Jumaat, 28 Disember 2012

Kosmo Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


MPV taruhan Naza Quest

Posted:

MPV taruhan Naza Quest

MPV taruhan Naza Quest

Oleh SHAWKATH AZDE

BELUM reda lagi cakap-cakap di pasaran mengenai kemunculan model Sonic dalam segmen B, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest) tidak mengambil masa lama untuk menambah satu lagi produk jenama Chevrolet ke pasaran tempatan iaitu Orlando.

Jika diamati perkembangan jenama Chevrolet sebelum kemunculan Sonic, anak syarikat Kumpulan Naza itu nampaknya rancak melakukan pembaharuan pada beberapa model sedia ada.

Misalnya, kenderaan utiliti sukan (SUV) Captiva yang varian dieselnya sudah ditawarkan dalam pasaran.


JIKA dinilai dari segi saiz dan ciri yang ada padanya, harga Orlando boleh dikatakan sebagai cukup kompetitif.


Tidak lupa juga pengenalan model naik taraf Chevrolet Cruze LTZ dan pengenalan Cruze berwajah baharu untuk tahun hadapan. Trak Colorado pula diperkenalkan sekitar bulan Mac lalu. Agresif? Mungkin itulah strategi Naza Quest.

Portfolio kenderaan Chevrolet di Malaysia sudah meliputi beberapa segmen antaranya trak pikap, SUV, model asas dan sedan.

Langkah paling rasional seterusnya adalah mengetengahkan kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk keperluan seisi keluarga. Peranan itu didokong oleh Orlando, sebuah MPV kompak.

Model konsep Chevrolet Orlando pernah dipamerkan sewaktu Paris Motor Show kira-kira empat tahun lalu. Ia mula diperkenalkan ke pasaran antarabangsa mulai 2011.

Ada beberapa varian ditawarkan namun untuk Malaysia, hanya satu varian sahaja dibawa masuk buat masa ini iaitu LT. Tidak keterlaluan jika dikatakan Orlando memecah kepompong reka bentuk tradisi MPV sedia ada.


KONSOL tengah dihuni oleh sistem audio dan corong pendingin hawa.


Kebanyakan kenderaan sebegitu mengekalkan rekaan berkotak. Namun, produk terbaharu jenama dari Amerika Syarikat itu mengetengahkan gaya Eropah.

Model yang dibangunkan berdasarkan platform Cruze sedan itu memiliki garis bumbung yang direndahkan.

Bahagian belakang pula mengadun konsep rekaan yang sedikit tirus. Sekali gus membantu meningkatkan imej mantapnya.

Identiti asal Chevrolet didokong menerusi lambang bow tie ( tali leher kupu-kupu) yang agak besar di antara dua gril yang terpisah pada bahagian hadapan jentera.

Bahagian belakang pula ditonjolkan dengan pengenaan set lampu belakang yang besar.

Bahagian kabin membuatkan anda seolah-olah berada di dalam sebuah kereta biasa. Susun atur papan pemuka Orlando mengguna pakai konsep dual kokpit yang diilhamkan daripada kereta sport Chevrolet Corvette.

Perkara itu tidak pelik kerana Orlando dibangunkan daripada platform Cruze.

Jika berada di atas tempat duduk pemandu, anda boleh mencapai semua butang fungsi kenderaan dengan mudah. Selain itu, stereng juga dipasang dengan beberapa butang kawalan untuk kemudahan pemandu. Konsol tengah diserikan dengan lampu pencahayaan latar belakang berwarna biru.


STERENG dibalut kulit untuk rasa lebih mewah.


Jika mahu menyimpan barangan kecil, tekan sahaja butang pada bahagian fasia tengah (terletak di bahagian bawah skrin pada papan pemuka) dan ia akan terbuka.

Itulah satu ruang simpanan rahsia untuk anda. Tidak lupa juga dengan tambahan ruang simpanan barangan di bahagian pintu.

Susun atur tempat duduk juga mengetengahkan kelainan berbanding MPV biasa. Orlando memiliki susun atur kerusi seperti di dalam pawagam. Maknanya, format susun atur secara bertingkat.

Kerusi barisan kedua sedikit tinggi daripada barisan hadapan. Kerusi barisan ketiga pula lebih tinggi daripada barisan kedua.

Apabila kerusi barisan kedua dan ketiga dilipat, kapasiti simpanan barang mencecah 1,499 liter. Andai meletakkan barangan sehingga paras garisan tingkap, saiznya ialah 856 liter. Cukup besar.

Varian LT untuk pasaran tempatan menggunakan khidmat enjin petrol ECOTEC 1.8L. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan Shiftronic yang membolehkan anda menukar gear secara manual.

Produk keluaran kilang di Korea Selatan itu berupaya menjana kuasa kuda sebanyak 141hp @ 6,200rpm dengan catatan tork puncak 176Nm @ 3,800rpm.

Memandangkan Orlando sebuah kenderaan keluarga, maka aspek keselamatan diberi penekanan tambahan. Selain ciri ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, dua beg udara juga dipasang. Sementara keluli kekuatan tinggi digunakan pada bahagian yang diperlukan di sekeliling kenderaan.


TEMPAT duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat untuk meningkatkan kapasiti ruang kargo.


Kunci pintu Orlando akan terbuka secara automatik jika pelanggaran berlaku. Tambahan lain ialah ABS, ESP, Traction Control dan BA.

Orlando ditawarkan pada harga RM118,888 seunit (tidak termasuk insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama lima tahun atau jarak perbatuan 200,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Skoda Octavia generasi ketiga!

Posted:

Skoda Octavia generasi ketiga!

Skoda Octavia generasi ketiga!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


SKODA mempunyai nama yang kuat di pasaran Eropah.


BAGI mereka yang selalu mengikuti perkembangan rali tanah air, pasti tahu mengenai penyertaan Proton Satria Neo S2000 dalam rali antarabangsa seperti World Rally Championship (WRC), Intercontinental Rally Challenge (IRC) dan Asia Pacific Rally Championship (APRC).

Proton memasuki pertandingan tersebut bukan saja-saja untuk makan angin, tetapi sudah berkali-kali menaiki podium. Proton bersaing dengan jentera-jentera hebat dunia seperti Mitsubishi, Subaru, Ford dan Fiat.

Walaupun begitu, ada satu jenama kereta yang selalu menyekat kemaraan Proton terutama dalam IRC dan baru-baru ini di APRC iaitu Skoda Fabia S2000. Kereta itu memang pantas dengan nilai kejuruteraan tinggi dan melayakkannya bergelar juara.

Perlu tahu bahawa Skoda sebenarnya firma yang berada di bawah naungan Volkswagen (VW). Jenama itu juga merupakan alternatif terdekat untuk mereka yang mahukan teknologi VW, tetapi dengan harga lebih rendah.

Baru-baru ini Skoda melancarkan model "bread and butter" mereka iaitu Octavia generasi ketiga. Model tersebut katanya mempunyai ruang yang luas, praktikal, ciri-ciri keselamatan dan keselesaan yang inovatif. Selain jimat minyak dan ditawarkan pada harga munasabah, sesuatu yang cukup sinonim dengan Skoda.

"Skoda Octavia merupakan nadi kepada jenama kami Ia mengandungi warisan jentera Skoda iaitu ruang luas, kualiti, hasil kerja teliti, moden, teknologi matang, rekaan tidak luput masa, praktikal dan bernilai tinggi berbanding harganya.

"Jangkaan pelanggan semakin tinggi. Sasaran kami adalah untuk menjadikannya lebih baik. Ini dapat dicerminkan pada nilai yang ada pada Octavia baharu. Ia nyata berada dalam kelasnya yang tersendiri," kata Ketua Pegawai Eksekutif Skoda, Winfried Vahland.


PAPARAN dan susun atur butang kawalan yang kemas.


Pakej Ekstra

Menurut laporan agensi berita Newspress, daya penarik utama Skoda Octavia adalah pada pakejnya yang ekstra. Ruangnya luas, tetapi dipakejkan dalam rekaan sedan yang elegan bersama praktikaliti sebuah hatchback. Itulah ciri-ciri unik pada kereta dalam segmennya.

"Octavia baharu ialah kereta dengan kualiti kelas pertengahan. Tetapi ditawarkan pada harga kereta kompak. Ia pilihan yang ideal untuk pelanggan yang mahukan sebuah Octavia dengan ciri-ciri tradisionalnya. Ini adalah yang terbaik daripada kami," kata ahli lembaga pembangunan teknikal Skoda, Frank Welsch.

Octavia generasi ketiga merupakan penanda aras baharu dari aspek penawaran ruang dalam kelasnya. Dakwa m Skoda, tiada model dalam segmen tersebut dengan panjang ruang kabin mencecah 1,782 m ilimeter (mm), ruang kaki 73mm dan ruang kepala penumpang belakang seluas 980mm.

Saiz bonetnya juga luas iaitu 590 liter. Selain daripada ruang yang luas, Octavia juga mempunyai reka bentuk yang menawan. Konsep begitu tidak pernah ditampilkan pada generasi terdahulu.

Kali ini ia lebih dinamik, elegan, terampil dan hadir dengan perincian. Bayangan kereta itu dengan garisan badannya nampak seperti sebuah kereta coupé. Rekaannya ada kelas dan kemas dengan perkadaran yang sempurna.

Ketika membangunkan Octavia, antara matlamat utama adalah untuk menjadikan model itu lebih selamat. Bagi mencapai sasaran tersebut, para jurutera telah mengaplikasikan sistem keselamatan termaju seperti fungsi Front Assistant (brek kecemasan) dan Lane Assistant yang mengekalkan kereta pada laluannya.

Ciri multi collision-braking iaitu aplikasi brek automatik sewaktu kemalangan, Crew Protect Assistant yang menjamin keselamatan kereta semasa kemalangan, Driver Activity Assitant (pengesan kelesuan) atau active front hatch untuk perlindungan pejalan kaki turut dipasang.

Sistem-sistem keselamatan tersebut berperanan mengelak kemalangan atau mengalihkan kesannya daripada penumpang dan pengguna jalan raya lain. Jumlah beg udaranya juga mengagumkan, ada sembilan beg udara!

Bagi janaan kuasa, Octavia dibekalkan dengan lapan opsyen enjin. Empat enjin teknologi petrol TSI, empat enjin teknologi diesel TDI dan tambahan enjin gas asli pada masa akan datang. Enjin-enjin itu dipadankan dengan transmisi manual atau automatik DSG. Lebih menarik, versi sporty Octavia RS sedang dalam pembangunan.

Hasil daripada skala ekonomi, kumpulan VW dapat memasarkan Skoda dengan harga yang rendah. Teknologi dan kejuruteraannya sama. Jadi mereka boleh menggunakan strategi tersebut. Di Malaysia, lain pula ceritanya apabila Skoda dipasarkan lebih premium berbanding VW.

Senang kata, Skoda adalah pakej penjenamaan semula VW di dalam pembungkusan berbeza. Itu adalah strategi biasa dalam bisnes. Apa yang lebih penting, semua golongan dapat merasai teknologi terkini.

Tidak semua mampu membeli komputer riba jenama premium. Namun hakikatnya cip pemprosesan yang sama turut boleh didapati di dalam komputer riba jenama pertengahan.

Tunggang dulu baru tahu

Posted:

Tunggang dulu baru tahu

Tunggang dulu baru tahu

Oleh SHAWKATH AZDE


HONDA PCX 150 mendapat rebiu positif di semua pasaran yang disertainya.


MENUNGGANG di kawasan bandar atau meredah kesesakan jalan raya menjadi lebih mudah jika anda berada di atas sebuah skuter.

Anda tidak perlu menukar gear atau mengawal klac tangan. Cuma pulas pendikit minyak, tayar sudah bergolek.

Itu antara justifikasi sesetengah pembeli, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar. Keselesaan dan kemudahan mengikut cita rasa masing-masing.

Pasaran skuter tempatan semakin berkembang. Lihat sahaja kelibat jentera automatik itu atas jalan. Ia ada di mana-mana sahaja.

Berbeza dengan senario 20 tahun lalu, skuter tidak dilihat sebagai satu jenis pengangkutan yang popular. Namun kini, ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan trend semasa.

Tidak mahu melepaskan peluang meraih pertumbuhan dalam segmen itu, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) meletakkan taruhan terbaharunya, PCX 150.

Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji PCX 150. Lokasi ujian dibuat sekitar kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.

Jika diamati, rekaan model itu kelihatan klasik, pada masa sama mengadun sentuhan moden kontemporari dan skuter maxi mewah.

Sebaik sahaja duduk di atas pelana, ia memang selesa biarpun sedikit lebar. Enjin kemudiannya dihidupkan selepas menarik tuli brek kiri dan butang penghidup enjin ditekan.

Saya agak kagum sewaktu enjin dihidupkan. Tiada bunyi kasar atau gegaran dirasai. Jika tongkat tunggal masih belum dinaikkan, enjin skuter tidak akan hidup.

Sejauh 220km


PAPARAN meter yang jelas untuk kemudahan penunggang.


Hamburan kuasa dirasai ketika memulas pendikit minyak secara agresif. Dalam sekelip mata, jarum meter laju sudah menunjukkan 80 kilometer sejam (km/j). Kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh PCX 150 adalah 120km/j.

Jika kelajuan dikekalkan antara 80km/j hingga 100km/j, satu tangki penuh minyak petrol membolehkan catatan jarak perjalanan sejauh 220km.

Catatan jarak perjalanan itu banyak dibantu oleh dua teknologi terkini Honda iaitu enhanced Smart Power (eSP) dan sistem suntikan bahan api terancang (PGM-FI).

Pengendalian jentera seberat 124 kilogram dalam kesesakan trafik juga mudah. Biarpun badan jentera kelihatan sedikit lebar tetapi ia tetap lincah jika ditunggang secara agresif.

Keyakinan tunggangan banyak dibantu oleh padanan sistem suspensi hadapan dan belakang yang telah disesuaikan oleh jurutera Honda.

Saya dapati sistem brek kombinasi (CBS) PCX 150 terdapat sela masa untuk memperlahan atau memberhentikan jentera sepenuhnya. Perkara itu dikesan sewaktu tunggangan pada kelajuan 100km/j di atas jalan raya kering.

Sesi tunggangan kedua dilakukan dalam hujan dari I-City, Shah Alam, Selangor menghala ke ibu negara melalui lorong motosikal di Lebuh raya Persekutuan.

Saya mendapati CBS PCX 150 menjalankan tugasnya dengan cemerlang. Walaupun menunggang pada kelajuan mencecah 100km/j, saya cukup yakin keupayaan membrek skuter berkenaan.

CBS sebenarnya menghubungkan brek cakera hadapan dan brek gelendong belakang. Pada masa yang sama mengimbangi tekanan dan kuasa membrek dengan lebih berkesan.

Jika anda menghidupkan sistem idling stop, enjin PCX150 secara automatik akan mati jika jentera berada dalam keadaan pegun selama beberapa saat.

Jangan panik kerana enjin hanya dimatikan seketika. Pulas semula pendikit minyak, ia akan hidup semula secara automatik.

Harga atas jalan termasuk insurans untuk sebuah PCX 150 adalah RM10,688 untuk jenis standard (warna hitam dan kelabu) dan varian Deluxe RM10,888 (warna putih merah).

Ia juga hadir bersama jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana yang tiba dahulu).


HANYA tekan butang untuk membuka tempat mengisi minyak dan pelana.


Ada juga yang menyatakan PCX 150 tidak padan dengan harganya. Nasihat saya, singgah dahulu ke mana-mana kedai Boon Siew Honda.

Lihat secara dekat. Pegang dan rasa kualiti binaan PCX 150. Kalau berpeluang untuk tunggang uji, buat. Jangan lepaskan peluang.

Mahu barang baik, kenalah melabur sikit. Jangan sekadar membuat penilaian mudah selepas melihat beberapa keping gambar dan mengetahui harganya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


20 banglo terjejas akibat tebing runtuh

Posted:

20 banglo terjejas akibat tebing runtuh

20 banglo terjejas akibat tebing runtuh

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
shafawati.yup@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN daripada konkrit yang runtuh di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur malam tadi sehingga mengakibatkan hampir 20 buah rumah rosak.


KUALA LUMPUR – Penduduk kawasan Puncak Setiawangsa di sini gempar apabila sebahagian daripada tebing konkrit setinggi 43 meter di situ runtuh mengakibatkan Jalan Bukit Setiawangsa yang merupakan jalan hubungan utama ditutup kepada kenderaan malam tadi.

Kawasan yang terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu melibatkan 15 hingga 20 buah rumah banglo di atas kawasan bukit Jalan Puncak Setiawangsa 2 di sini dengan tiga daripadanya berada pada tahap zon kritikal.

Difahamkan, antara rumah yang terjejas milik bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang juga ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan seorang warga asing dikenali sebagai Maulana.

Penolong Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa, Fauziah Jamaluddin berkata, penduduk di kawasan yang terjejas telah diarahkan berpindah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Keadaan sekarang sangat bahaya kerana masih berlaku pergerakan tanah. Apa yang kita bimbang ialah lebih banyak rumah lain akan turut terjejas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Isteri dibunuh, suami ditahan

Posted:

Isteri dibunuh, suami ditahan

Isteri dibunuh, suami ditahan


SAAT bahagia Nor Fatimah Anis ketika melangsungkan perkahwinan enam bulan lalu.


ALOR SETAR - Pertengkaran sepasang suami isteri yang disyaki berpunca daripada perasaan cemburu berakhir dengan tragedi apabila wanita yang baru berkahwin enam bulan lalu itu ditemui mati di rumah mertuanya di Kampung Alor Gelegah di sini semalam.

Kejadian pukul 2 pagi itu mengakibatkan pembantu kedai, Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, mati dengan kesan kecederaan di kedua-dua belah kaki dan tangan selain kesan luka di dahi.

Dia dipercayai dipukul dengan dua batang buluh sepanjang 0.89 meter di hadapan rumah tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu dan bapa mertua mangsa tiada di rumah kerana pergi ke rumah anak mereka di Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis percaya kejadian itu bermotifkan cemburu namun pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar.

"Sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan bertengkar di depan rumah sebelum mereka keluar dengan menunggang motosikal dan pulang 15 minit kemudian sambil diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal berasingan.

"Sebaik tiba di rumah, suami wanita itu dan lelaki tersebut bergaduh. Semasa pergaduhan itu, mangsa cedera selepas dipukul di kepala dengan objek keras," katanya kepada pemberita di sini.

Lelaki itu kemudian beredar manakala suami mangsa membawa isterinya masuk ke dalam rumah.

Menurut Mohd. Zakaria, polis telah menahan tiga lelaki termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesemua lelaki itu berusia dalam lingkungan 20-an. Dua lelaki itu merupakan kenalan pasangan tersebut.

"Kita anggap kes ini selesai dengan penangkapan tersebut," katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia bergegas ke rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan kediamannya selepas terdengar pasangan itu bertengkar.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Jamin laporan tidak disalahguna

Posted:

Jamin laporan tidak disalahguna

Jamin laporan tidak disalahguna


WALAUPUN prosedur laporan dalam talian memudahkan orang ramai membuat aduan tanpa perlu ke balai polis, ada pihak mencadangkan agar PDRM memberi keutamaan kepada kawalan keselamatan portal aduan bagi melindungi data peribadi pengadu. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Pihak polis perlu memberi jaminan bahawa maklumat peribadi orang ramai yang membuat laporan secara dalam talian melalui portal Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlepas ke tangan pihak ketiga.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jaminan tersebut perlu bagi mengelakkan maklumat peribadi pihak yang memfailkan laporan tidak disalahgunakan.

"Pada masa kini ramai penjenayah juga pakar dalam teknologi maklumat.

"Oleh itu, polis perlu memberi jaminan supaya keselamatan orang ramai yang membuat laporan sentiasa dilindungi," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan PDRM akan memperkenalkan portal laporan dalam talian bagi memudahkan orang ramai membuat laporan tanpa perlu berkunjung ke balai polis mulai tahun depan.

Portal tersebut sedang dibangunkan oleh Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika membuat pengumuman itu berkata, kewujudan portal itu akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil membuat laporan polis dan seterusnya membantu pihak berkuasa membendung jenayah.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


27 menu baharu MFM

Posted:

27 menu baharu MFM

27 menu baharu MFM

DAVID menunjukkan variasi menu baharu yang ditawarkan di rangkaian MF di seluruh negara.


RESTORAN makanan laut berkonsepkan gaya Amerika, The Manhattan Fish Market (MFM) telah sedekad beroperasi di Malaysia.

Sempena ulang tahun ke-10 tahun ini, restoran yang diinspirasikan daripada Fulton Fish Market, pasar ikan yang terkenal di New York, Amerika Syarikat itu memperkenalkan 27 menu baharu yang mampu memenuhi cita rasa penggemar makanan laut di negara ini.

Pengurus Operasinya, David Lee berkata, pengenalan menu baharu itu ialah sebagai penghargaan kepada pelanggan-pelanggan setia MFM selama ini.

Katanya, pihaknya mengambil masa hampir setahun untuk melakukan kajian di samping menghasilkan resipi unik yang disesuaikan mengikut masyarakat di negara ini.

"Biarpun ia masih mengekalkan konsep makanan barat, namun ia telah melalui proses penambahbaikan agar ia mampu memberi pengalaman menjamu selera yang lebih menarik kepada pelanggan.

"Pada masa yang sama, kami turut menekankan penggunaan makanan laut segar yang rata-ratanya diimport dari luar negara seperti Indonesia, Vietnam dan Itali," katanya.

Mengaplikasikan konsep makanan sihat dan segar tanpa berkompromosi soal keenakannya, David memberitahu, kesemua menu baharu itu dihidangkan melalui teknik masakan yang berbeza iaitu panggang, bakar, goreng, mereneh atau dibakar.

Tambah beliau, pelanggan boleh menikmati makanan pembuka selera seperti sate ikan chipotle, ikan panggang yang dihidangkan bersama sos chipotle dan coleslaw atau stu kupang bertomato yang dihidangkan bersama sos tomato berempah serta kepingan baguette.

Bagi mereka yang menggemari pasta boleh mencuba empat pasta makanan laut tersedia seperti scallop Americana, ole vongole, spageti tuna pedas, dan penne salmon berkrim.

"Bagi mereka yang menggemari ikan pula boleh mencuba spicy hot whole fish yang direnih dalam sup pedas dan panas bersama kekapis, sotong, lobak merah, saderi dan bawang.

"Bagi pilihan sajian lazat dan pelbagai pilihan pula, pelanggan boleh mencuba sate kupang kekapis dan ayam ikan kekapis daripada menu Triple Treats, di mana kesemua sajian ini disajikan dengan nasi bawang putih berempah dan sayur-sayuran untuk satu hidangan yang lengkap," jelasnya.

Pelanggan juga boleh mencuba beberapa hidangan premium seperti ikan kod panggang, dori masak keju dan salmon panggang yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Pada perkembangan berkaitan, David berkata, pihaknya merancang untuk menambah tiga lagi cawangan MFM pada tahun hadapan.

"Setakat ini kami sudah mempunyai 18 cawangan di seluruh negara termasuk yang terbaharu di Wangsa Walk, Wangsa Maju, kira-kira dua bulan lalu.

"MFM kini semakin menjadi pilihan penggemar-penggemar makanan laut yang lazat dan segar dengan harga berpatutan," katanya.

Bagi keterangan lanjut berhubung promosi dan perkhidmatan yang ditawarkan MFM boleh layari www.manhattanfishmarket.com atau www.facebook.com/MFM.my atau hubungi talian 03-7842 6188. - AMMAR JAZLAN MAD LELA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM tak layan rayuan - Hamidin

Posted:

FAM tak layan rayuan - Hamidin

FAM tak layan rayuan - Hamidin

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

STADIUM Shah Alam menepati piawaian FAM kerana memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan lebih 1,000 lux.


NAMPAK gayanya, harapan segelintir peminat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi pada waktu malam dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan tidak kesampaian.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan tidak akan melayan rayuan mana-mana pasukan yang terpaksa beraksi pada waktu petang gara-gara stadium mereka tidak menepati piawaian yang ditetapkan badan induk itu sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya kekal dengan keputusan sebelum ini dan tidak akan melayan rayuan mana-mana pasukan terlibat.

"Kami perlu bertindak tegas dan kekal dengan keputusan yang diambil sebelum ini.

"Justeru, tiada sebarang tarikh rayuan akan diberikan kepada mana-mana pasukan yang terlibat dan mereka akan kekal beraksi pada waktu petang," katanya kepada Kosmo! semalam.

Begitupun, Hamidin menegaskan mana-mana pasukan boleh kembali beraksi pada waktu malam setelah menaik taraf stadium masing-masing seperti mana yang sedang dilakukan di Stadium Perak, Ipoh.

"Tiada masalah (kembali menukar venue perlawanan) ke stadium asal jika piawaian itu kembali dipenuhi mana-mana pihak pengurusan stadium.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini bukan hukuman kepada mereka yang tidak menepati piawaian tetapi kita perlu ada standard agar ia setaraf dengan tahap kecerahan peringkat antarabangsa menjelang 2015 iaitu 1,200 lux.

"Pada masa sama, tidak ada salahnya beraksi pada waktu petang kerana ia biasa dilakukan pada temasya yang jauh lebih besar seperti Olimpik, Asia dan mana-mana kejohanan utama.

"Saya tidak rasa ia akan menjatuhkan keupayaan ataupun menjejaskan kemampuan mana-mana pasukan yang terpaksa beraksi pada waktu petang," jelasnya.

Kelmarin, Hamidin menerusi sidang akhbarnya di Wisma FAM memberitahu hanya tujuh stadium sahaja yang menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan lebih 1,000 lux jika ingin mengadakan perlawanan pada sebelah malam berdasarkan peraturan 2013-2014.

Tujuh stadium terbabit ialah Stadium Shah Alam; Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu; Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; Stadium Darul Makmur, Kuantan; Stadium Negeri, Kuching; Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Jalan Besar, Singapura.

Begitupun, beberapa stadium lain seperti Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin; Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Stadium Perak, Ipoh dan Stadium Hang Jebat, Melaka gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan FAM.

Perlawanan sebelah malam akan diadakan seperti biasa seperti sebelum ini iaitu pukul 8.45 malam manakala stadium yang tidak menepati piawaian akan diadakan pukul 4.45 petang.

Johor Darul Takzim tersentap

Posted:

Johor Darul Takzim tersentap

Johor Darul Takzim tersentap

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


BARISAN pemain Johor bersorak gembira selepas menjuarai Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.


APA sudah jadi dengan pasukan Johor Darul Takzim?Meskipun dilabel pasukan paling mahal dengan dibarisi pemain-pemain berstatus bintang, ia bukan jaminan buat mereka meraih kejayaan.

Ia terbukti apabila skuad kendalian Fandi Ahmad itu gagal menjulang Piala Tunku Mahkota Johor.

Tampil beraksi sebagai pasukan pilihan di pentas final malam tadi, Johor Darul Takzim terpaksa akur dengan kehebatan 'rakan sebumbung', Johor apabila tewas 1-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Beraksi di hadapan lebih 30,000 penonton, pasukan Johor Darul Takzim ternyata gagal untuk mempamerkan aksi meyakinkan.

Sebaliknya, pasukan Johor dilihat menampilkan semangat juang yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

Johor Darul Takzim memiliki peluang untuk menjaringkan gol pertama seawal minit kelima, namun sepakan percuma yang dilakukan bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza gagal menembus benteng pertahanan lawan.

Gawang Johor Darul Takzim nyaris bolos pada minit ke-33 apabila penjaga gol, Mohd. Al-Hafiz Hamzah gagal menangkap kemas percubaan pemain import Johor, Muriel Juan Orlando sebelum rakan sepasukannya, Andre Francisco De Silva melakukan tendangan yang melepasi palang gol.

Gol pertama Johor Darul Takzim hadir seminit sebelum babak pertama berakhir setelah Nurul Azuan Roya melepaskan rembatan kencang menggunakan kaki kiri bagi menewaskan penjaga gol, Muhammad Syamim Othman.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing.

Usaha Johor akhirnya mendatangkan hasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi tandukan Orlando.

Orlando kemudiannya mengesahkan kemenangan buat Johor selepas menjaringkan gol kedua melalui rembatan dari luar kotak penalti yang gagal ditampan Mohd. Al-Hafiz pada minit ke-76.

Dengan kejayaan tersebut, pasukan Johor merangkul hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi manakala Johor Darul Takzim pula menerima wang tunai RM10,000.

Pahang pula menduduki tempat ketiga pada kejohanan jemputan empat penjuru itu selepas menewaskan wakil Singapura, Woodlands Wellington 6-0 di Padang Seri Gelam, Johor Bahru semalam.

Kemenangan tersebut sekali gus berjaya menebus kembali kekecewaan Pahang apabila tewas 0-3 kepada Johor dalam aksi sebelum ini.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malaysia bermula langkah kanan

Posted:

Malaysia bermula langkah kanan

Malaysia bermula langkah kanan

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


NAJMUDDIN (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Slavia Praha pada aksi pembukaan Kumpulan A FIC 2012 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.


SKUAD Bawah 15 (B-15) tahun Malaysia bermula garang apabila membelasah kelab Republik Czech, Slavia Praha 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala Antarabangsa Frenz (FIC) 2012 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.

Muhammad Najmuddin Samat muncul sebagai wira skuad B-15 Malaysia apabila meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-26 dan 40.

Muhammad Shahrul Akmal Md. Adnan, Kogileswaran Raj, Ahmad Firdaus Ismail turut mencetak nama selaku penjaring apabila masing-masing menyumbang satu gol.

Biarpun bermula dengan langkah kanan, jurulatih skuad B-15 Malaysia, S. Balachandran berkata, beliau tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat berpuas hati.

Pada masa yang sama, Balachandran menjelaskan bahawa beliau masih dalam proses mengenal pasti pemain-pemain bagi menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-15 pada Februari tahun depan.

"Saya berpuas hati dengan aksi hari ini (semalam) tetapi untuk perlawanan seterusnya nanti, saya akan menukar beberapa lagi pemain untuk memberi peluang kesemua pemain menunjukkan bakat mereka.

"Tujuan utama kami menyertai kejohanan ini adalah untuk memilih pemain-pemain terbaik untuk diserapkan dalam skuad utama Harimau Muda B," kata Balachandran.

Sementara itu, jurulatih Slavia Praha, Vyhnal Pavel pula berkata, barisan pemainnya terlalu banyak melakukan kesilapan mudah yang menyumbang kepada kekalahan besar tersebut.

"Kami akan memperbaiki segala kelemahan yang saya sudah kenal pasti dan akan bangkit dalam perlawanan seterusnya.

"Bermain dalam cuaca panas di sini (Malaysia) tidak memberi sebarang masalah kepada pasukan saya tetapi keadaan itu sedikit mengganggu kerana pemain-pemain saya cepat penat.

"Apa-apa pun, tahniah kepada pasukan atas kemenangan dengan jurang yang besar. Ini satu permulaan yang baik," kata Pavel.

Slavia Praha tampil dengan reputasi tinggi pada kejohanan ini selepas kejayaan mereka menjulang Piala Barcelona di Sepanyol baru-baru ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Frenz United Malaysia juga memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Incheon Selection 3-2.

Gol-gol Frenz United Malaysia dijaringkan oleh Ruzaini Rusli pada minit kelapan dan Mohammad Haziq Hossain (14 dan 26).

Myung Seong dan Choo Min Yeol masing-masing menjaringkan satu gol buat Incheon Selection.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Ariel disiasat polis jalin hubungan dengan isteri orang

Posted:

Ariel disiasat polis jalin hubungan dengan isteri orang

Ariel disiasat polis jalin hubungan dengan isteri orang

JAKARTA - Penyanyi kumpulan muzik Noah, Ariel (gambar) disoal siasat pihak polis kelmarin ekoran dakwaan dia menjalin hubungan dengan seorang pramugari, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.

Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, 31, dilaporkan disoal siasat selama lebih 90 minit di ibu pejabat polis Metro Jaya di sini.

Pramugari berkenaan, Magdalena Awuy yang sudah bersuami dan mempunyai seorang anak didakwa berkenalan dengan Ariel sejak konsert jelajah kumpulan Noah di lima negara pada November lalu.

Namun, bekas penyanyi kumpulan Peterpan itu menafikan dia menjalin hubungan dengan wanita tersebut dan mendakwa ada pihak sengaja menuduhnya.

Berita hubungan sulit mereka mula tersebar di Internet pada 21 November lepas.

Pada 31 Januari 2011, Ariel dihukum penjara tiga tahun setengah kerana terlibat dalam penerbitan pita video seks melibatkan wanita mirip dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.

Dia dibebaskan dari Rumah Tahanan Kebon Waru, Bandung pada Julai lalu. - Agensi

Kuil berusia 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis

Posted:

Kuil berusia 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis

Kuil berusia 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis


TAPAK kuil purba yang ditemui di Tel Motza, Baitulmuqaddis kelmarin.


TEL MOTZA, Israel - Beberapa ahli arkeologi Israel mendakwa telah menemui sebuah kuil dan patung-patung kecil keagamaan berusia kira-kira 3,000 tahun dan dipercayai wujud pada zaman empayar Judah, kata pihak berkuasa antikuiti negara itu kelmarin.

Artifak itu ditemui di Tel Motza, di luar Baitulmuqaddis semasa kerja-kerja arkeologi dilakukan di hadapan sebuah kawasan pembinaan lebuh raya baharu di lokasi terbabit.

"Struktur bangunan keagamaan yang ditemui amat luar biasa dan menarik," kata pengarah penggalian dalam satu kenyataan.

Salah seorang pengarah penggalian, Anna Eirikh memberitahu agensi berita AFP, penemuan tersebut membuktikan terdapat amalan keagamaan ketika zaman empayar Judah.

"Apa yang pasti semua patung kecil yang ditemui digunakan untuk tujuan keagamaan," katanya.

Penemuan bertarikh 9 hingga 10 sebelum Masihi itu membuktikan terdapat kuil pertama dibina di kawasan Baitulmuqaddis. - AFP

Paus finback terdampar di Queens

Posted:

Paus finback terdampar di Queens

Paus finback terdampar di Queens


PENDUDUK berjalan melintasi kawasan di mana ikan paus finback ditemui terdampar di Teluk Jamaica, Breezy Point, Queens pagi kelmarin.


NEW YORK - Seekor ikan paus finback sepanjang 18.28 meter ditemui terdampar di Teluk Jamaica, Breezy Point, Queens pagi kelmarin, kata beberapa pegawai.

Para penyelamat dari Yayasan Riverhead berkata, paus itu kelaparan dan bergelut untuk hidup.

"Ia kelihatan amat kurus dan ini bukanlah situasi yang bagus," kata Pengarah Eksekutif yayasan itu, Rob DiGiovanni.

Polis dan bomba terpaksa menggunakan hos getah untuk menyiram air ke atas ikan paus itu bagi memastikan ia terus hidup.

Menurut Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar negeri, ikan paus finback merupakan spesies kedua terbesar selepas paus biru.

Seekor ikan paus finback berukuran sepanjang 6.09 meter ketika lahir dan boleh membesar sehingga 21.3 meter panjang apabila dewasa. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tiada penularan wabak penyakit di pusat banjir

Posted:

Tiada penularan wabak penyakit di pusat banjir

Tiada penularan wabak penyakit di pusat banjir

28/12/2012 9:26pm

KUANTAN – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di Pantai Timur berada dalam keadaan kesihatan baik dan terkawal daripada sebarang wabak penyakit berjangkit.

Katanya, sehingga ke hari ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai penularan wabak penyakit tertentu di pusat-pusat pemindahan banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Tinjauan tahap kesihatan mangsa dan kebersihan pusat pemindahan sentiasa dilakukan oleh Jabatan Kesihatan, dan setakat ini semua pusat pemindahan yang masih dibuka tiada berlaku penularan wabak penyakit.

"Kita harap dapat kawal keadaan ini dengan baik dan saya minta pihak yang berkaitan sentiasa menjaga kebersihan di pusat pemindahan dan kesihatan mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampai sumbangan serta bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) kepada 182 mangsa banjir daripada 46 keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Galing, di sini, hari ini.

Tiong Lai berkata, mangsa banjir yang telah dibenarkan pulang ke rumah boleh memohon bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan jika memerlukan pertolongan bagi membersihkan rumah.

Dalam lawatan ke SK Galing itu, KP1M turut menyampai sumbangan 150 tilam dan 200 kotak mengandungi kit kesihatan kepada mangsa banjir. – BERNAMA

Sambutan Tahun Baru: Prolintas beri diskaun 20%

Posted:

Sambutan Tahun Baru: Prolintas beri diskaun 20%

Sambutan Tahun Baru: Prolintas beri diskaun 20%

28/12/2012 9:21pm

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menawarkan diskaun tol 20 peratus kepada pengguna tiga lebuh raya kendaliannya sempena sambutan Tahun Baru.

Ketua Eksekutif Kumpulan Prolintas, Ir Zainudin A. Kadir berkata, diskaun itu diberikan mulai 6 pagi Selasa depan sehingga 6 pagi pada 2 Januari di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

"Sebagai tanda penghargaan terhadap penguna, Prolintas berharap dengan pemberian diskaun tol ini dapat menambah keceriaan dalam sambutan menjelang tahun baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA

Penggunaan bahasa ringkas perlu diberi perhatian

Posted:

Penggunaan bahasa ringkas perlu diberi perhatian

Penggunaan bahasa ringkas perlu diberi perhatian

28/12/2012 7:33pm

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pihak berkenaan memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa ringkas yang tidak mengikut kaedah betul kerana bahasa yang popular di kalangan generasi muda itu kini menular dalam aktiviti pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penularan hasil perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu perlu dibendung segera supaya tidak berleluasa seterusnya merosakkan keindahan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Hari ini ejaan-ejaan ringkas yang digunakan dalam mesej pesanan ringkas telah mula dipakai secara agak meluas, termasuk dalam aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di institusi-institusi pendidikan.

"Ini adalah satu fenomena yang perlu dipantau dan dibendung dengan segera supaya ia tidak terus berleluasa," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelaksanaan program pemantauan dan Audit Bahasa Melayu yang dijalankan DBP diharap berupaya mengelak keindahan bahasa kebangsaan itu daripada dirosakkan. – BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Dulu suri rumah, kini usahawan

Posted:

Dulu suri rumah, kini usahawan

Dulu suri rumah, kini usahawan

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my.

TIADA siapa yang menolak prubahan jika itu akan membawa kepada kehidupan yang lebih selesa. Dalam menjalani rutin harian di kota besar yang berpaksikan kuasa berbelanja, keupayaan meneruskan kelangsungan hidup sememangnya menjadi taruhan.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengecapi kesenangan hidup. Selain ada yang memilih pekerjaan yang menyalahi norma masyarakat dan undang-undang, ada pula yang mengambil jalan mudah untuk cepat kaya tanpa perlu bersusah-payah memerah keringat dengan menyertai perniagaan skim cepat kaya.

Malangnya, janji-janji manis untuk menuai hasil berganda berakhir dengan episod si mangsa berputih mata.

Hakikatnya, amat sukar untuk percaya jika ada pihak yang mendakwa dirinya menjadi kaya dan hidup senang dalam sekelip mata tanpa berusaha.

Begitu juga dengan kisah dua orang wanita cekal yang ditemui Kosmo!. Usaha gigih kedua-duanya untuk menikmati kehidupan yang lebih baik menjadi realiti. Semuanya kerana berkat jerih perih bersengkang mata menjahit.

Jika dahulu Norhaniza Abu Hassan, 38, hanya memperoleh pendapatan kurang daripada RM500 sebulan hasil tempahan menjahit, namun segalanya berubah tiga tahun lalu selepas wanita berasal dari Seri Iskandar, Perak itu menyertai Program 1 Azam.

Kemahiran niaga

"Saya memang minat menjahit dan mengambil tempahan beroperasi dari rumah secara kecil-kecilan sebelum menyertai program tersebut.

"Kini, banyak pengetahuan yang diperoleh. Saya mempelajari selok-belok berniaga seperti cara mempromosikan barangan dan kaedah mempelbagaikan produk jahitan terutamanya melibatkan jahitan kreatif," kata suri rumah yang mempunyai dua cahaya mata itu.

Jika sebelum ini ada kenalan Norhaniza yang tidak yakin atau percaya pada kebolehannya, namun dia menjadikan kata-kata tersebut sebagai cabaran yang harus dibuktikan sebaliknya.

Berbekalkan ilmu jahitan yang diperoleh daripada program tersebut, Norhaniza kini menerima pelbagai tempahan jahitan seperti langsir, pakaian, hantaran perkahwinan, cenderamata, tag nama sekolah, sarung kusyen dan banyak lagi.


MEJA kreatif ini boleh digunakan sebagai meja serba guna.


Kini, Norhaniza mampu menjana pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan atau lebih mengikut musim.

"Dengan menggunakan mesin jahit berjenama Janome dan mengikuti program di Pusat Latihan Kraftangan Epal, apa yang kita hajati semuanya dapat dilakukan dengan mesin ini.

"Buat masa ini, saya menjalankan operasi menjahit dari rumah dan dalam proses mencari kedai," ujarnya sambil memberitahu bahawa dulu dirinya tiada keyakinan diri untuk bercakap dengan orang ramai apatah lagi mahu mempromosikan hasil tangannya.

Perubahan landskap kehidupannya sekeluarga kini bukan terjadi dalam masa sehari dua. Baginya, rezeki sentiasa ada bagi mereka yang terus berusaha.

Tiada kata yang dapat diceritakan oleh wanita itu saat diminta mengimbas kembali saat kehidupannya dahulu yang cukup-cukup makan. Norhaniza bersyukur dan mengakui kehidupannya lebih baik berbanding sebelumnya.

Tiada kemahiran

Berkongsi kronologi cerita yang lebih kurang sama, Rohaya Shaari, 40, tidak segan mengaku bahawa dirinya tidak punya pengetahuan luas dalam bidang jahitan. Sebelum ini, dia sekadar mengambil tempahan membuat baju daripada saudara-mara.

Namun, setelah mengikuti program tersebut selama tiga bulan, ibu kepada dua cahaya mata itu belajar asas jahitan hingga menguasai pelbagai kemahiran jahitan kreatif.

"Daripada tiada apa-apa kemahiran, kini saya mampu membuka sebuah kedai jahit dan menerima pelbagai tempahan jahitan.

"Sebelum ini susah untuk saya mendapatkan pelanggan kerana tidak tahu asas perniagaan apatah lagi menjahit. Program 1 Azam ini melatih segala-galanya mengenai jahitan dan cara untuk memasarkan produk," katanya yang menetap di Taman Sri Subang, Petaling Jaya.


JEAN terpakai boleh diolah secara kreatif menjadi jaket dan beg sandang.


Ceritanya, ketika dia meluahkan hasrat untuk membuka kedai jahit, ada dalam kalangan rakan-rakannya yang memperlekehkan niatnya itu.

Oleh kerana mahu membuktikan dirinya mampu pergi lebih jauh dan berjaya, berbekalkan modal RM4,000, Rohaya nekad menyewa sebuah kedai kecil di Petaling Jaya.

Bermula dengan operasi secara sendirian, Rohaya sejak lima bulan lalu sudah mempunyai dua orang pekerja dalam kalangan ibu tunggal.

Walaupun penuh ilmu di dada, Rohaya yang kini memiliki sebuah butik di pusat beli-belah Amcorp Mall mendapat sokongan dan galakan sepenuhnya daripada suami tercinta yang tidak lokek berkongsi ilmu andai ada yang berminat untuk mempelajarinya.

"Ia seperti satu kepuasan dapat berkongsi apa yang dipelajari dengan orang lain. Biasanya saya akan mengajar apa yang mereka mahukan.

"Jika dulu hanya menjahit baju kurung, kini saya menerima pelbagai jenis tempahan seperti langsir, kotak pensil, tudung, cenderamata, tag nama sekolah dan sebagainya," ujarnya yang meraih pendapatan RM2,000 hingga RM5,000 sebulan mengikut musim.

Bagi Rohaya, Program 1 Azam mampu membantu golongan susah dan kurang bernasib baik terutamanya ibu-ibu tunggal.

"Apabila peluang sudah ada, mereka yang terlibat perlu ada kesungguhan untuk memajukan diri," katanya penuh makna.

Mendaki untuk raikan kehidupan

Posted:

Mendaki untuk raikan kehidupan

Mendaki untuk raikan kehidupan

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


PARA sukarelawan mengambil kesempatan bergambar di puncak Bukit Broga sebagai tanda mereka pernah menaklukinya.


KETIKA orang lain lena diulit mimpi, lebih 170 orang peserta sudah lengkap menyarungkan baju T berwarna kuning dan putih begitu teruja untuk memulakan pendakian menakluk Bukit Broga, Semenyih, Selangor seawal 6.30 pagi baru-baru ini.

Masing-masing membawa kain pengikat kepala berwarna kuning, biru dan hijau tertera nama-nama individu yang berlainan. Ada antara mereka yang membawa tiga nama yang diikat di kepala dan di kedua-dua lengan.

Nama-nama yang dibawa merupakan individu menghidap penyakit buah pinggang yang tidak mampu mendaki Bukit Broga dalam aktiviti pendakian amal Celebrate Life anjuran MAA Medicare.

"Aktiviti ini dianjurkan bagi mengumpul dana untuk menampung kos perubatan pesakit buah pinggang yang kian bertambah saban tahun begitu juga bilangannya di Pusat Dialisis MAA Medicare di Lembah Klang Jalan Ipoh, Sungai Besi dan Kajang.

"Peserta yang membuat pendakian amal hari ini terdiri daripada pesakit, ahli keluarga pesakit, penderma, penyokong dan sukarelawan daripada Universiti of Nottingham serta kakitangan MAA Medicare," kata Naib Presiden Kanan MAA Medicare, Aliyah Karen.

Aktiviti pendakian tersebut kali pertama diadakan mendapat sokongan penuh daripada para sukarelawan para pesakit.

Bawa kesedaran

Menurut Aliyah, objektif penganjuran aktiviti tersebut lebih kepada meningkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa seriusnya penyakit buah pinggang kronik dan bilangan pesakit buah pinggang semakin meningkat di Malaysia.

"Kami mahu membantu para pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan subsidi sejajar dengan misi kami mengurangkan beban kewangan mereka dengan menyediakan akses dialisis berkualiti, penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan pada kos subsidi.

"Dalam masa yang sama, kami mahu pesakit-pesakit buah pinggang ini merasai pengalaman menikmati suasana berbeza daripada pusat dialisis dengan menghirup udara segar sekali gus memberikan mereka harapan," ujarnya.


PERCAYA atau tidak,ada dalam kalangan sukarelawan yang mendaki Bukit Broga lebih daripada sekali mengikut jumlah pesakit yang diwakili mereka.


Ada juga dalam kalangan pesakit mendaki Bukit Broga separuh jalan untuk menikmati keindahan alam hijau dan menghirup udara yang nyaman. Walaupun tidak sampai ke puncak, semangat yang dizahirkan mereka harus dipuji.

Warna kain pengikat kepala mewakili pusat dialisis MAA Medicare berlainan. Kuning mewakili pusat dialisis di Kajang, biru untuk Jalan Ipoh dan hijau pula daripada Sungai Besi. Ketiga-tiga pusat dialisis tersebut menampung 182 pesakit.

Sambutan menggalakkan

"Walaupun pendakian amal tersebut kali pertama dianjurkan, sambutannya sangat menggalakkan. Bagi menjayakan aktiviti ini kami mendapat penajaan sebanyak RM9,000.

"Bagi pesakit yang tidak berpeluang mendaki, kami akan berikan gambar-gambar sukarelawan kepada pesakit yang diwakili mereka," katanya yang bercadang mengajurkan aktiviti pendakian amal tersebut pada tahun hadapan jika sambutan menggalakkan.


BAGI mereka yang sampai ke puncak Bukit Broga, rasa puas itu dirasakan berganda.


Perancangan penganjuran aktiviti pendakian amal Celebrate Life dilakukan selama dua bulan hasil idea kakitangan di MAA Medicare Kajang, Siti Zamidah Muhammad, 25.

"Pada mulanya, saya merancang aktiviti ini untuk MAA Medicare Kajang sahaja, tidak sangka pula ia mendapat perhatian untuk dijadikan acara amal buat semua pusat MAA Medicare di Lembah Klang," katanya yang mendaki Bukit Broga bersama teman-temannya pada hujung minggu.

Dalam pada itu, Gloria Netto, 21, begitu teruja mendaki Bukit Broga sambil tiga nama diikat pada kepala dan di kedua-dua lengannya.

"Tidak rasa penat langsung mendaki bukit ini kerana semangat tiga individu lain bersama dengan saya iaitu Lau Fook Ying, Baharudin dan Yap Woon Soon.

"Saya akan sentiasa menyokong program-program sukarelawan seumpama ini," kata penuntut di Kolej Damansara Utama, Petaling Jaya itu.

Seorang pesakit yang ditemui, Baharudin Mohd. Din, 65, yang sudah 12 tahun menghidap sakit buah pinggang dan menjalani dialisis memberitahu walaupun tidak berpeluang mendaki Bukit Broga, dia merasakan seolah-olah dia mendakinya sendiri.

"Program sebegini sangat bagus kerana dapat mendekatkan golongan muda berbakti kepada pesakit yang sebelum ini jarang diberi perhatian.

"Harap program ini diteruskan pada tahun akan datang," katanya.

Bagi menutup acara amal tersebut, satu sesi cabutan bertuah diadakan sebagai simbol penghargaan buat para sukarelawan di kaki Bukit Broga.

Lelaki perut besar berisiko kencing kerap

Posted:

Lelaki perut besar berisiko kencing kerap

Lelaki perut besar berisiko kencing kerap


LELAKI obes terdedah pada masalah tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit kardiovaskular.


LELAKI dengan perut besar kencing dengan lebih kerap berbanding mereka yang kurus.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Weill Medical College, Cornell University di New York mendapati kaum Adam dengan ukur lilit perut melebihi 100 sentimeter didapati berdepan masalah tersebut tiga kali lebih besar berbanding lelaki berukuran 90 sentimeter atau kurang.

Mereka juga mendapati ukuran perut turut berkaitan dengan tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular, diabetes Jenis 2 selain masalah ereksi serta pancutan.

"Epidemik global obesiti dan diabetes membawa kepada peningkatan mendadak bilangan mereka yang menghidap sindrom metabolik iaitu termasuk obesiti sentral, penolakan glukosa serta paras kolesterol dan tekanan darah tinggi," kata salah seorang penulis British Journal of Urology International (BJUI), Dr. Steven A. Kaplan.

Kumpulan penyelidik itu turut menganalisa hubungan antara saiz perut dan risiko masalah lebih besar dari pelbagai sudut seperti urologi, seksual, metabolik dan kardiovaskular. Ia menunjukkan bahawa ukur lilit yang besar menyumbang kepada 39 peratus masalah prostat selain bilangan antigen prostat meningkat 111 peratus.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved