Ahad, 7 Ogos 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Kemunculan model Muslimah

Posted:

Kemunculan model Muslimah

Kemunculan model Muslimah

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF



MEREKA sama manis dan sama padan. Meskipun hadir dengan sepersalinan busana kasual dan tanpa secalit solekan, namun kedua-dua wanita ini masih kelihatan menawan.

Sementara menadah wajah untuk dirias jurusolek, Norlizawaty Baharin, 27, dan Fefen Yara Syuhada Suhaimi, 21, tidak henti-henti berceloteh tentang perihal bidang modeling yang baru diterokai mereka.

Walaupun pengalaman kedua-duanya belumpun mencecah empat tahun, ternyata mereka berdua memiliki persamaan ketara iaitu ingin berjaya dalam bidang peragaan khususnya fesyen Muslimah moden dan kontemporari.

"Jika dihitung, tahun ini genap empat tahun saya menceburkan diri dalam bidang peragaan. Pada mulanya, ia sekadar suka-suka kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu. Namun, saya tidak menyangka niat itu telah menyemai minat dan mendorong saya untuk lebih serius dalam bidang ini.

"Lazimnya, aktiviti sesi fotografi ataupun pertunjukan fesyen saya lakukan pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan pada sebelah petang saja memandangkan pada sebelah siang saya sibuk mengajar di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya," tutur Norlizawaty atau mesra disapa Liza yang kini mengajar subjek sains dan matematik.

Dia yang pernah bekerjasama dengan pereka tempatan popular Hatta Dolmat bagi koleksi fesyen Kasyaf 2010 dan pernah memenangi tempat kedua Pencarian Model Tudung Fareeda 2010, penglibatannya dalam dunia modeling bukan untuk meraih populariti atau glamor tetapi ia merupakan inisiatif membantu para pembaca khususnya wanita Muslimah.

"Tidak dinafikan, segelintir wanita bertudung masih ragu-ragu untuk bergaya dengan koleksi fesyen moden kerana bimbang ia bertentangan dengan fesyen Muslimah.

"Walaupun pereka fesyen atau pemilik butik telah mempamerkan contoh pemakaian pada boneka model tetapi persepsi mereka tetap sama bahawa fesyen tersebut hanya cantik di badan boneka," katanya.

Maka, menurut Liza, di situlah peranan model mengambil tempat. Golongan model mampu membantu menggayakan dan 'menjual' pakaian yang diperagakan sebaik mungkin.

"Secara tidak langsung, ia memberi idea fesyen kepada pembaca agar mereka melangkah dengan penuh yakin," kata Liza yang sentiasa menitikberatkan busana yang dipakai tidak mencalar imejnya sebagai seorang Muslimah dan pendidik.

Dalam pada itu, Liza yang anggun memakai koleksi tudung jenama House of Fareeda, gembira kerana kehadiran model Muslimah semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggiat fesyen.

Jika sebelum ini, sesetengah pihak terpaksa menggunakan khidmat model yang tidak bertudung untuk mempromosi pakaian Muslimah tetapi kini tidak lagi.

Penjagaan wajah


NORLIZAWATY (kiri) sewaktu memenangi tempat kedua pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda 2010.


Menyentuh mengenai rejim kecantikan, pemenang tempat ketiga Pencarian Wajah majalah Nur dan Juara Wanita pilihan sebuah akhbar itu memberitahu meskipun kulit wajahnya tidak mempunyai masalah jerawat ataupun berminyak tetapi dia tetap mengamalkan penjagaan wajah secara sistematik.

Anak sulung daripada enam orang adik-beradik itu sentiasa memastikan wajah mulusnya itu dilapisi krim pelindung sinaran Ultra Violet (UV) dan krim pelembap sebelum keluar rumah.

Sebelum tidur pula, dia akan mencuci wajah bagi menanggalkan kotoran dan solekan. Seterusnya, dia akan menyapu krim malam.

"Bukan saja wajah malah penjagaan kulit badan juga saya beri perhatian memandangkan kini saya sedang hamil tujuh bulan. Selain mengambil pil tambahan dan vitamin untuk kesihatan diri dan kandungan, saya turut mengamalkan menyapu minyak Bio Oil di pinggang, perut, betis dan lengan tangan.

"Produk ini bukan saja pencegah kesan parut dan merekah malah mengurangkan gatal-gatal kulit akibat kehamilan. Lebih menggembirakan, minyak ini turut menghilangkan parit-parut lama dan mengatasi masalah jerawat," jelas Liza.

Gelombang fesyen Muslimah

Berbicara mengenai fesyen Muslimah pada hari ini, Fefen Yara Syuhada atau mesra disapa Fifie, menyifatkan wanita bertudung kini berpeluang tampil ranggi dan moden. Dia melihat gelombang fesyen Muslimah di Malaysia semakin positif.

"Sebelum ini saya melihat pasaran fesyen tempatan bagaikan berat sebelah. Kebanyakan konsep pakaian yang trendy, urban dan chic hanya buat wanita yang tidak bertudung.

"Fesyen wanita bertudung pula seolah-olah dipinggirkan kerana beberapa pihak masih dibelenggu persepsi stereotaip bahawa pakaian untuk wanita Muslimah hanya terhad pada baju potongan longgar dan warna gelap serta jubah hitam atau baju kurung.

"Padahal, kami juga mempunyai keinginan menyarungkan seleksi fesyen terbaharu yang stailo," luah Fifie yang mula bertudung pada usia 10 tahun atas dorongan ahli keluarga.

Kini, Fifie yang pernah menghiasi iklan jenama Sendayu Tinggi dan menjayakan pertunjukan fesyen Festival Pengantin Shah Alam serta Malaysia Agrikultur, Hortikultur dan Agro (Maha) Pelancongan Belia, mampu menarik nafas lega.

Dia yang baru dua tahun melibatkan diri dalam bidang modeling, memuji kesungguhan kumpulan pereka fesyen dan pengasas butik Muslimah yang sentiasa berusaha menawarkan fesyen wanita bertudung yang menarik.


NORLIZAWATY (duduk) dan Fifie mula menggorak langkah dalam dunia fesyen Muslimah.


Antaranya adalah variasi blaus yang hadir dalam potongan moden, rona terang dan kontra serta perincian menawan.

Lebih mengujakan, helaian blaus turut dihasilkan menggunakan fabrik motif flora, polka dot, cetakan abstrak dan berjalur berbanding fabrik polos. Selain ideal digayakan bersama seluar palazo atau seluar jean potongan tirus, blaus Muslimah moden tampak serasi dengan padanan skirt labuh.

"Hari ini, lambakan fesyen Muslimah semakin berkembang dan secara tidak langsung ia mengajak wanita bertudung agar berani bereksperimen dengan penampilan peribadi.

"Asalkan, kita tidak menjadi mangsa fesyen dan tersasar daripada niat asal untuk menutup aurat," jelasnya.

Fifie turut memuji penampilan personaliti televisyen, Farrah Adeeba. Biarpun bertudung, Farrah dilihat bijak bergaya dengan pelbagai busana dan tudung menarik.

"Dia antara ikon fesyen yang mencetuskan trend fesyen Muslimah moden dan anak tudung berlapi rona terang," jelas Fifie yang merupakan penuntut Diploma Pengurusan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan berkhidmat sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta.

Tambah pencinta novel itu, model dan setiuasaha merupakan dua cabang karier yang berbeza dari segi cabaran dan skop kerja. Namun kedua-dua bidang ini memerlukan saya menitikberatkan aspek penampilan.

"Bahagian wajah tidak wajar dibiarkan kusam. Sekurang-kurangnya, saya mengaplikasi solekan ringkas," kata Fifie.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Khaki pilihan jejaka moden

Posted:

Khaki pilihan jejaka moden

Khaki pilihan jejaka moden


POTONGAN seluar khaki hijau kusam gaya tentera berpotongan sendat meningkatkan aura maskulin.


LUPAKAN seketika seluar jean kegemaran kerana jenama antarabangsa Dockers menawarkan sesuatu yang istimewa. Bagi golongan jejaka tempatan yang menyukai konsep fesyen kasual dan santai jangan ketinggalan mengunjungi butik Dockers untuk memiliki seleksi seluar khaki terbaharu koleksi Alpha Khaki.

Mula memperkenalkan koleksi seluar khaki di pasaran fesyen San Francisco, Amerika Syarikat (AS), pada tahun 1986, populariti jenama berkenaan semakin memuncak dan menjadi pilihan golongan jejaka. Lebih membanggakan, jenama Dockers telah melebarkan empayar butiknya di serata negara termasuklah di Malaysia.

Biarpun menyedari pengaruh seluar jean mendominasi kelompok lelaki di seluruh dunia, Dockers tetap teguh memasarkan koleksi seluar khaki yang merupakan signatur utama jenama itu. Ini disebabkan seluar khaki sesuai disarungkan oleh kelompok lelaki di negara sejuk ataupun cuaca panas dan lembap.

Lagipun pada hari ini, seluar khaki bukan sekadar item fesyen untuk digayakan sewaktu bersantai atau mengembara malah ideal dipakai ke acara semi formal.

Seluar berpotongan ringkas dengan ukuran panjangnya sehingga ke paras buku lali sememangnya membantu menyerlahkan penampilan segak si jejaka.


POKET yang dijahit kemas pada bahagian sisi memberi kelebihan pada pemakainya.


Menyorot sejarah kemunculan khaki atau khak dalam bahasa Parsi yang bermaksud berdebu, khaki pada asalnya ialah sejenis kain tebal berwarna kuning tua atau kuning gelap yang digunakan untuk membuat pakaian seragam polis atau tentera.

Sifat fabrik khaki yang tahan lasak dan berkualiti nampaknya telah memikat hati jenama Dockers untuk menghasilkan koleksi seluar yang bermutu.

"Seluar khaki jenama kami sudah lebih dua dekad di pasaran. Justeru, bagi mengelakkan pembeli bosan dengan koleksi sedia ada, maka para pereka kami sentiasa berusaha menghasilkan seluar khaki mengikut trend fesyen terkini.

"Buktinya koleksi terbaharu Alpha Khaki ini hadir dalam rekaan moden dan siluet bergaris serta potongan tirus yang sesuai dipakai ke pejabat, kuliah ataupun bersantai," jelas Pengarah Jenama Dockers Asean, Bobet Romualdo.


IMEJ tradisi khaki kini diberi sentuhan kontemporari yang bergaya melalui pilihan warna biru lembut dan merah.


Lebih menarik, seluar khaki Alpha Khaki Dockers tidak terhad pada warna kelabu dan abu-abu kuning. Para jejaka kini berpeluang bergaya dengan rona krim, biru gelap, merah, biru lembut, hijau lumut dan coklat tanah.

Selain menggayakan seluar Alpha Khaki bersama kemeja lengan panjang, ia juga sesuai dipadankan dengan baju-T dan jaket yang mengikut potongan badan. - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved