Rabu, 9 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mengarah filem dengan bahasa isyarat

Posted:

Mengarah filem dengan bahasa isyarat

Mengarah filem dengan bahasa isyarat

SET penggambaran filem pendek itu sangat berbeza daripada lokasi penggambaran biasa. Jika dalam penggambaran biasa, krew dan pelakon akan mendengar pengarah menjerit perkataan action, namun di set penggambaran yang satu itu pelakon dan krew perlu lebih sensitif menggunakan pancaindera mata.

Ini kerana untuk memulakan atau menghentikan penggambaran, perkataan action atau cut akan ditulis di atas sekeping kadbod berwarna putih.

Namun, itulah keistimewaan filem pendek yang terhasil nanti kerana ia bukan dari air tangan orang biasa. Ia hasil kreativiti dan imaginasi oleh pengarah yang mengalami kelainan upaya atau OKU pendengaran.

Demikian antara pengalaman yang dilalui oleh krew dan pelakon filem pendek The Park yang filem arahan pertama Anne Laura atau lebih selesa dikenali Loula, 40-an.

Krew dan pelakon sedikit seabanyak harus memahami arahan tangan itu yang diberikan Loula.

Sebagai contoh masa untuk berehat selepas slot filem juga diutara menggunakan kadbod tertulis break. Para pelakon faham mesej Loula dan bersurai untuk makan dan minum sementara menunggu slot seterusnya dirakam.

Selepas tamat waktu rehat, krew dipanggil semula menggunakan isyarat tepuk tangan oleh Loula dan arahan-arahan seterusnya diberikan menggunakan tangan dan mata di samping beberapa kadbod putih bertulis action, cut, replay dan sebagainya.

Loula ialah seorang OKU pendengaran yang bertungkus-lumus menghasilkan filem pendek untuk satu pertandingan.

Semangat yang kental diikuti cita-cita untuk menghasilkan sebuah filem pendek yang bermutu, tidak pernah menghalang wanita itu untuk bekerja bersama-sama orang OKU dan insan normal lain.

Masuk pertandingan

Memulakan cita-cita itu sejak pertengahan tahun lalu, The Park sudah pun berjaya disiapkan. Loula mengakui berbangga dengan hasil filem pendeknya yang pertama.

Kecintaan dalam dunia perfileman menyebabkan dia kini dalam usaha membikin filem pendek kedua dengan bantuan rakan-rakannya.

Menceritakan tentang filem pertamanya The Park, kongsi Loula filem tersebut memfokuskan kehidupan insan OKU pendengaran, manakala filem keduanya yang dalam proses penerbitan pula berkenaan isu komunikasi di antara orang biasa dan OKU sepertinya. Walaupun melibatkan rakan-rakan yang normal Loula, tidak menghadapi banyak masalah untuk bekerja dengan mereka.


PESERTA bengkel didedahkan dengan latihan secara spontan pada bengkel tersebut.


Mereka faham bahasa badan atau dikenali sebagai komunikasi pergerakan visual yang lazimnya kita lihat digunakan oleh pelakon dalam sitkom Mr. Bean, sama seperti lakonan yang hanya menggunakan gerak badan serta mata untuk memahamkan seseorang tentang keperluan.

Begitu juga dengan wanita itu, rata-rata rakannya yang berupaya normal terdiri daripada mereka yang faham apa yang disampaikan Loula, maka ia tidak langsung menjadi penghalang komunikasi baginya.

"Saya memang suka berlakon dan mengarah. Dulu ketika belajar, saya pernah mengambil kursus Pengenalan Pengarahan Filem. Hari ini saya sudah membuat satu filem pendek dan sedang mengusahakan filem kedua. Kedua-duanya akan dihantar untuk pertandingan filem pendek pada bulan November kelak di FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia)," ujar Loula.

Ketika ditemui, komunikasi dengan Loula diperlicinkan dengan bantuan seorang penterjemah daripada sebuah syarikat OKU pendengaran silentShout, Chee Huay Woo.

Dia menggunakan bahasa isyarat untuk menterjemah 'kata-kata' Loula itu.

Loula yang berasal dari Papar, Sabah kini menetap di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai seorang guru kepada pelajar sekolah.

Dia akan mengajar sambil mendapat penterjemah di kelasnya,

Guru itu juga pernah berlakon beberapa kali di KLPac dan kini impian menerbitkan filem pendek sudah tercapai.

"Ia memang sukar bagi kami bekerja dengan orang biasa. Saya mendapati mereka (pelakon normal) mempunyai ekspresi muka yang kurang berbanding kami. Mungkin kerana orang pekak seperti kami terpaksa banyak berkomunikasi menggunakan riak wajah dan bahasa badan, maka ekspresi wajah OKU seperti kami lebih baik. Namun, dengan kerjasama pelakon OKU lain, saya telah berjaya melatih mereka," katanya.

Untuk filem The Park, Loula menggunakan enam orang krew, termasuk empat orang OKU pendengaran untuk membuat filem pendeknya.

Loula juga memberitahu dia sangat teruja untuk menggunakan peralatan teknologi terkini khususnya peralatan kamera, pencahayaan dan teknikal yang lain di sepanjang pembuatan filem pendeknya itu.

Minat dan keyakinan Loula untuk bergelar pelakon serta pengarah filem sebenarnya disuntik selepas dia menyertai sebuah bengkel filem pendek anjuran silentShout pada bulan Jun lalu.


LOULA mahu membikin lebih banyak filem pendek.


Loula mengakui mendapat bimbingan dan sokongan daripada tutor filem pendek selain pihak silentShout yang menjadi pencetus bagi orang OKU sepertinya menghasilkan filem.

"Semasa saya menyertai bengkel ini, ia banyak mengajar saya dari segi teori dan kemahiran praktikal untuk mengendalikan peralatan pembikinan filem dan teknologi-teknologi terkini dalam pengarahan filem," katanya.

Ketika ditemui Kosmo!, bersama Loula ialah seorang lagi peserta yang pernah menyertai bengkel siri pertama silentShout, Akira Chua, 37. Akira menyertai kursus tersebut dengan niat sekadar mendedahkan diri dengan pengalaman baharu, tetapi ia telah turut membangkitkan semangat Akira untuk tampil dengan sebuah filem pendek sendiri.

Audio dan muzik satu cabaran

Bagi bapa kepada dua orang anak itu, bengkel berkenaan telah menambah ruang kepada OKU sepertinya menceburi bidang yang selama ini hanya dianggap boleh dilakukan oleh orang normal.

"Filem pendek pertama saya berkisar mengenai tiga orang rakan. Diri saya sendiri selaku OKU pendengaran, seorang lagi separa OKU pendengaran dan seorang wanita normal. Hanya kami bertiga yang bekerja. Kami melakukan kerja-kerja mendraf idea, menulis skrip, berlakon dan mengarah. Saya harap, jika filem ini mendapat pengiktirafan, saya akan bermotivasi untuk mengarah filem pada masa hadapan," luah Akira,

Akira bagaimanapun menyatakan, sebagai seorang OKU pendengaran, pengisian muzik dan audio sebagai antara cabaran paling getir dalam menghasilkan filem pendek itu.

Namun, ia diatasi dengan bantuan rakan bukan OKU juga salah seorang temannya yang diperkenal sebagai Rita. Kata Akira, rakannya itu banyak membantu dari segi mengisi muzik latar dan penyesuaian audio yang menepati kehendak filem pendek tersebut.


PESERTA bengkel filem pendek silentShout Oktober lalu.


"Kami tidak pernah mendengar atau menilai bunyi. Kami tidak tahu apa-apa mengenai keperluan audio kerana saya sendiri tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenainya. Tetapi, saya bersyukur kerana ada rakan yang sedia memberi bantuan," katanya.

"Jika selama ini orang ramai hanya memandang kami sebagai OKU, berkomunikasi menerusi teks, tulisan atau pen dan kertas, kini kami juga mampu berkomunikasi secara tidak langsung melalui filem pendek ini," ujar Akira teruja.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved