Sabtu, 2 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nelayan tukun tiruan

Posted:

Nelayan tukun tiruan

Nelayan tukun tiruan

Mesin ATM, kereta kebal, lori dan kapal karam bukan sahaja menambah sumber ikan negara bahkan menjadi tarikan pelancongan.


BOT nelayan yang mahu dilupuskan merupakan salah satu tukun tiruan yang banyak digunakan di perairan negara.


OMAR Abdul Rahman, 50, sudah berpuluh tahun menjadi nelayan di Tanjong Karang, Selangor. Seingatnya, sejak di bangku sekolah lagi dia telah mengikut bapanya ke laut. Malah, pada usia 12 tahun, dia pernah ditahan pihak penguat kuasa marin Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara jiran itu. Dia juga berdepan dengan angin kuat dan ribut di tengah laut sekitar tahun 1970-an. Semasa kejadian itu, dia bersama dua orang rakan sedang merawai ikan di Pulau Ketam.

"Ketika itu kami berada di lubuk ikan pari, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Ketam. Di situ banyak tunggul kayu. Biasanya, kawasan seperti itu memang banyak ikan kerana ikan-ikan ini akan mendapatkan makanan daripada alga yang tumbuh pada tunggul-tunggul kayu tersebut," jelasnya. Cerita Omar lagi, malam itu cuaca cerah. Bulan dan bintang bertebaran di langit. Namun, tidak lama selepas tali rawai dilabuhkan, terdengar bunyi angin menderu datang dari arah barat. Petanda yang kurang baik itu sedikit sebanyak mencemaskan Omar dan rakan-rakannya. "Tidak sampai dua minit, langit sudah bertukar menjadi sangat gelap dan deruan angin semakin hampir. Kami mula panik.

"Pada masa itu, nyalaan api kecil daripada lampu pelita ayam tidak lagi membantu. Keadaan jadi kelam-kabut. Tali rawai segera ditarik ke atas sambil enjin perahu dihidupkan menghala ke pantai," imbaunya.

Dalam keadaan angin kuat, kudrat enjin perahu jenis Johnson yang dipacu 25 kuasa kuda itu tidak mampu membawa mereka bertiga ke mana-mana. "Dengan sekali badai, kami semua melambung tinggi dan dihempas ribut sehingga tercampak ke hutan paya bakau. "Saat dipukul ribut, saya membayangkan ajal semakin hampir. Namun, ketentuan Allah menyelamatkan kami dan saya masih lagi hidup sampai sekarang," sambungnya yang sempat bernazar untuk mengeluarkan derma jika terselamat. Bercerita panjang tentang pengalaman menangkap ikan dahulu dan sekarang, Omar menjelaskan, memang banyak bezanya.

Ceroboh


BOT nelayan yang mahu dilupuskan merupakan salah satu tukun tiruan yang banyak digunakan di perairan negara.


"Dulu ikan banyak, tapi nelayan tak ramai, bot pun kurang. Kalau ada pun, bot milik nelayan tradisi. Tetapi dari semasa ke semasa, nelayan semakin ramai dan kini dengan pertambahan bot terutamanya bot pukat tunda, ikan semakin kurang. "Kalau dulu, tanpa tukun atau unjam, banyak ikan masih boleh dinaikkan. "Sekitar tahun 1990-an, ikan mula kurang. Selepas tsunami melanda Aceh pada tahun 2004, keadaan laut semakin sukar diramal dan hasil tangkapan ikan juga tidak menentu," ujarnya yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tanjung Karang, Selangor. Ditebak persoalan mengenai tukun, para nelayan di kawasan tersebut mula menggunakan tukun pada tahun 1990-an apabila hasil laut semakin kurang.

"Nelayan tradisi banyak menggunakan unjam yang diperbuat daripada daun kelapa, buluh dan juga tayar. Cara itu memang berkesan tetapi tidak tahan lama," katanya. Turut sependapat dengan Omar ialah nelayan di Pasir Penambang, Lim Chai Tuan, 54. "Tukun yang dilabuhkan Jabatan Perikanan memang membantu dalam meningkatkan jumlah pendaratan ikan, tetapi masalah lain pula timbul, iaitu pencerobohan bot pukat tunda," katanya yang memperoleh hasil tangkapan di antara 20 hingga 30 kilogram ikan setiap kali turun ke laut. Untuk mendapat gambaran sebenar tentang sejauh mana tukun dapat membantu meningkatkan populasi ikan di Kuala Selangor, Jurnal bertemu dengan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan, Thazali Sahri. "Tukun, sama ada semula jadi atau tiruan adalah untuk meningkatkan populasi ikan menerusi pembiakan dan pemuliharaan alam sekitar selain mewujudkan struktur perlindungan untuk ikan, sotong, udang dan lain-lain.

Bersihkan tukun


TUKUN konkrit dasar lembut dibina lebih tinggi untuk mengelakkannya daripada tenggelam.


"Selain bantuan tukun daripada Jabatan Perikanan, kami juga menerima bantuan unjam daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). "Sama fungsi dengan tukun, unjam dibina menggunakan binaan konkrit tetapi saiznya lebih kecil daripada tukun yang mengikut spesifikasi Jabatan Perikanan. "Selain unjam dan tukun, kami juga melabuhkan unjam pelagik yang mempuyai 'umpan' berumbai yang bertindak menarik perhatian ikan," katanya. Sebagai langkah pemantauan, tukun atau unjam akan diperiksa setiap dua tahun sekali.

"Para penyelam skuba akan bersihkan tukun daripada pukat-pukat yang tersangkut padanya. Walaupun menelan kos tinggi, ia perlu dilakukan untuk melestarikan fungsi tukun pada masa akan datang," jelas Thazali.

Terdapat 10 jenis tukun yang dilabuhkan di seluruh perairan pantai di negara ini. Ada tukun direka khusus untuk pembiakan udang karang, ada juga yang dibina untuk menghalang kemasukan pukat tunda daripada masuk ke kawasan persisir pantai. Selain itu, bukan sembarangan tukun boleh dilabuhkan kerana kajian khusus terhadap lokasi perlu dilakukan terlebih dahulu. Menurut Ketua Cawangan Pemuliharaan Sumber Marin, Jabatan Perikanan Malaysia, Maznah Othman, jenis tanah dan struktur dasar laut adalah perkara penting yang perlu diambil kira selain trend pendaratan hasil marin di kawasan terbabit.


KERJA-kerja melabuhkan tukun tiruan memerlukan perancangan rapi kerana dasar laut tidak semuanya rata.


"Terdapat dua jenis dasar laut iaitu dasar lembut yang berselut dan dasar keras yang berpasir. "Kebanyakan pantai dasar lembut ditemui di kawasan pantai barat manakala dasar pasir di pantai timur. "Untuk dasar lembut, struktur tukun perlu lebih tinggi bagi mengelakannya tenggelam," katanya. Dilabuhkan pada jarak lima batu nautika dari pantai, tukun kuboid adalah rekaan yang paling popular digunakan. Dengan berat 8,000 kg seunit, kira-kira 15 hingga 20 unit yang setiap satunya menelan kos RM20,000 akan dilabuhkan secara berkumpulan di satu kawasan. Tujuannya untuk membina satu kompleks penempatan untuk ikan-ikan pesisiran pantai.

Kereta kebal

"Lebih besar tukun lebih bagus kerana lebih banyak ikan yang akan mendapatkan makanan dan perlindungan. "Tukun bukan sahaja menjadi pusat pertumbuhan dan pembiakan flora dan fauna marin, tetapi ia juga menjadi tempat yang selamat untuk ikan kerana tukun dapat menghalang arus deras ombak. "Oleh itu, proses pembiakan boleh berjalan dengan sempurna jika dibandingkan dengan laut lepas," kata Maznah lagi.

Melihat kepada status pendaratan ikan marin di negara ini, bilangannya hanya menunjukkan sedikit pertambahan daripada 1.3 juta pada 2000 kepada 1.4 juta tan metrik pada tahun 2009. "Senario ini menjadikan tukun adalah satu keperluan untuk semua kawasan penangkapan ikan. Bagaimanapun dengan kekangan bajet, tidak banyak tukun yang dapat dibina memandangkan kosnya yang tinggi," katanya. Selain tukun konkrit, Jabatan Perikanan juga ada melupuskan bot-bot besar untuk dijadikan tukun.

Pihak luar seperti syarikat korporat dan agensi kerajaan turut mengambil inisiatif melabuhkan kereta kebal, bas dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ke dasar laut untuk dijadikan tukun. Jelas Maznah, langkah untuk membantu memulihkan sumber marin ini sangat digalakkan tetapi ia haruslah bahan yang tahan lama. "Dalam memulihara sumber marin, kita tidak mahu laut menjadi tempat pembuangan sampah kerana ia akan memberi kesan jangka panjang kepada ekosistem marin itu sendiri. "Malah, tukun yang strukturnya ringan juga sering dijumpai terdampar di pantai akibat dipukul ombak," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Terkenang parti Tuppeware

Posted:

Terkenang parti Tuppeware

Terkenang parti Tuppeware

Oleh SYALMIZI HAMID


SEMASA kegawatan ekonomi 1997, Norlia terpaksa menjual semua koleksi bekas makanan kesayangannya untuk menyara keluarga.


NORLIA ISMAIL yang pernah hidup mewah telah merasai keperitan tatkala kesenangannya ditarik balik. Sebelum kegawatan ekonomi melanda negara pada tahun 1997, Norlia, 52, sekadar menjadi suri rumah sepenuh masa. Rutin hariannya hanyalah menguruskan enam orang anak yang masih kecil selain menjaga kebajikan sang suami.

Jika mempunyai masa terluang, Norlia gemar mengumpul perkakasan dapur terutamanya bekas menyimpan makanan.

Bukan untuk digunakan, sebaliknya bekas-bekas makanan daripada jenama Tupperware itu dibeli hanya untuk menjadi penghias kabinet. "Apabila ada bekas makanan yang saya berkenan, saya akan membelinya. Saya gemarkan rekaannya yang cantik tetapi kebanyakan bekas makanan milik saya itu tidak pernah digunakan.

Ujian

"Pada masa itu, saya tiada masalah kewangan. Suami akan memberikan wang jika saya ingin membeli rekaan terbaharu yang diperkenalkan," tutur Norlia kepada Jurnal. Namun, hidup Norlia mula berubah apabila dia tiba-tiba dilanda ujian getir. Ketika kegawatan ekonomi itu, banyak institusi berkaitan kewangan lumpuh termasuklah bisnes berkaitan hartanah yang dijalankan suaminya. Hidup mereka sekeluarga terumbang-ambing. Kereta dan rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor terpaksa dilelong.

"Hidup kami sekeluarga sangat sukar. Kami tiada apa-apa. Semuanya ditarik dalam sekelip mata. "Pada mulanya saya tidak dapat menerima hakikat itu kerana sebelum ini kami hidup dengan gembira," katanya lagi. Nekad untuk mengubah nasib, dia pantas mencari idea demi membesarkan anak-anak yang masih kecil. Biarpun berat hati, Norlia menjual semula barangan Tupperware yang pernah menjadi koleksi kesayangannya itu. Dengan barangan itulah mereka sekeluarga meneruskan kehidupan.

"Hidup kami ketika itu sangat sukar. Kami pernah menyewa di beberapa tempat dan sering dihalau tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa. "Mujurlah ada barangan Tupperware yang tidak pernah saya gunakan. Saya menjual semula semuanya demi meneruskan hidup," tutur Norlia yang ditemui di kediamannya di Gombak, Selangor.

Segan

Jika suatu ketika dahulu dia seorang wanita yang pesimis dan bergantung kepada suami, kini Norlia boleh dikatakan mengambil alih peranan suaminya. Mengetepikan perasaan segan, dia mencari pelanggan dan memperkenalkan barangan Tupperware. "Peranan kami suami isteri sudah bertukar. Suami menjaga anak-anak dan saya pula keluar untuk menjual barangan Tupperware," kata anak jati Seberang Prai, Pulau Pinang ini.

Tugasan itu ternyata sukar untuk ditempuhi Norlia. Dia terpaksa menebalkan muka mendengar cemuhan daripada mereka yang tidak berminat dengan barangan yang dijual.

Apatah lagi menjual Tupperware dengan cara jualan langsung itu memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan sahaja berdepan dengan pelanggan cerewet, pengangkutan awam menjadi satu-satunya kenderaan untuk Norlia menghantar barangan yang dipesan pelanggan. "Ia memang pengalaman yang perit. Saya terpaksa naik bas untuk menghantar barangan kepada pelanggan.

"Kadangkala ketika terlalu banyak barang yang perlu dibawa, saya akan meminta anak-anak untuk membantu walaupun mereka masih kecil," kata Norlia yang terkenang kisah lampaunya. Dia juga mengunjungi rumah rakan-rakan untuk mengadakan parti Tupperware. Semasa mengadakan parti itu, Norlia akan mengumpulkan jiran dan rakan-rakan untuk memberi penerangan sambil berkenal-kenalan.

Hasil kesungguhannya, nama Norlia semakin ke hadapan dalam perniagaan Tupperware itu. Dia tidak pernah berputus asa mencari pelanggan baru dan mengajak mereka menyertai bisnes berkonsepkan jualan berbilang peringkat itu. Hidupnya pula bertambah senang malah mampu menjelajah ke banyak negara.

Kesenangan

"Kalau dahulu saya hanya boleh mengimpikan percutian ke luar negara, kini saya berpeluang melihat negara orang. "Berkat kesungguhan, pihak syarikat sering membawa saya ke lokasi indah termasuklah Beijing, Istanbul dan Cape Town," jelas nenek kepada tujuh orang cucu ini. Kini, air mata dan keringat yang pernah ditumpahkan wanita bersemangat waja ini telah dibalas dengan kesenangan.

Dia yang baru setahun dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Tupperware Brands cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak lagi perlu bersusah payah demi sesuap nasi.

Dengan pendapatan bulanan mencecah angka RM13,000, tugasan Norlia hanyalah memberi latihan kepada ejen di bawahnya serta beberapa tugasan ringkas lain. Rutin seharian hidupnya kini kebanyakannya dihabiskan di rumah sahaja. Setelah 16 tahun menjadi penjual Tupperware, dia tidak mahu terlalu alpa. Azamnya kini agar dia tidak terleka dengan kesenangan kerana pengalaman lalu telah banyak mengajarnya supaya sentiasa beringat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pangku kepala penjenayah

Posted:

Pangku kepala penjenayah

Pangku kepala penjenayah


MADAME TUSSAUD


SELAMA lebih 200 tahun, patung lilin ciptaan Madame Tussaud dikagumi oleh dunia. Dia berjaya memindahkan wajah dan tubuh manusia kepada karyanya sekali gus menjadikan patung-patung itu kelihatan hidup dan bernyawa. Selain patung lilin selebriti dunia moden, tarikan popular lain Muzium Madame Tussaud di London ialah Chamber of Horrors, iaitu seksyen yang mempamerkan kepala mangsa pembunuhan semasa Revolusi Perancis (1789-1799) serta kumpulan penjenayah lain. Madame Tussaud dilahirkan dan membesar di Perancis tetapi karya-karyanya lebih popular di England.

Raja

Semasa mogok melanda bandar Bastille di Perancis pada tahun 1789, kepala de Launay iaitu Gabenor Bastille, yang dipancung dan berada dalam keadaan mengerikan dibawa kepada Madame Tussaud. Pekerja-pekerja mogok itu mengarak kepala gabenor itu bagi menunjukkan kemarahan mereka kepada kerajaan. Namun, disebabkan kepala itu mula membusuk dan mereka pula mahu mempamerkannya dengan lebih lama sepanjang mogok itu, menukarnya ke dalam bentuk patung lilin adalah penyelesaiannya.

Ukiran kepala de Launay hanya permulaan kepada kisah seram kerjaya Madame Tussaud. Semasa Revolusi Perancis, para revolusioner telah memancung beratus-ratus orang bangsawan di tempat hukuman yang dipanggil gilotin. Disebabkan terlalu ramai orang yang dihukum, Madame Tussaud terpaksa mencari kepala rakan-rakannya di bawah timbunan kepala manusia itu. Dia kemudian dipaksa membuat patung lilin mangsa pancung berkenaan termasuk kepala Raja Perancis, Louis XVI dan kakaknya, Marie Antoinette. Dia menyiapkan patung lilin itu sambil memegang kepala yang berlumuran darah itu di atas pangkuannya.

Madame Tussaud sendiri pernah ditangkap dan dipenjarakan atas dakwaan menjadi penyokong golongan bangsawan kerana dia pernah tinggal dan bekerja di istana. Menurut sesetengah sumber, kepala Madame Tussaud bahkan sudah dibotakkan sementara menanti hukuman pancung dijalankan. Mujurlah dia dibebaskan tiga bulan selepas itu. Dilahirkan sebagai Marie Gorshotlz di Perancis pada tahun 1761, rekaan patung Madame Tussaud dibuat sepenuhnya daripada lilin. Kebolehannya itu bermula semasa zaman kanak-kanak lagi apabila dia diajar oleh seorang doktor perubatan, Dr. Philipe Curtius yang juga pakar seni patung lilin. Antara rekaan terkenal Curtius ialah patung Marie-Jeanne du Barry iaitu perempuan simpanan Raja Louis XV yang pertama kali dipamerkan pada tahun 1770.

Pancung


JUSTIN Bieber turut menghiasi Muzium Madame Tussaud di London.


Patung itu masih boleh dilihat hingga sekarang. Apabila Curtius meninggal dunia pada tahun 1794, dia meninggalkan model-model patung lilinnya kepada Madame Tussaud. Marie Tussaud mula membuat patung lilin pada tahun 1777 pada usia 16 tahun. Diperbuat daripada lilin lebah, patung itu boleh diukir di bawah suhu biasa atau dengan menggunakan suhu panas yang rendah. Lilin lebah itu dicampurkan dengan bahan pewarna dan boleh diukir dengan mudah. Patung lilin pertama Madame Tussaud ialah penulis, Francolis Mariet Arouet de Voltaire, yang lebih dikenali dengan panggilan Voltaire sahaja.

Selepas itu, dia mengukir patung ramai manusia berpengaruh termasuk ahli falsafah, Jean-Jacques Rousseau dan salah seorang pengasas negara Amerika Syarikat, Benjamin Franklin. Ukiran kepala yang kebanyakannya berlumuran darah, terus menjadi tarikan di Muzium Madame Tussaud walaupun peristiwa itu sudah lebih dua abad berlalu. Kini, golongan selebriti mengambil alih tempat ahli politik dan kerabat diraja. Antaranya termasuk Michael Jackson, Justine Bieber dan Britney Spears. Patung lilin mereka berjaya menarik begitu ramai pengunjung dari seluruh dunia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved