Ahad, 10 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Khazanah hutan di denai terindah

Posted:

Khazanah hutan di denai terindah

Khazanah hutan di denai terindah

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI



SEMPENA sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 11 Jun lepas, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menganjurkan aktiviti meneroka denai paling popular FRIM iaitu Denai Keruing.

Bersama jurupandu alam semula jadi terlatih yang hanya mahu dikenali sebagai Farhad, hentian pertama kumpulan yang menyertai aktiviti ini ialah sungai kecil yang menjadi tempat tinggal tiga ekor Arapaima gigas.

Ikan itu dikatakan tidaklah terlalu besar iaitu sekitar dua meter dan lebih jinak berbanding 'saudaranya' di habitat asal di Amerika Selatan.

Menurut Farhad, arapaima liar di Sungai Amazon lebih ganas malah, boleh melompat tinggi sehingga 1.5 meter untuk menangkap monyet dan burung sebagai makanan.

Di FRIM, kecantikan tiga ekor karnivor itu yang hitam berkilat dengan bintik-bintik oren terang boleh dilihat jelas. Justeru tidak hairanlah ikan yang gagah itu disangkakan sebagai naga hingga mewujudkan kisah tempatan Legenda Naga Tasik Chini.

"Ikan ini tidak boleh membiak di sini, kerana sungai ini tidak mempunyai pasir," jelasnya sambil menjelaskan bahawa kehadiran spesies ikan luar boleh menyebabkan spesies tempatan atau endemik diancam risiko kepupusan.

Buluh gergasi

Kira-kira 10 meter dari lokasi ikan itu, kami tiba di pintu masuk denai dan diperkenalkan dengan dua rimbunan pokok yang sangat besar dan mempunyai sejarah tersendiri iaitu pokok ara dan pokok buluh gergasi.


DENAI Keruing menjadi denai pilihan pelancong saat meneroka bumi FRIM.


Buluh gergasi itu asalnya ditanam pada tahun 1927, dengan tujuan menggunakan ruas-ruas buluh sebagai tabung semaian anak pokok. Ini adalah sebelum kewujudan tabung beg politena hitam.

Menariknya, rumpun buluh itu berjaya membesar dengan subur hingga panjangnya mencecah 25 meter dengan lebar garis pusat berukuran 16.8 sentimeter.

Bagaimanapun, ia dikatakan boleh membesar lagi kerana spesies yang sama di Peradiniya, Sri Lanka, boleh tumbuh sehingga ketinggian 36 meter tinggi dengan garis pusat sebatang buluh menjangkau 25 sentimeter. Malah, rumpunnya juga sangat besar sehingga mempunyai di antara 300 hingga 400 batang di dalam rumpun itu.

Buluh gergasi itu juga boleh berbunga, walaupun mengambil selang waktu yang sangat panjang, biasanya di antara 50 hingga 120 tahun.

Rumpun istimewa di FRIM pernah berbunga pada tahun 1951 dan berbunga semula sekitar tahun 1988 dan 1995.

Denai itu juga mempunyai pokok kulim dan pokok simpoh gajah. Pokok kulim misalnya mempunyai daun yang berbau seakan-akan bawang putih dan pucuknya enak dimakan sebagai ulam.

Meskipun, pokok kayu itu kurang berpotensi untuk dikomersialkan sebagai balak, buahnya masih digunakan dalam masakan tradisional, terutama oleh masyarakat pribumi yang menggunanya sebagai bahan tumis.

Pokok simpoh gajah yang ditemui bersebelahan, mempunyai posisi akar jangkang yang benar-benar kelihatan seperti gajah. Kehadiran akar jangkang menunjukkan spesies itu berasal daripada keluarga bakau Rhizophora, dengan ciri utama batang yang sedikit berongga menjadikannya amat sesuai digunakan sebagai kayu arang atau rakit.


POKOK-POKOK kapur yang ditanam serentak sejak lebih 80 tahun lalu telah membentuk hutan dengan pemandangan yang indah bagaikan panorama salah satu babak filem Avatar arahan James Cameron.


Panorama Avatar

Kurang 10 minit menyusuri Denai Keruing, kami terhenti sebentar ekoran terpesona dengan pemandangan hutan menakjubkan di lembah bukit yang sedikit terbuka.

Panorama The View itu juga dikenali sebagai Avatar View kerana ia kelihatan seperti latar belakang filem grafik Avatar tetapi lebih cantik, hidup dengan warna terang dan semula jadi.

Hakikatnya, ia sebenarnya sebahagian daripada kelompok pokok spesies tertentu yang ditanam sejak tahun 1929 dan kelompok yang membentuk Avatar View ialah pokok kapur.

Di lokasi berdekatan, Farhad menunjukkan dua batang pokok besar yang terkenal dengan nilai ekonomi iaitu merbau dan karas. Merbau yang merupakan balak kayu keras sukar didapati kerana pertumbuhannya yang terlalu perlahan. Tetapi itulah juga keistimewaannya kerana pertumbuhan perlahan itu menyebabkan kayunya sangat keras, kukuh dan mahal sehingga mencecah harga RM900 sekilogram.

Karas pula menghasilkan resin gaharu yang sangat penting dalam dunia kecantikan. Resin paling berkualiti bergantung kepada kepekatan boleh mencecah harga RM100,000 sekilogram.

Mendapatkan resin gaharu bagaimanapun tidak mudah, sekiranya tersalah cara, kualiti resin yang terhasil akan merosot. Di laluan Denai Keruing juga, pelawat diperkenalkan dengan pokok akar beluru atau Liana sp. iaitu tumbuhan bercirikan simpulan batang yang seakan-akan arca semula jadi.

Menariknya, akar itu sangat berguna untuk mereka yang sesat di dalam hutan. Seperti dalam filem-filem aksi hutan ala Rambo, terdapat spesies tertentu pokok liana yang mengandungi air.

Farhad menjelaskan bahawa sebahagian daripada spesies pokok itu sebenarnya mempunyai air yang beracun.

"Jangan minum air yang tidak cukup jernih atau pun uji terlebih dahulu dengan menyapu sedikit di bibir dan hanya minum jika ia tidak menyebabkan kegatalan atau alahan," tegasnya.

Secara tradisi, kulit batang liana digunakan sebagai syampu dan masih digunakan oleh masyarakat orang asli kini.

Selepas meninggalkan juntaian pokok Liana, kami berjalan lagi menyusuri denai sambil menikmati keindahan hutan matang dengan nyanyian cengkerik, riang-riang, burung dan katak.


INILAH rumpun buluh gergasi yang menjadi tarikan di Denai Keruing.


Ketika melalui lereng bukit yang agak sempit, Farhad menghentikan kami di sebatang pokok besar yang mempunyai banyak cecair kental putih iaitu pokok jelutong.

Aliran cecair itu ialah getah jelutong yang terhasil apabila batangnya dilukakan. Menariknya, getah jelutong telah lama digunakan oleh masyarakat asli sebagai gula-gula getah (chewing gum).

Ketika kami leka mencungkil dan merasa getah jelutong, Farhad memanggil kami untuk melihat beberapa helaian dedaun kering di atas tanah, sambil mencangkung. Kami mencari daun-daun kering yang serupa dan menderaikannya dengan tangan. Nyata daun kering itu menghasilkan bau yang segar dan kuat.

Ketika menerangkan ciri fizikal pokok dengan kulit kelihatan mengelupas dan batang yang lurus menegak tanpa cabang bak payung, barulah kami menyedari bahawa inilah titik FRIM Wow Spot yang terkenal serata dunia.

Di titik ini, sesiapa yang mendongak ke atas pasti akan teruja keseronokan ekoran terpegun dengan keindahan kanopi yang mana pucuk dedaunan dari sebatang pokok tidak menyentuh pucuk pokok yang lain.

Justeru, pengunjung dapat melihat rupa langit seakan-akan rekahan tanah liat yang kering atau pun sayur brokoli.

Terdapat banyak teori yang cuba menjelaskan fenomena itu, termasuk, sejenis gas yang terhasil apabila dedaunan itu bersentuhan ketika angin kencang akan membunuh pucuk jirannya.

Apa pun, fenomena itu hanya berlaku di hutan matang terancang seperti di FRIM iaitu hutan pokoknya ditanam dengan syarat spesies yang ditanam mesti sama, pada waktu yang sama dan jarak yang seragam. – Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kekalutan urbanisasi Dhaka

Posted:

Kekalutan urbanisasi Dhaka

Kekalutan urbanisasi Dhaka


DHAKA menjadi mangsa kepada kegagalan perancangan bandar Dhaka yang cuba dilaksanakan pada tahun 1995.


KEPESATAN pembangunan sesebuah negara seharusnya memberi rahmat kepada rakyatnya. Namun begitu, realiti tersebut sekadar harapan palsu buat masyarakat kelas pertengahan Dhaka.

Selaku bandar mega paling pantas berkembang di dunia, ibu negara Bangladesh yang menjadi kediaman bagi 13 juta orang itu menyaksikan peningkatan berbanding populasi asal iaitu sebanyak 300,000 pada pada tahun 1971.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan peningkatan itu akan terus bertambah sehingga ke angka 20 juta orang menjelang 2025 berikutan migrasi yang tidak terkawal.

Kehidupan selesa yang diimpikan oleh setengah juta penghijrah ke Dhaka ranap apabila mereka terpaksa bersesak-sesak menjadi penghuni kawasan setinggan yang bertempiaran di seluruh pelosok Dhaka.

Seorang suri rumah, Sultana Begum telah terbiasa dengan kehidupan tanpa bekalan gas dan elektrik malah, sudah lali mengharungi jalan yang kerap banjir.

"Perkara yang saya tidak tahan adalah timbunan sampah yang terlampau banyak di kawasan kejiranan saya.

"Pihak bandar raya tidak pernah datang mengutip sampah yang ada dan ia membuatkan sampah yang terkumpul mereput setelah beberapa hari terdedah kepada matahari.

"Bau sampah-sampah tersebut juga mengganggu keselesaan hidup penduduk di kawasan ini," jelasnya yang mendiami pangsapuri di Keraniganj yang terletak di selatan Dhaka.

Luar kawalan

Menurut pakar perancangan bandar, A.K.M. Abul Kalam, masalah yang dihadapi Sultana adalah situasi tipikal buat semua kawasan baru yang dibangunkan secara 'spontan' tanpa perancangan terperinci.

Struktur organisasi pihak bandar raya serta pihak penguat kuasa tempatan yang tidak tersusun mengakibatkan pelan pembangunan Dhaka 1995 gagal dilaksanakan.


SISTEM perparitan yang tidak sempurna menyebabkan Dhaka kerap dilanda banjir.


"Ini merupakan asas kepada kesemua masalah yang timbul, pelan utama tidak dijalankan dan kini kita terpaksa hidup dalam keadaan yang amat sukar," ujarnya yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Perancangan Bandar di Universiti Jahangirnagar.

Tambah Kalam, undang-undang tidak lagi diendahkan penduduk memandangkan kesemua kawasan perumahan yang dibina tidak memiliki sistem perparitan yang sempurna mahu pun sistem kumbahan.

Dilema tenaga elektrik serta kekurangan bekalan gas yang kronik telah memaksa kerajaan menyekat jaringan baru pada tahun 2009, menidakkan mereka di kawasan perumahan baru untuk menggunakan kemudahan awam.

Situasi tersebut turut menjejaskan mereka yang dikatakan hidup serba selesa kerana kepesatan pembangunan dan perkembangan ekonomi yang pantas berterusan mencetuskan krisis utiliti.

Dhaka mengalami kekurangan tenaga elektrik sebanyak 2,000 megawatt setiap hari yang bermaksud purata separuh penghasilan tenaga elektrik bagi Bangladesh.

"Kita akan mengalami pemotongan elektrik sebanyak empat hingga lima kali sehari dan ia akan kerap berlaku pada cuaca panas," kata Mahamudal Hasan, penghuni kawasan Keraniganj.


PENDUDUK Dhaka sering keputusan air sehingga memaksa mereka berbaris panjang demi mendapatkan sumber air bersih.


Isu air

Dhaka memerlukan 2.2 bilion liter air sehari akan tetapi, jabatan bekalan air hanya mampu membekalkan setakat 1.9 bilion liter air sahaja. Kebanyakan pam air awam pula beroperasi di bawah kapasiti asal berikutan kekurangan bekalan gas.

"Air paip di rumah saya bertukar menjadi hijau dan berbau busuk. Saya perlu menunggu selama dua jam di perigi semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih," ujar seorang pekerja syarikat minyak, PetroBangla, Rukia Begum.

Dalam usaha mengatasi krisis bekalan tenaga, kerajaan mencapai persetujuan dengan beberapa firma antarabangsa bagi membina loji jana kuasa baru.

Lembaga Pengarah Pembangunan Tenaga, Alamgir Kabir memberitahu, pihak mereka telah menambah 1,800 megawatt termasuk loji-loji yang masih di peringkat percubaan sejak dua tahun setengah lalu.

"Kita berharap krisis ini akan berakhir menjelang 2013," ujar Kabir lagi.

Berbalik kepada situasi di Keraniganj, jaminan Kabir itu masih tidak memberi kepuasan kepada seorang penghuni kawasan itu, Muhammad Mahub Alam.

"Gangguan elektrik amat teruk dan tingkat bawah bangunan saya akan dibanjiri air setiap kali hujan.

"Masalah ini terjadi kerana pihak penguat kuasa tempatan membina jalan raya utama terlalu tinggi dan tidak membina parit yang sistematik.

"Rumah pula tiada air, kami terpaksa mengharungi air setinggi buku lali untuk keluar rumah. Saya telah mendiami kawasan ini selama 10 tahun dan kami semua sudah muak dengan situasi sebegini," luahnya jujur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Adik Thaksin dipanggil Jamila

Posted:

Adik Thaksin dipanggil Jamila

Adik Thaksin dipanggil Jamila

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


YINGLUC tidak kekok memakai tudung kepala semasa berkunjung ke wilayah Yala, Selatan Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam.


BAYANGAN bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra muncul lagi dalam kepimpinan kerajaan Negara Gajah Putih apabila adiknya bongsunya, Yingluck Shinawatra memenangi Pilihan Raya Umum Thailand 2011, 3 Julai lalu.

Parti Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) yang diwakili ibu kepada seorang cahaya mata itu memperoleh 313 kerusi daripada 500 kerusi yang dipertandingkan.

Ini bermakna kerajaan Perdana Menteri Abhisit Veijjajiva daripada Parti Demokrat yang hanya memperoleh 152 kerusi tersingkir apabila keputusan pilihan raya itu diumumkan 2 Ogos nanti.

Kemenangan itu menebus kembali maruah keluarga Lert Shinawatra selapas Thaksin digulingkan oleh kuasa tentera pada tahun 2006 atas alasan dia mengamalkan rasuah.

Bukan sahaja cantik pada usia 44 tahun, Yingluck yang memiliki sifat kewanitaan sejati mampu menarik minat rakyat Thailand untuk mendekatinya.

Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu sedar bahawa abangnya itu pernah meninggalkan ingatan yang besar terhadap seluruh penduduk Thailand.

Thaksin sering menyalurkan bantuan yang besar untuk mengubah hidup anak kampung termasuk Pinjaman Desa sebanyak sejuta bath (RM991,000) kepada setiap kampung di negara itu yang kesemuanya berjumlah 75,000 buah kampung.

"Saya tidak tahu betapa besarnya kasih penduduk Thailand kepada abang (Thaksin) saya. Tetapi, adakah anda semua juga boleh mencurahkan kasih sayang kepada saya, adik bongsunya?" kata Yingluck semasa kempen pilihan rayanya.

Sebelum terlibat dalam dunia politik, Yingluck terlebih dahulu berjaya dalam dunia perniagaan. Dia ialah pengurus besar syarikat telekomunikasi M Link Asia Corporation milik keluarganya.

Yingluck sejak kecil sudah mengenali dunia politik kerana bapanya, Lert Shinawatra merupakan seorang ahli parlimen di wilayah Chiang Mai.

Musuh

Pemegang ijazah sains politik dari Universiti Chiang Mai, Yingluck turut melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Kentucky, Amerika Syarikat dalam bidang pentadbiran awam.

Banyak pihak yang kagum dengan semangat wanita cantik itu yang berazam untuk menjadi Perdana Menteri Thailand yang pertama dalam sejarah politik negara itu.

Namun, Yingluck sedar cabaran yang menantinya bukan calang-calang khususnya untuk menangani pergolakan politik di selatan negara itu.

Musuh politik Yingluck, Abhisek pernah memberi amaran bahawa Thailand akan kembali bergolak jika Yingluck menang dalam pilihan raya. Namun, wanita itu enggan menoleh ke belakang.

Dia sebaliknya telah melakukan usaha yang perlu untuk memenangi hati pengundi Muslim di Selatan Thai.

Dia yang mengenakan tudung berwarna merah ketika berkempen di sebuah kampung di Yala, kelihatan tidak kekok bermesra dengan penduduk di situ.

Bahkan penduduk menggelarkannya dengan nama Jamila yang bermaksud wanita cantik kerana kejelitaan yang dimiliki wanita berdarah campuran Cina dan Thailand itu.

Dia yang diiringi seorang pemimpin parti Pheu Thai, Yongyuth Wichaidit telah mengunjungi rumah bekas wakil rakyat di kawasan itu, Wan Muhamad Noor Matha.

Seramai 3,000 penduduk Muslim Selatan Thai turut hadir untuk bersua muka dengan pemimpin yang diharapkan dapat membela nasib mereka biarpun bertamu dalam tempoh 15 minit sahaja.

Yingluck bagaikan memberikan sinar baharu kepada penduduk di situ yang saban hari berasa ditindas di tanah air sendiri akibat persengketaan antara penduduk Muslim dan Buddha.


DI sebaliknya kesibukannya, Yingluck pasti meluangkan masa untuk sang suami, Anusorn dan anaknya Supasek.


Dalam pertemuan itu, dia berjanji untuk memberikan status zon pentadbiran khusus di lima daerah majoriti Muslim di negara yang didiami oleh 1.2 juta orang Islam itu.

Tidak mahu beromong kosong, sejurus kemenangannya, Yingluck menerusi Facebook dan Twitter, mengucapkan terima kasih sambil berjanji untuk merealisasikan impian rakyat negara itu yang mahu melihat keamanan dan pembangunan Thailand.

"Satu perkara yang perlu diselesaikan adalah mewujudkan keharmonian dalam negara ini. Semua pihak perlulah jujur dan ikhlas," tutur Yingluck dalam laman Facebooknya.

Sebelum ini, banyak pihak yang sangsi dengan keupayaan Yingluck menerajui parti yang ditubuhkannya pada 20 september 2008 itu.

Thaksin yang kini menjadi pelarian di Dubai turut berpesan kepada Yingluck agar tidak mudah alpa kerana musuh sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkannya selain tugasan baru sebagai orang nombor satu di Thailand.

Ekonomi

"Dia (Yingluck) bakal menghadapi tugas sukar kerana dia perlu mencari keamanan sebelum boleh membangunkan negara.

"Dia juga perlu merombak sistem ekonomi dan birokrasi yang dimusnahkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan," pesan Thaksin.

Yingluck pula meminta agar tentera menepati janji sebelum pilihan raya untuk tidak mengulangi tindakan merampas kuasa seperti yang berlaku pada Thaksin hingga menjerumuskan negara itu ke dalam kancah huru-hara.

Dalam sejarahnya, Thailand sudah beberapa kali menyaksikan pihak tentera melakukan rampasan kuasa. Begitu juga dengan kejadian tunjuk perasaan yang melumpuhkan ekonomi negara itu.

Malah, lautan manusia yang dikenali sebagai kumpulan Baju Kuning yang antikerajaan telah bertindak menawan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

"Saya rasa tiada lagi rampasan kuasa akan berlaku kerana semua pihak pasti akan menghormati pilihan rakyat itu.

"Thailand telah menjadi mundur sejak lima tahun ini dan rakyat kita sudah banyak menderita. Jadi, negara ini perlu berubah," kata Yingluck.

Kerana kecintaannya kepada tanah air, Yingluck bukan sahaja menjadi seorang ahli perniagaan berjaya, ibu kepada seorang cahaya mata, berkongsi kasih dengan seorang suami, bahkan dia kini milik seluruh rakyat Thailand.

Yingluck juga bakal menjadi pelengkap kepada barisan mereka yang pernah menjadi pemimpin utama wanita di Asia Tenggara termasuklah Corazon Aquino, Megawati Soekarnoputri dan Gloria Macapagal Arroyo.

"Saya akan menggunakan sifat kewanitaan yang saya miliki untuk berkerja keras demi negara kita," ungkap Yingluck.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved