Khamis, 8 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Pekap bela kebajikan anak-anak Pahang

Posted:

Pekap bela kebajikan anak-anak Pahang

Pekap bela kebajikan anak-anak Pahang

Oleh ZAKI SALLEH

ANTARA matlamat penubuhan Pekap ialah menjaga kebajikan anak-anak Pahang di Lembah Klang.


ANAK-ANAK kelahiran Pahang Darul Makmur yang tinggal di ibu kota cukup bertuah kerana mempunyai sebuah keluarga yang menjaga kebajikan mereka di sana. Keluarga dimaksudkan ialah Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (Pekap).

Berstatus sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pekap yang ditubuhkan 48 tahun lalu menjadi platform membentuk jaringan persahabatan dan silaturahim antara masyarakat kelahiran negeri Pahang di Lembah Klang termasuklah di Putrajaya dan Shah Alam.

Persatuan yang dinaungi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah itu tidak pernah berhenti menjalankan pelbagai program dalam memastikan kebajikan ahli-ahlinya.

Pekap turut dianggotai nama besar kelahiran Pahang antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat. Turut merupakan ahli persatuan seumur hidup ialah penyanyi No. 1 tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

"Pekap mengambil berat kebajikan ahli-ahlinya selain menyediakan pelbagai ganjaran dan kemudahan kepada mereka termasuk ahli keluarga," ujar Naib Pengerusi Pekap, Datuk Mustaffa Mat Yassin.

Jelas beliau, Pekap ketika ini mempunyai keahlian seramai 3,080 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Katanya, sejak ditubuhkan pada tahun 1966, Pekap terus komited menyediakan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan kepada anak kelahiran negeri itu yang merantau ke ibu kota agar kehidupan mereka terbela.

"Antaranya, khairat kematian sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 selain sumbangan RM300 sekali setahun jika ada ahli-ahli yang dimasukkan ke wad.

"Ganjaran wang tunai turut diberi untuk anak-anak cemerlang dalam pendidikan, sagu hati kepada ahli yang ingin menunaikan haji serta bantuan bencana alam mengikut jumlah tertentu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Inisiatif yang diperkenalkan itu bukan sekadar untuk menjaga kebajikan, tetapi membentuk sebuah kumpulan teras yang baik serta mempunyai sikap kenegerian yang positif.

Ahli baharu

Dalam pada itu, Mustaffa memberitahu, Pekap sedang giat mengemaskini maklumat ahli-ahlinya bagi tujuan memudahkan urusan perhubungan seperti hebahan program yang dirancang.

Jelas beliau, ada dalam kalangan ahli-ahli Pekap yang telah bertukar alamat, manakala waris pula boleh mengemas kini maklumat bagi pihak ahli yang telah meninggal dunia.

Ahli-ahli dan waris boleh berhubung terus ke pejabat Pekap di Setiawangsa, Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan tersebut.

Mustaffa berkata, Pekap turut mengalu-alukan anak-anak Pahang di ibu kota agar berdaftar sebagai ahli Pekap untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam pelbagai program yang dianjurkan.

"Kita tidak mempunyai data berapa ramai anak Pahang yang berada di ibu kota, namun pintu Pekap sentiasa terbuka kepada ahli-ahli baharu tanpa mengira latar belakang.

"Pendaftaran boleh dibuat di pejabat Pekap. Penyertaan lebih ramai anak-anak Pahang di ibu kota pasti menyemarakkan lagi ukhwah sekali gus mengukuhkan lagi fungsi Pekap," ujar beliau.

Latih anak istimewa berdikari

Posted:

Latih anak istimewa berdikari

Latih anak istimewa berdikari

SHAHRULANOOR ISHAK


KANAK-KANAK di CVC diajar kemahiran memasak dan boleh menyediakan makanan sendiri.


KANAK-KANAK yang dilahirkan menghidap CADS iaitu palsi serebrum (CP), autism, attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), Sindrom Down, disleksia dan lembam boleh hidup berdikari tanpa bantuan orang dewasa.

Bagi menjamin mereka menjalani hidup berdikari pada masa hadapan tanpa bantuan orang dewasa terutama ibu bapa, kanak-kanak istimewa tersebut perlu dilatih dengan pelbagai kemahiran sejak kecil.

Kemahiran seperti pengurusan diri, membaca, menulis, pertuturan dan memahami maksud percakapan semasa berkomunikasi merupakan antara yang perlu dipersiapkan kepada kanak-kanak tersebut.

Latihan

Sekiranya dilatih secara berterusan, kanak-kanak ini juga berupaya melakukan pelbagai tugas yang lebih rumit seperti mengemas rumah, memasak, menggosok pakaian dengan cekap.

Buktinya, kanak-kanak istimewa yang diberi latihan vokasional di Pusat Vokasional CADS (CVC), Taman Melawati, Kuala Lumpur mampu melakukan semua tugas tersebut tanpa memerlukan bantuan orang dewasa.

Presiden CADS, Mohamed Hanifah Mohd. Salih berkata, pihaknya menyediakan pendidikan secara holistik kepada kanak-kanak istimewa tersebut termasuk kemahiran sosial, emosi dan kerohanian.

"Malah, anak saya sendiri yang menghidap Sindrom Down turut dilatih di CVC dan kini mampu menguruskan diri sendiri serta menyediakan makanan seperti nasi goreng semasa berada di rumah.

"Selain itu, kanak-kanak istimewa dalam kategori CADS juga dilatih menguasai kemahiran asas di Pusat Pengembangan CADS (CDC) di Bukit Antarabangsa sebelum mengikuti latihan yang lebih maju di CVC," katanya.

Mohamed Hanifah berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Hulurkan Harapan, tajaan Procter and Gamble Malaysia (P&G) Open Minds dan rangkaian pasar raya Mydin di premis CVC, di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi kempen bermula 5 April lalu hingga 31 Mei ini, setiap pengguna yang membuat pembelian minimum RM10 terhadap produk P&G di pasar raya Mydin di seluruh negara berpeluang menyalur dana kepada CVC dan CDC.


KANAK-KANAK istimewa ini berhak mendapat kasih sayang serta menjalani hidup seperti kanak-kanak normal.


Sejak program P&G Open Minds diperkenalkan pada tahun 1999 menerusi CVC dan CDC, lebih 10,000 kanak-kanak CADS dilatih secara komprehensif oleh guru-guru berpengalaman dalam bidang pendidikan khas.

Kedua-dua CVC dan CDC yang pada masa ini melatih 30 kanak-kanak istimewa kini ditadbir oleh golongan ibu bapa sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengetua CVC, Azura Abdul Aziz pula berkata, kanak-kanak seawal usia lima tahun diajar mengikut standard silibus Sijil Kemahiran Malaysia yang disesuaikan dengan daya intelek mereka.

"Selain asas vokasional seperti pengetahuan komputer dan keusahawanan, mereka juga diberi latihan terapi serta bimbingan fardu ain bagi kanak-kanak Islam," ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia/Singapura, Nicolas de la Giroday berkata, pihaknya sentiasa mencari jalan terbaik bagi mendapatkan dana untuk memberi manfaat kepada kanak-kanak istimewa tersebut.

"Kempen kali ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa dengan penjagaan dan latihan, kanak-kanak istimewa boleh diajar kemahiran hidup yang berguna untuk mereka membesar," katanya.

Kutipan

Sementara itu, Pengarah Sumber Manusia Mydin, Datin Wira Dr. Siti Hawa Mohd. pula berkata, pihaknya turut komited untuk membantu kutipan dana tersebut menerusi rangkaian pasar raya itu di seluruh negara.

"Ini merupakan tahun kedua kerjasama Mydin dan P&G Malaysia untuk membantu memberi yang terbaik kepada kanak-kanak CADS," ujarnya.

Turut terlibat dan menjadi duta bagi kempen tersebut ialah Cef selebriti, cef Ammar Al Ali yang turut mengajar kemahiran memasak terhadap kanak-kanak berkenaan.

Menurut Ammar, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tidak wajar berasa malu kerana kanak-kanak tersebut mampu melakukan pelbagai tugas sekiranya dilatih dengan penuh kesabaran.

"Ibu bapa wajib bersyukur jika dikurnia anak istimewa. Perkara yang wajar kita lakukan ialah memastikan mereka mendapat hak untuk belajar menjalani hidup seperti biasa," katanya.

Fungsi Penasihat Syariah

Posted:

Fungsi Penasihat Syariah

Fungsi Penasihat Syariah


BANK Negara menetapkan syarat berhubung perbankan Islam yang perlu dipatuhi institusi kewangan.


BAGAIMANAKAH kita dapat memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi syariah?

Perbankan Islam hanya menawarkan produk dan perkhidmatan yang telah disahkan patuh syariah.

Hal ini kadangkala menjadi tanda tanya masyarakat sejauh manakah proses sesuatu produk dan perkhidmatan yang ditawarkan itu boleh dianggap sebagai mematuhi syariah?

Dalam aspek pematuhan ini, setiap institusi perbankan Islam wajib melantik serta mewujudkan Jawatankuasa Penasihat Syariah selaku badan berkuasa penting bagi pematuhan tersebut.

Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam memasti dan mengekalkan keyakinan pasaran terhadap institusi kewangan Islam.

Ia ditubuhkan di setiap peringkat perbankan, manakala di peringkat Bank Negara pula wujud sebuah Majlis Jawatankuasa Syariah.

Maka, setiap produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang dirancang harus mendapatkan kelulusan daripada dua peringkat tertinggi ini sebelum dapat ditawarkan kepada para pelanggan.

Siapakah ahli dalam Jawatankuasa Penasihat Syariah?

Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan ini diberikan mandat dalam memastikan perjalanan operasi perbankan Islam selaras dengan prinsip-prinsip syariah.

Bidang kuasanya ialah memberi nasihat kepada pihak pengurusan dalam semua perkara berhubung pembangunan produk patuh syariah yang komprehensif dan bertindak sebagai pusat rujukan dalam semua isu berkaitan syariah.

Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan terdiri daripada para ulama Islam dan juga pakar kewangan Islam.

Pihak pengurusan bank akan melantik mereka untuk setiap tempoh dua tahun. Melalui mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Syariah inilah ahli akan bersidang serta membuat kajian dan memberi panduan mengenai isu-isu berkaitan perbankan Islam.

Di samping kewujudan Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan, para penasihat akan memberi nasihat mengenai semua aspek syariah berkaitan dengan produk berkenaan, termasuk dokumentasi, penstrukturan dan pelaburan.

Penasihat Syariah perlu memenuhi syarat minimum tertentu untuk layak didaftarkan dengan Bank Negara.

Justeru, apabila satu-satu produk dan perkhidmatan itu dilabel sebagai patuh syariah, para pelanggan boleh yakin bahawa produk dan perkhidmatan itu telahpun mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved