Minimalis konsep fesyen jalananMinimalis konsep fesyen jalanan
Oleh HAFIZ AHMAD
CUTI hujung minggu rugi rasanya dibiarkan berlalu tanpa melakukan sebarang aktiviti. Lelah selama lima hari bekerja perlu direhatkan dengan beriadah atau sekadar berjumpa teman-teman di pusat beli-belah dan kafe-kafe yang menjadi kunjungan tetap anak muda.
Menyusuri butik-butik pakaian sekitar ibu kota, mata tertumpu dengan penampilan ditonjolkan oleh para remaja yang tidak mahu mengalah dengan penataan fesyen gaya tersendiri.
Ada yang penuh yakin membawa imej harajuku ala gadis comel negara Jepun. Di satu sudut kelihatan anak muda dengan penampilan grunge persis kumpulan rock penuh edgy. Kedengaran ketawa kecil anak gadis manis bertudung lilit, berjalan riang berkasut but. "Oh, itu yang terkini, hijabista," bisik seorang teman.
Fesyen kini tidak lagi terhad kepada kelompok tertentu sahaja kerana ia mula mendapat perhatian anak muda dengan fesyen jalanan yang mempunyai aura tersendiri.
"Tidak semestinya kita memakai pakaian mewah untuk tampil bergaya. Jika bijak memilih dan menata pakaian serta aksesori pasti penampilan anda menarik banyak mata ketika di luar," ujar jurutera muda, Mohd Ridwan Mustafa, 26.
Mengikut falsafah fesyen jalanan bagi Ridwan, tidak perlu menyarung pakaian berlebihan, cukup sekadar memakai baju-T dipadankan seluar jean yang kena dengan susuk tubuh.
"Saya lebih senang bergaya ala fesyen jalanan kerana ia lebih ringkas, malah tidak banyak memerlukan aksesori tambahan. Cukup sekadar topi atau jam tangan," jelas anak kelahiran Dungun, Terengganu itu lagi.
 BAJU T berkonsep kenegerian melambangkan jati diri anak tempatan yang bangga dengan tempat kelahiran masing-masing.
|
Jika inginkan kelainan, kata Ridwan, pilih baju T yang mempunyai penegasan melalui rona atau motif pada rekaan.
"Sekarang banyak jenama tempatan yang mengetengahkan fesyen jalanan dengan menampilkan rekaan menarik setanding produk luar," ujar Ridwan.
Tidak dinafikan fesyen jalanan yang dihasilkan pereka anak watan mempunyai keistimewaan dan cita rasa yang tersendiri.
Jika sebelum ini, penggemar fesyen jalanan hanya mengenali nama-nama seperti Obey, Huf dan Rebel8, kini kita boleh berbangga kerana jenama lokal turut berdiri sama tinggi sebaris dengan produk import lain.
Kebangkitan tahun 2012
Sekadar menyebut beberapa nama seperti The Super Sunday, Abstrax dan Kuku Besi, jenama lokal sudah mula menawan hati golongan belia untuk mengikut rentak fesyen yang menjurus kepada identiti selera tempatan.
"Bermula tahun 2012, arena jenama lokal melalui fesyen jalanan mula kembali mendapat sambutan dengan kemunculan banyak label yang menampilkan produk berkualiti," ujar Pengarah Seni Abstrax, Fahmi Fabilah ketika ditemui Stailo bersama dua lagi tunjang utama jenama lokal iaitu Super Sunday, Tengku Aminuddin Syafiq Tengku Ibrahim dan Kuku Besi, Muhammad Fazli Ab. Latif.
Jelas Fahmi, remaja kini mula sedar tentang kewujudan jenama fesyen jalanan tempatan melalui pendedahan band-band muzik alternatif seperti Bunkface dan Hujan.

KONSEP Street Rebel oleh Abstrax memupuk penampilan agresif dari segi disiplin diri.
"Jenama Abstrax mula dikenali apabila kami berkolaborasi dengan Bunkface untuk menghasilkan barangan jualan mereka sekitar tahun 2009," tambahnya.
Perhatian yang meluas tidak dipersia-siakan, malah digunakan sebaiknya sehingga muncul beberapa koleksi bagi mengukuhkan lagi jenama Abstrax.
"Setakat ini kami mempunyai 10 koleksi sejak ditubuhkan pada tahun 2008. Terbaharu, Abstrax menampilkan koleksi yang memberi penghargaan kepada dua pemimpin negara di bawah koleksi Malaya Heroes," kata pemuda berasal dari Dengkil, Selangor.
Memegang konsep Street Rebel, Fahmi menjelaskan fesyen Abstrax menjurus kepada penampilan agresif dan berdisiplin tinggi seperti seorang askar.
"Pada tahun ini, kami mengeluarkan item-item yang lebih berkarakter dan lasak, berbeza dengan jenama lain.
"Bagi memudahkan pemakai menzahirkan imej Abstrax, padanan warna-warna gelap amat bersesuaian untuk konsep kali ini. Mereka boleh menyesuaikan jenama Abstrax dengan memakai seluar jean hitam dan kasut but Dr. Marten," jelas Fahmi.
Selain baju T, jenama itu turut mengeluarkan produk-produk seperti jaket varsiti, topi dan seluar denim.
Resipi nusantara
Jika Abstrax menggunakan ilham rekaan berprofil tinggi, jenama Kuku Besi menunjukkan rasa kecintaan kepada negara melalui ciptaan seni berunsurkan negeri-negeri di Malaysia. Setiap baju T dihiasi jata-jata negeri dengan diterapkan fahaman fesyen Kuku Besi.
"Koleksi itu mendapat sambutan menggalakkan kerana seni reka kami berlainan dengan konsep jenama lain. Walaupun dijual pada harga yang tinggi, pembeli masih dapat menerima item-item keluaran Kuku Besi," kata Fazli.
Kuku Besi bermula pada tahun 2000 sebagai pengeluar baju T untuk komuniti laman web seperti Melayu.com dan band Butterfingers secara kecil-kecilan. Penglibatan dalam dunia fotografi menghasilkan produk atas nama Fotoradikal.

"Selepas mendapat pengikut yang semakin ramai, saya secara serius menubuhkan jenama Kuku Besi pada tahun 2006," imbas Fazli.
Tambah pereka kelahiran Cameron Highlands, Pahang itu, Kuku Besi banyak mengambil konsep dari negara luar sebagai rujukan. Melalui pengamatan yang dilakukan, Fazli mengubahnya mengikut adunan resipi nusantara.
"Selain itu, jenama saya mengetengahkan rekaan berdasarkan beberapa isu dan budaya di sekeliling kita dengan harapan ia mendapat perhatian pelancong luar untuk dijadikan barangan cenderahati," jelas Fazli yang aktif dalam dunia fotografi dan suntingan gambar.
Sehingga kini, jenama Kuku besi mempunyai 50 rekaan yang merangkumi baju T, kemeja, kasut but kulit dan item terbaharu ialah dompet kulit.
"Secara purata 80 peratus penjualan kami adalah menerusi dalam talian. Selain itu, Kuku Besi juga boleh didapati di beberapa butik-butik terpilih seluruh negara," jelasnya.