Isnin, 13 Januari 2014

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Hasan Malek panggil Presma

Posted:

Hasan Malek panggil Presma

Hasan Malek panggil Presma

HASAN (tengah) dan timbalannya, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah (kiri) meninjau barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia di Pudu Sentral, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memanggil Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bagi mendapatkan penjelasan mengenai cadangan restoran ahli-ahlinya untuk menaikkan harga makanan sebanyak lima hingga 15 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian yang dapat menjamin kepentingan semua pihak.

"Saya akan jumpa dengan mereka, mungkin ada pertanyaan dan kita akan cari jalan penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur di Pudu Sentral di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed bahawa persatuan itu akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi taklimat kepada kira-kira 6,000 ahlinya berhubung cadangan kenaikan harga itu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Timbalan Menteri ditumbuk cikgu

Posted:

Timbalan Menteri ditumbuk cikgu

Timbalan Menteri ditumbuk cikgu

Oleh SUHANA YUSOP, SHAHRULANOOR ISHAK dan NUR AISHAH AMIN
berita@kosmo.com.my


KAMALANATHAN yang cedera dirawat sebagai pesakit luar
di Hospital Kuala Kubu Bharu kelmarin.


RAWANG - Kira-kira 20 orang yang berada di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bukit Beruntung dekat sini kelmarin tergamam menyaksikan P. Kamalanathan (gambar kecil) ditumbuk oleh seorang cikgu yang berang selepas mengesyaki Timbalan Menteri Pendidikan itu bersikap tidak wajar terhadap bapanya.

Kejadian pada pukul 2.30 petang itu dikatakan berlaku sebelum Kamalanathan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mengadakan mesyuarat bersama 20 anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor.

Sebelum memulakan mesyuarat, Kamalanathan, 48, yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor bersalaman dengan semua yang hadir.

"Semasa bersalaman itu datang seorang lelaki yang dikenali berusia 30 tahun untuk berjabat tangan dengan Kamalanathan tetapi lelaki itu dikatakan menggenggam kuat tangan Kamalanathan," kata sumber itu.

Kamalanathan yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena bertanya mengenai tindakan lelaki itu sebelum cikgu itu bertanya Kamalanathan kenapa dia bersikap tidak wajar terhadap bapanya.

Serentak pertanyaan itu, lelaki yang mengajar di sebuah sekolah di Batang Kali dikatakan terus melepaskan satu tumbukan kuat ke leher Kamalanathan sebelum meninggalkan pusat khidmat itu.


DI ruang pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bukit Beruntung inilah Kamalanathan didakwa ditumbuk oleh seorang guru lelaki.


Sumber itu memberitahu, siasatan polis mengesyaki suspek naik berang selepas beranggapan Kamalanathan bertindak mengusir bapanya yang juga bekas seorang guru besar yang datang berjumpa dengan mangsa semasa program pemeriksaan mata di pusat khidmat itu antara pukul 8 pagi hingga 2 petang pada hari sama.

"Semasa pertemuan itu, bapa suspek dikatakan memohon supaya menantunya (isteri suspek) yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Batu Pahat, Johor ditukarkan ke Hulu Selangor.

"Bagaimanapun, Kamalanathan memberitahu, dia hanya boleh memberi surat sokongan dan tidak lebih daripada itu sambil menerangkan guru Bahasa Inggeris memang sukar untuk ditukarkan," kata sumber itu lagi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kerajaan komited pertahan kesucian Islam

Posted:

Kerajaan komited pertahan kesucian Islam

Kerajaan komited pertahan kesucian Islam

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
megat@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, kerajaan akan terus komited mempertahankan kesucian agama Islam daripada dicemari dan diganggu-gugat oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, kerajaan juga komited menobatkan syiar dan syariat Islam sebagai acuan pemerintahan sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan.

Menurutnya, sebagai sebuah negara Islam yang meletakkan maqasid syariah sebagai paksi pentadbiran negara, kerajaan akan terus berusaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

"Kejayaan Malaysia dalam usaha mengembangkan Islam dan mengamalkan demokrasi telah mendapat pengiktirafan pemimpin-pemimpin dunia termasuk pemimpin Turki dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Memenuhi segenap kehendak wanita

Posted:

Memenuhi segenap kehendak wanita

Memenuhi segenap kehendak wanita

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PELBAGAI kasut
yang siap turut
disediakan kepada
pelanggan.


SEPASANG sepatu yang cantik dan menepati cita rasa fesyen serta selesa dipakai sememangnya menjadi impian setiap wanita. Lebih-lebih lagi, dalam kalangan penggemar fesyen yang bukan sekadar inginkan sepasang sepatu, malah cuba memadankannya dengan setiap pakaian yang dimiliki.

Ini sekali gus menambah dan mempelbagaikan koleksi kasut, menjadikan ia sebagai aksesori wajib bukan sekadar satu mahupun dua pasang, sebaliknya beberapa pasang dalam warna dan rekaan yang berbeza.

Wanita bertubuh kecil, Norazira Pudzir, 31, dari Kuala Lumpur, juga tidak ketinggalan mendapatkan kasut yang disukainya. Sedia membelanjakan wang lebih supaya tapak kakinya sentiasa terjaga tanpa mengabaikan fesyen terkini, Norazira yang lebih dikenali Zira masih terasa ada kekurangan setiap kali ingin membeli kasut baharu.

Sambil menayangkan kakinya, Zira mencebik bibir dan berkata, "Setiap kali saya menyukai suatu rekaan, saya tentu tidak dapat memilikinya. Ini kerana, saya sukar mendapat saiz kasut yang sesuai dengan kaki saya. Ini memaksa saya membeli apa yang ada di rak dan kebanyakannya yang ditawarkan bukanlah saiz yang diperlukan," ujarnya yang memakai kasut bersaiz dua atau tiga.

Masalah saiz

Selama ini, Zira hanya memilih kasut yang terbuka di bahagian belakang kerana saiz kasut paling kecil yang sering ditemuinya hanya bersaiz tiga atau empat.

Menurutnya, dia akan menghadapi masalah kasut longgar yang ketara apabila berjalan jika kasut tertutup dipilih.

Ini terus menyebabkan dia tidak berpeluang membeli kasut yang diminatinya.

Bahkan, semua kasut yang dibeli selama ini juga lebih besar daripada saiz kaki beliau. Ini menyebabkan Zira seakan-akan putus harapan untuk memperoleh kasut yang selesa dan disukainya.

Namun, baru-baru ini, wanita tersebut dapat menarik nafas lega apabila dia mendapat tahu tentang kewujudan sebuah butik yang menawarkan kasut bersaiz kecil dan boleh ditempah mengikut rekaan yang diminati.

"Saya sangat teruja apabila mengetahui tentang butik Natasha Handmade melalui satu laporan akhbar tempatan. Tanpa melengahkan masa, saya telah membuat panggilan dan mengatur temujanji untuk ke butik ini pada minggu berikutnya.

"Bukan sahaja saya kini lega kerana memiliki sepasang kasut yang bersesuaian dengan saiz kaki tetapi saya juga boleh menyarungkan kasut dengan rekaan terkini dan yang tertutup di bahagian belakang tanpa rasa gentar sama ada ia akan kelihatan longgar apabila berjalan," katanya.

Selesa


NATASHA HANDMADE memberi penekanan terhadap penghasilan kasut selesa yang menepati cita rasa fesyen pelanggan.


Natasha Handmade merupakan sebuah butik kasut yang menawarkan perkhidmatan tempahan kasut mengikut saiz kaki, warna pilihan dan rekaan pelanggan.

"Walau bagaimanapun, Natasha Handmade bukan sekadar itu sahaja. Ramai berpendapat kasut tempahan hanya untuk individu yang mempunyai masalah kaki, namun demikian mereka mungkin tidak sedar mengapa sesetengah pihak lebih menggemari kasut yang ditempah," terang pemilik Natasha Handmade, Sherlina Doraimani, 50-an, ketika ditemui di Plaza Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Katanya, wanita yang memiliki saiz kaki yang kecil seperti saiz dua dan tiga mahupun yang besar seperti saiz 12 hingga 14 sering menghadapi masalah untuk mendapatkan kasut yang sesuai dari kedai-kedai biasa.

"Oleh itu, apabila Natasha Handmade menyediakan khidmat tempahan kasut, ia membuka lembaran baharu kepada mereka mendapatkan sepasang sepatu yang selesa dan disukai.

"Pelanggan dengan saiz kaki yang unik sememangnya sebahagian besar daripada pelanggan kami," ujarnya.

Bagi Zira misalnya, kunjungan sulung beliau ke butik berkenaan terus menarik perhatiannya. Tanpa rasa ragu-ragu wanita tersebut terus membeli tiga pasang kasut yang sedia dijual di situ. Tidak cukup dengan itu, dia turut menempah sepasang kasut lagi.

"Saya amat gembira. Kebetulan saya bakal melangsungkan majlis perkahwinan tidak lama lagi, jadi saya fikir ia tepat pada masanya untuk membuat sepasang kasut istimewa," jelasnya.

Selain saiz yang menjadi tuntutan utama, Sherlina akui terdapat banyak sebab pelanggan memilih kasut ditempah khas.

"Misalnya untuk mengatasi masalah bunion pada bahagian sisi kaki yang merupakan satu keadaan biasa yang dialami dalam kalangan pengguna kasut bertumit tinggi," jelasnya.

Mengelakkan rasa sakit

Sherlina berkata, mereka dengan masalah bunion lazimnya bersikap memaksa dengan memakai kasut biasa dan sedia menghadapi rasa sakit. Tetapi, apabila kasut ditempah, ukuran kaki diambil dan kasut dijahit mengikut struktur bentuk kaki, sekali gus membantu pengguna mengelakkan rasa sakit yang dialami.

"Ada juga yang mempunyai kaki kanan atau kiri yang lebih besar daripada yang satu lagi. Tidak ketinggalan, ada pelanggan yang ke sini tanpa masalah besar tetapi hanya inginkan kasut yang sesuai untuk kaki masing-masing atau mereka yang peka terhadap kesihatan tapak kaki," ujarnya.

Daripada rekaan, warna dan padanan material, kasut-kasut yang ditempah di Natasha Handmade dihasilkan dengan teliti agar mengikut keselesaan pengguna.

Menurut pengusaha ini, penghasilan kasut dilakukan selepas sesi perbincangan rapi dengan pelanggan.

"Kami akan saling memberi dan menerima pendapat pelanggan. Ada di antara mereka yang lebih gemar menerima nasihat saya dan ramai juga yang sudah mempunyai buah fikiran sendiri.

"Ini sekali gus membuktikan kepekaan pelanggan terhadap fesyen," katanya.

Kasut-kasut tempahan khas Natasha Handmade ditawarkan pada harga serendah RM100 sehingga RM2,000 sepasang, bergantung kepada rekaan dan keperluan pelanggan.

Daripada pensyarah kepada pereka kasut

Posted:

Daripada pensyarah kepada pereka kasut

Daripada pensyarah kepada pereka kasut


SHERLINA sedia memberikan khidmat terbaik dengan menyediakan sepasang kasut yang paling selesa untuk pelanggan Natasha Handmade.


SHERLINA Doraimani, tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia rekaan kasut kecuali minat dalam bidang perniagaan yang telah mendorongnya ke tahap yang dicapai masa ini.

Perniagaan dalam butik kasut, Natasha Handmade, dilihat sebagai hanya satu kebetulan selepas dia memilih untuk berkecimpung dalam arena perniagaan.

"Saya tidak belajar apa-apa mengenai dunia rekaan fesyen, khususnya kasut sebelum itu.

"Hanya kerana tidak mahu makan gaji dan mahu menjalankan perniagaan sendiri, saya membeli kedai kasut ini yang pada ketika itu terletak di Dayabumi daripada seorang wanita kira-kira 20 tahun yang lalu" ujarnya membuka bicara.

Merupakan seorang bekas pensyarah sains komputer di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Sherlina berkata, dia bernasib baik kerana wanita yang menjual kedai tersebut bersedia mengajarnya selok-belok perniagaan dan seni rekaan kasut.

"Rentetan itu, saya menubuhkan butik ini menggunakan nama anak saya, Natasha," jelas ibu kepada dua orang anak yang bernama Natasha dan Nathaniel ini.

Menariknya, nama anak-anak beliau juga digunakan untuk kasut tempahan wanita dan lelaki di butiknya.

"Saya puas hati apabila dapat menyediakan kasut pilihan pelanggan.

"Rata-rata pelanggan saya akan kembali kepada saya kerana mereka berpendapat kasut Natasha Handmade tahan lama dan menepati kehendak," katanya.

Tidak setakat menyediakan kasut impian pelanggan, Sherlina memberitahu bahawa perniagaan itu juga menyediakan khidmat nasihat penjagaan kasut, khidmat selepas jualan dan nasihat fesyen mengenai padanan kasut dengan pakaian.

"Pengalaman saya dalam bidang ini membantu saya mengetahui kehendak pelanggan dengan mudah.

"Ini juga membuka peluang kepada saya bekerjasama dengan pihak-pihak penganjur acara ratu cantik seperti Miss Malaysia Kebaya dan Miss Malaysia Sari yang diadakan baru-baru ini," katanya.

Aksesori diraja Britain di Starhill

Posted:

Aksesori diraja Britain di Starhill

Aksesori diraja Britain di Starhill


GARRARD tersergam indah di Starhill Gallery.


MENJADI aksesori pilihan perhiasan kerabat diraja Britain sejak berabad-abad lamanya, Garrard yang menjadi tarikan penggemar barangan kemas mewah bertaraf antarabangsa, kini membuka pintunya di Malaysia.

Menerusi pameran yang diadakan di pusat beli-belah Starhill Gallery, A Journey Through Time VII, Garrard memukau pengunjung dengan koleksi baharunya, Tudor Rose.

Koleksi tersebut terdiri daripada 30 jenis aksesori, sekali gus menawarkan pelbagai pilihan barang kemas dengan ciri-ciri klasik.

Pada majlis prebiu baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Garrard, Eric Deardorff berkongsi mengenai keagungan jenama Garrard dengan memberikan tumpuan utama kepada koleksi Tudor Rose, tanpa mengetepikan koleksi High Jewellery dan tiara mereka.

"Koleksi pertama yang direka oleh Ketua Pereka Garrard, Sara Prentice memang satu permulaan yang menakjubkan. Kami mahu pelanggan berpeluang memilih keperibadian tersendiri menerusi koleksi ini.

"Ia bukan saja sesuaian dengan diri seseorang, tetapi mengubah personaliti si pemakai," katanya.

Apa yang menarik mengenai tukang emas terkenal ini ialah beliau sentiasa mempunyai hubungan jarak jauh dengan Malaysia dan ia dibuktikan apabila Garrard merupakan antara jenama barangan kemas pilihan keluarga diraja di negara ini.

"Garrard juga turut membuat trofi rasmi untuk World Match Racing Tour yang diadakan pada Piala Monsun di Terengganu, November lalu," ujar Deardorff.


GARRARD menawarkan koleksi barangan kemas diraja.


Barang kemas tertua

Sejarah pusat barangan kemas yang tertua di dunia itu bermula sejak tahun 1735 oleh pengasasnya, George Wickes di London. Tidak lama selepas perniagaan itu bertapak, beliau telah dipilih sebagai tukang emas Putera Wales. Pada tahun 1802, nama Garrard telah diperkukuh apabila Robert Garrard mengambil alih perniagaan tersebut dengan legasinya diteruskan oleh anak-anak beliau iaitu Robert Garrard II, James dan Sebastian selepas kematiannya pada tahun 1818.

Tumpuan terhadap kemewahan, keindahan dan keperincian rekaan telah meneruskan kejayaan jenama itu pada abad ke-19 dengan tempahan-tempahan daripada golongan diraja dan bangsawan. Bahkan, ada antara hasil kerja Garrard dipaparkan di muzium-muzium, institusi nasional dan koleksi peribadi penting di seluruh dunia.

Semenjak tahun 1843 apabila Ratu Victoria melantik Garrard sebagai tukang emas diraja, ia telah memberi khidmat kepada enam pemerintah diraja berturut-turut. Antara rekaan agung jenama tersebut ialah mahkota kecil yang digayakan Ratu Victoria pada tahun 1870, mahkota Ratu Mary pada majlis kemahkotaan beliau dan Mahkota Empayar India yang dipakai Raja George V pada tahun 1911.

Pada upacara kemahkotaan Raja George VI pada tahun 1937, tukang emas diraja itu telah menyediakan mahkota yang meletakkan Berlian Koh-i-Noor untuk Ratu Elizabeth atau Queen Mother dan menyesuaikannya untuk Ratu Elizabeth II bagi upacara kemahkotaan beliau pada tahun 1953.

Satu lagi kejayaan Garrard ialah penciptaan cincin pertunangan nilam dan berlian berbentuk bujur oleh Putera Charles kepada Puteri Diana pada tahun 1981. Cincin yang sama telah diberikan kepada anak lelaki mereka, Putera William kepada Kate Middleton, sebagai cincin pertunangan mereka.

Garrard telah mencipta barangan kemas dan koleksi-koleksi barang kemas ulung, tiara dan cincin pertunangan untuk dipakai oleh wanita yang benar-benar memilih untuk tampil lain daripada yang lain.

Kini, jenama warisan itu telah memilih pusat beli-belah premium, Starhill Gallery yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebagai butik pertamanya di Malaysia. - NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pahang dapat tajaan Puma

Posted:

Pahang dapat tajaan Puma

Pahang dapat tajaan Puma

TENGKU Abdul Rahman (berdiri tengah) dan Andrade bergambar bersama pemain Pahang selepas selesai majlis menandatangi penajaan di ibu negara semalam.


JUARA Piala Malaysia 2013, Pahang menandatangani perjanjian penajaan selama tiga tahun dengan jenama sukan terkemuka dunia, Puma yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta setahun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, penajaan itu bakal menyuntik semangat pemain-pemain untuk melakar kejayaan lebih gemilang pada musim akan datang.

"Saya teruja dengan kesudian Puma untuk tampil sebagai penaja bagi tempoh yang panjang. Ikatan ini mampu menjulang Pahang ke puncak kejayaan pada musim ini.

"Kali terakhir kami memenangi Piala Malaysia ialah pada tahun 1992 lalu dan saya telah menunggu tempoh yang terlalu lama untuk Pahang menjuarainya semula apabila berjaya melakukan musim lalu.

"Dengan sokongan penuh daripada Puma, kami akan melakukan segala-galanya untuk meneruskan kegemilangan ini," katanya semasa majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Pahang di Hotel One World, Kuala Lumpur, semalam.

Pahang yang menjuarai Piala Malaysia setelah menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, November lalu melengkapkan tiga gelaran domestik setelah merangkul Liga Super pada 2004 dan Piala FA dua tahun selepas itu.

Mengulas lanjut mengenai penajaan tersebut, Pengarah Urusan Puma bagi rantau Asia Tenggara, Miguel Andrade menjelaskan ia adalah lebih daripada sekadar hubungan perniagaan dengan Pahang.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Pahang dan akan menyediakan persiapan yang sempurna buat Pahang untuk musim-musim akan datang.

"Kami juga turut yakin bahawa Pahang adalah duta terbaik buat jenama kami," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim, Ketua Pemasaran Puma Malaysia, Gabriel Yap, pegawai, jurulatih dan pemain-pemain Pahang.

Tok Gajah masih mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dan dikuatkan dengan kehadiran dua pemain import baharu, Dickson Nwakaeme dan bekas pertahanan Fulham, Zesh Rahman selain tonggak import sedia ada, Matias Conti dan Damion Stewart.

Pada musim ini juga menyaksikan bekas penganalisis skuad antarabangsa Australia, Ronald Smith mengambil alih tugas jurulatih daripada Dollah Salleh yang telah memilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada musim ini.

Tok Gajah akan bertemu juara Liga Super musim lalu, Lions XII bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Jumaat ini.

'Jangan hampakan rakyat Sabah'

Posted:

'Jangan hampakan rakyat Sabah'

'Jangan hampakan rakyat Sabah'

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my


BARISAN pemain dan pegawai skuad Sabah bergambar kenangan dengan Musa Aman (berdiri tujuh dari kanan) selepas majlis memperkenalkan pemain di Kota Kinabalu, semalam.


DI sebalik segala persiapan yang dilakukan, ada 'hutang' yang perlu dilangsaikan para pemain Sabah pada aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bukan semata-mata untuk mempamerkan permainan terbaik, namun tanggungjawab lebih besar perlu dipikul skuad kendalian Seslija Milomir itu untuk membayar segala kesetiaan yang ditunjukkan rakyat Sabah terhadap pasukan negeri di bawah bayu itu.

Malah, Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Musa Aman turut mencabar skuad Sabahawks dengan menuntut semua pemain agar berjuang habisan-habisan sepanjang musim ini.

"Kita pernah menjadi antara pasukan elit dalam bola sepak negara dan tiada alasan untuk kita gagal melakukannya sekali lagi.

"Pihak persatuan dan penaja telah bersungguh-sungguh mencari dana dan begitu juga para penyokong yang tidak pernah jemu menyokong pasukan ini.

"Kini tibalah masanya untuk para pemain membalas jasa mereka dan lebih penting lagi, jangan kecewakan seluruh rakyat Sabah," katanya pada majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi pasukan Liga Premier, Piala Presiden dan Liga FAM Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Enggan terlalu memberi tekanan, Musa sebaliknya memberi tips kepada para pemain mengenai resepi kejayaan dalam sukan.

"Saya percaya semua pemain yang ada dalam pasukan ini merupakan pemain berbakat dan berkemahiran. Namun, satu perkara paling penting yang menentukan kejayaan pasukan adalah disiplin.

"Elakkan pengambilan dadah dan jangan sesekali terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan. Sebagai pemain profesional, jagalah kerjaya anda," ujarnya.

Bagi kempen Liga Premier musim ini, Sabah berjaya mendapatkan tajaan jersi daripada Ararat, iaitu syarikat pakaian sukan terkemuka di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, antara pemain yang membarisi pasukan Sabah termasuklah penyerang sensasi Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman, bekas pemain kebangsaan, Zainizam Marjan dan bekas pemain Harimau Muda B, Maxsius Musa.

"Sasaran kita adalah untuk memenangi sebanyak mungkin perlawanan dan memastikan Sabah kembali beraksi dalam kempen Liga Super musim depan," tambah Musa.

Mohamad Hasan lontar amaran buat skuad Negeri Sembilan

Posted:

Mohamad Hasan lontar amaran buat skuad Negeri Sembilan

Mohamad Hasan lontar amaran buat skuad Negeri Sembilan

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan para pemain bola sepak negeri ini agar menjauhi skandal rasuah pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini, lapor KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN.

Peringatan keras itu juga ditujukan kepada kepimpinan PBNS termasuk pengurus pasukan kerana gejala tidak sihat itu mampu merosakkan imej bola sepak selain menghancurkan industri bola sepak Malaysia.

Mohamad berkata, dengan wujudnya Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri, ia dapat memantau segala perlakuan negatif dan pihaknya akan memastikan tindakan segera diambil sebelum ia menjadi barah.

"Insya-Allah, jawatankuasa integriti ini akan menjadi satu jawatankuasa memantau segala perlakuan yang tidak betul dan kita akan pastikan supaya tindakan diambil segera supaya penyakit yang boleh disifatkan sebagai barah ini dapat ditangani dengan segera.

"Kepada para pemain, saya nasihatkan beraksi seperti biasa. Kalau kita mempunyai rekod yang bersih maka tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis aku janji dan sumpah integriti bersama kepimpinan PBNS serta pemain-pemain bola sepak Negeri Sembilan di Klana Resort di Seremban semalam.

Dengan upacara dan angkat sumpah ikrar itu, beliau yakin dan percaya pasukan Negeri Sembilan mampu mengelak daripada terjebak dengan gejala tidak sihat itu.

Tambahnya, jika didapati ada dalam kalangan pemain terlibat dalam gejala rasuah, PBNS akan menyerahkan perkara terbabit kepada Jawatankuasa Integriti dan jawatankuasa ini akan menjalankan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan lanjut.

"Jawatankuasa Integriti juga akan memantau perlawanan dengan merakamkan gambar dan filem dan kita juga akan memantau perlakuan para penonton," ujarnya.

Mohamad turut berharap pasukan bola sepak Negeri Sembilan dapat bersaing dan memberikan saingan dalam Liga Perdana ini selain berharap pasukan itu layak memasuki semula dalam persaingan Liga Super pada tahun 2015

"Saya meminta para penyokong bola sepak Negeri Sembilan dapat beramai-ramai datang ke stadium untuk memberi semangat kepada pasukan kita agar para pemain kita dapat beraksi dengan lebih bersemangat," tambahnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ibu mangsa pesawat Cessna selar kenyataan persenda punca kejadian

Posted:

Ibu mangsa pesawat Cessna selar kenyataan persenda punca kejadian

Ibu mangsa pesawat Cessna selar kenyataan persenda punca kejadian

13/01/2014 11:37pm

KUALA LUMPUR - Ibu Syed Haidar Syed Zuklifli, juruterbang pelatih yang cedera dalam insiden pesawat terhempas di Empangan Batu Jumaat lepas, meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang sengaja mempersenda punca kejadian itu yang dikatakan berlaku kerana mengelak burung helang.

Sharifah Hatun Hanisah Syed Abd Rahman, 46, yang ditemui Bernama di Hospital Selayang hari ini, berkata sesiapa sahaja akan sakit hati dan berang jika ada pihak membuat andaian tanpa menyelidik apa yang sebenarnya berlaku terlebih dahulu.

"Sudahlah anak saya ditimpa bala, ada pula pihak mahu memperlekeh punca insiden. Sesiapa sahaja kalau di tempat saya, pasti kesal kerana ini membabitkan soal nyawa," katanya.

Sharifah Hatun Hanisah, yang berasal dari Perak dan kini menetap di Dataran Templer, Bandar Baru Selayang, berkata, anaknya bersama Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 22, dan Shaiful Zafiq Razali, 24, tidak mungkin menipu apatah lagi ada saksi yang melihat pesawat itu mengelak daripada melanggar burung helang.

"Saya diberitahu kejadian itu turut disaksikan dua penduduk Empangan Batu yang ketika itu sedang memancing di kawasan sekitar. - Bernama

Polis Kedah tumpas dua kumpulan pecah rumah, curi kenderaan

Posted:

Polis Kedah tumpas dua kumpulan pecah rumah, curi kenderaan

Polis Kedah tumpas dua kumpulan pecah rumah, curi kenderaan

13/01/2014 11:35pm

ALOR SETAR - Polis menumpaskan dua kumpulan pecah rumah dan curi kereta yang aktif sekitar daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Yan, Kuala Muda dan Pendang pada pertengahan bulan Disember lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya menahan enam lelaki tempatan, merampas 10 kereta serta dua motosikal dengan nilai lebih RM700,000 selain merampas peralatan pecah rumah dan curi kereta.

Beliau berkata, polis menahan tiga lelaki daripada Geng Faiz Char Koey Teow berusia 21 hingga 31 tahun, yang aktif melakukan pecah rumah dan curi kereta, serta tiga lelaki daripada Geng Tiong Hwa berusia antara 28 hingga 39 tahun, yang aktif melakukan jenayah mencuri kenderaan mewah.

"Geng Faiz Char Koey Teow menggunakan modus operandi dengan pecah rumah mangsa, mencuri pelbagai barangan termasuk kunci kereta dan melarikan kenderaan mangsa yang akan digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah di tempat lain pula.

"Apabila berlaku kemalangan, mereka tinggalkan kereta serta melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini. - Bernama

Perhimpunan 'Tutup Bangkok' disertai hampir sejuta orang

Posted:

Perhimpunan 'Tutup Bangkok' disertai hampir sejuta orang

Perhimpunan 'Tutup Bangkok' disertai hampir sejuta orang

13/01/2014 11:04pm

BANGKOK - Dianggarkan antara beberapa ratus ribu hingga sejuta orang menyertai kempen 'Tutup Bangkok' di tujuh tapak perhimpunan di tengah Bangkok hari ini yang menghalang lalu lintas di beberapa jalan utama.

Perhimpunan itu bertujuan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra dan penangguhan pilihan raya umum pada 2 Februari, yang dijangka berlarutan antara beberapa hari hingga beberapa minggu.

Kesan langsung adalah jalan menghala ke tengah Bangkok, yang lazimnya sibuk dan seringkali sesak, hampir lengang atau tiada lalu lintas sama sekali memandangkan penduduk sama ada memilih untuk menjauhkan diri atau menggunakan pengangkutan altertif misalnya perkhidmatan tren.

Perkhidmatan tren penuh dengan penumpang dan beroperasi pada kapasiti maksimum pada siang hari memandangkan peserta perhimpunan memilih tren sebagai kaedah pengangkutan utama mereka.

Banyak kompleks beli-belah yang dibuka meskipun terletak dalam lingkungan tapak perhimpunan namun ada juga kedai yang ditutup.

Suthep Thaugsuban, pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC), mengetuai perarakan itu sejak 9 pagi dari pentas Monumen Demokrasi di Ratchadumnoen Avenue, menghala ke persimpangan Pratumwan yang menjadi pentas utama baharu kumpulan berkenaan bagi kempen mereka. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Penunjuk perasaan sedia tawan Bangkok

Posted:

Penunjuk perasaan sedia tawan Bangkok

Penunjuk perasaan sedia tawan Bangkok

REUTERS
PENUNJUK perasaan antikerajaan berkawal selepas mereka menutup jalan-jalan di sebuah persimpangan utama di Bangkok semalam.


BANGKOK - Penunjuk perasaan antikerajaan bersiap sedia untuk menawan beberapa kawasan utama di ibu kota Thailand di sini semalam.

Rancangan mereka untuk menutup bandar raya ini dibimbangi akan mencetuskan keganasan yang membawa kepada rampasan kuasa tentera di Thailand.

Penunjuk perasaan itu cuba memaksa Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meletak jawatan dengan sebuah kerajaan sementara dilantik untuk melaksanakan pembaharuan bagi menamatkan rasuah dan politik wang di Thailand.

Mereka juga mahu menggagalkan pilihan raya umum lebih awal yang diumumkan oleh Yingluck pada 2 Februari depan.

Sejak November tahun lalu, kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan telah beberapa kali bertempur dengan polis, memotong bekalan air dan elektrik ke ibu pejabat polis dan menawan seketika beberapa agensi kerajaan lain.

Sekurang-kurangnya lapan orang termasuk seorang anggota polis maut dalam keganasan akibat kekacauan politik tersebut.

Terdahulu semalam, sejumlah penunjuk perasaan membuat sekatan di sebatang jalan raya di pinggir bandar raya ini yang menempatkan kebanyakan pejabat kerajaan.

"Setakat ini tiada konfrontasi berlaku dengan pihak berkuasa ekoran tindakan tersebut," kata Timbalan Jurucakap Polis, Kolonel Anucha Romyanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Surapong Tovichakchaikul berkata, sejumlah 12,000 anggota polis dan 8,000 askar telah dikerahkan untuk mengawal ketenteraman di sini.

Sementara itu, pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban menolak gesaan kerajaan untuk membatalkan tunjuk perasaan besar-besaran itu esok.

"Saya akan menyuruh penyokong saya berundur hanya jika perang saudara meletus," kata Suthep. - Agensi

Sinabung terus hambur lahar, gas

Posted:

Sinabung terus hambur lahar, gas

Sinabung terus hambur lahar, gas


AFP
GUNUNG SINABUNG memuntahkan lahar dekat Karo
di Sumatera Utara baru-baru ini.


JAKARTA - Gunung Sinabung di barat Sumatera terus memuntahkan batu panas dan lahar sehingga memaksa lebih 25,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka, kata seorang pegawai semalam.

Pengarah Mitigasi Bencana Kebangsaan, Tri Budiarto berkata, gunung berapi setinggi 5,000 meter berulang kali memuntahkan batu panas dan gas sejak kelmarin.

"Sehingga kini, seramai 25,516 penduduk telah dipindahkan dan tiada sesiapa dibenarkan untuk berada dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan letusan," kata Budiarto.

"Kami juga meminta mereka yang tinggal dalam lingkungan tujuh kilometer dari gunung berkenaan supaya berpindah atas faktor keselamatan," tambahnya.

Menurut Budiarto, lahar panas yang mengalir dari gunung tersebut sejak beberapa minggu lalu kini melimpah ke dalam beberapa batang sungai di sekitarnya.

"Berlaku letupan apabila lahar panas ini memasuki sungai tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

"Kami menasihati penduduk tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan sungai yang terjejas,'' katanya. - AFP

Puting beliung ganas landa utara Tonga

Posted:

Puting beliung ganas landa utara Tonga

Puting beliung ganas landa utara Tonga


AFP
GAMBAR pemandangan dari udara yang dirakam Tentera Udara Diraja New Zealand menunjukkan kemusnahan yang dibawa puting beliung Ian di Pulau Foa, Tonga semalam. - AFP


NUKU'ALOFA, Tonga - Sekurang-kurangnya seorang terbunuh apabila puting beliung Ian membadai kepulauan Ha'pai di utara Tonga, menurut beberapa laporan semalam.

Bencana itu turut menyebabkan kemusnahan besar dengan sejumlah kediaman ranap dan banyak pokok tumbang.

Kepulauan berkenaan yang dihuni oleh sekitar 8,000 penduduk merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong asing.

"Setakat semalam seorang disahkan terbunuh manakala sebahagian besar rumah di Ha'pai ranap manakala pokok dan tiang elektrik tumbang," kata ketua Palang Merah Tonga, Sione Taumoefolau.

Susulan perkembangan tersebut, kerajaan New Zealand mengumumkan bantuan segera berjumlah AS$41,500 (RM135,642) selain menghantar sebuah pesawat untuk memantau kawasan yang terjejas.

Setakat semalam, puting beliung Ian melanda Tonga dengan membawa angin selaju 259 kilometer sejam . - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Aleya temui pengganti

Posted:

Aleya temui pengganti

Aleya temui pengganti


AZAM mengakui perjalanan kisah cintanya bersama Aleya tidak begitu romantik seperti pasangan lain.


SEJAK bercerai dengan Muhammad Ashraf Aasimudin pada 29 Februari 2012, tidak banyak cerita membabitkan penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 31, didedahkan di media, terutamanya membabitkan kehidupan peribadi.

Statusnya sebagai ibu tunggal menjadikan penyampai yang lebih mesra disapa Aleya itu terus fokus kepada kerjaya yang diceburi serta tugasnya sebagai ibu kepada pasangan kembar perempuan, Aza Ameena dan Asha Ameena, 4, hasil perkahwinan terdahulu.

Biarpun pada tahun lalu sudah ada yang dapat menghidu tentang dirinya sudah mempunyai kekasih tetapi Aleya ternyata cukup bijak menyembunyikan identiti lelaki berkenaan.

Namun begitu, tanggal 11 Januari lalu, semuanya terdedah pada hari perkahwinannya dengan jejaka idaman hatinya, Mohammed Azam Abdullah, 29, yang merupakan kenalannya sejak tiga tahun lalu.

Pasangan tersebut telah disatukan dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu dengan kehadiran ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Berkesempatan bertemu dengannya sejurus selepas upacara pernikahan, Aleya dengan reaksi gembira menyatakan, keputusan yang dibuat untuk kembali bergelar isteri sebagai satu langkah permulaan untuk melalui kehidupan pada tahun 2014.

"Kalau hendak diluahkan tentang perasaan yang dialami sekarang ini, saya seperti tidak percaya akan bertemu jodoh semula. Adakalanya semasa sedang bekerja, fikiran saya akan melayang apabila mengenangkan diri ini akan berkahwin.

"Menariknya, saya masih lagi meneruskan pekerjaan seperti biasa dan sehari sebelum melangsungkan perkahwinan, saya masih lagi ke udara di radio sehingga ditegur rakan penyampai yang lain," jelasnya mengenai detik-detik menjelang hari bahagianya itu.

Menceritakan detik-detik perkenalan dengan Azam, Aleya mendedahkan bahawa mereka berdua mula berkenalan ketika sama-sama terbabit dalam pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta pada tahun 2011.

Jelasnya, sejak itu hubungan mereka sebagai rakan terus berlalu seperti biasa sehinggalah akhirnya mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga menerusi pertemuan kedua-dua belah keluarga pada penghujung tahun lalu.

"Kalau ditanya sejak bilakah kami menjalinkan hubungan cinta, saya dan suami tidak ingat mengenainya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan kini saya sudah bergelar isteri.

"Mengikut perancangan asal, kami sepatutnya dinikahkan pada 4 Januari lalu, namun merasakan masa agak terlalu suntuk dan akhirnya kedua-dua pihak sepakat untuk memilih tarikh 11 Januari," ujarnya dengan memberitahu, tiada sebarang yang istimewa tentang tarikh berkenaan.

Mengenai kriteria yang dimiliki oleh Azam sehingga dia bersetuju untuk menjadi isterinya, Aleya menyatakan bahawa dia melihat suaminya itu sebagai seorang lelaki yang sangat penyabar.

Menurutnya, tidak dinafikan sepanjang mereka menjalinkan hubungan, dia memang selalu mengusik kerana ingin menguji sejauh mana kesabaran suaminya itu melayan kerenah dirinya.

"Selain kriteria tersebut, perkara paling utama yang membuatkan saya memilihnya kerana dia pandai mengambil hati serta menerima kehadiran kedua-dua anak saya dalam hidupnya.


SUASANA tenang namun meriah pada majlis akad nikah Aleya dan Azam.


Pendengar setia

Bagi Azam yang berada di samping isteri tercinta ketika sesi temu bual berkata, dia tertarik dengan Aleya kerana karakternya yang cukup berbeza berbanding kebanyakan wanita yang dikenalinya sebelum ini.

Dedah Azam atau lebih mesra dengan panggilan Miko itu, perjalanan kisah cintanya itu tidak begitu romantik seperti pasangan lain, namun mengakui Aleya merupakan pilihan yang terbaik buat dirinya.

"Sebenarnya saya merupakan salah seorang pendengar setianya setiap kali dia ke udara di radio setiap hari dan ternyata gaya penyampaian dan keletahnya itu turut memikat hati saya terhadapnya.

"Selain itu, Aleya juga merupakan seorang individu yang lebih romantik berbanding diri saya. Tentang perkara paling romantik yang dilakukannya apabila dia menyatakan persetujuannya untuk memilih saya sebagai suami," ujarnya.

Berkenaan dengan tanggungjawabnya kini selaku seorang bapa kepada dua orang anak, dia yang bekerja sebagai penerbit dan video editor di syarikat Kreatif Hubs Production menganggap ia sebagai satu beban buat dirinya.

"Sebenarnya saya merupakan seorang lelaki yang sangat suka kepada kanak-kanak. Tentang memiliki anak sendiri pula semuanya saya serahkan kepada Yang Maha Kuasa," jelasnya.

Berkenaan dengan perancangan selepas berumah tangga pula, dia dan Aleya masih belum ada perancangan untuk pergi berbulan madu. Satu majlis resepsi akan diadakan di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah pada bulan Mac depan.

Mesra

Selain Azam dan Aleya, pastinya individu yang paling bahagia semasa detik bersejarah itu ialah ibu Aleya sendiri, Fatimah Abu Bakar yang juga merupakan seorang aktivis filem.

Fatimah berkata, sebagai ibu dia sangat bersyukur dan gembira kerana anaknya itu sudah kembali berumah tangga dan berharap ikatan yang terjalin itu akan kekal sehingga ke akhir hayat.

"Sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin, saya sudah berjumpa beberapa kali dengan Azam. Sepanjang mengenalinya saya lihat dia merupakan seorang lelaki yang baik dan sesuai dengan Aleya.

"Saya juga tertarik dengannya kerana melihat dia begitu mesra dengan kedua-dua cucu saya. Sebagai seorang nenek, sudah tentu saya turut ingin melihat cucu saya dapat menjalani kehidupan dengan baik dan sempurna," luahnya.

Dalam pada itu, Fatimah menyatakan bahawa dia sudah berpesan kepada anak dan menantunya supaya menjaga ikatan perkahwinan tersebut dengan baik dan selalu berbincang terlebih dahulu apabila timbul sebarang masalah yang membabitkan kehidupan berumah tangga.

Saya tiada masalah dengan Fazura - Hanez

Posted:

Saya tiada masalah dengan Fazura - Hanez

Saya tiada masalah dengan Fazura - Hanez

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


PARA peminat Fazura dikatakan tidak henti-henti mengecam Hanez.


PADA bulan November tahun lalu, Hanez Suraya teruk dikecam peminat pelakon Nur Fazura. Mereka (peminat Fazura) mendakwa, bekas kekasih penyanyi Awi Rafael itu meniru gaya dan penampilan pelakon idola mereka, Fazura.

Malah, perkara itu juga memberi kesan kepada Fazura sendiri apabila pelakon filem Pisau Cukur itu memuat naik status seakan-akan memerli Hanez dalam sebuah laman sosial miliknya.

Fazura menulis: "Tiruan adalah bentuk pujian ikhlas. Terima kasih. Tetapi... cukuplah. Ia semakin menjengkelkan".

Imitation is the sincerest form of flattery. Gratefully. But hey girl.. Enough already. It's getting quite Annoying. #Copycat #SameIndustry #FindYourOwnIdentity #BeYourself #BeOriginal

Sehingga kini, Hanez dikatakan masih lagi menerima kecaman daripada peminat-peminat Fazura.

Bertemu dengannya ketika menjadi pengacara majlis sempena sidang akhbar persembahan amal Malam Gala Cinta Tanpa Sempadan bersama Datuk Rossa, Datuk Jamal Abdillah dan Afgan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Hanez semakin rimas dan meminta supaya peminat-peminat Fazura berhenti daripada menuduhnya meniru gaya serta membandingkan dirinya dengan pelakon itu.

Ikuti luahan Hanez kepada Kosmo! selanjutnya.

Kosmo!: Adakah anda masih menerima kecaman daripada peminat Fazura sehingga kini?

HANEZ: Sejak dari hari itu sampai sekarang, setiap kali saya memuat naik gambar diri saya di Instagram, orang akan membandingkan saya dengan dia (Fazura). Saya minta supaya hentikanlah perkara ini. Tak perlu hendak bandingkan diri saya dengan dia lagi.

Bagaimanakah hubungan dengan Fazura selepas anda dituduh menirunya?

Saya tiada masalah dengan dia. Cuma, peminat-peminat dia masih belum berhenti marah dan membandingkan diri saya dengan dia.

Tutup kisah tersebut, kenapa mencuba bidang pengacaraan pula?

Sebenarnya saya ada mengacarakan sebuah program sukan lasak berjudul Cool untuk RTM. Program 13 episod itu akan ditayangkan pada Hari Belia nanti tetapi untuk mengacarakan majlis korporat seperti ini (persembahan Malam Gala Cinta Tanpa Sempadan) ia adalah pertama kali.

Sebenarnya, saya tidak berani mengacarakan majlis besar seperti ini. Saya sudah tolak tetapi pemilik Airish Global Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali yang juga merupakan penaja persembahan malam amal itu memujuk dan akhirnya saya bersetuju.

Kenapa Hanez menolak pada mulanya dan kenapa akhirnya anda terima pula?

Saya tiada pengalaman dan tidak berani tetapi apabila Datuk Aizuddin beritahu saya ada pasangan iaitu AG Hot FM untuk mengacarakan majlis tersebut, saya terus setuju.

Bersedia menerima kritikan selepas menceburi bidang pengacaraan?

Saya bersedia berdepan dengan kritikan. Sebab ini adalah jalan yang saya pilih.

Beralih pada soalan lain pula, apakah projek lakonan terbaharu anda untuk tahun 2014?

Pada awal bulan Jun nanti saya akan terlibat dengan teater buat pertama kalinya iaitu teater Projek Kahwin bersama pelakon Izzue Islam. Ia akan diadakah di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Drama bersiri Autumn Di Hatiku untuk musim kedua nanti juga akan ditayangkan pada pertengahan bulan ini. Selepas itu, saya akan terlibat dengan sebuah drama dengan Datin Paduka Shuhaimi Baba untuk slot Zehra di TV3.

Bagaimanakah persediaan untuk teater berskala besar seperti itu?

Saya akan menjalani latihan teater pada bulan lima nanti tetapi pada bulan empat nanti, saya sendiri akan menjalani latihan berlakon dengan seorang pelatih teater.

Pada Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28), lagu nyanyian Awi Rafael iaitu Kalau Aku Kaya turut tercalon dalam AJL. Adakah Hanez menyokong Awi?

Walaupun hubungan kami sudah putus, saya akan sentiasa menyokongnya sebab saya memang minat lagu dan suaranya. Saya juga akan ke AJL28 nanti untuk menyokongnya.

Siti sasar kutipan dana sejuta ringgit

Posted:

Siti sasar kutipan dana sejuta ringgit

Siti sasar kutipan dana sejuta ringgit

Oleh IZWAN MOHD. ISA

SITI bakal muncul dengan konsert terbaharunya pada 7 dan 8 Februari depan.


PERIBAHASA Melayu ada mengatakan, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itulah yang cuba disampaikan oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, 35, melalui penganjuran Konsert Where The Heart Is yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 dan 8 Februari depan.

Menurut Siti, konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa bersama Siti Nurhaliza Production dan SimplySiti Sdn. Bhd. ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan, terutamanya anak-anak yatim, golongan miskin, orang kelainan upaya serta mangsa bencana alam.

"Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan bencana banjir yang melanda negeri Pahang. Kejadian itu menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kerugian besar serta hilang tempat untuk bergantung.

"Justeru, saya dan suami mengambil inisiatif untuk turun padang dan sama-sama membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sana.

"Bertitik tolak daripada peristiwa itu, saya berhasrat untuk menganjurkan sebuah konsert yang dapat mengumpulkan dana bagi tabung Yayasan Nurjiwa untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan," ujar Siti ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman konsert tersebut di pejabat rasmi SimplySiti di Menara Atlan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Siti turut menyasarkan kutipan melebihi RM1 juta bagi memenuhi tabung dana yayasan tersebut bagi memudahkannya membantu mereka yang memerlukan pada masa akan datang.

"Melalui pembelian tiket konsert ini, para peminat bukan sahaja boleh berhibur dan menonton persembahan saya secara langsung, malah turut sama menghulurkan bantuan untuk mereka yang memerlukan," katanya

Konsert santai

Berbicara mengenai konsert yang menelan belanja lebih RM100,000 itu, Siti memberitahu, dia bakal mempersembahkan lagu-lagu hitnya secara santai sambil diiringi orkestra mini yang dipimpin oleh pengarah muzik terkemuka, Aubrey Suwito.

"Saya tidak mahu tampil serius sepanjang konsert ini berlangsung. Pada malam itu nanti, saya mahukan hubungan dua hala berlaku antara saya dan penonton. Mungkin akan ada sesi soal jawab antara peminat dan saya.

"Konsert ini turut mengangkat tema putih dan warna-warna pastel bagi menggambarkan kesucian dan ketelusan penganjurannya.

"Saya berharap para penonton yang ingin datang turut memberikan tanda sokongan dengan mengenakan pakaian berwarna putih," ujarnya yang masih lagi dalam proses memilih kombinasi lagu-lagu dan segmen untuk dipersembahkan pada malam konsert itu nanti.

Para peminat boleh mendapatkan tiket untuk Konsert Where The Heart Is bermula hari ini di www.redtix.airasia.com pada harga RM800, RM518, RM388, RM238, RM118 dan RM88.

Album baharu

Siti dan lagu-lagu berentak pop seperti tidak dapat dipisahkan. Kali terakhir, pelantun lagu Biarlah Rahsia ini muncul dengan album penuh bahasa Inggeris bertajuk All Your Love.

Sudah lama tidak hadir dengan buah tangan untuk peminat, penyanyi berbintang Capricorn ini bakal memasuki studio pada bulan ini bagi merakamkan lagu-lagu untuk album studio baharunya.

"Saya bakal memasuki studio pada bulan ini untuk proses merakamkan suara. Sudah ada beberapa buah lagu yang terpilih untuk dimuatkan dalam album kali ini dan selebihnya masih dalam pertimbangan.

"Kali ini, saya akan menggunakan khidmat komposer-komposer tempatan dan juga Indonesia. Antara yang terlibat termasuk Melly Goeslaw, Adi 6ixth Sense dan Awi Rafael," katanya lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved