Selasa, 29 April 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Kostum gabungan Indonesia, Malaysia

Posted:

Kostum gabungan Indonesia, Malaysia

Kostum gabungan Indonesia, Malaysia

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
isyafiq.desa@kosmo.com.my

BUNYI mesin jahit tanpa henti diselang-seli kapitan gunting yang tajam menyusuri rentang kain berwarna-warni bagaikan melodi rancak berkumandang di bilik rekaan pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK).

Terdapat lima individu yang sedang khusyuk meneliti jahitan, sulaman, rekaan dan potongan kain sesuai dengan lokasi bibit percintaan Hamid dan Zainab yang tidak kesampaian persis karya agung novelis Indonesia, Prof. Dr. Hamka.

Kali pertama diadaptasi dan dipentaskan di Malaysia dalam sebuah teater bertemakan Islamik, ia merupakan cabaran utama buat produksi CTRA Production dan Istana Budaya.

Apatah lagi, latar tempat novel yang berlaku di Indonesia melibatkan orang Minang dan terdapat beberapa latar tempat melibatkan tanah suci kota Mekah, perlu disesuaikan dengan cita rasa fesyen peminat teater tempatan.

Perkara tersebut diakui sendiri Pereka Kostum Istana Budaya, Sarina Azizan yang sudah mula menelaah novel DBLK sejak awal Januari lalu sebelum melahirkan beberapa idea untuk pementasan teater itu.

Berpengalaman lebih sedekad sebagai pereka kostum, katanya, dia sudah membuat lebih 100 lakaran kostum untuk watak utama sebelum pihak produksi bersetuju mengetengahkan konsep gaya Nusantara.

"Kita tidak mahu kostum ini berat sebelah kerana ia dipentaskan di Malaysia. Bagaimanapun, kita mahu menjaga inti pati novel Hamka yang sememangnya berlatarbelakangkan masyarakat Minang di Indonesia.

"Ia disulitkan lagi dengan beberapa babak di Mekah, maka jalan penyelesaian yang kita ambil ialah mengetengahkan konsep Nusantara," katanya ketika ditemui Kosmo! di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KESEFAHAMAN antara pereka dan tukang jahit sangat penting dalam menjelmakan kostum yang menepati konsep dan idea.


Konsep

Dia yang turut dipertanggungjawabkan mereka kira-kira 300 kostum melibatkan keseluruhan watak termasuk pembantu dan korus berkata, melalui konsep Nusantara, produksi tidak terikat dengan satu unsur dan budaya sahaja.

"Apabila kita menggunakan konsep Nusantara ia merupakan gabungan budaya Malaysia dan Indonesia dengan suntikan Islamik.

"Malah terdapat juga rekaan baju seperti kurta, blaus dan jubah yang mempunyai elemen baju kurung tetapi sulaman dengan pengaruh Indonesia," ujarnya.

Tambahnya, pengaruh Indonesia dalam setiap busana boleh dilihat melalui sulaman cara pemakaian manakala rekaan pula seakan-akan baju Melayu, kurung dan jubah yang sering terdapat di Malaysia.

Dia menambah, atas faktor pementasan selain menyesuaikan pencahayaan pentas, pemilihan material fabrik yang tepat turut memainkan peranan.

Ulasnya, kebanyakan kostum dibuat daripada kain kapas supaya warna yang dihasilkan tampak cantik di atas pentas.

Mengulas lanjut mengenai warna, dia yang pernah terbabit dalam pementasan teater muzikal Upin dan Ipin kira-kira dua tahun lalu memberitahu, banyak menggunakan warna pastel dan lembut sepanjang 10 hari pementasan itu berlangsung.

"Warna merupakan pengaruh terbesar dalam pementasan ini. Oleh kerana ia bertemakan Islamik, kami menggunakan warna sejuk.

"Malah warna juga menjadi perbezaan antara penduduk kampung, karakter utama termasuk watak sokongan," katanya sambil menunjukkan beberapa kostum yang sudah siap.

Kebanyakan kain kapas yang digunakan ialah jenis s.b line dan koshiba.

Watak

Watak Zainab yang dibawa oleh Nasha Aziz melibatkan penggunaan warna seperti kuning cair, merah jambu lembut dan putih sejuk.

Sarina berkata, penggunaan warna berkenaan bersesuaian dengan karakter Zainab yang ayu, lemah lembut dan tergolong dalam komuniti elit.

Manakala watak Hamid yang dibawa Adi Putra pula, banyak menggunakan kostum jubah, blaus dan kurta dengan mainan warna putih dan warna-warna kusam.

Penduduk kampung pula mengenakan kostum dengan warna pucat seperti kelabu tanpa rekaan, hiasan dan sulaman yang berlebihan.


KESEMUA kostum teater ini perlu disiapkan sebelum 7 Mei depan.


Oleh kerana teater tersebut bertemakan kisah cinta yang penuh Islamik, pemakaian tudung mengikut syarak turut menjadi keutamaan.

Namun, pihak produksi dan Istana Budaya nyata bertuah kerana rangkaian tudung eksklusif Fareeda sudi mereka tudung khas sepanjang pementasan itu berlangsung.

Dengan kekuatan tenaga kerja seramai lima orang yang turut membantu menjahit membuatkan proses pembuatan kostum berjalan lancar.

Malah, kebijaksanaan produksi merancang dan menetapkan rekaan baju lebih awal membuatkan tukang jahit berjaya menghasilkan baju yang berkualiti tanpa sebarang tekanan.

Antara tukang jahit yang ditemui ialah Faridah Mading, 45, yang sembilan tahun terbabit dalam dunia jahitan kostum bersama Istana Budaya.

Dia yang menjahit lapan helai kostum termasuk dua helai untuk watak kanak-kanak menumpukan sepenuh perhatian ketika proses jahitan sedang dilakukan.

"Kami perlu memberikan fokus 100 peratus sepanjang menyiapkan semua kostum ini supaya hasilnya nanti kelihatan kemas di atas pentas dan selesa digayakan pelakon.

"Keselesaan pelakon menjadi keutamaan saya kerana kita tidak mahu aksi lakonan artis canggung semata-mata tidak selesa dengan baju dipakai," jelasnya panjang lebar.

Bercerita mengenai cabaran menyiapkan kostum pementasan teater, dia yang juga Pembantu Pertukangan Istana Budaya, memberitahu mereka sering bertarung dengan masa.

"Bagi CTRA Production kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan masa, malah mereka memperuntukkan tempoh yang cukup untuk kami.

"Tetapi masa sememangnya 'musuh' utama kami dalam industri ini," katanya yang menyasarkan untuk menyiapkan kesemua kostum sebelum 7 Mei depan.

Hubungan

Hubungan antara pereka dan tukang jahit juga harus dititikberatkan sepanjang proses jahitan kostum berlangsung.

Kesefahaman dua hala ini usah dipandang enteng kerana ia mampu menggugat perjalanan pembuatan kostum terutama kegagalan memahami kehendak penerbit dan pengarah teater.

Bercerita lebih lanjut, Pembantu Kemahiran Istana Budaya, Mohd. Hanis Sabtu merangkap Pembantu Kemahiran Produksi Teater DBLK, mengakui hubungan antara pereka kostum dan tukang jahit amat penting.

"Hampir setiap hari kami akan berbincang dengan pereka sama ada setiap jahitan atau kostum yang disiapkan memenuhi kehendak skrip teater.

"Jika tiada hubungan dua hala ini, pada pendapat saya kami mungkin tidak dapat bekerjasama dengan baik apatah lagi memahami kehendak produksi," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun ditugaskan sebagai tukang jahit, dia tetap perlu meneliti skrip dan memahami sinopsis, watak dan keperluan teater untuk memudahkan rekaan kostum.

Moden, bergaya tiga jenama

Posted:

Moden, bergaya tiga jenama

Moden, bergaya tiga jenama

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
diyanatul.atoqah@kosmo.com.my


SETIAP kasut Stride Ride mempunyai tapak yang mencengkam bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.


SEORANG demi seorang kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga sembilan tahun keluar dari tirai belakang pentas sebaik sahaja lagu rancak dimainkan oleh deejay.

Sambil meletakkan tangan di pinggul masing-masing, mereka mula menyusun langkah memperagakan pakaian baharu daripada tiga jenama pakaian kanak-kanak terkenal, Mothercare, Gingersnap dan Stride Rite.

Anak-anak cilik ini kemudian berdiri di atas bongkah masing-masing bagi memberikan pengamatan yang lebih kepada penonton dan rakan-rakan media yang hadir.

Ternyata selain tampil yakin dengan rekaan baharu yang lebih moden dan bergaya, kanak-kanak ini juga kelihatan sangat selesa dengan pakaian tersebut.

Pengurus Pemasaran Mothercare dan Gingersnaps, Haslinda Mohd. berkata, rekaan terbaharu pakaian kanak-kanak ini mengutamakan keselesaan pemakaian.

"Semua pakaian ini dibuat menggunakan fabrik 100 peratus kapas lembut bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak yang memakainya.

"Antara rekaan baharu untuk kanak-kanak lelaki termasuklah Ivy Look dan Dapper Boy, manakala bagi anak perempuan kami menawarkan Elektrik Spring serta Sugar Glam," katanya ketika membuat demonstrasi pakaian kanak-kanak di Restoran Chinoz, Suria KLCC, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, turut menarik perhatian penonton dalam peragaan tersebut adalah koleksi rekaan dan warna menarik kasut-kasut daripada Stride Ride.

Antara corak yang paling menonjol ialah kuntuman bunga besar di sepatu gadis dan kasut kasual Bahama untuk kanak-kanak lelaki.


KASUT jenama Stride Ride ini mengangkat tema adiwira dan puteri dongeng popular.


Beberapa kasut turut direka dengan mengangkat tema filem adiwira terkenal seperti Batman, Spiderman, Captain America, Star Wars dan watak permaisuri daripada kisah dongeng, Cinderella.

Teruja

Kanak-kanak yang memakai kasut-kasut berkenaan pasti akan berasa teruja kerana ia turut dilengkapi dengan kerlipan lampu untuk setiap langkah dengan gaya lebih moden.

Selain memastikan kasut-kasut itu mempunyai 'wajah' yang menyeronokkan, ia turut diperkemaskan dengan rekaan permukaan tapak lebih mencengkam dan stabil bagi tujuan keselamatan kanak-kanak. Idea rekaan tapak tersebut diilhamkan daripada kasut getah Havianas yang popular di Brazil.

Di samping itu, Haslinda turut berkongsi beberapa tip penjagaan pakaian kanak-kanak, termasuklah cara membasuhnya.

"Baju kanak-kanak tidak seharusnya dibasuh menggunakan peluntur kerana ia akan merosakkan bentuk asal pakaian berkenaan.

"Pakaian si kecil seelok-eloknya dibasuh menggunakan pencuci pakaian biasa atau pelembap pakaian. Baju-baju ini juga tidak seharusnya dimasukkan ke dalam mesin basuh dan perlu dicuci dengan tangan," katanya.

KESEMUA pakaian diperbuat daripada kapas lembut 100 peratus.


Tambahnya lagi, seeloknya pakaian kanak-kanak tidak dijemur di bawah cuaca yang terik kerana ia akan memudarkan warna baju tersebut.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan dan Komunikasi Suria KLCC, Fartini Zaharuddin berkata, pihaknya berharap pelancaran pakaian baharu kanak-kanak itu dapat menyediakan pilihan lebih baik kepada ibu bapa yang datang mengunjungi pusat beli-belah berkenaan.

"Dengan menyokong acara pelancaran pada hari ini, kami berharap rekaan pakaian terbaharu daripada tiga jenama gergasi ini mampu memberikan kepuasan kepada ibu bapa dalam menyediakan yang terbaik bagi anak-anak mereka.

"Memilih pakaian kanak-kanak juga boleh menjadi satu aktiviti hujung minggu yang mengujakan dengan pelbagai rekaan dan warna menarik," jelasnya.

Terdahulu, selain mengadakan peragaan baju kanak-kanak, acara yang berlangsung kira-kira dua jam itu turut dimeriahkan lagi dengan acara suai padan baju kanak-kanak oleh rakan-rakan media yang hadir.

Fesyen ekspresi individu

Posted:

Fesyen ekspresi individu

Fesyen ekspresi individu


KEBEBASAN berfesyen mengikut identiti peribadi dalam kalangan masyarakat kian berkembang di seluruh dunia.


DI Malaysia kini, definisi gaya untuk lelaki dan wanita sedang melalui proses transformasi rancak. Ramai yang berusaha menghias diri menerusi penjagaan wajah, rawatan tubuh badan dan pembentukan imej yang lebih sempurna dan berketerampilan.

Ia merupakan usaha mereka untuk menjadi lebih berkeyakinan dan kelihatan hebat pada pandangan mata majikan, teman sekerja, teman istimewa malah di hadapan suami atau isteri sendiri.

Perubahan pantas trend pula mengajak kita untuk memperbaharui penampilan, mewujud dan memantapkan identiti mengikut kemahuan peribadi bagi meraih perhatian dan membuatkan orang di sekeliling senang dengan kehadiran kita.

Memakai pakaian berjenama dan mengenakan aksesori dari hujung rambut hingga ke kaki bukan lagi formula daya tarikan yang efektif.

Ekspresi peribadi

Kini keutamaan telah beralih kepada gaya berbentuk ekspresi peribadi. Setiap gaya yang ditampilkan mewakili luahan emosi si pemakai. Ia membuktikan betapa fesyen memainkan peranan penting dalam mencerminkan perwatakan luaran dan dalaman individu.

PAKAIAN menjadi perlambangan kepada keperibadian diri.


Sekarang bukan lagi era peminat meniru gaya ikon fesyen atau menjadi klon selebriti kesayangan. Masyarakat hari ini lebih bijak dan sedar bahawa meniru gaya orang lain adalah sesuatu yang tidak asli bahkan tidak menepati keperibadian diri.

Fesyen berteraskan pakaian kontemporari adalah salah satu ekspresi komunikasi individualiti. Perubahan gaya dan sikap pengguna telah mendorong label-label besar untuk menghasilkan rekaan yang tidak terlalu selaras ataupun mengikut peraturan.

Mematuhi manual undang-undang gaya secara keseluruhan sememangnya bukan kaedah untuk menjadi stailo. Pakaian kontemporari menyediakan kita peluang untuk menyerlahkan individualiti dan kini menjadi lambang kemewahan yang boleh dimiliki semua.

IKON dan selebriti kini bukan lagi rujukan tunggal kepada masyarakat dalam konteks fesyen.


Gaya tersendiri

Kini, rekaan pakaian kontemporari menjadi lebih mencabar dan pelbagai sekali gus membuatkan pemakainya tambah teruja.

Kita dapat melihat di sekeliling kita, masyarakat berpakaian dengan gaya tersendiri dan mereka mahukan gabungan pilihan pakaian yang dapat menyerlahkan lagi gaya, identiti dan keperibadian mereka.

Pilihan pakaian yang ada di pasaran cukup besar, tanpa batasan dari segi bentuk, gaya dan warna. Fesyen adalah sesuatu yang ceria, mampu menterjemahkan ekspresi diri dan mengenai cita rasa individu.

Tiada lagi manual berfesyen dan gaya yang terlalu mengikut aliran. Fesyen sepatutnya membuat kita lebih menarik, yakin dan kreatif apabila berhadapan dengan masyarakat.

Setiap individu berhak berfesyen mengikut kemampuan dan cita rasanya. Namun ia perlu disesuaikan dengan budaya dan latar belakang masyarakat setempat.

Sememangnya fesyen mempunyai kaitan kuat terhadap masa silam, memori, tanda mata, harga diri dan sejarah. Sudah tiba masanya untuk kita meluaskan perspektif terhadap fesyen dan menghormati hak orang lain untuk berfesyen.

Sememangnya ini merupakan antara fenomena yang mendefinisikan budaya moden.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved