Jumaat, 28 September 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Produk CKD pertama Subaru

Posted:

Produk CKD pertama Subaru

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

AWAL Julai lalu, pengeluar kenderaan jenama Subaru iaitu Fuji Heavy Industries Ltd. (FHI) di Jepun memeterai satu perjanjian persefahaman bersama Tan Chong Group untuk aktiviti pemasangan komponen unit terurai (CKD) di Malaysia.

Aktiviti pemasangan yang dijadual bermula pada bulan depan itu akan menggunakan fasiliti Tan Chong Motor Assemblies Sdn. Bhd (TCMA) yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur.

Langkah itu menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga selepas Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam pengeluaran produk Subaru.

Produk CKD pertama kilang Segambut ialah Subaru XV dengan kapasiti minimum sebanyak 5,000 unit setahun. Hasil keluaran itu bakal dikongsi bersama oleh tiga pasaran ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Tidak keterlaluan jika saya menyifatkan tindakan menzahirkan aktiviti CKD crossover kompak itu sebagai satu langkah yang cukup berani.

Umum tahu bahawa jenama Subaru cuma meraih perhatian daripada peminat tegarnya sahaja. Pasaran kenderaannya juga boleh dikatakan sebagai agak niche.

KETIBAAN Subaru XV dijangka mengubah landskap segmen SUV di Malaysia.


Rangkaian produk Subaru tidak terhad kepada model sedan atau hatchback sahaja. Malah, kenderaan utiliti sukan (SUV) seperti Forester turut ditawarkan.

Namun, Forester ternyata memerlukan nafas baharu jika anda membandingkan jentera itu dengan pesaing sekelasnya.

Sebabnya mudah. Jika diamati segmen SUV di Malaysia, ia sememangnya mengalami perkembangan yang pesat sejak kebelakangan ini. Kia sudah menempatkan model Sportage dalam liga saingan yang turut dihuni oleh model-model seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Hyundai Santa Fe.

Mazda juga mahukan kek pasaran segmen berkenaan dengan memperkenalkan CX-5. Jangan lupa, Mazda ada mengumumkan program CKD CX-5 yang bakal berlangsung mulai 2013. Inilah antara cabaran yang menanti Subaru XV.

Pelancaran di Indonesia

Baru-baru ini, saya dibawa ke Indonesia untuk menyaksikan pelancaran Subaru XV secara langsung di Indonesia International Motor Show (IIMS). Pameran kali ke-20 itu menyaksikan jentera crossover Subaru XV dilancarkan bersama dua produk lain iaitu Impreza dan BR-Z.

Pengarah Eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan memberitahu, kilang pemasangan CKD berjaya memadankan kualiti Subaru XV sama seperti jentera keluaran Jepun dan menepati standard yang ditetapkan oleh KHI dalam tempoh 18 bulan sahaja.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Motor Image mengakui pelancaran Subaru XV menandakan pencapaian penting pihaknya dalam merangsang pertumbuhan jenama Subaru di rantau ASEAN.

REKABENTUK jentera XV ternyata kelihatan segar dan lebih moden.


Motor Image ialah anak syarikat Tan Chong Group dan merupakan pengedar kenderaan Subaru di sepuluh buah negara termasuk Malaysia.

Saya dan media lain berpeluang memandu uji Subaru XV. Meskipun masa diperuntukkan sangat singkat, sekitar tiga hingga lima minit sahaja, jadi tidak adil untuk membuat tafsiran secara tepat mengenai prestasi sebenarnya.

Ketika melangkah masuk ke dalam ruang kabin, saya mendapati paparan skrinnya cuma satu warna. Ada rakan memberitahu, ia berbeza dengan model diimport sepenuhnya (CBU) yang mana skrinnya berwarna.

Stereng yang dibalut material kulit menjadi perumah kepada butang-butang kawalan. Antaranya, butang kawalan jelajah (cruise control), menjawab panggilan telefon, pembesar suara, kawalan audio dan paddle shifter.

Papan pemuka Subaru XV menggunakan plastik jenis lembut seperti yang terdapat pada model CBU.

Saya mendapati gugusan meternya terdiri daripada gabungan meter analog dan digital. Skirn digital memaparkan maklumat seperti status petrol. Meter analog pula membabitkan meter laju dan RPM.

Satu lagi skrin ditempatkan di bahagian tengah papan pemuka yang menunjukkan suhu, jam dan jarak perjalanan berdasarkan kepada baki bahan api. Konsol tengah pula nampak kemas dengan susunan butang pendingin hawa di bawah skrin unit audio jenis Double DIN.

Memiliki kapasiti lima tempat duduk, jentera itu dilengkapi tiga beg udara SRS untuk penumpang hadapan dan pemandu.

Satu lagi beg udara diletakkan di bahagian bawah untuk melindungi lutut pemandu. Ciri-ciri standard lain ialah ISOFIX, ABS, EBD, Break Assist dan VDS.

SUSUN atur butang dan tombol kawalan pada papan pemuka kelihatan ringkas dan kemas.


Tujahan kuasa dijana daripada enjin petrol Boxer 2.0 liter DOHC. Ia kemudian disalurkan kepada keempat-empat roda bersaiz 17 inci menerusi sistem pacuan empat roda simetri (Symmetrical AWD).

Transmisinya ialah Lineartronic CVT yang menawarkan pilihan manual jika diinginkan pemandunya.

Brosur spesifikasi yang diedarkan kepada kami menunjukkan enjin Boxer itu berupaya menawarkan kuasa maksimum 150PS @ 6,200rpm dan tork setinggi 196Nm @ 4,200rpm.

Harga jualannya belum diputuskan lagi tetapi kami diberitahu anggarannya adalah RM150,000 sebuah. Jika benar itulah harganya (atau lebih rendah), maka segmen SUV saiz sederhana pastinya semakin meriah.

Toyota Camry 2.5V

Posted:

Toyota Camry 2.5V

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

ANDA boleh memilih untuk memasang bodykit yang lengkap dengan lampu DRL LED.


PERSAINGAN bagi segmen D atau sedan eksekutif tidak pernah sesengit sekarang. Jika dahulu cuma ada beberapa pengeluar yang memonopoli, namun keadaan itu sudah berubah apabila kek pasaran mula dikongsi oleh pendatang baharu.

Paling ketara pastinya pembuat dari Korea seperti Kia menerusi model Optima K5 dan Hyundai Sonata. Pasaran kemudian bertambah meriah dengan tawaran daripada pengeluar Eropah termasuklah Volkswagen (Passat), Peugeot (508) dan Ford Mondeo.

Tahu bahawa sasaran pembelinya daripada golongan berduit, maka setiap pengeluar cuba untuk meletakkan pelbagai elemen seperti prestasi, ciri keselamatan, kemewahan, keselesaan dan pengendalian dalam satu pakej.

Menarik atau tidak pakej itu kemudian banyak bergantung kepada kekuatan jenama, harga dan rasa percaya orang ramai terhadap produk tersebut.

Di pasaran tempatan, ranking untuk sedan segmen D dikuasai oleh Toyota Camry. Dengan jualan mencecah 97,000 unit sejak dipasarkan pada tahun 1994, Camry menjadi pilihan utama orang Malaysia mulai tahun 2006.

Situasi itu tidak hanya berlaku di Malaysia. Camry mendapat sambutan hangat di pasaran besar seperti di Amerika Syarikat (AS). Malah, rekodnya lebih baik apabila menduduki tempat nombor satu sejak tahun 1997 sehingga sekarang (kecuali tahun 2001).

Mungkin ada yang bertanya, apa yang bagus sangat tentang Toyota Camry sehinggakan ia mampu mengekalkan popularitinya walaupun diasak oleh model-model sekelasnya yang menawarkan harga lebih rendah dengan ciri lebih banyak?

Jawapannya, Camry mempunyai nama yang kuat. Maksudnya, orang membeli Camry bukan kerana ciri atau harga semata-mata. Tetapi kerana tahu Camry terbukti daripada aspek kualiti, keselesaan dan memang boleh diharap.

Kombinasi berjaya

Nyata ia kombinasi yang berjaya buat Camry. Namun begitu, Toyota sudah mulai merasai bahang persaingan. Jadi, Camry generasi ketujuh serba baharu itu menjadi taruhan.

PAPAN pemuka Camry menggunakan material plastik berkualiti tinggi.


Selain menerima banyak perubahan daripada segi penampilan luaran dan dalaman, Camry juga kembali dipasang di kilang Assembly Services Sdn. Bhd. (ASSB) milik pengedar kenderaan jenama Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota).

Camry ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0 E, 2.0G dan 2.5V. Saya memandu uji model paling premium, 2.5V yang lengkap dengan aksesori tambahan seperti aerokit dan pakej DVD-AVN.

Sedan tersebut dipasang dengan enjin bersesaran 2.5 liter, menggantikan enjin 2.4 liter sebelum ini. Dengan janaan kuasa mencecah 181PS dan tork 231NM, tugas menggerakkan jentera itu memang mudah.

Pemanduan juga lancar apabila ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan Super ECT. Sebelum ini, Camry menggunakan kotak gear konvensional lima kelajuan. Kelancaran kotak gear itu memang terserlah, silap-silap anda boleh menyatakan bahawa ia transmisi CVT.

Memandu Camry baharu, perkara yang anda akan perasan adalah ruang kabinnya yang lebih senyap. Duduk di belakang, ia memang sesuai untuk bos-bos kerana ia begitu selesa. Ruang kepala dan kakinya luas. Corong pendingin hawa pada konsol tengah pula memastikan udara sejuk sampai dengan pantas ke bahagian belakang.

Bidai pada cermin belakang juga boleh dikawal secara elektrik. Tempat duduk dan panel sisi yang dibalut dengan kulit berwarna beige menawarkan ambien mewah. Seperti biasa, terdapat kemasan kayu pada papan pemuka. Saya tidak suka, tetapi pasti ramai yang boleh menghargainya.

Menjadi varian tertinggi dalam keluarga Camry, model 2.5V memiliki pelbagai ciri yang tiada pada versi lebih murah. Paling ketara adalah kewujudan skrin sentuh bersaiz 6.1 inci yang memaparkan navigasi GPS, pemain DVD dan kamera mengundur.

Camry baharu turut dipertingkatkan dari segi kualiti pemanduan. Memandangkan profil pemandunya bukan terdiri daripada pemandu rali, jadi pengendalian agak memuaskan jika anda tidak menekan keras pedal minyak ketika mengambil selekoh. Jika tidak, olengan tubuhnya boleh dirasa dengan agak ketara.

Bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpangnya, sedan itu dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif. Pertama, Camry telah pun melepasi penilaian binaan Toyota yang dikenali sebagai Global Outstanding Assessment (GOA).

Cakera breknya juga lebih besar bagi memberikan kuasa membrek lebih baik. Terkandung dalam sistem brek itu pastinya ABS dengan EBD dan BA.

Cuma, apa yang mengejutkan adalah tindakan Toyota mengeluarkan sistem kawalan kestabilan elektrik (ESC). Sedangkan sistem yang dipanggil oleh Toyota sebagai Vehicle Stability Control (VSC) itu ada dipasang pada Camry 2.4V. Sekali fikir, tindakan tersebut memang satu langkah ke belakang.

LAMPU belakang yang lebih lebar dengan butiran LED.


Ketika persoalan itu ditimbulkan kepada Ketua Jurutera Pasukan Perancangan Produk, Toyota Motor Corporation, Michihiko Sato menjelaskan bahawa kewujudan beg udara, kerangka tegar yang menepati piawaian GOA dan pelbagai ciri keselamatan lain sudah cukup untuk menjadikan Camry sebuah sedan yang selamat.

Jika dinilai kembali, tiada apa yang kurang pada varian tertinggi Camry itu. Cuma, harga yang diminta oleh UMW Toyota iaitu RM180,900 seunit (di atas jalan termasuk insurans) mungkin agak sukar dipercayai oleh ramai orang.

Tetapi, jika anda perlukan sebuah sedan eksekutif dan tidak mahu pening-pening dengan nilai jualan semulanya, Camry adalah satu pilihan yang baik.

Jentera sport premium BMW 320i

Posted:

Jentera sport premium BMW 320i

KEDUA-DUA varian 3 Series ini menggunakan enjin petrol BMW TwinPower Turbo 2.


BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan model sedan sport premium terbaharunya iaitu 320i ke pasaran tempatan. Ia mengetengahkan elemen mewah dengan profail sporty. Varian 3 Series merupakan kenderaan sport premium dengan jualan terbaik di dunia.

Dua varian ditawarkan iaitu 320i Luxury dan Sport Line. Kedua-dua produk dalam segmen premium itu dilengkapi enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo 2.

Enjin baharu itu diadun bersama pakej twin-scroll turbocharger, Valvetronic, Double VANOS, High Precision Injection serta transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic.

Rangkaian sistem tersebut itu membolehkan sedan itu meledakkan kuasa maksimum 184hp dan memecut daripada titik pegun hingga 100 kilometer (km) dalam tempoh 7.6 saat.

Berhubung soal penggunaan bahan api bagi setiap 100km, ia hanya menggunakan enam liter petrol sahaja. Kadar emisi karbon pula sebanyak 141 gram bagi setiap km.

Seperti model-model kontemporari BMW yang lain, jentera baharu itu turut disuntik inovasi terkini BMW EfficientDynamics. Antaranya, termasuklah Brake Energy Regeneration, fungsi Auto Start/Stop dan mode ECO PRO. Kedua-dua varian itu juga memiliki ciri BMW Live dan BMW TeleServices sebagai ciri standard.

Sebagai tambahan, inovasi BMW ConnectedDrive membolehkan pemandu dan pemilik kenderaan menghubungkan peranti dan telefon mudah alih mereka menerusi sambungan USB atau Bluetooth.

Varian Luxury Line menambah sifat mewah generasi keenam 3 Series melalui salutan warna krom pada gril, saluran kemasukan udara dan bingkai tingkap. Tidak lupa juga pengenaan rim aloi ringan 17 inci multispoke. Ruang dalaman diserikan dengan penggunaan kemasan pintu kayu dan warna mutiara berkilat.

Bagi BMW 320i Sport Line, penampilan luarannya dibezakan menerusi cat hitam berkilat pada gril. Ruang saluran kemasukan udara bersama rim aloi ringan double-spoke 17 inci pula menyerlahkan sifat agresifnya.

Melangkah masuk ke dalam kabin, tempat duduk jenis sport dan stereng dibalut material kulit bersama jahitan benang merah. Selain itu, perincian pada tempat duduk dan rekaan gugusan meter dengan kemasan warna merah menonjolkan lagi elemen sporty Sport Line.

Sedan 320i baharu didatangkan bersama program servis lanjutan BMW Service dan Repair Inclusive (BS+RI). Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 60,000km (yang mana tiba dulu).

Harga jualan runcit atas jalan berserta BS+RI tanpa insurans bagi BMW 320i Luxury Line atau BMW 320i Sport Line ialah RM238,800 seunit.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved