya.

Bercerita tentang pengalaman pendakiannya, Qobin berkata, dia berdepan dengan pelbagai rintangan yang menguji kemampuan mental dan fizikal di samping pelbagai kerenah birokrasi, masalah bahasa, cuaca yang tidak menentu serta kecederaan.

Antara yang tidak boleh dilupakannya ialah ketika mendaki Gunung McKinley yang begitu digeruni para pendaki dari seluruh dunia kerana sifatnya yang ekstrem dan telah banyak 'menuntut' korban nyawa sebelum ini.

Ujian ekstrem

"Sepanjang pendakian, saya bukan sahaja terpaksa memikul beban beg sehingga 40 kilogram, malah diuji dengan suhu sehingga 40 darjah Celsius di bawah paras beku.

"Malah, ketika tiba di satu kawasan dikenali sebagai Windy Corner, saya diduga dengan kejadian angin kencang selaju lebih 70 kilometer sejam," katanya.

BERDEPAN dengan pelbagai bentuk muka bumi yang ekstrem antara cabaran yang perlu dilalui setiap pendaki ke Everest, termasuk Qobin.


Qobin bagaimanapun bersyukur kepada Allah SWT kerana berjaya menamatkan misi berkenaan dengan kejayaan menawan Gunung Elbrus pada Jun lalu.

Lebih manis, kejayaan itu meletakkan dirinya sebagai pendaki ketiga dari Malaysia yang berjaya menawan Seven Summits selepas Ahmad Reduan dan Ahmad Fakhri Abu Samah yang berjaya melakukannya tahun lalu.

Tambah Qobin, dia berhasrat untuk menawan Gunung Carstenz Pyramid, Irian Jaya setinggi 4,884 meter, iaitu puncak gunung tertinggi di benua Australasia (Oceania).

"Sebenarnya terdapat perdebatan tentang gunung itu kerana ia terletak di Australia dan sesetengah pendaki beranggapan ia bukan sebuah benua tetapi untuk mendapatkan kepuasan maksimum, saya bertekad untuk melakukannya sekali lagi," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved