Jumaat, 4 November 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tahan kritikan

Posted:

Tahan kritikan

Tahan kritikan

WALAUPUN peserta-peserta MasterChef Malaysia yang mengambil bahagian terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan yang menarik dan menyelerakan.

Cuma satu yang membezakan mereka iaitu rasa sesuatu makanan yang dimasak sama ada menepati selera juri mahupun gaya persembahan makanan yang disediakan dapat memikat hati juri. Bukan mudah tetapi itulah ciri-ciri utama untuk mencari seseorang yang boleh digelar sebagai MasterChef Malaysia.

Mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu, seramai 40 orang peserta terpilih menyertai pertandingan MasterChef Malaysia. Kini, setelah ia ditayangkan selama dua minggu, tinggal 24 orang peserta yang masih tinggal.

Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, para peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh masa tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap yang diinginkan juri-juri MasterChef Malaysia, mereka akan dikritik teruk.

"Bukan tujuan menghina masakan mereka, tetapi komen tersebut dibuat supaya mereka tidak lalai apabila sudah lama berada dalam pertandingan ini. Kita kena beri komen membina kepada mereka dan beri pendedahan awal kepada mereka mengenai dunia kulinari sebenar," kata salah seorang juri program realiti masakan ini, Mohd. Johari Edrus atau dikenali sebagai Chef Jo ketika dihubungi Kosmo!.


DOKTOR gigi, Izani Farhana Md. Monoto telah berjaya memenangi cabaran pertama iaitu Peti Saji Misteri.


Objektif berbeza

Menjengah ke 'medan tempur' 24 peserta, Kosmo! berkongsi sedikit pengalaman daripada para peserta yang mempunyai profesion berlainan, namun harus membuktikan kesedapan air tangan mereka tanpa mengira status.

Menurut penerbit dan juga pelakon Ary Malik, dia harus menerima dan menganggap positif komen-komen juri mengenai masakannya.

Ary juga mengaku tiga orang juri tersebut mempunyai pengalaman lebih luas daripadanya walaupun salah seorang juri, Mohd. Nadzri Redzuawan (Chef Riz), 29, begitu muda berbanding umurnya yang sudah menjangkau 40 tahun.

"Secara peribadi apabila menghidangkan makanan kepada ketiga-tiga chef, saya harus akui pengalaman mereka dalam bidang makanan cukup luas dan lebih lama daripada saya.

"Saya juga kena faham ada masanya di dalam pertandingan seumpama ini kita akan dipuji dan adakalanya kita akan dikritik jika tidak dapat mempersembahkan apa yang dikehendaki," katanya yang menyertai pertandingan ini atas minat yang terlampau mendalam dalam bidang masakan disertai dengan sokongan anak-anak terutama anak bongsunya, Ratu Chinta, 5.


PESERTA harus bijak memasak pelbagai jenis masakan Barat dan Timur mengikut kreativiti tersendiri.


Menurut Ary, dia sangat teruja apabila pertandingan MasterChef diadakan di Malaysia. Ini kerana, ketika menonton rancangan MasterChef Australia di stesen Asian Food Channel (AFC), dia sering berangan untuk menyertai pertandingan seperti itu.

Hampir tiga bulan tidak bertemu anak-anak dan suami kerana menyertai pertandingan MasterChef Malaysia, baginya berjauhan dengan anak-anak dan suami merupakan cabaran paling besar yang harus dihadapi olehnya.

Ditanya mengenai kemenangan, kata Ary, jika tidak menang sekalipun dia berharap dapat membawa pulang kenangan manis memiliki ramai kenalan, mempelajari teknik-teknik masakan dan tahu memasak pelbagai jenis masakan.

Mengenali seorang lagi peserta, Mohd. Saiful Alip, 26, ada sesuatu yang istimewa mengenai diri pemuda penoreh getah ini. Biarpun ilmu dalam bidang masakannya tidak seluas peserta-peserta lain tetapi dia kreatif dan mampu menghasilkan sesuatu menu yang dilihat menerusi rancangan kegemarannya di kaca TV iaitu Top Chef.

"Saya sangat minat menonton rancangan Top Chef di saluran AFC. Malah, banyak resipi-resipi yang ada di dalam rancangan itu saya buat di rumah. Cuma, selalunya masakan Barat sering meletakkan minuman wine ke dalam masakan. Saya cuba mengubahnya dengan meletakkan ros merah yang diperah menggunakan sedikit limau agar rasanya sama," katanya yang hebat memasak makanan Barat dan negeri kelahirannya Sabah berbanding makanan lain.


MOHD. JOHARI EDRUS atau Chef Jo menegaskan MasterChef Malaysia tidak sama dengan MasterChef Australia.


Bukan itu sahaja, anak keenam daripada tujuh beradik itu juga kreatif menghasilkan gubahan-gubahan makanan menggunakan pisau. Katanya, ilham mengubah timbul selepas menoreh getah. Dia menggunakan pisau getah dan mula mengukir kayu-kayu yang ada dengan bentuk-bentuk yang diinginkan.

"Selain itu saya juga sering menghasilkan rekaan baju sendiri dan menghantar rekaan itu untuk dijahit. Saya juga ada mereka rekaan untuk jersi kawan-kawan," katanya yang pernah mendapat tawaran sambung belajar dalam bidang kulinari di sebuah kolej tetapi terpaksa tolak disebabkan kesempitan wang.

Siapa tahu mungkin dengan menyertai Master Chef, kehidupan Mohd. Saiful selepas ini berubah ke arah yang lebih baik. Baginya tiada apa yang lebih diutamakan ketika menyertai pertandingan Master Chef selain berniat untuk menyembuhkan penyakit ibunya.

Bapanya yang hanya bekerja sebagai penoreh getah dan bekerja kampung tidak mampu untuk mengubat ibunya yang memiliki penyakit gout, darah tinggi dan strok.

"Selain itu, saya juga menyertai pertandingan ini disebabkan urusan peribadi. Saya memiliki teman istimewa dan ingin melamarnya. Bukan itu sahaja, peluang menyertai pertandingan MasterChef Malaysia ini juga dapat menambahkan ilmu saya dalam bidang masakan," katanya yang berharap untuk menjadi juara MasterChef Malaysia.

Bagi Izani Farhana Md. Monoto, 26, pula, nasib menyebelahinya untuk menyertai MasterChef Malaysia selepas sahaja dia habis belajar bidang kedoktoran gigi di Universiti Adelate, Australia.

"Rezeki saya ketika pulang ke Malaysia selepas habis belajar pertandingan MasterChef Malaysia diadakan. Bila dapat tahu saya terus mahu menyertainya. Ini semua disebabkan pengaruh MasterChef Australia," katanya yang berjaya memenangi cabaran pertama iaitu Peti Saji Misteri yang memaksa peserta memasak makanan menggunakan bahan yang sama iaitu itik.

Anak bongsu daripada dua beradik itu juga tidak gentar untuk bersaing dengan peserta-peserta lain terutamanya lelaki yang dikatakan sering mendominasi dunia masakan.

"Zaman sekarang wanita semakin hebat dan berani. Tak rasa gender menjadi satu isu. Saya telahpun membuktikannya apabila memenangi cabaran pertama," katanya.

Sementara itu, menurut Chef Jo atau Papa Jo, MasterChef Malaysia mempunyai format yang berbeza dalam setiap episod siarannya.

"Peserta harus melepasi setiap cabaran yang diberi untuk melayakkan diri ke episod yang seterusnya," katanya.

Ditanya mengenai rungutan orang ramai yang melihat masa yang diberikan agak terhad kepada peserta, kata Chef Jo, sebelum MasterChef Malaysia memulakan siaran, ada sepasukan chef yang melakukan dulu cabaran-cabaran tersebut.

Misalannya, jika mereka dapat menyiapkan menu dalam masa sejam. Untuk para peserta pula, mereka akan diberikan masa tambahan setengah jam.

"Jadi tidak timbul masa yang diberikan untuk menyiapkan masakan tidak mencukupi. Mungkin cara dia memasak salah," katanya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Keunggulan David Foster

Posted:

Keunggulan David Foster

Keunggulan David Foster


RUSSELL WATSON memukau penonton dengan aura dan lontaran vokal merdunya.


CELINE DION, Barbra Streisand, Whitney Houston, Michael Buble, Madonna, Michael Jackson, Josh Groban dan N'Sync antara bintang ternama dunia yang berjaya digilap komposer ternama, David Foster.

Justeru, sesuatu yang mengujakan apabila David muncul di Kuala Lumpur minggu lalu menerusi konsert The Hit Man Returns - David Foster & Friends dengan menampilkan lima penyanyi bersuara emas.

Mereka terdiri daripada penyanyi remaja kelahiran Filipina yang mencipta nama di Hollywood, Charice Pempengco, penyanyi R&B dan hip hop, Ashanti, serta tiga artis hebat penyandang pelbagai anugerah Grammy, Michael Bolton, Russel Watson dan Philip Bailey.

"Saya sudah memiliki apa yang orang lain ada, dan kelima-lima penghibur yang saya pilih untuk datang ke Kuala Lumpur ini adalah antara lima keajaiban yang saya miliki. Memandangkan saya tidak boleh menyanyi maka saya perlukan mereka untuk konsert ini," ujarnya pada sidang akhbar di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah David: "Saya sangat ketagih terhadap vokal hebat seperti yang dimiliki mereka dan semakin dalam saya gali semakin banyak yang saya temui dalam diri mereka."

Ada perspektif tersendiri terhadap Malaysia dan David juga katanya masih belum puas bertamu di negara ini.

"Tujuh belas tahun lalu saya pernah berkunjung ke sini (Malaysia) dan peluang ini akhirnya datang sekali lagi, saya akui banyak perubahan telah berlaku. Apapun, tempat ini sangat cantik dan eksotik, kalau diberikan pilihan sekali lagi sudah tentu saya tidak akan menolak," bicara penulis muzikal Broadway, Betty Boop itu.

Pujian yang diberikan komposer dan barisan penyanyi ajaibnya yang dibawa oleh JAG Concerts and Events dan dipersembahkan oleh Enrich Malaysia Airlines nyata diterjemahkan dengan indah pada malam konsert berlangsung.


DARI KANAN: Ashanti, Philip Bailey, dan Russell Watson sedang memperdengarkan vokal emas masing-masing di pentas persembahan.


Bertemankan piano, David memetik melodi-melodi indah, malah akrab dengan pemuja lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan dengan baik oleh lima penyanyi ajaibnya iaitu Charice, Russell Watson, Ashanti, Michael Bolton dan Philip Bailey.

Konsert yang dimulakan dengan lagu St. Elmos Fire, lagu runut bunyi yang dihasilkan pada tahun 1985 itu kemudian bagai dihujani deretan lagu lain yang sememangnya menjadi siulan seluruh dunia.

Antaranya ialah Unbreak My Heart, Power of Love, Because We Believe, Volare, You Raise Me Up, Fantasy, Always On Time, I Have Nothing dan I Will Always Love You.

Satu-satunya penyanyi Malaysia yang terpilih berkongsi pentas dengan penyanyi antarabangsa iaitu Dayang Nurfaizah telah menerima pujian yang cukup impresif kerana kredibilitinya yang tidak sedikit.

Konsert ditutup dengan sebuah lagu tribute untuk penyanyi terkenal Michael Jackson iaitu Earth Song dinyanyikan oleh kesemua penyanyi yang hadir di konsert ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Kejutan Maharaja Lawak Mega

Posted:

Kejutan Maharaja Lawak Mega

Kejutan Maharaja Lawak Mega

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


AFDLIN SHAUKI dan Harun Salim Bachik yang turut menyertai Maharaja Lawak Mega bakal menjadikan percubaan untuk merebut gelaran juara agak sengit.


MENYELITKAN elemen kejutan dalam sesebuah rancangan realiti TV dilihat antara langkah paling berkesan untuk menarik minat penonton serta mampu menaikkan lagi rating rancangan sebegitu.

Oleh yang demikian, rancangan Maharaja Lawak Mega yang menampilkan pelawak-pelawak otai dari tiga buah negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah melakukan satu kejutan menarik biarpun baru minggu pertama disiarkan.

Siapa sangka pihak Astro telah melantik tiga orang juri tetap yang bukan terdiri daripada pelawak profesional, sebaliknya mereka yang dilantik sebagai juri adalah penyanyi, chef dan pemain bola sepak terkenal.

Antara tiga orang juri tetap yang dilantik adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan legenda bola Malaysia, Zainal Abidin Hassan.

Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani yang ditemui selepas rancangan tersebut berakhir berkata, memang daripada awal lagi pihaknya inginkan juri yang bukan terdiri daripada pelawak sendiri.

"Kalau kita memilih pelawak sebagai juri tetap, rasanya ia bukanlah satu tindakan yang tepat kerana mungkin ada di kalangan peserta yang bertanding adalah rakan baik dengan juri yang dilantik.

"Jadi kami merasakan adalah lebih baik sekiranya ketiga-tiga juri tetap ini adalah daripada bidang yang langsung tidak kena mengena dan komen yang diberikan adalah pandangan sebagai seorang penonton," jelasnya.

Ditanya tentang pemilihan Siti, Chef Wan dan Zainal Abidin sebagai juri tetap Maharaja Lawak Mega, Nizam menganggap ia adalah sebagai satu tarikan istimewa memandangkan ketiga-tiganya memang terkenal dalam bidang masing-masing.

Jelasnya lagi, dengan persetujuan yang diberikan oleh mereka untuk menjadi juri, ia dilihat sebagai satu penghormatan yang tertinggi serta mampu menarik minat lebih ramai penonton untuk menonton rancangan tersebut.

"Dengan melantik mereka sebagai juri tetap, ini bermakna mereka perlu memberi komitmen selama 10 minggu rancangan ini disiarkan. Sedangkan kita tahu mereka sendiri turut mempunyai jadual yang cukup ketat.


BARISAN pelawak-pelawak otai tiga negara yang bakal bersaing menerusi Maharaja Lawak Mega.


"Misalnya, Datuk Siti Nurhaliza sendiri sebenarnya perlu membuat satu persembahan di tempat lain pada salah satu minggu. Namun, setelah perbincangan dibuat akhirnya jadual persembahan tersebut telah diubah dan beliau akan terus bersama Maharaja Lawak Mega sepanjang siaran ini berlangsung," ujarnya.

Menurut Nizam lagi, selain ketiga-tiga juri tetap yang dilantik itu, pihak Astro akan turut mengundang seorang juri jemputan setiap minggu sama ada dari Singapura atau Indonesia.

Sementara itu, Siti menjelaskan dia menerima tawaran untuk menjadi juri tetap adalah disebabkan dia merupakan salah seorang peminat setia rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak serta sering menantikannya pada setiap minggu.

Ujarnya, dia memang gemar dengan sesebuah rancangan yang menghiburkan dan menganggap kedua-dua rancangan tersebut telah mewujudkan satu fenomena dalam dunia komedi tempatan.

"Pada mulanya saya memang terkejut apabila ditawarkan untuk menjadi juri tetap dan tidak yakin dapat memberikan komen yang baik. Namun, setelah diterangkan oleh pihak Astro barulah saya menerima tawaran berkenaan.

"Bagaimanapun, saya tidak menganggap pemilihan saya semata-mata mahu menaikkan lagi rating kerana rancangan ini sebenarnya sudah pun mempunyai peminat yang cukup ramai termasuk saya," ujarnya.

Seorang lagi juri iaitu Chef Wan pula menjelaskan dia sebenarnya adalah peminat setia rancangan komedi. Malah, dia kerap mengikuti pelbagai rancangan komedi luar negara.

"Memang komedi adalah bukan bidang saya, tetapi setiap komen yang saya berikan adalah berdasarakan kepada pengalaman saya sebagai penonton yang memang kerap menonton rancangan komedi sejak dahulu lagi.

"Pada masa yang sama, saya sangat mengharapkan agar kesemua peserta yang bersaing dalam rancangan ini dalam mempersembahkan satu bentuk komedi yang unik dan mampu menghiburkan penonton," ujarnya.

Tiada penyingkiran

Memandangkan rancangan tersebut baru minggu pertama disiarkan, maka pihak Astro telah membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang penyingkiran dan semua peserta akan kembali bersaing untuk minggu seterusnya.

Kesemua 17 peserta yang beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega rata-ratanya telah membuat satu persembahan yang cukup menarik termasuklah peserta dari Singapura dan Indonesia.

Bagaimanapun, kumpulan yang Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik paling mencuri tumpuan sehingga mendapat peratusan yang tertinggi daripada juri dan penonton.

Begitu juga dengan dua peserta solo iaitu Jalil Hamid dan Adlin Aman Ramli yang berada di tangga kedudukan 10 terbaik, manakala kumpulan Bawel dari Indonesia pula menjadi peserta luar negara yang berada di tangga teratas iaitu di kedudukan kelima.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved