Selasa, 29 April 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Perkenal produk isi rumah

Posted:

Perkenal produk isi rumah

Perkenal produk isi rumah

Oleh HAFIZ AHMAD

TANGANNYA pantas memasukkan bahan-bahan membuat roti seperti tepung, yis dan kismis ke dalam sebuah alat pembuat roti yang dicipta dengan teknologi terkini dari pengeluar peralatan elektrik dan elektronik terkemuka, Panasonic.

Tanpa perlu diayak dan diuli mengikut kaedah konvensional, alat pembuat roti Panasonic SD-P104 itu nyata lebih mudah digunakan sekali gus menjimatkan masa.

"Setelah memasukkan semua bahan, mesin ini akan membuat semua kerja dan kita hanya perlu menunggu ia masak sepenuhnya yang mengambil masa tidak sampai satu jam," ujar Fazley Yaakob yang sebelum ini diangkat sebagai pemenang dalam sebuah rancangan memasak, Masterchef Selebriti.

Katanya, penciptaan alat berteknologi tinggi seperti SD-P104 itu sangat membantu kerja-kerjanya di dapur terutamanya ketika membuat hidangan pencuci mulut dan roti yang menjadi kegemarannya.

Penyanyi lagu Coklat Kek itu ditemui pada majlis pelancaran rangkaian produk baharu Panasonic di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

Pada program tersebut, dia menyediakan roti Matcha Butterscotch, roti lembut kranberi, roti gulung kismis kayu manis dan kek pisang kacang walnut.

SD-P104 direka dengan program pra tetapan penaik roti dengan sensor suhu dalam dan luar yang membantu untuk mencapai kualiti roti yang konsisten.

Ini bermakna, pengguna boleh menetapkan masa dan meninggalkan bahan-bahan tersebut semalaman. Pada keesokan harinya, roti tersebut siap untuk dimakan bersama seisi keluarga.


PANASONIC yakin dapat menguasai pasaran pendingin hawa menjelang akhir tahun ini.


Ciri-ciri baharu

Ia dilengkapkan dengan ciri-ciri baharu seperti dispenser yis yang secara automatik menjatuhkan yis pada masa optimum dengan mengesan suhu bilik dan dalaman kuali. Selain itu, dispenser kismis dan kacang akan mengeluarkan buah-buahan kering, kacang dan biji benih secara automatik dan sama rata untuk tekstur roti yang lebih baik.

"Menariknya, kami juga menjalankan kerjasama antara Aeon Topvalu yang memperkenalkan tepung organik. Selepas uji kaji, ia sesuai disyorkan untuk pembuat roti SD-P104," ujar Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Yosuke Matsunaga ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.

Tepung itu boleh didapati di semua cawangan Aeon pada pertengahan Mei ini.

"Pembuat roti SD-P104 tersebut selaras dengan visi Panasonic untuk menyediakan kemudahan memasak dan membakar di rumah. Selain itu, ia memudahkan pengguna untuk menikmati roti yang berkhasiat dan berkualiti," ujarnya.

Dengan slogan A Better Life, A Better World, Panasonic turut memperkenalkan dua lagi produk elektrik baharu di bawah rangkaian pendingin hawa dan televisyen (TV) Viera.

Pendingin hawa

Rangkaian baharu pendingin hawa Panasonic di bawah kategori Semi Deluxe Econavi dicipta dengan menggabungkan Teknologi Econavi Eco Sensor dan Teknologi Kawalan Intelligent Inverter Compressor. Ia membantu dalam penjimatan tenaga dan meningkatkan pendinginan dalam bilik bagi mewujudkan persekitaran yang mesra alam.


PANASONIC berusaha menghasilkan produk yang memenuhi keperluan pengguna dan mesra alam.


Econavi Eco Sensor dibahagikan kepada dua penderia utama iaitu Sensor Aktiviti Manusia dan Sensor Cahaya Matahari. Sensor adalah alat yang dapat mengesan perubahan sinar cahaya, haba dan tekanan.

Sejurus pendingin hawa dipasang, ia secara automatik dapat mengesan aktiviti dan keadaan persekitaran bilik dan menghantar data kepada Inverter.

Teknologi Inverter yang merupakan sebahagian daripada unit Kompresor Luar bertanggungjawab untuk menerima data dari sensor Econavi. Ia kemudiannya mengubah kelajuan putaran kompresor untuk mengekalkan suhu bilik yang selesa, tepat dan mesra alam.

Kerjasama antara kedua-dua fungsi itu turut menjimatkan tenaga dan wang sehingga 65 peratus. Pengguna boleh menikmati keselesaan penyejukan tanpa gangguan pada bila-bila masa tanpa pembaziran.

"Kami juga telah memperbaharui unit dalaman Sistem Pembersih Udara (nanoe-G) bagi membantu menangani isu-isu pencemaran udara semasa," jelas Matsunaga.

Dia menambah, peningkatan taraf Nanoe-G berkesan untuk membuang partikel jerebu atau lebih dikenali sebagai Particulate Matter 2.5 (PM 2.5).

Kategori TV

Bagi kategori TV, Panasonic memperkenalkan 23 model TV dikenali sebagai Life + Screen yang terdiri daripada 65 inci dan 85 inci TV 4K. Ia dikatakan mampu menandingi kehebatan TV pintar sedia ada di pasaran.

"Pada saya, TV perlu bersifat mudah untuk digunakan. Disebabkan itu Life + Screen dicipta dari sudut pandangan pengguna yang menghadapi kesukaran menggunakan TV Pintar," kata Matsunaga.


Pengguna dapat menjimatkan masa dan tenaga menerusi teknologi terkini alat pembuat roti SD-P104.


Kebanyakan TV Pintar yang terdapat di pasaran mempunyai fungsi dan operasi yang merumitkan. Jelas Matsunaga, perkara itu menyebabkan pengguna sukar melihat kandungan yang dikehendaki.

Menerusi My Stream terdapat ciri-ciri seperti kandungan HDD, video dalam talian dan penanda laman. Selain itu, Skrin Utama membolehkan pengguna untuk mendaftar masuk pengenalan diri dan memperibadikan aplikasi kegemaran mereka.

Skrin Utama dilengkapi dengan aplikasi My Food Screen yang mempunyai konfigurasi pratetap Open Rice, Try Masak dan IM Food Lover. Ia menawarkan direktori restoran tempatan, resipi-resipi dan pentas sosial untuk pengguna.

"Mereka boleh berkongsi idea restoran resipi kegemaran mereka bersama pengguna TV Pintar Panasonic dan ia hanya boleh diakses di Malaysia sahaja," kata Matsunaga.

Bagi memudahkan pengguna rangkaian TV Viera Panasonic, mereka boleh mengawal dan menetapkan kandungan rancangan TV menggunakan telefon pintar atau tablet.

Aplikasi yang dibangunkan pada tahun 2013 itu boleh dimuat turun oleh pengguna android menerusi sistem operasi Google Play secara percuma.

Ribut pasir 'gergasi' melanda utara China

Posted:

Ribut pasir 'gergasi' melanda utara China

Ribut pasir 'gergasi' melanda utara China


POLIS trafik mengawal lalu lintas sambil mengenakan topeng muka.


RIBUT pasir yang menyelubungi bandar Kashgar, Xinjiang di barat laut China sejak awal pagi Khamis lalu menyebabkan lima penerbangan terpaksa dibatalkan dan lebih 1,500 penumpang terkandas.

Kesemua penumpang tersebut diuruskan untuk berehat di hotel yang disediakan oleh pihak pengurusan Lapangan Terbang Kashgar. Mereka turut dimaklumkan perkembangan keadaan cuaca terkini yang selamat untuk meneruskan penerbangan dan segala urusan pengangkutan ditanggung beres oleh perkhidmatan pengendalian darat lapangan terbang tersebut.

Ribut pasir itu mula menyerang pada petang Rabu hari sebelumnya di bandar dan daerah berhampiran termasuk Kashgar, Khotan, Kuqa, Korla dan Qiemo di selatan Xinjiang. Petang Khamis, sebanyak 22 penerbangan di rantau berkenaan dikatakan terjejas.

Jarak penglihatan kawasan yang terjejas teruk iaitu Kashgar adalah di bawah jarak 10 meter dan rata-rata kenderaan penduduk dipandu dengan perlahan. Pemandu terpaksa menghidupkan lampu kenderaan bagi membantu penglihatan mereka lebih jelas.

"Ia adalah sukar untuk memandu kereta di jalan raya. Saya berasa susah untuk membuka mata dan bernafas," kata Chen Pan yang merupakan penduduk di Kashgar.

Bukan sekadar angin kuat yang tiba-tiba melanda membantutkan pergerakan penduduk malah suhu juga didapati menurun dengan mendadak. Sementara itu, para petani menyatakan kebimbangan sekiranya perubahan cuaca mampu mendatangkan kesan buruk terhadap tanaman mereka.


DUA wanita ini menutup muka masing-masing dengan salah seorang daripadanya menutup keseluruhan wajahnya dengan selendang bercorak harimau bintang.


Punca

Kebanyakan sekolah yang terjejas terpaksa ditutup akibat terganggu dengan jarak penglihatan yang terhad di kawasan yang dilanda ribut pasir. Pihak sekolah terbabit juga sudah mula menghantar memo kepada ibu bapa yang mengandungi amaran supaya memastikan anak-anak mereka berada di rumah sehingga keadaan menjadi stabil seperti sediakala.

Ribut pasir tersebut dikatakan berpunca dari padang pasir berhampiran iaitu Gurun Gobi yang melintang dari kawasan pedalaman Mongolia sehingga ke utara China. Beijing yang terletak kira-kira 4,371 kilometer dari Kashgar turut terkena tempiasnya.

Gurun Gobi merupakan salah satu kawasan debu pasir terbesar di dunia yang sering mengalami kejadian ribut pasir pada musim bunga iaitu sekitar April.

Kejadian teruk tersebut memaksa sebahagian besar masyarakat di China untuk mengenakan topeng muka sepanjang masa sehingga keadaan kembali reda. Walaupun kejadian ribut pasir tersebut dikatakan yang terburuk pernah berlaku di beberapa wilayah China sejak sekian lama, ia dijangka akan lebih kerap berlaku di utara China dalam tempoh 50 tahun.

Laporan yang dikemukakan oleh Kongres Perhutanan Dunia 2013 itu turut menyebut bahawa ia berlaku kerana didorong oleh keadaan kering, corak angin dan penggurunan yang berlaku dengan pantas terutama di kawasan utara negara berkenaan.

Tahun lalu, ribut pasir melanda Beijing dan meliputi bandar tersebut seketika sebelum dibawa angin menuju ke California, Amerika Syarikat.

Pakaian sukan bertekanan rekaan UUM

Posted:

Pakaian sukan bertekanan rekaan UUM

Pakaian sukan bertekanan rekaan UUM

Oleh NIK MOHD BAIDZANI HADDAD IBRAHIM


MOHAMED NAJIB (kiri) menerangkan fungsi pakaian sukan bertekanan kepada juri semasa penilaian pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ITEX 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


PEREDARAN teknologi bukan sahaja terhadap barangan elektrik dan elektronik malah, pakaian juga sudah mula direka seiring dengan perkembangan teknologi.

Ketika ini, terdapat pelbagai jenis pakaian sukan seumpama itu berada di pasaran. Salah satunya ialah stokin bertekanan. Stokin tersebut sering digunakan oleh atlet bagi meningkatkan prestasi, mengurangkan keletihan, mengelakkan kecederaan dan memberikan perasaan positif.

Beberapa kajian oleh penyelidik dalam bidang sukan seperti Kemmlar dan Kraemer mengesahkan bahawa stokin bertekanan tersebut sememangnya membantu prestasi atlet.

Namun begitu, bagi atlet yang bertanding di peringkat tinggi, stokin bertekanan yang terdapat di pasaran kini mungkin sudah tidak bersesuaian. Ini kerana stokin tersebut dibuat berdasarkan saiz umum iaitu S, M, L dan XL.

Oleh itu, paras tekanan yang dikenakan oleh stokin kepada atlet mungkin tidak mencapai paras yang diperlukan atau terlebih tekanan. Perkara tersebut semestinya akan menjejaskan keberkesanan penggunaan stokin bertekanan. Atlet yang bertanding di peringkat tertinggi memerlukan stokin bertekanan yang direka khas mengikut keperluan mereka.

Sehubungan itu, penggunaan pakaian sukan bertekanan adalah lebih tepat kerana mampu membantu meningkatkan prestasi atlet tersebut.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamed Najib Salleh berkata, pakaian sukan bertekanan direka untuk mengharmonikan tekanan kepada anggota yang dilitupinya.

"Sistem yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berfungsi untuk mereka paten stokin bertekanan bagi kaki bersesuaian dengan atlet tersebut," ujarnya.

Ia dihasilkan berdasarkan model tiga dimensi kaki si pemakai yang dicipta bersama maklumat fabrik yang digunakan dan juga paras tekanan yang akan dikenakan ke atas kaki.

Berdasarkan eksperimen yang dijalankan, sistem tersebut berupaya untuk membangunkan stokin yang mampu memberikan paras tekanan yang dikehendaki.

Projek penyelidikan berkenaan telah dianugerahkan pingat emas dalam pertandingan Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 yang berlangsung tahun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Kajian tersebut dibiayai oleh dana sukan Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved