Kosmo Online - Varia |
Wanita pekerja kilang roti Libya Posted: Wanita pekerja kilang roti LibyaRATA-RATA wanita yang bekerja di kilang roti di Libya bertujuan membantu keluarga. SAMA ada perang saudara atau tidak, setiap tahun bulan penuh keberkatan dalam Islam, Ramadan harus dihormati. Di kubu kuat pemberontak Libya, Benghazi wanita pembakar roti akan bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan sepanjang bulan tersebut. Berpuluh-puluh wanita menguli doh bagi membentuk acuan, membuat manisan dan pai masin di kilang roti ikonik, al-Harabi tanpa rasa gentar dengan konflik yang berlaku, suhu panas terik dan bajet yang terhad. Ramadan merupakan bulan yang mewajibkan seluruh penganut agama Islam berpuasa. Mereka bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang bermula terbitnya fajar subuh hingga terbenamnya matahari. Sepanjang bulan tersebut, kaum keluarga akan berkumpul untuk berbuka puasa bersama dengan pelbagai hidangan istimewa termasuklah pai keju dan buah zaitun serta manisan. Bagaimanapun, revolusi yang dilancarkan pada bulan Februari lalu untuk menjatuhkan Presiden Libya, Muammar Gadhafi telah menghuru-harakan kehidupan rakyat di negara tersebut. Ramai dalam kalangan kaum lelaki yang juga pencari nafkah untuk menyara keluarga kehilangan pekerjaan apabila universiti dan sekolah terpaksa ditutup, perniagaan rugi dan banyak rumah yang musnah akibat situasi tersebut. Keadaan itu menyebabkan para isteri dan wanita keluar rumah untuk mencari sumber pendapatan. Ironinya, al-Harabi menjadi tempat untuk mereka mencari rezeki. "Kami tiada wang tetapi saya mempunyai banyak masa lapang. Jadi, saya mula bekerja mengadun roti di sini," kata Iman al-Jihani, 22, seorang pelajar jurusan perubatan yang juga merupakan sukarelawan selama dua kali seminggu di Jabatan Pembedahan Hospital al-Jalaa di Benghazi. Di kedai roti itu, dia memperoleh pendapatan sebanyak 275 dinar Libya sebulan iaitu kira-kira AS$230 (RM679) yang dibayar tepat pada masanya. Tidak seperti gaji ayahnya yang bekerja sebagai anggota polis sering dibayar lewat. Pendapatan Jihani sedikit sebanyak dapat membantu menyara kehidupan lima ahli keluarganya. Bagi Ghada Ali, 20, pula bekerja di kilang roti itu dapat meneruskan survival dalam kehidupan. Ayah dan dua abangnya sedang berjuang di wilayah Brega dan Misrata, meninggalkan dirinya untuk menjaga ibu yang sedang sakit dan tiga adik perempuannya. MENCARI rezeki di Libya kini menjadi tanggungjawab wanita selepas revolusi berlaku di negara itu. Perniagaan menguntungkan "Kini, saya bertanggungjawab terhadap segala-galanya termasuklah sewa rumah. Setiap masa saya sentiasa memikirkan keselamatan mereka," ujar Ali sambil menguli dengan penuh ketakutan dan hanya berhenti untuk mengelap peluh dan air mata pada mukanya. Dalam keadaan negara itu aman, perniagaan kedai roti itu sangat berjaya dan menguntungkan. Ia mula dibuka pada tahun 2006 dengan hanya empat wanita pembakar roti. Sekarang terdapat kira-kira 70 pekerja wanita bekerja di kilang setinggi tiga tingkat itu. "Menyediakan manisan adalah kepakaran kaum wanita," tutur Selma Abdelsalam, 50, sambil membalut kurma Tunisia di dalam doh. Kilang roti tersebut menjual sekurang-kurangnya 100 jenis manisan di kawasan bebas perang sehingga ke timur di wilayah Tobruk berhampiran sempadan Mesir dan ke selatan di Kufra berhampiran sempadan Chad. "Kini, kami telah menghasilkan biskut dengan warna-warni revolusi untuk meraikan kebebasan Libya," beritahu Wisha Ibrahim yang telah bekerja di kilang roti tersebut sejak ia mula dibuka. Tambahnya, kadang-kadang, kilang itu akan menghantar manisan kepada pejuang barisan hadapan agar mereka dapat merasai keenakan makanan seperti di rumah. Dengan ketibaan Ramadan, semua pekerja wanita berharap untuk melihat peningkatan terhadap permintaan manisan dan roti masin serta pastri istimewa menjelang Aidilfitri. Tetapi, pemilik kilang roti itu, Mohammed al-Harabi bimbang pengurangan terhadap permintaan tahun ini disebabkan kekurangan aliran tunai dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. "Masalahnya ialah wang. Rakyat tidak mempunyai pendapatan dan ini menyebabkan mereka lewat dalam pembayaran," katanya. - AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: Ambeng bertemu patin tempoyakHIDANGAN nasi ambeng dengan lauk-pauk pelengkap begitu menyelerakan. BAYANGKAN jalinan rasa gulai tradisi Melayu saat ia dimakan bersama kerabu yang harum dengan aroma hirisan bunga kantan dan kelapa parut segar. Itu belum lagi merasa gulai lemak patin tempoyak yang seimbang rasa manis dan pedasnya. Gabungan itu mencetuskan pengalaman hebat buat mereka yang kali pertama mencubanya! Semua itu bakal dinikmati sekiranya anda memilih untuk berbuka puasa di D'River Cafe, Riverstone Eco Resort (RER) di Ulu Yam, Selangor. Keindahan suasana rimba dan landskap pinggir sungai menjadikan lokasi tersebut tumpuan penggemar ramai setiap kali tibanya Ramadan. "Kami meneruskan tarikan iftar tahun ini dengan menawarkan lebih 40 jenis hidangan kampung dan juga tradisional Jawa," ujar Pengurus RER, Hamidah Asararuddin. Signatur RER Menurutnya, selain patin tempoyaknya yang popular, pelanggan restorannya kali ini diraikan dengan beberapa menu utama seperti pecel Mbah Wedok, ayam panggang Wak Kenny, daging semur Mbah Lanang dan ikan asam pedas. Turut menjadi 'bintang' di meja bufet adalah nasi ambeng Selabak yang merupakan signatur baharu di RER. Nasi putih panas beralas daun pisang sememangnya bertambah lazat dimakan bersama ayam masak kicap, sambal goreng, serunding kelapa, mi goreng dan ikan masin. D'RIVER CAFE terkenal dengan sajian gulai lemak patin tempoyak dengan tahap kepedasan sederhana. Bagi yang menenangkan jiwa dengan menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu di surau terbuka dekat lereng bukit berlandskap hutan di situ, tidak salah kalau terus kembali ke restoran bagi menyambung tuntutan selera. "Pelanggan juga perlu mencuba laksa Teluk Intan sebagai hidangan sampingan. Mulai minggu kedua, tetamu kami diraikan dengan sajian kambing panggang setiap hari Isnin hingga Khamis sementara minuman wedang serey pula boleh didapati pada hari Jumaat hingga Ahad," ujar Hamidah. Wedang serey ialah minuman herba istimewa yang menggabungkan rasa eksotik serai, halia, kayu manis dan gula melaka. Ia mampu menyegarkan tubuh apabila diminum panas. Bagi yang meminati pencuci mulut pula, kolak pisang, bubur pulut hitam, sago gula melaka menjadi taruhan RER selain kuih-muih tempatan lain. Di RER, anda mungkin mahu merasai keunikan nasi ambeng dan kelazatan patin tempoyaknya secara berasingan. Mungkin juga, ada yang ingin mengejutkan tunas rasa dengan menikmati kedua-duanya secara serentak dalam satu pinggan. Nasi ambeng bertemu patin tempoyak, apa salahnya? - HAMZAH ABDUL HAMID Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan