Jumaat, 28 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM tak layan rayuan - Hamidin

Posted:

FAM tak layan rayuan - Hamidin

FAM tak layan rayuan - Hamidin

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

STADIUM Shah Alam menepati piawaian FAM kerana memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan lebih 1,000 lux.


NAMPAK gayanya, harapan segelintir peminat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi pada waktu malam dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan tidak kesampaian.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan tidak akan melayan rayuan mana-mana pasukan yang terpaksa beraksi pada waktu petang gara-gara stadium mereka tidak menepati piawaian yang ditetapkan badan induk itu sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya kekal dengan keputusan sebelum ini dan tidak akan melayan rayuan mana-mana pasukan terlibat.

"Kami perlu bertindak tegas dan kekal dengan keputusan yang diambil sebelum ini.

"Justeru, tiada sebarang tarikh rayuan akan diberikan kepada mana-mana pasukan yang terlibat dan mereka akan kekal beraksi pada waktu petang," katanya kepada Kosmo! semalam.

Begitupun, Hamidin menegaskan mana-mana pasukan boleh kembali beraksi pada waktu malam setelah menaik taraf stadium masing-masing seperti mana yang sedang dilakukan di Stadium Perak, Ipoh.

"Tiada masalah (kembali menukar venue perlawanan) ke stadium asal jika piawaian itu kembali dipenuhi mana-mana pihak pengurusan stadium.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini bukan hukuman kepada mereka yang tidak menepati piawaian tetapi kita perlu ada standard agar ia setaraf dengan tahap kecerahan peringkat antarabangsa menjelang 2015 iaitu 1,200 lux.

"Pada masa sama, tidak ada salahnya beraksi pada waktu petang kerana ia biasa dilakukan pada temasya yang jauh lebih besar seperti Olimpik, Asia dan mana-mana kejohanan utama.

"Saya tidak rasa ia akan menjatuhkan keupayaan ataupun menjejaskan kemampuan mana-mana pasukan yang terpaksa beraksi pada waktu petang," jelasnya.

Kelmarin, Hamidin menerusi sidang akhbarnya di Wisma FAM memberitahu hanya tujuh stadium sahaja yang menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan lebih 1,000 lux jika ingin mengadakan perlawanan pada sebelah malam berdasarkan peraturan 2013-2014.

Tujuh stadium terbabit ialah Stadium Shah Alam; Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu; Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; Stadium Darul Makmur, Kuantan; Stadium Negeri, Kuching; Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Jalan Besar, Singapura.

Begitupun, beberapa stadium lain seperti Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin; Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Stadium Perak, Ipoh dan Stadium Hang Jebat, Melaka gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan FAM.

Perlawanan sebelah malam akan diadakan seperti biasa seperti sebelum ini iaitu pukul 8.45 malam manakala stadium yang tidak menepati piawaian akan diadakan pukul 4.45 petang.

Johor Darul Takzim tersentap

Posted:

Johor Darul Takzim tersentap

Johor Darul Takzim tersentap

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


BARISAN pemain Johor bersorak gembira selepas menjuarai Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.


APA sudah jadi dengan pasukan Johor Darul Takzim?Meskipun dilabel pasukan paling mahal dengan dibarisi pemain-pemain berstatus bintang, ia bukan jaminan buat mereka meraih kejayaan.

Ia terbukti apabila skuad kendalian Fandi Ahmad itu gagal menjulang Piala Tunku Mahkota Johor.

Tampil beraksi sebagai pasukan pilihan di pentas final malam tadi, Johor Darul Takzim terpaksa akur dengan kehebatan 'rakan sebumbung', Johor apabila tewas 1-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Beraksi di hadapan lebih 30,000 penonton, pasukan Johor Darul Takzim ternyata gagal untuk mempamerkan aksi meyakinkan.

Sebaliknya, pasukan Johor dilihat menampilkan semangat juang yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

Johor Darul Takzim memiliki peluang untuk menjaringkan gol pertama seawal minit kelima, namun sepakan percuma yang dilakukan bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza gagal menembus benteng pertahanan lawan.

Gawang Johor Darul Takzim nyaris bolos pada minit ke-33 apabila penjaga gol, Mohd. Al-Hafiz Hamzah gagal menangkap kemas percubaan pemain import Johor, Muriel Juan Orlando sebelum rakan sepasukannya, Andre Francisco De Silva melakukan tendangan yang melepasi palang gol.

Gol pertama Johor Darul Takzim hadir seminit sebelum babak pertama berakhir setelah Nurul Azuan Roya melepaskan rembatan kencang menggunakan kaki kiri bagi menewaskan penjaga gol, Muhammad Syamim Othman.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing.

Usaha Johor akhirnya mendatangkan hasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi tandukan Orlando.

Orlando kemudiannya mengesahkan kemenangan buat Johor selepas menjaringkan gol kedua melalui rembatan dari luar kotak penalti yang gagal ditampan Mohd. Al-Hafiz pada minit ke-76.

Dengan kejayaan tersebut, pasukan Johor merangkul hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi manakala Johor Darul Takzim pula menerima wang tunai RM10,000.

Pahang pula menduduki tempat ketiga pada kejohanan jemputan empat penjuru itu selepas menewaskan wakil Singapura, Woodlands Wellington 6-0 di Padang Seri Gelam, Johor Bahru semalam.

Kemenangan tersebut sekali gus berjaya menebus kembali kekecewaan Pahang apabila tewas 0-3 kepada Johor dalam aksi sebelum ini.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malaysia bermula langkah kanan

Posted:

Malaysia bermula langkah kanan

Malaysia bermula langkah kanan

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


NAJMUDDIN (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Slavia Praha pada aksi pembukaan Kumpulan A FIC 2012 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.


SKUAD Bawah 15 (B-15) tahun Malaysia bermula garang apabila membelasah kelab Republik Czech, Slavia Praha 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala Antarabangsa Frenz (FIC) 2012 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.

Muhammad Najmuddin Samat muncul sebagai wira skuad B-15 Malaysia apabila meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-26 dan 40.

Muhammad Shahrul Akmal Md. Adnan, Kogileswaran Raj, Ahmad Firdaus Ismail turut mencetak nama selaku penjaring apabila masing-masing menyumbang satu gol.

Biarpun bermula dengan langkah kanan, jurulatih skuad B-15 Malaysia, S. Balachandran berkata, beliau tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat berpuas hati.

Pada masa yang sama, Balachandran menjelaskan bahawa beliau masih dalam proses mengenal pasti pemain-pemain bagi menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-15 pada Februari tahun depan.

"Saya berpuas hati dengan aksi hari ini (semalam) tetapi untuk perlawanan seterusnya nanti, saya akan menukar beberapa lagi pemain untuk memberi peluang kesemua pemain menunjukkan bakat mereka.

"Tujuan utama kami menyertai kejohanan ini adalah untuk memilih pemain-pemain terbaik untuk diserapkan dalam skuad utama Harimau Muda B," kata Balachandran.

Sementara itu, jurulatih Slavia Praha, Vyhnal Pavel pula berkata, barisan pemainnya terlalu banyak melakukan kesilapan mudah yang menyumbang kepada kekalahan besar tersebut.

"Kami akan memperbaiki segala kelemahan yang saya sudah kenal pasti dan akan bangkit dalam perlawanan seterusnya.

"Bermain dalam cuaca panas di sini (Malaysia) tidak memberi sebarang masalah kepada pasukan saya tetapi keadaan itu sedikit mengganggu kerana pemain-pemain saya cepat penat.

"Apa-apa pun, tahniah kepada pasukan atas kemenangan dengan jurang yang besar. Ini satu permulaan yang baik," kata Pavel.

Slavia Praha tampil dengan reputasi tinggi pada kejohanan ini selepas kejayaan mereka menjulang Piala Barcelona di Sepanyol baru-baru ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Frenz United Malaysia juga memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Incheon Selection 3-2.

Gol-gol Frenz United Malaysia dijaringkan oleh Ruzaini Rusli pada minit kelapan dan Mohammad Haziq Hossain (14 dan 26).

Myung Seong dan Choo Min Yeol masing-masing menjaringkan satu gol buat Incheon Selection.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved