Jumaat, 23 Disember 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Pameran jentera modifikasi ekstrem

Posted:

Pameran jentera modifikasi ekstrem

Pameran jentera modifikasi ekstrem

Oleh SHAWKATH AZDE

HUJUNG minggu lalu, pameran gaya hidup automotif yang dianggap terbesar diadakan di dalam lokasi tertutup di Malaysia melabuhkan tirainya. Dikenali sebagai Honda - Hot Import Nights Kuala Lumpur 2011 (Honda-HIN KL 2011), ia berlangsung selama dua hari di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

Acara yang julung-julung kali diadakan itu membawa satu pendedahan dan pengalaman baharu kepada peminat-peminat automotif tempatan. Ia bukan sekadar satu lagi pameran kereta biasa.

Pengerusi dan Penganjur Honda-HIN KL 2011, Reza Aliwarga menyifatkannya sebagai platform atau lokasi perjumpaan, sosial dan berkongsi ghairah terhadap kereta di bawah satu bumbung. Pelbagai aktiviti, peraduan dan sebuah konsert mini telah diadakan.

Penganjuran sulung HIN di KL

Sejarah Hot Import Nights (HIN) bermula pada tahun 1996 di Australia oleh sekumpulan mahasiswa. HIN berperanan sebagai medium mengetengahkan bakat dan kreativiti peminat automotif kepada masyarakat umum menerusi rangkaian acara berskala antarabangsa.

Populariti HIN kemudian berkembang ke Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia. Ia menjadi acara tahunan pameran kenderaan gaya hidup automotif di AS, Australia dan Indonesia. Peminatnya pula terdiri daripada ratusan ribu orang di seluruh dunia.

Untuk makluman, penganjuran HIN memasuki ulang tahun ke-10 di Indonesia dan Malaysia diberi peluang untuk mengadakan penganjuran sulungnya.

Khabar mengenai kedatangan HIN nyata mencetuskan rasa ingin tahu yang tinggi dalam kalangan peminat kereta tempatan dan negara-negara jiran.

Namun, selepas menghadirinya, saya berpendapat masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan jika ia mahu diteruskan pada masa akan datang. Biarpun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa HIN memberi satu dimensi baharu dalam penganjuran acara seumpamanya di Malaysia.

Melangkah masuk ke dalam stadium, kelihatan sudah ada sebilangan pengunjung duduk di bangku stadium. Ramai juga yang berlegar-legar di kawasan pameran, meskipun jam masih belum pukul 12 tengah hari.


SEBUAH Proton Waja yang menerima modifikasi ekstrem dan lengkap dengan sepasang 'suicide door'.


Tanggapan pertama saya sejurus melewati pintu masuk, ada sesuatu yang tidak kena di sana. Ruang pameran kelihatan sempit. Susunan antara kenderaan terlalu rapat. Sukar membuka pintu kenderaan untuk mengambil gambar apatah lagi mendapat gambaran sisi jentera.

Import budaya modifikasi

Mengelilingi tapak pameran, ternyata pelbagai jenama kenderaan dipamerkan. Antaranya ialah BMW, Audi, Volkswagen, Smart, Nissan, Morris Minor, Lamborghini, Lotus, Aston Martin, Chevrolet, Honda dan Toyota.

Produk Proton dan Perodua juga terselit di sana. Kemunculan dua jenama tempatan itu kemudian mencetuskan pertikaian dalam forum-forum perbincangan di Internet. Mereka mempersoalkan adakah Proton dan Perodua tergolong sebagai jentera import?

Sebenarnya begini. Perkataan 'Import' itu merujuk kepada budaya modifikasi yang diimport terutama dari Jepun, (JDM atau Japan Domestic Market), AS dan Eropah. Bukannya ia terhad kepada jenama kereta import sahaja. Maksudnya, ketika HIN diadakan di AS, banyak kereta buatan AS seperti Chevrolet yang turut menyertainya.

Setelah hampir tiga jam berlegar di tapak pameran, lokasi seterusnya ialah Dynowars. Mencari akses ke kawasan Dynowars mengambil masa lebih setengah jam kerana saya sesat di dalam stadium!

Di lokasi Dynowars, terhimpun beberapa buah jentera dengan modifikasi enjin yang ekstrem. Tiba sahaja di sana, suasananya sepi. Tiada persembahan dilakukan. Saya difahamkan bahawa pusingan hari Sabtu telah tamat dan ia akan disambung semula pada hari esok. Ini sekali gus membuatkan ramai pengunjung yang terlepas sesi sebelumnya berasa kecewa.

Satu lagi kelemahan yang perlu diperbaiki adalah para pengunjung tidak tahu apakah acara sedang berlangsung. Tiada pengumuman dibuat oleh Deejay yang bertugas.

Sementara skin paparan hanya menayangkan klip video HIN di Indonesia. Penunjuk arah ke kawasan pertandingan misalnya drift kereta kawalan jauh (RC Drift) juga agak terselindung.

Banyak aktiviti

Ada sebilangan pengunjung yang mengeluh kerana bayaran RM20 itu tidak berbaloi. Untuk menikmati Honda-HIN KL 2011 secara maksimum, pengunjung harus meneliti setiap kereta yang dipamerkan.

Bukan itu sahaja, acara tersebut turut menyelitkan pelbagai aktiviti ekstra. Misalnya, pertandingan tarian B-Boys dan B-Girls, perlumbaan video konsol, RC Drift, selain Dynowars dan sistem audio kenderaan. Itu belum dikira persembahan hebat daripada Deejay yang diterbangkan khas dari United Kingdom (UK) dan Indonesia. Malah, pada malam Ahad, rocker Awie ada membuat persembahan selama hampir satu jam.

Jadi, ambil masa untuk menikmati semua aktiviti yang disediakan. Caranya, rancang apa yang hendak dilihat di sana. Barulah wang RM20 yang dilaburkan itu berbaloi.


PARA pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat hasil modifikasi secara dekat.


Pujian harus diberikan kepada pihak penganjur kerana mengambil inisiatif mendapatkan maklum balas daripada media. Segala kekurangan yang dikesan telah disuarakan. Pada keesokan harinya (Ahad), sudah ada pembaharuan. Contohnya, penunjuk arah ke lokasi acara Dynowars telah ditampal dan lebih mudah untuk dilihat.

Senario persembahan juga bertambah baik berbanding hari sebelumnya. Kebanyakan peserta membuka bonet enjin kereta masing-masing untuk membolehkan pengunjung melihat modifikasi yang dilakukan. Suasana pun semakin meriah.

Acara Dynowars yang menjadi tumpuan utama turut menggegarkan kawasan berhampiran. Ramai juga peminat tempatan tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri ledakan kuasa kuda jentera peserta.

Juri dari AS, Mickee Zenarosa menyatakan bahawa rata-rata peserta mengetengahkan dua budaya modifikasi berbeza iaitu Eropah dan Jepun. Dia juga mengakui terpesona dengan hasil kerja beberapa orang peserta.

"Sukar untuk membandingkan pameran ini dengan negara lain. Sebabnya, setiap negara memiliki budaya dan konsep pemotoran tersendiri.

"Apa yang saya lihat ialah peserta Malaysia banyak melakukan modifikasi badan kenderaan sehingga model sedia ada menjadi sebuah kereta baharu," katanya.


HANYA menanti masa untuk menyertai pertandingan Dynowars.


Saya tidak menganggap anjuran kali ini sebagai suatu kegagalan. Bukan mudah untuk menganjurkan acara berprestij buat kali pertama. Mana-mana acara yang mula menapak pasti ada cacat-celanya.

Potensi acara yang melibatkan dunia modifikasi kenderaan dan industri hiliran automotif di Malaysia sememangnya cukup besar. Harapannya, akan ada lebih banyak pihak terutama pengeluar kenderaan dan pembuat produk berkaitan kereta akan mengambil bahagian dalam acara sama pada tahun depan. Selamat maju jaya!

Full content generated by Get Full RSS.

Proton Saga FLX SE Varian Saga paling sporty

Posted:

Proton Saga FLX SE Varian Saga paling sporty

Proton Saga FLX SE Varian Saga paling sporty

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


ANDA pasti tidak kecewa dengan kualiti pengendalian jentera ini.


Menjadi model penting buat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton), kereta subkompak itu tidak pernah jemu menerima penambahbaikan.

Bermula dengan model BLM pada tahun 2008, Saga mengalami revolusi menerusi model-model seperti BLM SE (2009), FL (Disember 2010) dan FLX (Ogos 2011) sebelum pada minggu lalu Proton memperkenalkan pula varian yang dikenali sebagai Saga FLX SE.

Karekter utama yang membentuk Saga FLX SE ialah enjin Campro IAFM bersesaran 1.6 liter dan kotak gear CVT (Continuously Variable Transmission). Ciri itu kemudian digabungkan bersama pelbagai aspek lain, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang berbaloi untuk dimiliki.

Sedia maklum bahawa Saga dengan enjin 1.6 liter pada asalnya cuma untuk dijadikan teksi. Namun, memandangkan permintaan terhadapnya terus meningkat, Proton bersetuju untuk menawarkannya kepada kelompok pengguna yang lain.

Saga FLX SE disifatkan sebagai Saga yang paling sporty dan memiliki pelbagai ciri menarik setakat ini. Perubahan dapat dilihat dengan jelas sama ada pada luaran dan dalamannya.

Saya sempat memandu uji kereta itu bersama satu lagi model baharu Proton, Exora Bold menuju ke Tanjung Jara, Terengganu pada awal minggu ini. Tetapi, untuk kali ini, kita fokuskan dahulu kepada apa yang mampu ditawarkan oleh Saga FLX SE.


RUANG dalaman dimonopoli tona gelap.


Laluan kampung di bandar Al-Muktafi Billah di Dungun Terengganu menyerlahkan kemampuan sebenar jentera tersebut. Terpaksa memandu dalam hujan renyai, kelajuan maksimum yang berani diperah hanya sekadar 120 kilometer sejam.

Bunyi enjin

Itu sahaja kelajuan yang berani saya tekan memandangkan rasa sistem breknya yang kurang meyakinkan. Bagaimanapun, kekurangan itu diseimbangkan menerusi stereng yang agak berat, di samping tahap pengendalian mantap ketika mengambil selekoh.

Harus diakui bahawa respons enjin 1.6L IAFM itu agak bagus. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, enjin mengaum untuk mencari gear terbaik demi memproleh momentum, tipikal kotak gear CVT. Bunyi enjin juga dapat didengar dengan jelas dari dalam kabin, mungkin aspek itu harus diperbaiki oleh Proton.

Untuk merasai lebih kuasa, jangan lupa menekan butang SAT (Stepped-Automatic Transmission). Butang ini membolehkan pemandu merasa pertukaran gear seperti kotak gear manual konvensional.

Sekiranya SAT masih belum mampu memuaskan hati anda, tolak tuil gear ke kolum "L". Harus tahu bahawa ia bukan digunakan untuk mendaki laluan berbukit, sebaliknya bertindak seperti mode sport. Hasilnya, jarum rpm akan melonjak setinggi 800rpm, sekali gus memberi kuasa ekstra untuk memotong atau memecut.

Mahu menjadikannya berasa lebih mahal, ruang dalaman Saga FLX SE disertakan dengan kemasan kulit hitam bersama jahitan benang merah pada stereng, konsol tengah, tuil gear dan tempat duduk. Saya harus beritahu juga bahawa tempat duduk belakangnya cukup selesa, walaupun jika anda terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.


PASARAN segmen sedan entry level dimeriahkan lagi melalui pengenalan model ini.


Misi menarik minat golongan muda untuk memiliki Saga FLX SE mungkin tidak terlalu sukar menerusi penampilannya yang garang. Selain disalut dengan warna merah menyala (warna baru selain warna putih solid) jentera itu turut hadir bersama kemasan lampu kabus berwarna kelabu.

Sekeliling kereta juga dilengkapi dengan skirting berwarna kontras (kelabu). Bahagian hadapan menyerlah melalui sepasang lampu utama berbentuk tirus. Sementara bahagian belakangnya tampil menawan dengan lampu LED.

Penampilannya disempurnakan lagi menerusi padanan rim aloi bersaiz 15 inci baharu yang dibalut tayar bersaiz 195/50 R15. Pendek kata, jentera itu tidak memerlukan apa-apa solekan lain untuk nampak cantik.

Berminat? Anda sudah boleh melihatnya di mana-mana pusat pameran Proton berhampiran. Mahal RM2,900 berbanding model Saga FLX, ia ditawarkan pada harga RM49,449 seunit.

Full content generated by Get Full RSS.

Suzuki Swift Sport 2012

Posted:

Suzuki Swift Sport 2012

Suzuki Swift Sport 2012

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


SEKALI pandang, penampilan luarannya tidak jauh berbeza dengan model Swift Sport sebelum ini.


VARIAN berprestasi Suzuki Swift, sama ada model lama, Cultus GTi atau model baharu seperti Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian saya.

Masih segar dalam ingatan beberapa tahun lepas pengalaman menyaksikan kelajuan Cultus GTi, paling menarik enjin model itu cuma bersesaran 1.3 liter.

Selepas itu, kemasyhuran Cultus GTi terganggu kerana akronim GTi sebenarnya adalah milik Volkswagen. Hasil perbincangan di luar mahkamah, Suzuki mengugurkannya dan menggunakan nama GT sahaja.

Kini, model berprestasi Swift lebih selesa menggunakan nama Swift Sport. Jika kelajuan Cultus GTi ibarat lipas kudung, Swift Sport pula membuat saya kagum dengan ciri-ciri keselamatannya.

Bayangkan sebuah kereta kompak dengan enam beg udara sebagai ciri standard, tidakkah anda akan turut berasa kagum? Berbeza dengan kebanyakan kereta yang dipasarkan di dalam negara dengan hanya dua beg udara.

Baru-baru ini, Suzuki telah melancarkan model pengganti Swift Sport yang bakal dijual bermula tahun depan di pasaran terpilih global. Swift Sport adalah model penting untuk varian Swift yang menawarkan tahap penalaan, prestasi pengendalian dan pemberhentian lebih bagus berbanding model standard.

Berikutan ciri-ciri sporty dan praktikaliti hariannya, Swift Sport mempunyai ramai peminat sejati di lebih kurang 40 buah negara serata dunia. Swift Sport baharu mempunyai DNA yang sama seperti model sebelumnya. Cuma kali ini, model tersebut lebih ekonomikal dan mesra alam sekitar bagi memenuhi kehendak semasa.

Rekaan luaran Swift Sport adalah refleksi kepada evolusi ke arah rupa yang lebih sporty. Peralatan aerodinamik yang eksklusif untuk Swift Sport baharu mengawal aliran udara, menahan daya angkat dan memberi imej yang lebih rendah ke bumi. Lampu utama jenis High-Intensity Discharge (HID) dengan lapisan warna kelabu metalik serta rekaan lampu kombinasi baharu menyerlahkan lagi dinamik penampilan luaran model itu.

Pengendalian lebih baik

Rekabentuk ruang dalaman yang sporty model itu dibantu oleh kerusi sport dengan corak fabrik eksklusif, kluster lima meter mudah dibaca dan susunan yang kemas. Sementara Toe dan Camber yang tegar digunakan untuk sistem suspensi jenis torsion beam dan ketegaran lateral yang lebih pada sesendal torsion beam. Sementara bearing yang lebih besar pada roda belakang pula membantu kestabilan pada bahagian belakang kereta sewaktu mengambil selekoh mencabar.

Kekenyalan ditingkatkan pada pegas gegelung hadapan dan belakang. Penambahan lantunan pada pegas gegelung hadapan secara signifikannya menyumbang kepada kestabilan dengan mengurangkan olengan badan kereta.

Modifikasi yang dilakukan pada peralatan stereng, kotak gear, rangka suspensi dan bearing yang lebih besar pada roda hadapan pula menjadikan pengendalian Swift Sport baharu itu lebih baik berbanding model sebelumnya.

Enjin M16A Swift Sport baharu sebenarnya adalah sama dengan model lama. Tetapi kali ini ia disemak semula dengan penambahan kuasa bersama emisi lebih rendah.

Pencapaian itu adalah hasil penggunaan sistem masukan boleh ubah (variable), penggunaan VVT (Variable Valve Timing) yang lebih optimum dan valve lift yang ditingkatkan.


RUANG kokpit yang berorientasikan kepada pemandu.


Hasilnya, kuasa maksimum naik daripada 123hp kepada 136hp. Tork maksimum pula meningkat daripada 148Nm kepada 160Nm pada kelajuan enjin yang sedikit rendah iaitu 4,400rpm. Ini seterusnya membolehkan pemandu menikmati prestasi merentasi julat kelajuan enjin.

Emisi enjin model baharu turut mengalami penurunan sekitar sepuluh peratus iaitu 165g/km kepada 147g/km. Sistem ekzos yang disemak semula pula menghasilkan bunyi yang lebih sporty.

Transmisi manual Swift Sport baharu secara spesifiknya dibangunkan untuk mengambil kesempatan penuh terhadap prestasi enjin M16A. Penggunaan gear manual enam kelajuan menyumbang kepada pemanduan yang lebih sporty dan menjimatkan minyak.

Dari segi keselamatan pula, Swift Sport baharu mempunyai tujuh beg udara dan Electronic Stability Program sebagai peralatan standard. Penggunaan keluli regangan tinggi yang ekstensif dan analisis struktur berkomputer membolehkan badan kereta menjadi ringan serta selamat. Tiang-tiang kereta pula mengandungi material yang mampu menyerap hentakan, sekali gus dapat mengurangkan impak pada kepala penumpang.

Dengan segala ciri-ciri di atas tiada sebab mengapa penggemar kereta berprestasi tidak boleh jatuh hati kepada model dari Jepun itu. Swift Cultus GTi atau Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian.

Model itu biasa-biasa sahaja tetapi menyeronokkan. Ibarat seorang kawan harian, tetapi penuh dengan ilmu yang membuatkan kita tidak serik untuk berkawan dan berborak dengannya. Suzuki Swift Sport, sentiasa di hati.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved