Ahad, 11 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Teknologi cetus dodol 13 perisa

Posted:

Teknologi cetus dodol 13 perisa

Teknologi cetus dodol 13 perisa

Oleh ALIF ABU BAKAR

DALAM kesibukan menyediakan hidangan ketupat, rendang dan kuih-muih, makanan tradisi seperti dodol tidak sekali-kali dilupakan sebagai pelengkap juadah pada Aidilfitri.

Jika dahulu, proses membuat dodol memerlukan tenaga manusia mengacau selama 18 jam, kini dengan menggunakan mesin khas, ia boleh disediakan dalam tempoh 13 jam sahaja.

Malah menariknya, dodol yang kebiasaannya hadir dalam perisa asli (gula Melaka) dan durian kini juga boleh didapati dalam 11 perisa lain.

Siapa sangka, inovasi tersebut dicipta sendiri oleh anak tempatan yang pada awalnya hanya menjalankan perniagaan dodol asli, durian dan wajik sirat sahaja.

Namun, selepas 12 tahun menceburkan diri dalam dunia perniagaan dodol, Ideris Zainudin, 47, telah menghasilkan 11 jenis dodol baharu melengkapkan kesemua 13 jenis perisa dodol keluarannya.

Mungkin mentaliti masyarakat Malaysia masih belum bersedia menerima pembaharuan ke atas makanan tradisi terutama dodol yang sudah kerap dibuat secara manual.

"Sesetengah orang bimbang kualiti dodol moden ini tidak setanding dengan dodol tradisional kerana penggunaan mesin serta teknik pembuatannya sedikit berbeza. Rasa dan aroma dodol moden ini juga sering dipertikai dan dibandingkan dengan dodol tradisional, tetapi persepsi itu sebenarnya tidak benar.

"Dodol yang saya hasilkan adalah lebih berkualiti dan lebih baik daripada dodol tradisional," jelas Ideris yang menjalankan perniagaannya di Kampung Kandang, Melaka.


DODOL moden hanya mengambil masa 13 jam untuk disiapkan.


Bahan segar

Bagi memastikan kualiti dodolnya terjamin, Ideris hanya menggunakan santan segar. Malah, santan yang disimpan di dalam peti ais, akan diperiksa terlebih dahulu dengan teliti sebelum digunakan,

Sekiranya santan tersebut mempunyai dua lapisan setelah dikeluarkan, secara automatik ia tidak akan digunakan kerana santan tersebut telah tercampur dengan air.

Kelebihan dodol yang dibuat menggunakan mesin itu juga adalah proses mengacau selama 13 jam akan berterusan tanpa henti. Ia adalah proses yang agak sukar dilakukan kerana penghasilan dodol menggunakan cara tradisional menggunakan kudrat manusia mungkin menyebabkan dodol tidak sebati.

Kawalan api juga dijaga dengan teliti serta proses penyejukan selama 48 jam juga penting bagi menghasilkan dodol berkualiti tinggi.

Dengan tujuh mesin pengacau dodol di kedainya, penyediaan dodol menjadi lebih produktif kerana dalam satu hari Ideris mampu menghasilkan 420 kilogram (kg) dodol.

"Sambutan terhadap dodol moden ini semakin meningkat dan tempahan banyak diterima daripada mereka yang menetap di bandar. Selain tempahan berbentuk peribadi, saya juga banyak menyediakan dodol untuk majlis syarikat korporat dan majlis perkahwinan.

"Musim perayaan merupakan masa paling genting bagi perniagaan saya kerana tempahan yang terlalu banyak membuatkan beberapa tempahan terpaksa ditolak," ujarnya yang menyatakan dodol asli dan wajik sirat merupakan pilihan popular dalam kalangan pelanggannya.


DALAM masa 12 tahun, Ideris bukan sahaja berjaya menghasilkan 13 jenis perisa dodol malah, mengedarnya ke pelbagai negara.


Dodol 13 perisa

Menyentuh aspek inovasi dodol pelbagai perisa yang dijalankan Ideris, idea asal tercetus selepas lawatannya ke Thailand mendapati wujudnya dodol pelbagai warna namun, masih kekal dengan perisa asli.

Bermula daripada saat itu, Ideris berfikir tentang keupayaan dodol pelbagai perisa dan nekad memulakan eksperimen awalnya bersama-sama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Hasilnya, kerjasama itu berjaya melahirkan dodol berperisa jagung, pandan, strawberi dan mangga yang secara tidak langsung menjadi titik tolak buat Ideris meneruskan kajian ke atas potensi dodol perisa lain.

Tohmahan serta lontaran kata-kata tidak siuman terhadapnya tidak sekali-kali melemahkan semangat lelaki itu untuk terus maju menghasilkan dodol perisa cappucino dan durian.

"Pada mulanya ramai orang menganggap saya gila kerana cuba menghasilkan dodol pelbagai perisa dan warna kerana tanggapan orang bahawa makanan tradisi ini tidak boleh berkembang.

"Tetapi kini dodol asli saya juga mempunyai empat jenis iaitu dodol asli iaitu dodol asli badam, gajus, kurma dan kismis. Saya telah buktikan bahawa ia tidak mustahil dilakukan."

Isteri kepada Ideris, Fozaiah Sabtu, 44, yang juga merupakan antara orang kuat perniagaan dodol itu memberitahu, dodol pelbagai perisa tersebut juga kini mendapat sambutan pelanggan luar negara.


DODOL Ideris hanya menggunakan santan segar bagi menjaga kelazatan dan kualiti rasanya.


"Dodol asli yang mengandungi kacang-kacang akan dibeli pelanggan-pelanggan dari Timur Tengah, manakala dodol-dodol perisa lain pula dihantar ke Singapura, Brunei dan China.

"Boleh dikatakan penerimaan orang ramai terhadap dodol pelbagai perisa ini berada pada tahap 60 peratus dan semakin lama ia semakin meningkat. Tidak lama lagi, kita akan mengeluarkan dodol perisa baharu iaitu dodol berperisa coklat, epal dan durian belanda," ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.

Teknik pembungkusan

Keghairahan mencipta dodol pelbagai perisa tidak bermaksud aspek-aspek lain dipandang ringan terutama teknik pembungkusan.

Tambah Fozaiah, pembungkusan dodol menggunakan daun upih serta bakul tampin turut dilakukan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Dodol bakul tampin didatangkan dalam tiga saiz berbeza iaitu 350 gram (g), 400 g dan 500g. Selalunya ia disediakan bagi majlis pertunangan dan perkahwinan.

Seorang pekerja Ideris yang ditemui, Saidah Samsuri, 41, menyatakan pembungkusan untuk majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan memerlukan ketelitian serta kreativiti tinggi.

"Sebagai contoh hantaran perkahwinan, pelanggan akan datang dengan barangan perhiasan untuk hantaran tersebut dan cara dodol itu dibungkus akan dilakukan oleh kami di sini.

"Dekorasi dan persembahan dodol itu juga menjadi tanggungjawab kami agar hantaran tersebut tampak menarik," katanya yang telah dua tahun berkhidmat dengan perniagaan Ideris.

Bagi pembungkusan biasa, ia akan dibalut dengan plastik berbentuk segi tiga. Proses tersebut akan dilaksanakan oleh 40 orang suri rumah di kawasan kampung tersebut.

Saidah memberitahu, setiap suri rumah akan dibekalkan dengan 26 kg dodol dan kebiasaannya akan disiapkan dalam tempoh kurang daripada dua hari.

Kubur 'mangsa' projek pembangunan

Posted:

Kubur 'mangsa' projek pembangunan

Kubur 'mangsa' projek pembangunan


SEORANG lelaki berjalan melewati kawasan perkuburan tertua Singapura, Bukit Brown, yang sedang 'diancam' pembangunan.


TANAH perkuburan tertua di Singapura, Bukit Brown kini berdepan kemungkinan dibongkar semula bagi memberi laluan kepada pembinaan apartmen untuk kediaman penduduk republik itu.

Dengan kepadatan sebanyak 7,126 penduduk bagi setiap kilometer persegi, Singapura nyata tidak mempunyai pilihan selain menghapuskan tanah perkuburan lama untuk mendirikan kediaman buat warganya.

Berkeluasan 86 hektar, Bukit Brown merupakan kawasan pedagang-pedagang awal China disemadikan. Atas sebab itu, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan pengekalan tanah perkuburan tersebut.

"Bukit Brown merupakan tempat persemadian kaum Cina tertua di Singapura dan alasan itu sudah cukup kuat untuk ia dikekalkan.

"Kubur bukan bertujuan untuk pengebumian sahaja malah ia turut menyimpan sejarah serta khazanah negara yang kian dilupakan," ujar Irving Johnson yang bertugas sebagai penolong profesor Kajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura.

Dibuka secara rasmi pada 1922, Bukit Brown dinamakan sempena kedatangan pemilik kapal Inggeris, George Henry Brown ke pulau itu pada tahun 1840.

Sebagai kenyataan balas, Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) menjelaskan bahawa pembangunan termasuk perumahan perlu diutamakan berikutan kesukaran mendapatkan tanah lapang di negara pulau itu.


PUSARA pedagang hebat, Ong Sam Leong ini adalah antara yang sedang diperjuangkan untuk dikekalkan kerana nilai sejarahnya.


Populasi meningkat

Keputusan pembongkaran tanah perkuburan tersebut juga disebabkan populasi penduduk negara yang pernah menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu itu kini mencecah 5 juta orang dengan 74 peratus terdiri daripada etnik Cina.

"Kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang dirasakan bernilai kepada sejarah negara bagi menjamin keselesaan rakyat.

"Pembongkaran kubur-kubur lama yang tidak lagi digunakan ini membolehkan kita menggunakan tapak tersebut bagi menyediakan prasarana dan infrastruktur lebih baik," ujar wakil URA.

Walaupun masih terdapat 60 tanah perkuburan di Singapura, namun hanya satu kawasan menerima pengebumian baharu dan bakinya telah pun ditutup.

Satu-satunya tanah perkuburan yang masih dibuka ialah Kompleks Perkuburan Choa Chu Kang yang terletak di utara pinggir bandar Singapura.

Jangka hayat setiap kubur di situ pula hanya 15 tahun sebelum ia dibongkar semula dan diuruskan mengikut syarat agama masing-masing.

Rangka-rangka mayat tersebut akan dibakar dan abu tersebut akan disimpan di rumah keluarga waris atau ditebarkan ke laut.

Bagi agama yang memerlukan pengebumian semula seperti Islam, ia akan ditanam semula dengan saiz kecil di Choa Chua Kang bagi menjimatkan ruang.

Media tempatan Singapura memberitahu, terdapat 229 tapak tanah perkuburan pada 1952 tetapi jumlah itu semakin berkurang disebabkan pembangunan dan pembinaan jalan.

Pusat beli-belah terkemuka di Orchard Road, kompleks Ngee Ann City yang menjadi pusat jenama mewah dunia seperti Chanel dan Louis Vuitton juga dibina atas tapak tanah perkuburan.

Pihak yang menentang pembangunan di Bukit Brown berkata, kawasan yang kaya dengan sejarah itu perlu dikekalkan kerana ia antara tinggalan berharga buat generasi akan datang.

"Jika ia tidak dipelihara, generasi masa depan tidak akan mengenali sejarah dan pengetahuan mereka terhadap asal-usul mereka juga kabur," luah pihak terbabit.


PROJEK rumah banglo persendirian ini terletak bersebelahan dengan tapak tanah perkuburan Bukit Brown.


Perkara ajaib kelapan

Kumpulan sokongan warisan, Singapore Heritage Society (SHS) pula tampil memberi kenyataan menerusi sebuah buku berjudul Space Of The Dead: A Case From The Living yang diterbitkan pada Mei lalu.

Presiden SHS, Kevin Tan dalam tulisannya menyatakan pemusnahan tanah-tanah perkuburan dalam tempoh 40 tahun itu amat mendukacitakan.

"Kita tahu pembangunan itu tetap akan berlaku, tetapi inisiatif yang boleh dilakukan mereka adalah mengekalkan beberapa perkuburan yang berharga buat negara," jelas Kevin.

Antara pusara yang perlu dikekalkan adalah milik Ong Sam Leong, pedagang hebat yang mati pada 1918 dan isterinya yang disemadikan bersebelahan pusaranya pada tahun 1953.

Rasional kubur individu kebanggaan warga Singapura itu dipulihara adalah kerana rekaan serta perincian pusara tersebut adalah satu-satunya yang tinggal di republik itu.

Dua patung batu pengawal India Sikh bersaiz manusia yang memegang senapang sebenar dibina di hadapan pusara tersebut manakala batu nisan kubur itu pula dikelilingi parit kecil.

"Kami menggelar kubur ini sebagai perkara ajaib kelapan di Singapura dan ia amat istimewa," kata pengkaji paranormal Asia, Raymond Goh. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved