Jumaat, 23 Disember 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Betis bengkok bak akar kayu

Posted:

Betis bengkok bak akar kayu

Betis bengkok bak akar kayu

Oleh MANIRAH OTHMAN dan NURUL IZZA ROSLY

BAGAIKAN masih di dalam rahim ibu, pasangan kembar Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq Hashim masing-masing 15 tahun seolah-olah tidak dapat dipisahkan.

Keakraban kedua-dua beradik ini mungkin terbawa-bawa kerana mereka pernah berkongsi rahim yang sama 15 tahun lalu.

Benarlah kata pepatah, pasangan kembar mempunyai naluri yang kuat antara satu sama lain. Namun, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq bukan sekadar berkongsi naluri yang sama seperti pasangan kembar lain, sebaliknya mereka berkongsi 'derita' yang sama.

Kedua-duanya menghidap penyakit tulang rapuh (soft bone) yang dikesan ketika masih bayi iaitu sekitar 18 bulan dan baru belajar bertatih.

Akibat penyakit tersebut, bahagian betis mereka tidak sempurna sifatnya kerana ia membengkok seakan-akan akar pokok kerana terlalu kerap patah.

Kesannya, tumbesaran remaja tersebut terjejas. Pada masa yang sama mereka tidak dapat bergerak aktif kerana khuatir tulang mereka patah jika terlanggar tunggul kayu ataupun anak tangga.


HASHIM (kanan) menganggap penyakit yang dihidapinya dan tiga anaknya adalah ujian daripada Allah.


Setiap langkah yang diatur perlu berhati-hati kerana jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya. Lebih perit, kecederaan tersebut mengambil masa yang lama untuk pulih iaitu antara dua hingga tiga bulan.

Bukti episod kesakitan anak keenam dan ketujuh daripada lapan beradik itu dapat dilihat melalui kesan patah kerana struktur kaki mereka menjadi pipih persis akar kayu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah pepatah yang paling tepat menggambarkan keadaan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Serating, Merchang, Marang, Terengganu itu kerana penyakit mereka belum ada penawarnya.

"Setiap kali ingin berjalan, saya perlu berhati-hati bagi mengelakkan daripada tulang saya patah akibat terlanggar sebarang objek," kata Mohd. Syafiq ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Bagi Fatihah pula, sebiji bantal terpaksa digunakan bagi memudahkannya mengesot untuk bergerak memandangkan kakinya sudah patah lebih 20 kali sekali gus menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Sungguhpun begitu, dalam keadaan fizikal yang membataskan mobiliti, kedua-dua beradik ini menjadikan kerusi roda sebagai peneman setia ketika berada di luar rumah untuk ke sekolah bagi meneruskan rutin harian mereka.


NURUL FATIHAH terpaksa mengesot bagi membolehkannya bergerak.


Tidak seperti rakan-rakan lain yang gemar bergaul sesama rakan sebaya lain, sebaliknya berlaku kepada Fatihah mungkin kerana kekurangan yang ada pada dirinya.

Patah kaki

Situasi yang berbeza dapat dilihat pada Mohd. Syafiq yang mengalami patah kaki kanan kerana dia agak aktif walaupun dengan pergerakan yang terbatas.

"Kali terakhir kaki saya patah ialah pada pertengahan tahun 2009 ketika bermain.

"Saya kemudiannya dirawat selama seminggu di hospital dan tidak ke sekolah selama dua bulan," ujarnya.

Fatihah yang kini terpaksa bergantung dengan kerusi roda kali terakhir mengalami nasib yang sama kira-kira empat tahun lalu. Namun nasibnya tidak sebaik Mohd. Syafiq kerana kedua-dua kaki Fatihah patah menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Penyakit yang diwarisi daripada bapa mereka, Hashim Omar, 54 turut dialami oleh salah seorang abang mereka, Asrul, 22. Namun, lima lagi adik-beradik yang lain bernasib baik kerana mereka bebas daripada penyakit tersebut.

"Kini, Asrul sedang mengikuti kursus jahitan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tabah dengan dugaan ini, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq saling menjaga satu sama lain apabila seringkali dilihat bersama di sekitar rumah mereka di Perkampungan Orang Kelainan Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang.

"Sudah banyak ikhtiar dilakukan untuk mengubati penyakit anak-anak saya, namun doktor memberitahu penyakit mereka tidak boleh diubati.


MOHD. SYAFIQ (kiri) dan Nurul Fatihah merenung masa depan mereka yang penuh dengan ketidaktentuan.


"Saya juga hairan kenapa saya dan anak-anak terkena penyakit ini sedangkan ahli keluarga saya termasuk datuk dan saudara-mara lain tidak mengalaminya," kata Hashim.

Sungguhpun begitu, Hashim menerima keadaan tersebut sebagai ujian daripada Allah. Menurutnya, tidak ada apa yang perlu dikesali mereka walaupun tidak sempurna.

"Saya bersyukur dengan keadaan ini kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya juga bernasib baik kerana isteri, Nurzaimah Husin, 47, tetap setia bersama-sama menghadapi dugaan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Syafiq sangat positif meskipun sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya.

"Saya ada ramai kawan dan mereka sudi bermain dan bantu saya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Budaya berkhatan secara beramai-ramai

Posted:

Budaya berkhatan secara beramai-ramai

Budaya berkhatan secara beramai-ramai

Oleh NURUL IZZA ROSLY


SUDAH menjadi kelaziman, kanak-kanak yang bakal dikhatankan dibasahkan di bawah pancuran air sebelum proses berkhatan dimulakan.


SUASANA di kawasan lapang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur penghujung November lalu dipenuhi dengan kanak-kanak lelaki berpakaian baju Melayu yang teruja bermain air daripada pancuran pili bomba.

Ibu bapa mereka tidak langsung memarahi anak mereka yang ternyata sudah basah kuyup bermain air sebaliknya ramai yang sibuk merakam hari bersejarah anak-anak mereka.

Kegirangan 120 kanak-kanak lelaki tersebut boleh dikatakan sebagai mukadimah perjalanan untuk menginjak ke alam dewasa kerana mereka bakal dikhatankan.

Seramai 120 kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 14 tahun itu menikmati detik-detik terakhir zaman kanak-kanak mereka dengan hilai tawa sambil bergurau senda tanpa memikirkan kesakitan melalui proses berkhatan.

Pancuran air istimewa seolah-olah air hujan itu dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia bersama Ketua UMNO Bahagian Cheras merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee selama 15 minit.

Selesai sahaja bermandi 'hujan' mereka beratur untuk menerima kain pelekat dan bunga telur daripada Rosnah.

Tidak lama selepas itu, mula kedengaran esakan tangis kanak-kanak yang telah dikhatan. Hilang terus wajah riang, ceria dan gembira ketika bermain air pancuran bomba sebelum ini.


Dua orang kanak-kanak sempat bermain game sementara menunggu giliran untuk disunatkan.


Ada yang berwajah pucat menunggu giliran dan tidak kurang pula merengek enggan berkhatan sambil dipujuk oleh ibu bapa masing-masing lantaran melihat rakan-rakan lain menahan kesakitan saat melangkah keluar dari bilik khas.

"Program berkhatan secara beramai-ramai atau berkelompok akan meningkatkan lagi semangat kekeluargaan dan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat setempat.

"Ini juga membuktikan bahawa masyarakat kita terutama orang Melayu masih boleh bersatu di atas nama kepentingan bersama terutama apabila membabitkan tuntutan ataupun syariat agama dan juga adat budaya bangsa," kata Rosnah.

Tambahnya, tujuan utama amalan berkhatan bagi kanak-kanak dipraktikkan di dalam masyarakat Melayu adalah kerana ingin menjaga kebersihan.

Amalan berkhatan bukan sahaja dijadikan amalan bagi masyarakat Melayu, malah masyarakat Cina mahupun masyarakat India mempraktikkannya percaya kerana amalan berkhatan banyak kebaikannya terutama dari segi kesihatan.


ROSNAH menenangkan seorang kanak-kanak yang dikhatankan oleh doktor dari Hospital Pantai.


"Amalan berkhatan juga dapat mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing.

"Kajian membuktikan bahawa, bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali ganda lebih rendah risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser zakar, prostat dan kanser serviks dan payudara kepada wanita.

"Kuman Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks dalam kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita ketika persetubuhan.

"Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks dapat dielakkan. Virus yang sama juga boleh mencetuskan kanser payudara," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Kuala Lumpur, Engku Marina Engku Hatim berbesar hati kerana lima pakar perunding perubatan daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Hospital Pantai Cheras bersama-sama 23 jururawat meluangkan masa untuk memberi perkhidmatan tanggungjawab sosial di majlis berkhatan percuma.


SAKIT. Seorang kanak-kanak kelihatan menahan sakit sebaik sahaja selepas disunatkan di PPR Pudu Ulu, Cheras.


Dalam kelompok 120 kanak-kanak berkhatan yang majoritinya Melayu, terdapat kelibat seorang kanak-kanak Cina keturunan Tiong Hoa yang turut sama berkhatan, Eldred Wong, 10.

Ayahnya, Wong Hui Meng, 56, memberitahu anaknya meminta dirinya disunatkan seperti rakan-rakannya yang lain.

"Saya sendiri tiada masalah membenarkan anak saya bersunat kerana ia bagus untuk kesihatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Rosni Othman, 39 dan Haini Baharom, 48, yang merupakan suri rumah memberitahu dua anak lelaki mereka dikhatankan pada majlis tersebut.

Rosni berpendapat program sedemikian yang dianjurkan oleh UMNO Parlimen Cheras sangat bagus kerana ia dapat membantu mengurangkan bebanan ibu bapa mengkhatankan anak-anak di klinik.

"Saya pula perlu memaksa anak-anak saya bersunat kerana ia bagus untuk kesihatan memandangkan mereka takut berbuat demikian selepas melihat rakan-rakan yang lain kesakitan.

"Saya memujuk dengan mengingatkan mereka mengenai pesanan arwah bapa mereka, Abu Mutalib Manan iaitu: "kalau sunat nanti jangan lari sebab anak lelaki kena berani'," kata ibu kepada enam orang anak, Haini Baharom, 48.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved