Jumaat, 11 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rasa, tekstur kopi berbeza

Posted:

Rasa, tekstur kopi berbeza

Rasa, tekstur kopi berbeza

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

SEBAIK tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, peserta Cabaran Pendakian Barista Gunung Kinabalu (CPBGK) 2014 kelihatan cukup teruja untuk melaksanakan misi mereka yang akan bermula pada keesokan hari.

Sementara menunggu kenderaan yang membawa mereka ke Taman Negara Kinabalu (TNK), Kundasang tiba, ada peserta yang mengambil kesempatan untuk menurunkan tanda tangan, doa dan kata-kata semangat ke atas selembar kain rentang bertulis #Pray for MH370 yang turut dibawa sama ke puncak tertinggi di Kepulauan Melayu itu.

Perjalanan selama tiga jam menuju ke taman negara tersebut diiringi dengan keindahan hutan tropika dan landskap semula jadi yang berbukit bukau. Ketibaan semua barista kira-kira pukul 5 petang disapa deru angin dingin dan kabus putih yang meliputi ruang udara.

Barista adalah panggilan kepada pembuat kopi khusus seperti espresso. Panggilan barista berasal daripada bahasa Itali itu sudah lazim digunakan di kebanyakan kafe di Malaysia.

Peserta wanita, Aslinda Asrimon, 32, yang teruja menceritakan pengalamannya berkata, tiada siapa sangka dia akan berjaya mendaki Gunung Kinabalu apatah lagi menawan puncak tertinggi di Malaysia itu.

"Ya, saya memang ada terfikir untuk berputus asa semasa mendaki gunung ini walhal jarak pendakian tinggal lagi 70 meter (m). Namun, ia bukan disebabkan keletihan atau kecederaan fizikal tetapi saya mengalami mabuk ketinggian.


KEBIASAANNYA, mesin pemanas air dengan suhu ideal digunakan oleh barista untuk menghasilkan minuman kopi.


"Saya cuba mengawal pernafasan, berselawat dan mendorong diri sendiri untuk meneruskan pendakian biarpun saya menjadi orang kelima terakhir yang tiba di puncak," tutur Aslinda yang sebelum ini tidak pernah meminati aktiviti lasak.

Tambahnya, suhu sejuk serendah 3.2 darjah Celsius yang mencengkam hingga ke tulang ketika berada di Laban Rata membuatkan dia memakai pakaian sebanyak tiga lapis.

Laban Rata ialah lokasi penginapan yang terletak pada ketinggian 3,272 meter atas paras laut, yang menawarkan pendaki tempat untuk bermalam yang dilengkapi sistem pemanasan haba dan makanan serta minuman sebelum dan selepas mendaki gunung.

Lakar rekod

Jarak antara titik mula pendakian di Timpohon ke Laban Rata sekitar enam kilometer (km) dan secara puratanya memakan masa selama enam hingga tujuh jam.

Sambung Aslinda, selepas mendapatkan rehat secukupnya di Laban Rata, dia dan peserta lain bersiap-siap untuk meneruskan pendakian ke puncak atau Low's Peak pada pukul 2.30 pagi.

Dalam pada itu, barista bertauliah, Khairul Imran Adnan, 32, menerangkan dengan lebih lanjut tentang rekod yang ingin dilakar oleh Gloria Jean's Coffees (GJC) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dalam sesi cupping atau pencawanan tertinggi di Malaysia ke dalam Malaysia Book of Records.


PEMANDANGAN ke pintu masuk Taman Negara Kibabalu yang berlatar belakang Gunung Kinabalu.


"Kami membawa tiga jenis kopi iaitu espresso blend, hazelnut praline dan dark night ke puncak gunung untuk menguji perbezaan aroma dan setiap kopi dalam keadaan deria bau dan rasa yang terhad.

"Kesemua kopi tersebut didapati rasanya kurang pahit, manis dan pekat.

"Ini kerana ketinggian altitud menyebabkan kepekaan deria rasa berkurangan dan tidak hairanlah kopi yang dihasilkan ketika di puncak rasa berbeza berbanding menikmatinya di kawasan yang lebih rendah," jelas Eksekutif Operasi di Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd. itu. Syarikat tersebut merupakan francaisi induk bagi jenama GJC di Malaysia dan Brunei.

Menurut beliau, cabaran bagi peserta CPBGK 2014 adalah untuk melakukan sesi cupping secara manual dengan mengenal pasti suhu air, kuantiti serbuk kopi yang diperlukan dan teknik penyediaan yang bersesuaian bagi mendapatkan aroma kopi persis minuman yang dihasilkan sebelum ini.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan PNS Malaysia dan Brunei merangkap ketua ekspedisi CPBGK 2014, Che Ishak Che Khalib, 39, memberitahu, pihaknya mengadakan ujian saringan terlebih dulu menerusi latihan mendaki bagi mengenalpasti tahap stamina mereka.

Bimbingan

"Sebanyak 60 permohonan diterima tetapi hanya 31 orang yang layak mengikuti ekspedisi ini dan mereka tidak pernah gagal menghadiri latihan yang diadakan pada setiap dua minggu sekali selama lima bulan berturut-turut.


KHAIRUL IMRAN (tengah) dan dua orang barista bertauliah lain melakukan sesi cupping minuman Gloria Jean's Coffees di puncak Gunung Kinabalu.


"Antara persiapan lain termasuklah mengadakan bengkel motivasi dan sesi percambahan fikiran bagi memastikan peserta bukan sahaja bersedia daripada segi fizikal malah juga mental," jelasnya yang terpaksa membahagikan masa antara tugasan, keluarga, latihan mendaki dan pengajian peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia, cawangan Kuala Lumpur.

Ekspedisi tersebut mendapat bimbingan daripada syarikat pengurusan majlis, Equip Management Enterprise yang bertanggungjawab memantau segala pengurusan dan persiapan peralatan mendaki termasuk latihan fizikal dipenuhi. Selain itu, syarikat terbabit turut memastikan tahap kecergasan semua barista berada pada keadaan baik.

Memerang bantu nelayan tangkap ikan

Posted:

Memerang bantu nelayan tangkap ikan

Memerang bantu nelayan tangkap ikan


NELAYAN ini mempunyai kemahiran melatih memerang untuk tujuan menangkap ikan di sungai.


MEMERANG merupakan haiwan berdarah panas yang tinggal berdekatan air dan ikan merupakan sumber makanan utamanya.

Kecekapan dan kelincahan haiwan yang tergolong dalam keluarga Mustelidae itu menangkap ikan digunakan sepenuhnya oleh nelayan-nelayan di Sundarbans, selatan Bangladesh untuk membantu kerjaya mereka sejak berabad lamanya.

Mamalia tersebut dilatih untuk mengejar ikan-ikan di dalam sungai agar bergerak ke arah jala yang diletakkan bersebelahan bot.

"Tugas kami bergantung kepada memerang," kata Shashudhar Biswas, seorang nelayan dalam lingkungan usia 50-an yang mahir melatih memerang.

Menurutnya, memerang merupakan haiwan istimewa kerana dapat melihat ikan di celah-celah tumbuhan di dalam air. Kelebihan tersebut membolehkan para nelayan memperoleh hasil tangkapan yang lumayan.

Ujarnya, waktu menangkap ikan selalunya dilakukan pada waktu malam dengan hasil tangkapan sekitar empat hingga 12 kilogram.

Hasil tangkapan itu membolehkan setiap keluarga meraih pendapatan sekitar RM250 sebulan.

Namun kebelakangan ini, hasil tangkapan mereka berkurangan secara drastik.

Menurut Profesor Zoologi di Universiti Jahangirnagar Dhaka, Mohammed Mostafa Feeroz, populasi ikan di kawasan tersebut semakin berkurangan disebabkan ikan tidak dapat membiak.

"Mendapan, pencemaran minyak dan penggunaan racun perosak di sawah padi serta tangkapan secara berlebihan merupakan punca utama masalah ini," katanya.

Sekiranya situasi tersebut berterusan, ia dikhuatiri akan menyebabkan tradisi menangkap ikan menggunakan memerang di kawasan tersebut akan terhapus.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved