Jumaat, 28 September 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Pamer tarian tradisi pelbagai kaum

Posted:

Pamer tarian tradisi pelbagai kaum

Oleh SUHANA VERU
rencana@kosmo.com.my

SEGALANYA bermula semenjak mengutip pengalaman membuat persembahan tarian di kompleks beli-belah tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Ketika itu, Azim Riaz Ramjan Din hanya berusia dalam lingkungan belasan tahun. Seawal usia remajanya itu, dia sememangnya tidak segan dan aktif membuat persembahan di khalayak ramai tidak kira masa dan tempat.

Memandangkan orang ramai peka pada kebolehan dan bakatnya, semakin lama semakin banyak mendapat permintaan untuk mengadakan pertunjukan.

Melihat perkembangan itu, Azim yang kini berusia 31 tahun mula mengenakan bayaran serendah RM200 kepada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan perkhidmatan persembahan tariannya. Pada masa yang sama, dia turut menyertai kumpulan lain untuk mengadakan persembahan.

Berdasarkan pengalamannya menimba pengalaman di ruang legar kompleks hingga ke pentas pertunjukan berbayar, dia menubuhkan sebuah pertubuhan tarian yang dinamakan Mast Millennium Dancers pada tahun 1997 dengan sokongan sepupunya, Mohd. Sham Mohd. Abdul Satar, 32.

Bagaimanapun, pada tahun 1998, dia terpaksa mengehadkan aktivitinya kerana mahu memberikan tumpuan bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berkat mendapat keputusan peperiksaan yang membanggakan, Azim melanjutkan pengajian ijazah dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Anglia Ruskin di United Kingdom selama tiga tahun. Walaupun sibuk dalam dunia akademik, minatnya terhadap seni itu tidak pernah terkubur.

Kembali aktif

Sebaik pulang Malaysia, anak jati Kuala Lumpur itu kembali aktif membuat persembahan. Pada mulanya, dia bersama sepupunya sekadar membuat persembahan pada majlis perkahwinan saudara-mara.

Persembahan mereka sentiasa mendapat pujian. Dari situ, mereka mula berfikir untuk mengembangkan seni itu dengan menarik lebih ramai ahli untuk menyertai mereka.

KEUNIKAN kumpulan yang telah ditubuhkan sejak 15 tahun kini mendapat perhatian dari luar negara.


"Mujur, ketika itu ada rakan-rakan lain yang turut berminat," katanya yang sempat melalui fasa pasang dan surut dalam menjalankan perkhidmatan kumpulan penari itu.

Bagaimanapun, Azim sama sekali tidak menduga nasib kumpulannya itu akan berubah. Perkara yang ditanamkan oleh anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu dalam diri dan juga fikiran ahli kumpulannya ialah agar terus bersemangat dan jangan mudah berputus asa.

Azim mula mempelajari kehendak pasaran dan juga corak permintaan pelanggan. Dia dan kumpulannya juga semakin memahami hala tuju bakat mereka itu.

Secara berperingkat, mereka memantapkan skil dan pengetahuan tentang pelbagai jenis tarian, termasuk jenis gerak tari berlatarkan etnik. Seiring itu juga, nama Mast Millennium Dancers mula mendapat perhatian ramai.

Separuh masa

Walau bagaimanapun, dia bersama ahli-ahlinya hanya menceburi bidang tersebut secara separuh masa memandangkan mereka mempunyai kerjaya masing-masing.

Dalam kesibukan mengimbangi tugas dalam dunia kerjaya hakiki, majoriti ahli-ahlinya yang bekerja sebagai kakitangan swasta akan berkumpul sekerap dua hari dalam seminggu untuk membuat latihan tarian.

Disebabkan keperluan yang ringkas dan hanya membuat persembahan mengikut permintaan, mereka tidak memerlukan studio khas bagi rutin latihan mereka.

"Bukan mahu mendabik dada kerana boleh bertahan hampir 15 tahun, cuma apa yang boleh dikatakan kejayaan ini antara lain disebabkan kerjasama sesama ahli," ujar Pengarah Urusan di Ajensi Riaz Sdn. Bhd. itu.

Cerita anak kelahiran Pakistan itu lagi, kumpulannya memiliki keunikan tersendiri dengan penglibatan ahlinya yang terdiri daripada Melayu, India dan Punjabi.

MAMPU melakukan pelbagai jenis tarian.


Kumpulan yang sememangnya pakar dalam tarian Bollywood itu turut mampu memeriahkan sesebuah acara dengan persembahan tarian hip hop, salsa, jazz, flamenco, tarian klasik India, tarian zapin, joget, inang, mak yong dan tarian tradisional Borneo.

Tidak ketinggalan tarian eksotik seperti tarian gelek, tarian api, tarian merak dan tarian singa.

"Kami mendapat permintaan yang tinggi terutama pada penghujung tahun kerana ketika itu banyak majlis perkahwinan berlangsung," kata Azim yang turut mendapat permintaan daripada kenalan yang menetap di Bangkok, Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Ada yang sanggup membuat tempahan setahun sebelum perkahwinan anak mereka kerana khuatir tidak mendapat perkhidmatan kumpulan berkenaan.

Harga persembahan

Ketika ditanya mengenai bayaran untuk perkhidmatan mereka, Azim memberitahu, harga yang dikenakan bermula dari RM1,000 hingga RM30,000.

Harga tersebut bergantung kepada tempoh persembahan, jenis tarian, dan bilangan jenis tarian yang dikehendaki oleh pelanggan.

"Kita menetapkan harga itu berdasarkan persembahan dan pakej yang merangkumi sistem bunyi, pencahayaan, penyanyi, juruvideo, pengacara dan beberapa perkhidmatan tambahan lain.

Koreografer kumpulan berkenaan, Mohd. Sham berkata, dia sering kali membuat pembaharuan dengan menyelitkan pelbagai jenis langkah tari dalam persembahan mereka.

Selain itu, dia mengakui akan cuba menyelitkan idea-idea baharu dalam koreografi tariannya supaya persembahan kumpulan itu tampak menyerlah.

Dia yang turut merupakan pereka fesyen memberitahu sebelum membuat persembahan dia sendiri akan mereka bentuk pakaian ahli-ahlinya.

"Kostum akan dibuat selaras dengan lagu-lagu yang akan dimainkan sepanjang persembahan," ujarnya.

Tidak mahu bidang itu terhenti di situ sahaja, dia turut bersedia mengajar seni tarian kepada sesiapa sahaja yang berminat.

"Kebiasaannya, saya akan ke tempat mereka untuk mengajar manakala harganya bergantung kepada jenis tarian," jelasnya.

Dua kempen demi kesejahteraan

Posted:

Dua kempen demi kesejahteraan

SEBAHAGIAN daripada golongan ibu yang menyertai flashmob Lima Minit Penyusuan di Esplanade, KLCC pada Ahad lalu.


SEMPENA sambutan ulang tahun ke-20 Breast Cancer Crusade global, Avon Malaysia bersama 58 negara lain telah menganjurkan acara Avon Walk Around the World for Breast Cancer untuk kali kedua.

Bertempat di Putrajaya, jalan raya di Presint 2 dan 3 bertukar menjadi lautan merah jambu apabila lebih 7,000 peserta memakai baju T dan pelbagai kostum sebagai tanda sokongan memerangi kanser payudara.

Perasmian pelepasan peserta dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Senator Datuk Heng Seai Kee, diiringi Pengarah Urusan Avon Malaysia, Carolyn Nur Amira Lee.

Perjalanan sepanjang 5 kilometer (km) ini memberi keseronokan bermakna kepada pejalan kaki apabila mereka dihiburkan dengan persembahan dari Aswara Percussion Essemble, persembahan ukulele diiringi nyanyian dan pelbagai stesen sorakan kreatif daripada para pekerja Avon di sepanjang perjalanan.

Pejalan kanak-kanak turut teruja apabila mereka dapat berjalan bersama pemakai kostum badut, Venom (Spiderman), Superman, Catwoman dan ramai adiwira lain yang turut hadir menceriakan suasana.

Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti Avon seperti Scha Alyahya, Noor Neelofa dan Soo Wincci. Selain itu, selebriti tanah air seperti Linda Jasmine, Que Haidar, DJ Jeff, Leslie Chai, Datuk Fazley dan penyerang Harimau Malaya, Safee Sali turut mencuri perhatian khalayak.

Seramai 200 pejalan kaki terawal yang menamatkan perjalanan mereka kemudiannya membentuk reben merah jambu gergasi sebagai simbol meraikan kehadiran bulan Oktober, iaitu bulan Reben Merah Jambu.

SEBUAH keluarga turut membawa sepanduk yang tertera cara-cara membantu ibu yang sedang menyusu badan di Esplanade, KLCC.


Orang ramai turut berpeluang mendengar pengalaman hidup bekas pesakit kanser payudara, Siow Fei Fong, 41, selain menyaksikan majlis penyampaian replika cek dana keseluruhan yang bernilai RM50,000 dari Avon kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) dan Pink Ribbon Wellness Foundation.

Antara acara lain yang memeriahkan suasana sambutan pada pagi Ahad yang gemilang itu ialah persembahan flashmob, sesi mencukur rambut Go Bald yang dijalankan secara ihsan oleh pendandan rambut profesional Micheal & Guys.

Acara jalan kaki terbesar itu mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perbadanan Putrajaya dan Lembaga Penduduk, Pembangunan Keluarga dan Negara (LPPKN).

Turut memberi kerjasama ialah Kleenex, Kotex, Nestle, Milo, 100 Plus, Pencetakan Lai, Amerlink Sdn. Bhd., Amazing Era Snd Bhd, Pizza Hut, Kentucky Fried Chicken, Ayam Mas dan Sunway Pyramid. Kutipan bersih jualan akan disalurkan kepada BCWA dan Pink Ribbon Wellness Foundation.

Pentingnya susu ibu

Sementara itu, kira-kira 300 golongan ibu bapa menyertai flashmob Lima Minit Penyusuan di Esplanade, KLCC. Program tersebut diadakan untuk menyedarkan orang ramai berhubung kepentingan penyusuan susu ibu.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Susu Ibu Malaysia sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia itu dilihat sebagai usaha yang murni memandangkan masih banyak pusat beli-belah tidak menyediakan ruang khas untuk golongan ibu menyusukan anak mereka.

PROGRAM tersebut juga mahu memberi kesedaran mengenai kepentingan susu ibu kepada bayi.


Kemudahan berkenaan dilihat amat perlu kerana ia memberi keselesaan kepada ibu untuk menyusukan anak. Ketiadaan ruang khas itu sebenarnya membuatkan si ibu berasa malu untuk menyusukan anak-anak mereka di khalayak ramai sekali gus seolah-olah menafikan hak bayi untuk mendapat nutrisi sempurna susu ibu.

Rata-rata golongan ibu bapa yang ditemui berkata, pusat beli-belah perlu menyediakan kemudahan itu sebagai tanda sokongan kepada para pelanggannya.

Seorang ibu, Nurazlina Abu Bakar, 29, berkata, penyediaan bilik khas itu perlu dilaksanakan dengan segera kerana golongan ibu amat memerlukannya.

"Apabila seseorang ibu tidak dapat menyusukan anaknya, kanak-kanak akan menangis manakala tujuan suami isteri untuk membeli barangan keperluan akan terbantut.

"Oleh itu, saya berasa pihak pusat beli-belah perlu mengambil inisiatif menyediakan kemudahan itu kerana ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial mereka," ujarnya.

Disebabkan kekurangan kemudahan itu, Shasha Omar, 32, mengakui dia terpaksa membuat persediaan terlebih dahulu sebelum berkunjung ke pusat beli-belah.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, dia akan memakai pakaian yang berbutang di bahagian hadapan atau coli khas untuk memudahkannya menyusukan anak terutama ketika berada di hadapan orang ramai.

"Memang jarang pusat beli-belah menyediakan bilik khas, tetapi kini sudah masanya pihak kerajaan menguatkuasakan arahan agar semua pusat beli-belah menyediakan kemudahan itu," syornya.

Sementara itu, pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar pula berpendapat golongan ibu perlu menyingkirkan perasaan malu untuk menyusukan bayi mereka di kawasan tumpuan orang ramai.

Menurutnya, ia merupakan satu perkara normal yang perlu dilakukan seseorang wanita yang bergelar ibu demi kesihatan anak-anak mereka.

Dalam pada itu, penganjur Human Milk For Human Baby (HM4HB), Ayuni Zainuddin berkata, pihaknya mendapati masih banyak pasar raya masih kurang peka terhadap perkara itu.

"Oleh itu, kita berharap dengan penganjuran program ini, semua pusat beli-belah sedar betapa pentingnya kemudahan itu kepada golongan ibu," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved