Ahad, 10 Julai 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Sama cantik sama bergaya

Posted:

Sama cantik sama bergaya

Sama cantik sama bergaya

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmol.com.my



MEREKA sama cantik dan sama menawan. Kejelitaan yang dimiliki terserlah dengan rambut ikal mayang dan panjang mengurai. Apatah lagi diserikan kuntuman senyuman yang kerap singgah di bibir mungil mereka.

Memiliki kulit wajah mulus dan cerah pula merupakan bonus terbaik buat pasangan adik-beradik yang bernama Noor Cahaya Ahmad Rashid, 21 dan Noor Qalisha, yang menginjak usia 20 tahun pada 15 Julai ini.

Bagi anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu kecantikan yang dimiliki merupakan anugerah Tuhan yang tinggi nilainya. Seboleh-bolehnya mereka berusaha menjaga anugerah itu sebaik mungkin agar tidak tercela.

"Ibu selalu berpesan kecantikan bukan sahaja dinilai daripada paras rupa tetapi, ia bermula dari hati. Jika hati kita luhur dan bersih maka kecantikan sejati jelas terserlah pada wajah secara natural. Sebab itu, ibu menasihati agar kami menitikberatkan soal keperibadian dan tata rias diri.

"Lazimnya, kami menjalani rawatan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki secara tradisional di rumah. Biasanya ibu yang akan sediakan bahan-bahan yang diperlukan," tutur Noor Cahaya yang mesra disapa Cahaya sambil meletakkan kepingan timun di kelopak mata adiknya, Qalisha.

Petua kecantikan Arab

Dilahirkan dalam keluarga berdarah kacukan Arab, Pakistan dan Afghanistan (sebelah ibu), manakala Pakistan, Melayu dan Bugis (sebelah bapa), secara langsung membuatkan mereka berdua terdedah kepada diet dan rawatan kecantikan tradisional turun-temurun nenek moyang yang berketurunan Arab.

Cahaya yang merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu memberitahu, sejak kecil dia sekeluarga kerap menikmati hidangan pulut kuning yang dimakan begitu saja tanpa juadah sampingan.

"Bagi masyarakat Arab pulut merupakan agen terbaik untuk melembut dan menghaluskan kulit badan. Boleh dikatakan hari-hari kami menjamah pulut kuning. Selain itu, seminggu sekali kami akan lulur badan menggunakan serbuk beras yang dikisar bersama taufu.


QALISHAH mengakui dia peminat tegar sepatu dan aksesori yang unik serta funky.


"Kemudian, ia disusuli pula dengan mandian santan yang bercampur susu. Proses ini bertujuan memudahkan lulur beras tadi meresap ke dalam lapisan bawah kulit," terang Cahaya yang turut mengamalkan mandi bunga dan melumur badan dengan buah tomato.

Menyentuh mengenai rambutnya yang lebat dan bermaya, penuntut jurusan pengurusan perniagaan di Taylor's College, Subang Jaya, Selangor itu memberitahu rahsianya: "Setiap malam sebelum tidur kami menyapu minyak zaitun, balut dengan tuala dan biarkan ia semalaman. Esok pagi bilas dengan air bersih. Amalan ini membantu mengilat dan menguatkan rambut."

Berkongsi cita rasa

Sementara itu, celah Qalisha pula, rahsia mereka mengekalkan rambut sihat adalah dengan cara tidak melakukan sebarang teknik penyambungan, mengerinting, melurus atau mewarna.

"Ayah melarang kami berambut pendek dan mewarnakan rambut. Ini disebabkan bahan kimia yang terkandung dalam pewarna akan merosakkan setiap helaian rambut.

"Jika ibu cenderung pada kecantikan luaran, ayah pula menekan kesihatan dalaman badan. Bergelar chef profesional menyebabkan ayah mementingkan menu makanan yang berkhasiat," jelas Qalishah yang kurang gemar pada makanan manis dan air berkarbonat.

Bicara Qalisha yang juga penyanyi baru di bawah naungan Wake The Baby itu, selain berkongsi petua tradisional dia dan Cahaya turut mempunyai persamaan terutamanya dalam bab stail dan fesyen. Pada masa terluang mereka berdua kerap membeli-belah di gedung Pavilion KL, Suria KLCC ataupun 1Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Memiliki saiz badan yang hampir sama membuatkan mereka berkongsi barangan dan pakaian. Ujar Qalisha: "Jika kakak saya gemar membeli blaus, saya pula membeli pelbagai aksesori. Ini disebabkan saya penggemar tegar aksesori.

"Jika melancong ke luar negara khususnya Dubai, Bahrain dan Abu Dhabi saya tak akan lepaskan peluang membeli koleksi aksesori yang dijual pada harga yang murah, cantik dan unik," jelas Qalishah yang gemar mengumpul sepatu.

Bukan bersandar pada rupa

Dalam pada itu, selebriti Maya Karin Roelcke, 32, juga antara individu bertuah kerana memiliki seorang adik perempuan yang anggun dan bijaksana. Perbezaan jarak usia empat tahun antara Maya dan Irina Melati, sedikit pun tidak menjejaskan hubungan mereka berdua.


SETIAP hujung minggu pasangan adik-beradik ini akan melakukan rawatan secara tradisional di rumah.


"Malah, hubungan kami amat akrab dan mesra bagaikan kembar. Sejak kecil saya cukup mengagumi Maya. Dia bukan saja individu yang baik budi pekerti malah, komited pada kerja dan cantik," jelas Irina yang pernah muncul dalam komersial McDonald's, Avon dan Hazaline.

Berbicara mengenai anak kelahiran Pulau Pinang itu, Irina kini berkhidmat di London sebagai peguam korporat. Meskipun pernah memasang impian untuk menjadi pelakon tetapi, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu terpaksa melupakan hasrat tersebut demi pelajaran.

"Selepas tamat pengajian di Universiti London dalam Ijazah Undang-Undang dan Sijil Amalan Guaman, saya bekerja sebagai kakitangan awam di London sebelum beralih pada kerjaya sekarang.

"Pernah segelintir individu mempersoalkan mengapa perlu bersusah payah belajar sehingga ke luar negara, sedangkan saya boleh memperoleh pendapat dalam bidang modeling dan lakonan. Jawapan saya, kejayaan peribadi bukan hanya terletak pada kecantikan semata-mata sebaliknya ia perlu disusuli dengan ilmu di dada," tegas Irina, 28, yang kini merupakan wajah dan bakat baharu untuk produk kecantikan Revitalift White jenama L'Oreal.

Celah Maya Karin, pelakon filem Cun dan Pisau Cukur itu, dia teruja kerana diberi peluang bergandingan bersama adiknya dalam promosi L'Oreal Paris Revialift White.

"Sebelum ini Irina selalu bertanya bagaimana ingin memiliki kulit wajah cerah sekata dan awet muda. Kini Revitalift White memberikannya jawapan. Krim terbaharu ini bukan sahaja mencerahkan kulit malah melembapkan kulit wajah dalam tempoh yang lama," ujar Maya ketika ditemui Stailo.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kemilau permata inspirasi Taylor

Posted:

Kemilau permata inspirasi Taylor

Kemilau permata inspirasi Taylor


PENGARAH Variante, Leslie Variyan (kanan) memperkenalkan koleksi busana yang fleksibel dan penuh bergaya.


NAMANYA sahaja sudah membangkitkan kenangan masa lalu yang telah hilang. Masa-masa kehidupan glamor Elizabeth Taylor kini dibangkitkan semula label Variante menerusi koleksi terbarunya Diamonds Are Forever yang disuntik dengan elemen klasik dan sofistikated serta ditaburi berlian yang merambangkan mata.

Koleksi kali ini bukan sahaja mewah dengan warna-warna klasik, bahkan ia tampil dengan corak eksotik bersama perincian hiasan berkerawang yang menyerlahkan kelembutan fabrik sifon dan suteranya.

Ia semestinya koleksi klasik yang meraikan kehidupan dan pengaruh yang ditinggalkan oleh Taylor dan penghormatan kepada keindahan gaya feminin.


SELAIN kasual, koleksi Variante turut menawarkan gaun kembang beralun nuansa lembut.


Setiap garis dan lekuk kewanitaannya diraikan Diamond Are Forever menerusi pelbagai batu berliah yang ditatahkan di atas busana yang mencipta perincian kontras seperti merah delima, hijau garland, biru, merah hati, putih jernih dan hitam.

Setiap butir perincian membangkitkan memori hari-hari yang elegan dan meraikan wanita yang tampil dengan perbezaan dan keunikan masing-masing.

Koleksi oleh Variante itu memenuhi cita rasa feminin dan mereka yang cintakan kelembutan yang sensual. Setiap pergerakan dan isyarat pemakainya membayangkan siluet yang tersembunyi.

Busana kaftan dalam rona hijaunya sarat dengan corak liar yang rumit. Dengan butiran kristal yang memperincikan bahagian lengan dan pinggang, ia menyerlahkan lekuk tubuh apatah lagi ia mendedahkan sebelah bahu, sekali gus menyuntik elemen nakal.

Dres pendek rona birunya pula menangkap pandangan mata yang memandang ketika ia melambai di tubuh pemakainya, tanpa menyerlahkan penampilan seksi yang keterlaluan.


BUSANA fabrik polos yang diserikan dengan keindahan perincian glamor di bahagian dada dan leher baju.


Hiasan emas dan berlian serta padanan seluar putih bersama blaus rona turquoise pula menggamit kenangan lirikan mata biru violet milik Taylor. Busana hijau lemon pula dipadankan dengan warna coklat menggoda dan perincian manik rumit. Pemakainya pasti disuluh gemerlapan di bawah sinaran matahari.

Namun, selepas seharian bekerja dan bermain, pilihan dres hitam yang sarat perincian bercahaya, pasti mencipta kecantikan dan elegan yang sukar ditandingi tatkala disarungkan di badan.

Inilah magis jenama Variante dalam koleksi Diamonds Are Forever kali ini. Seperti Elizabeth Taylor yang bergemerlapan bak berlian, ia juga tidak akan padam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiga dekad Princess

Posted:

Tiga dekad Princess

Tiga dekad Princess


ALAN telah memberi sentuhan baru dan segar terhadap elemen rekaan Princess.


BERMULA hanya dengan sebuah rumah kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kini butik kasut buatan tempatan, Princess, sudah memiliki sembilan buah cawangan di seluruh Lembah Klang.

Menyambut ulang tahunnya yang ke-30 pada 2 Jun lalu di Hotel Empire, Subang Jaya, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Lok, 23, dengan berbesar hati melancarkan siri koleksi kasut terbaharu dan Kad Kesetiaan Princess.

Jenama itu tampil dengan lima siri kasut iaitu Fashion, Pumps, De Confort, Deluxe dan Viani yang pasti menjanjikan pilihan yang bertepatan dengan tuntutan wanita moden.

Seiring dengan namanya, Fashion, membariskan kasut-kasut tumit tinggi, but dan sandal dengan varian warna putih, hitam coklat serta kelabu pastel.

Rekaannya yang ringkas namun bergaya amat sesuai dengan wanita yang aktif selepas masa bekerja dan aktiviti riadah hujung minggu.

Selepas sambutan yang menggalakkan untuk edisi Deluxe yang dilancarkan pada bulan Mac lalu, Princess kini lebih berani mempersembahkan rekaan terbaharu bagi siri tersebut.


EDISI Deluxe dapat dikenal pasti melalui rekaan bertali dan warna metalik.


"Kami menawarkan rekaan yang lebih berani seperti kasut bertali dengan rona metalik dan but bertumit setinggi lima inci," katanya dalam ucapan pembukaan.

Bagi siri kasut The Pumps, pencinta kasut boleh memilih berbagai-bagai rekaan kasut dari kasut leper sehingga tumit tinggi dengan pilihan warna coklat muda, hitam ataupun corak ular yang sangat berani.

Koleksi rekaan De Confort pula menjanjikan keselesaan yang lebih kepada si pemakai dengan pad tambahan pada bahagian dalam kasut, manakala mata jahitan kemas tersusun pada bahagian kulit luar kasut memberi sentuhan mutlak kepada gaya si pemakai.

Bagi golongan remaja yang mahukan sepasang sepatu yang anggun tetapi masih mengekalkan gaya kasual, Viani adalah pilihan terbaik.

Membariskan barisan rekaan kasut penari balet dengan perincian gancu tali pinggang serta dipadankan dengan warna-warna musim bunga seperti merah jambu, oren, biru dan merah.

Bagi melengkapkan gaya, semua siri koleksi terbaru itu turut didatangkan dengan rekaan beg dan cermin mata dengan warna-warna sepadan seperti oren, biru kuning serta dilengkapi dengan rekaan bertali sesuai dengan semua acara.


DUA generasi di sebalik jenama Princess iaitu Alan Kok (depan, tiga dari kiri) di sisi ibunya, Alice.


Sebagai menghargai para pelanggan yang sentiasa memberi sokongan, Princess memperkenalkan program Kad Kesetiaan pelanggan.

Para pelanggan akan mendapat potongan harga bagi barangan Princess tanpa perlu menunggu musim jualan murah.

Turut hadir dalam sambutan 30 tahun Princess itu ialah pengasasnya, Alice Yong; selebriti jemputan iaitu penyanyi bersuara lantang, Dina ; serta pengacara televisyen, May June.

Koleksi kasut Princess berharga di antara RM49.90 hingga RM240 dan beg pula berharga RM15.90 hingga RM199.99. Semua koleksi itu boleh didapati di setiap cawangan Princess. - ADLAN JAAFAR.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved