Ahad, 4 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Biodiesel sawit melestari bumi

Posted:

Biodiesel sawit melestari bumi

Biodiesel sawit melestari bumi

PERUBAHAN iklim dan pemanasan global yang melanda dunia mencetuskan kebimbangan banyak pihak tentang bahaya fenomena itu baik kepada bumi dan kehidupannya. Peningkatan paras air laut, gelombang haba, banjir, taufan, glasier yang cepat mencair, gempa bumi dan gangguan sistem ekologi antara simptom bahawa bumi dalam bahaya.

Di peringkat nasional, menyedari langkah drastik perlu diambil, kerajaan telah mengumumkan komitmen pengurangan secara sukarela pelepasan intensiti gas rumah hijau (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020 berdasarkan kadar pelepasan GHG pada tahun 2005.

Komitmen tersebut telah dilakukan sempena Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009.

Salah satu inisiatif yang giat dilaksanakan untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau adalah dengan memperkenalkan program B5 dalam penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif bagi mengurangkan dan seterusnya menggantikan diesel petroleum.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah diberi tanggungjawab menjalankan kajian merealisasikan impian penggunaan B5 dalam menyumbang kepada persekitaran lebih bersih untuk generasi akan datang.

B5 merupakan adunan lima peratus biodiesel sawit (metil ester sawit) dan 95 peratus lagi adalah diesel petroleum.

Lebih bersih

"Penggunaan adunan biodiesel yang dihasilkan daripada minyak sawit ini adalah daripada sumber boleh diperbaharui dan menyumbang kepada pengurangan lebih 50 peratus pelepasan GHG ke udara berbanding bahan api diesel petroleum.

"Dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau ini, ia sekali gus dapat mengurangkan impak terhadap persekitaran dan menjadikannya lebih bersih," kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May ketika ditemui Kosmo! baru-baru.

Ia amat bertepatan dengan visi Dasar BioBahan Api Negara menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam, mampan dan berdaya maju bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang semakin menyusut.

Beliau menambah, industri sangat komited terhadap usaha mengurangkan gas rumah hijau dan ia akan mempertingkatkan lagi imej minyak sawit sebagai produk mesra alam di mata dunia.

Katanya lagi, pengenalan program B5 adalah inisiatif kerajaan ke arah penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG).

"Sebenarnya, kajian penghasilan dan penggunaan biodiesel daripada minyak sawit bagi kenderaan diesel telah dilakukan sejak tahun 1980-an lagi yang membawa kepada pengkomersialan teknologi pengeluaran biodiesel.

"Bahkan, pada tahun 1990 sehingga 1994 kajian bersama syarikat permotoran gergasi Jerman, Mercedes Benz membuktikan penggunaan biodiesel sawit sesuai digunakan untuk enjin diesel," katanya.


DARI kiri: Penolong Pegawai Penyelidik MPOB, Nor Najwa Mustapa Kamal, 26, dan Pembantu Penyelidik institusi tersebut, Nur Syahwela Md. Ahee, 24, menunjukkan perbezaan antara diesel petroleum dan ester metil sawit.


Sebagai langkah percubaan, program B5 telah diperkenalkan di peringkat agensi kerajaan sejak tahun 2009 yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dalam projek perintis tersebut, lebih 3,900 kenderaan diesel dijana menggunakan bahan api B5 dan tidak berdepan sebarang masalah enjin.

"Biodiesel mengandungi cetane number yang boleh meningkatkan prestasi enjin dan mengeluarkan asap lebih bersih," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL, Peter Ong Hai Lim berkata, boleh dikatakan hampir keseluruhan kenderaan diesel dimiliki DBKL telah beralih menggunakan bahan api baharu itu sejak bulan Februari 2009 atas permintaan MPOB.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 900 kenderaan seperti lori, jentera, pacuan empat roda dan banyak lagi menggunakan bahan api biodiesel B5.

"Pada tahun 2010, kita mengadakan kaji selidik mengenai penggunaan bahan api biodiesel B5 dan mendapati ia tidak mendatangkan masalah kepada enjin kenderaan. Rata-rata pengguna berpuas hati dengan prestasi bahan api berkenaan," katanya.

Pemandu kenderaan ringan DBKL, Gunasekaran Kattagan, 47, pula memberitahu, perbezaan ketara dapat dirasai ketika memandu menggunakan bahan api baharu biodiesel B5 dari aspek pengurangan asap daripada kenderaan.

"Sebelum ini, asap yang dikeluarkan kenderaan lebih tebal tetapi apabila penggunaan biodiesel B5 diguna pakai pengeluaran asap kelihatan berkurangan menunjukkan ia lebih mesra alam.

"Saya juga tidak berdepan dengan sebarang masalah kerosakan enjin apabila menggunakan bahan api B5 ini malah kenderaan yang dipandu lebih lancar. Secara peribadi saya berpuas hati dengan bahan api baharu tersebut kerana mendatangkan kebaikan kepada alam sekitar," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Ali Mohd. Salleh, 43, yang merupakan pemandu jentera berat DBKL menambah, dia dapat merasai kuasa enjin lebih pikap berbanding menggunakan diesel terdahulu.

"Bagaimanapun, ketika memandu kenderaan berat, saya perlu memastikan kelajuan berada pada tahap 80 kilometer sejam untuk merasai pikap enjin berkenaan.

"Dengan pembakaran bahan api yang lebih lancar dan baik ia tentu dapat menjimatkan penggunaan diesel sekali gus mengurangkan kos operasi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Penggunaan adunan biodiesel dalam sektor pengangkutan dapat mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) yang merupakan antara punca perubahan iklim dunia hari ini.

Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin berkata, pembakaran bahan api biodiesel lebih efisien berbanding diesel petroleum.

"Dengan pembakaran enjin lebih lancar dan efisien ia tentu sekali dapat membantu mengurangkan GHG di udara berbanding kenderaan yang tidak mempunyai pembakaran efisien.

"Apabila terdapat banyak GHG di udara matahari akan menyerapnya dan mengeluarkan tenaga sekali gus meningkatkan pemanasan," jelasnya.

Ahmad Ainuddin menambah kepentingan pengurangan GHG ini dapat memberi impak kepada pemanasan global dan perubahan iklim.


PEGAWAI Penyelidik Kanan MPOB, Dr. Harrison Lau Lik Nang menunjukkan loji pemprosesan biodiesel MPOB.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Teknologi dan Alam Sekitar (Cetdem), Anthony Tan Kee Huat berkata, jumlah gas rumah hijau yang dihasilkan oleh manusia telah menyebabkan pemanasan global. Ia telah meningkat dari 0.7 kepada 1 darjah Celsius sejak tahun 1800.

"Permulaan Revolusi Perindustrian yang berlaku sekitar tahun 1800 adalah pemangkin kepada peningkatan pembakaran bahan api fosil apabila merupakan kedatangan enjin pembakaran dalam. Ia telah menghasilkan 65 peratus jumlah GHG buatan manusia.

"Dalam pada itu, pemanasan global telah menyumbang kepada perubahan iklim dan kita dapat melihat kesan-kesannya apabila berlaku perubahan cuaca melampau kebelakangan ini di seluruh dunia," jelasnya mengenai kesan GHG.

Beliau memberi Thailand sebagai contoh, ribuan kehidupan penduduk terjejas akibat banjir dan kerosakan disebabkan air banjir malah banyak kilang-kilang terpaksa berpindah dari negara berkenaan.

Katanya, ini menunjukkan pemanasan global dan perubahan iklim boleh mengganggu eko sistem dan kehidupan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved