Jumaat, 4 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keinsafan Abdul Hakim, Adiba

Posted:

Keinsafan Abdul Hakim, Adiba

Keinsafan Abdul Hakim, Adiba

DESIR angin di padang kota suci Mekah seolah-olah masih dapat dirasai oleh Abdul Hakim Abd. Hamid sehingga kini. Bagaikan berpuitis, Abdul Hakim berkata: "Atas restu Allah, pada usia 15 tahun, Dia telah menyuluh sinar dalam hidup saya dengan menjemput saya menunaikan haji."

Kesyukuran itu ujarnya, tidak dapat terlukis dengan kata-kata. Kini, dia bergelar Haji Abdul Hakim.

Akui remaja yang tinggi lampai sosok tubuh itu lagi, pemergiannya bersama ibu bapa dan tiga beradik yang lain ke rumah suci Allah pada tiga tahun lalu juga bagaikan satu mimpi indah yang tidak pernah usai.

Dendangan ayat-ayat suci Al-Quran yang sentiasa bergema tanpa henti di setiap penjuru, seolah-olah memberi mesej keinsafan kepada seluruh umat Islam di sana.

Berada selama lebih sebulan di Tanah Suci, Abdul Hakim yang kini berumur 17 tahun memberitahu, menjadi tetamu Allah, bagaikan satu anugerah terhebat dalam jurnal peribadinya.

Bertandang ke rumah Allah itu juga, kata remaja itu telah menghimpunkan satu transisi akhlak yang telah mengubah keseluruhan hidupnya.

"Benar, keperibadian dan karakter saya telah berubah sama sekali. Saya juga semakin sayang kepada keluarga dan seboleh-bolehnya ingin menjadi anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa," katanya yang mempelajari cara menunaikan ibadat haji melalui VCD dan beberapa buah buku rujukan.

Haji cilik itu juga berterus-terang. Jika dulu perasaan amarah sering mencengkam diri, kini dia lebih tenang dan bertanggungjawab.

Sebelum menjejakkan kaki ke kota suci Mekah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Indah, Seri Kembangan Selangor itu memberitahu, ibunya, Mazidah Mohd. Ghazali, 53, banyak menitipkan pesanan.

Antara yang kerap diingatkan ialah jangan cakap besar dan menjaga mulut ketika berada di Tanah Suci.

Ya, segala aral semestinya mahu disisihkan, namun sesungguhnya, kuasa Allah itu memang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia.

"Benar apa yang diceritakan oleh ibu, saya lupa apa yang berlaku kepada saya selama dua hari, sebenarnya saya sendiri tak sedar apa yang berlaku," imbas Abdul Hakim mengulangi penceritaan ibunya kepada penulis.

Meremang bulu roma tatkala mendengarkan kisahnya. Apakah sebenarnya yang berlaku kepada remaja itu? Seperti yang diceritakan oleh Mazidah, sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam di bilik Hotel Al-Firdaus, abangnya mengusik Abdul Hakim.


IBADAH haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim a.s.


Disebabkan tidak tahan dengan usikan tersebut, Abdul Hakim beredar dari meja makan. Namun, secara tidak sengaja, anaknya itu telah melanggar kaki Mazidah. Secara spontan, Mazidah merengus.

Tidak semena-mena, Abdul Hakim jatuh sakit pada hari esoknya.

"Saya panggil dia untuk bersolat, dia bangun tapi dia bersolat dengan kadar yang sangat cepat. Adakalanya, matanya ke atas, itu memang menakutkan.

"Justeru, saya putuskan untuk bertanya mereka yang arif. Mendengarkan nasihat mereka, saya melurut badan Abdul Hakim dan berbisik dalam hati bahawa saya ampunkan segala dosa-dosanya," cerita Mazidah. Abdul Hakim yang duduk berhampiran mengamati setiap kata-kata yang terpacul dari mulut ibunya.

Pengajaran

Tatkala memohon kepastian kepada empunya diri, remaja yang bakal menduduk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Tuhan bayar tunai kepada saya, ia mungkin disebabkan saya sangat marah dan dendam itu saya simpan dalam hati, saya juga telah menyakiti ibu.

Namun, saya menganggap kejadian yang menimpa adalah satu pengajaran," kata Abdul Hakim menyesali perbuatannya.

Haji cilik itu diuji sekali lagi. Imbau remaja berkaca mata itu, pada hari-hari berikutnya terdetik di benaknya tidakkah ada haiwan-haiwan seperti anjing atau kucing di Mekah atau Madinah?

Tidak sampai beberapa ketika, Abdul Hakim terjumpa bangkai anjing dan paling menakjubkan, hanya dia sahaja yang dapat melihatnya sedangkan jemaah lain menafikan kewujudan haiwan itu.

Insiden itu sungguh menyentak dirinya. Rengsa di jiwa tidak dapat ditepis namun jauh di sudut hati, Abdul Hakim dapat merasakan kebesaran Allah Yang Maha Agung.

Meskipun dianggap masih mentah, pelajar itu memberitahu, mengerjakan ibadat haji dan mengunjungi Baitullah sesuatu yang sangat indah.

"Susah saya nak katakan, tapi di sana kita menemui ketenangan sejati. Alhamdullillah, semua rukun haji seperti wukuf, tawaf dan saie dapat dilakukan meskipun saya masih memegang buku untuk menghafal ayat-ayat tertentu.

"Seperkara lagi, jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia baik-baik belaka, mereka peluk dan cium kita tanda mereka menghargai kehadiran insan cilik seperti saya," katanya.


ADIBA dan Abdul Hakim melihat gambar kenangan sewaktu menunaikan ibadah haji dua tahun lalu.


Turut serta bersama Abdul Hakim ke Tanah Suci ialah adik bongsunya, Adiba yang kini sudah berusia 11 tahun.

Adiba yang petah berbicara ditanya sejauh manakah pemahamanannya berhubung ibadat haji lantaran ketika itu dia berumur lapan tahun.

Kisah kucing

"Pada masa itu, saya hanya tahu pergi haji dapat pahala dan akan dapat ganjaran yang lebih. Tapi sekarang betapa bertuahnya saya dapat ke sana kerana ia adalah satu kewajipan kepada setiap mukalaf, terima kasih kepada ibu dan bapa saya kerana memberi peluang terhebat ini."

Bagaimanakah Adiba menyempurnakan ibadah di tengah-tengah lautan manusia?

Ujar Adiba yang penuh sopan dan santun itu: "Saya sentiasa pegang tangan ibu dan ayah ke mana saja, walaupun bersesak-sesak, saya berjaya lakukan semua."

Di sana, gadis itu dijamu dengan pemandangan yang unik belaka. Irisnya pernah melihat beberapa jemaah haji yang bersembahyang dengan mendukung anak.

Sambung Adiba, di kota suci itu juga dia mempelajari sesuatu yang sangat berharga. Paling terkesan di sanubarinya ialah melihat umat Islam melakukan solat di mana-mana sahaja waima di tepi atau di tengah jalan.

"Semasa waktu solat Zuhur, orang bersolat dari luar masjid hingga ke kaki lima hotel penginapan kami, meskipun berhimpit-himpit, saya tak terasa panas pun," ujar pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Serdang itu.

Kata Adiba, dia sangat menyukai kucing. Ketika berada di Tanah Suci, pernah terlintas di benaknya tentang haiwan kesayangannya itu, pada masa yang sama tersingkap satu kisah yang tidak terduga olehnya.

"Semasa saya bersama ahli keluarga lain berada di Masjidil Haram, tiba-tiba saya ternampak kelibat kucing, saya maklumkan pada ibu tapi ibu kata dia tak nampak apa-apa pun," ujarnya yang terpegun seketika.

Kanak-kanak ini memberitahu, tidak ramai dalam kalangan rakan sebayanya berpeluang ke Tanah Suci. Keadaan itu menjadikankan antara tetamu istimewa dalam kalangan jemaah haji dari negara-negara lain.

"Orang Arab suka usap kepala saya dan jemaah haji yang lain banyak yang menghadiahkan gelang dan menyarungnya ke tangan saya," katanya yang kini bergelar Hajah Adiba.

Di Masjidil Haram juga, gadis comel itu memberitahu, dia terpaku apabila air zam-zam terdapat di setiap sudut.

"Air zam-zam di sana sangat manis, rasanya tidak seperti di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Mazidah memberitahu, keluarganya memang berhasrat membawa kesemua anak-anaknya menunaikan haji. Pada asalnya, kata bekas kakitangan awam itu, dia agak ragu-ragu untuk membawa Adiba dan Abdul Hakim ke sana kerana umur yang masih muda.

"Namun, saya berserah saja kepada Allah, kami membawa dia pergi kursus bersama-sama. Alhamdullillah, kami anak beranak menempuh laluan yang mudah ke sana," katanya penuh kesyukuran.

Full content generated by Get Full RSS.

Umrah pilihan untuk si kecil

Posted:

Umrah pilihan untuk si kecil

Umrah pilihan untuk si kecil


SEBAIKNYA keutamaan diberi kepada warga emas untuk menunaikan ibadat haji berbanding kanak-kanak.


MENGAMBIL kira permintaan yang tinggi dalam kalangan warga emas untuk menunaikan haji, Lembaga Tabung Haji (TH) memutuskan untuk tidak lagi membenarkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun turut serta untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Jurucakap TH ketika dihubungi Kosmo! memberitahu : "Prosedur baharu Tabung Haji menetapkan bahawa kanak-kanak yang berumur bawah 15 tahun ke bawah atau belum akil baligh tidak dibenarkan menunaikan haji.

"Hal ini dilakukan demi memberi peluang kepada warga emas yang kebanyakan sudah sekian lama menyimpan impian ke Tanah Suci Mekah.

"Berilah mereka ruang terlebih dulu, ada ramai lagi orang yang berumur hendak ke sana, lagipun kanak-kanak ada banyak masa lagi untuk ke rumah Allah itu."

Keputusan itu kata jurucakap itu mula dilaksanakan sejak tahun lalu.

Mengulas isu yang sama, pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah turut menyokong perubahan yang dilakukan oleh TH.

Beliau berhujah: "Kanak-kanak yang berumur bawah 15 tahun atau belum baligh tak patut tunai haji. Golongan itu harus memberi laluan kepada warga emas yang berkemampuan pergi terlebih dulu.

"Warga emas ini seperti yang kita tahu sering berdepan dengan masalah kesihatan, jika dilewat-lewatkan pemergian mereka, takut-takut akan cacatkan perjalanan mereka ke sana.

"Berilah kepada mereka yang berhak walaupun pada dasarnya golongan kanak-kanak berhajat."

Beliau juga gusar, umur yang masih mentah akan membuatkan kanak-kanak ini tidak dapat menjiwai sepenuhnya nilai haji itu sendiri.

Ibadah haji katanya, bukan sahaja menuntut persediaan material dan spritual, malah aspek fizikal juga perlu ditekankan. Justeru, setiap bakal jemaah haruslah memastikan diri mereka telah bersedia sepenuhnya untuk menunaikannya.

Mengulas isu kanak-kanak yang pernah menunaikan haji ke Baitullah, Mohd. Daud yang merupakan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, menyifatkan mereka adalah kelompok paling bertuah.

Haji jemputan

Mereka ini katanya, digelar sebagai haji jemputan. Namun, pada masa yang sama, kanak-kanak ini layak digelar haji dan hajah.

"Pendedahan awal ini boleh dijadikan sebagai satu pengalaman berharga dan motivasi kepada mereka untuk menunaikan rukun Islam itu sekali lagi nanti," jelasnya ketika dihubungi di Madinah baru-baru ini.


PARA jemaah haji yang tiba ke Tanah Suci dengan penerbangan awal mulai menziarahi Jabal Al-Rahmah di Arafah bagi mengisi masa sementara menunggu hari wukuf.


Tambah Mohd. Daud, kepada yang pernah menunaikan haji semasa kecil, mereka diwajibkan untuk pergi sekali lagi ke Baitullah setelah dewasa.

"Mereka yang pernah menunaikan haji ketika belum baligh wajib tunaikan haji sekali lagi jika ada kemampuan dan sihat tubuh badan," katanya.

Soal haji mabrur, ujar Mohd. Daud adalah pertimbangan Yang Maha Esa.

"Kita lihat kalau pelajar-pelajar tahfiz ke sana, mereka beribadat dan menghayatinya, mereka menganggap pemergian mereka adalah berkaitan dengan ukhrawi bukan duniawi lagi, maka insya-Allah ada pancaran mabrur," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Daud menyarankan ibu bapa yang berhasrat membawa anak mereka menunaikan haji bersama supaya menunaikan umrah terlebih dulu.

"Umrah tiada batasan umur, jadi apa kata pergi menunaikan umrah," ujarnya yang berkampung di Mekah dan Madinah selama lebih 40 hari pada musim haji kali ini.

Kuota jemaah

Pada tahun ini, rezeki menyebelahi jemaah negara ini. Malaysia memperoleh tambahan kuota jemaah sebanyak 2,000 daripada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan 28,000 jemaah negara ini menunaikan haji di tanah suci.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pertambahan kuota itu diberi berikutan populasi penduduk Malaysia yang kini mencapai 28 juta orang.

"Tambahan itu telah memberi kelegaan kepada ramai jemaah haji yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu sehingga memakan masa bertahun-tahun," katanya

Bagaimanapun, kadar untuk mengerjakan haji kekal pada harga RM9,980 seorang.

Beliau juga memberitahu, kerajaan Arab Saudi menyediakan kawasan penempatan jemaah haji yang lebih luas.

"Lebih banyak hotel empat dan lima bintang berdekatan Masjidil Haram dibina untuk menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah bagi memberi keselesaan kepada mereka untuk menunaikan rukun kelima itu," katanya. - MAZLINA ABDUL MAJID

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved