Sabtu, 12 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rossa sudah ada teman baharu

Posted:

Rossa sudah ada teman baharu

Rossa sudah ada teman baharu

CERITA Rossa dan teman lelaki tidak pernah jemu disoalkan setiap kali berjumpa, tidak kira bersama teman media dari Malaysia mahupun Indonesia. Pastinya soalan wajib itu menjadi topik ketawa si empunya nama penuh Sri Rossa Roslaina Handayani itu.

Selepas berpisah dengan bekas suaminya yang merupakan pemain drum kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau lebih dikenali Yoyo pada 14 Julai 2009 ramai pemuja wanita kelahiran Sumedang, Indonesia itu untuk melihat dia beroleh pengganti buat mengisi kekosongan hati yang sudah melewati tempoh lima tahun itu.

Bagi Rossa, gembira atau tidak segalanya milik dia bersama anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadan, 7 tahun. Segala kecintaan atau mekar kembangnya kasih sayang ditumpahkan sepenuhnya untuk anak lelaki yang disapa Rizki.

"Saya tidak sunyi bersendirian! Sepanjang tempoh lima tahun selepas bercerai saya tidak pernah rasa menyesal, bahkan saya punya Rizky yang senantiasa membahagiakan ibunya dan membuatkan saya ceria.

"Saya kira, kalau bernikah kali kedua pun mungkin sudah tidak sama dengan pernikahan pertama. Kali ini lebih fokus kepada anak-anak dan jauh lebih matang daripada dahulu," ujarnya yang ditemui usai mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha Atas Nama Cinta di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kerabat


SELEPAS lima tahun hidup menjanda, Rossa mengaku hatinya kini bahagia kerana sedang menikmati cinta dengan seorang duda yang merupakan usahawan dari Indonesia.


Tambah anak pertama kepada pasangan Ukas Hasan Herawan dan Eni Kusmiani itu, dia tegar berdepan dengan pelbagai spekulasi dan gosip dengan pelbagai individu di sekelilingnya sepanjang tempoh lima tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Digosip menjalinkan hubungan dengan kerabat mahupun golongan kenamaan beberapa kali, tidak pernah mematahkan dahan-dahan ketabahan yang semakin subur memeluk dirinya saban waktu.

"Banyak kali saya mendengar pelbagai cerita timbul mengaitkan saya dengan kerabat atau golongan kenamaan, tapi itu sama sekali tidak benar selagi kenyataan tidak keluar daripada mulut saya.

"Malah, cerita terbaharu yang mengaitkan saya dengan kerabat di sebuah negeri di Malaysia baru-baru ini sama sekali tidak benar. Pastinya perkenalan saya dengan mereka (kerabat) lebih erat daripada yang disangka. Sudah 15 tahun kami kenal satu sama lain, jadi tidak akan terjadi soal cinta antara kami," jelasnya.

Mengukuhkan hujah yang ditebarkan, kata Rossa dia kini sedang mengenali seorang usahawan dari Indonesia yang usianya tidak jauh beza daripadanya.

"Cinta kedua ini lebih senang. Umur pun sudah bertambah dan perangai pun tidak seperti budak-budak sekolah lagi. Masing-masing tiada halangan kerana saya solo dan dia pun solo.

"Insya-Allah kalau benar-benar ada jodoh untuk bersama saya akan maklumkan, tapi buat masa sekarang biarlah orang sekadar tahu saya dan dia sedang berkenalan," katanya mengenai lelaki berstatus duda itu.

Ditanya adakah Rossa meletakkan sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga kali kedua, jawabnya tiada. Dia menegaskan tiada sebarang perancangan untuk berkahwin pada tahun ini.

Album

Dalam perkembangan lain, Rossa bakal melancarkan album ke-11 pada bulan Mei depan. Ujar Rossa album yang diberi judul Love, Life & Music itu bakal memuatkan sebanyak 11 buah lagu termasuk single hit bersama Hafiz Suip, Salahkah.


DUET Rossa bersama Hafiz untuk lagu Salahkah turut didendangkan pada persembahan menghiburkan setiausaha itu.


Menarik mengenai album itu, single pertamanya berjudul Hijrah Cinta yang dicipta oleh Melly Goeslow dan Anto Hoed merupakan tribute kepada teman rapatnya, Ustaz Uje yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

"Sepanjang rakaman lagu ini saya tidak henti menangis. Ustaz Uje merupakan kawan baik saya dan pernah beberapa kali kami menunaikan umrah dan haji bersama-sama.

"Sememangnya pemergian dia benar-benar memberikan kesan kepada saya. Malah, susunan semula lagu Ayat-Ayat Cinta dalam nuansa Arab merupakan idea daripadanya.

"Hijrah Cinta berkisar tentang perasaan yang lebih mendalam untuk mencintai Allah dan menjadi yang lebih baik. Lagu itu mengisahkan perjalanan hidup Ustaz Uje daripada seorang lelaki yang nakal kepada mencintai agama dengan sangat mendalam," tambah Rossa.

Diana Danielle selesa diurus adik ipar

Posted:

Diana Danielle selesa diurus adik ipar

Diana Danielle selesa diurus adik ipar

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


DIANA masih belum mampu memberi komitmen untuk kembali bekerja dalam tempoh yang lama.


SEBELUM ini, timbul banyak cerita kurang senang yang membabitkan pelakon cantik Diana Danielle dengan adik iparnya, Fadzil Zahari (adik kepada Farid Kamil). Ini kerana Fadzil dilihat sentiasa menemani Diana ke majlis-majlis hiburan.

Lantas, ada yang mendakwa Farid mengarahkan Fadzil untuk menjaga keselamatan Diana. Malah, ada juga yang berasa kurang senang melihat Fadzil sentiasa bersama Diana tanpa Farid di sisi dan menganggap perbuatan itu kurang manis pada pandangan mata.

Namun, semua kata-kata tersebut lenyap apabila mengetahui Diana sebenarnya merupakan artis di bawah pengurusan syarikat milik Fadzil iaitu Prokuya Studio Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai perkara itu, kata Fadzil, sejak bulan Januari lalu, kerjaya Diana sepenuhnya telah diuruskan oleh syarikat miliknya.

Selain Diana, jelas Fadzil, syarikat Prokuya turut menguruskan pelakon Yana Samsudin, Syatilla Melvin, Shahrul Ridzuan dan Mya Ahmad. Namun pengurusan kerjaya artis-artis tersebut bergantung kepada permintaan daripada klien mereka.

"Artis pengurusan Prokuya setakat ini hanya Diana sahaja. Tetapi, pada masa yang sama kami turut mempromosikan artis-artis lain mengikut permintaan dan projek. Sebab syarikat Prokuya lebih kepada pengurusan pengiklanan," ungkap Fadzil yang mengakui bersikap profesional biarpun menguruskan kakak ipar sendiri.

Selesa

Cantik mengenakan gaun merah hati pada majlis memperkenalkan Diana dan Farid sebagai jurucakap kepada haruman baharu produk Downy di The Apartment, KLCC, Diana turut mengulas mengenai perasaannya diuruskan adik ipar sendiri.

"Sangat penting apabila kerjaya kita diuruskan oleh ahli keluarga sendiri supaya tiada penyelewengan. Hubungan antara saya dengan Fadzil juga lebih telus.

"Kalau saya ambil orang luar lebih-lebih lagi lelaki, mungkin Farid tidak berasa selesa. Bersama Fadzil, saya rasa lebih yakin dan selesa," akui Diana dan berharap pengakuannya dapat merungkai segala persoalan kenapa dia kerap bersama Fadzil.


FARID dan Diana tidak merancang untuk segera mempunyai anak lagi, sebaliknya mahu memberi fokus terhadap anak sulung mereka, Muhammad.


Sementara itu, menurut Farid pula, walaupun Prokuya Studio itu merupakan syarikat milik adiknya, dia terpaksa campur tangan dalam urusan kerjaya Diana.

Katanya: "Saya meminta agar Diana lebih fokus kepada keluarga. Sudah tentu saya harapkan Prokuya Studio merencana program atau perjalanan seni Diana yang bersesuaian dengan statusnya".

Fokus Muhammad

Mengulas lanjut, ujar Farid, dia juga tidak akan membenarkan Diana terbabit dalam kerja-kerja seni yang mempunyai durasi panjang.

Malah, dia menganggap kesesuaian Diana terbabit dengan projek drama dalam keadaan sekarang ini amat terbatas kerana statusnya sebagai seorang ibu.

"Saya tidak pernah menghalang atau menyekat dia dalam kerjaya seni. Cuma, saya sering kali mengingatkan dia untuk lebih memberi fokus kepada Muhammad yang mana itu menjadi keutamaan kepada saya," jelasnya.

Faham statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Diana juga mengakui tidak bekerja pada hari Sabtu dan Ahad.

Luahnya, hari tersebut hanya diperuntukkan untuknya bersama Farid dan Muhammad.

Diana juga mengakui sukar untuk meletakkan sasaran bila dia boleh kembali aktif dalam dunia seni.

"Sangat sukar untuk saya meletakkan sasaran pada waktu bila saya boleh kembali aktif dalam bidang seni. Tetapi, saya akan mengikut naluri jika ia mengatakan Muhammad sudah bersedia untuk saya tinggalkan lebih lama kerana terikat dengan komitmen lakonan," ulasnya yang turut mengacarakan program MyEG Extra Time.

Di soal mengenai perkembangan Muhammad ketika ini, kata Farid pula, dia bersyukur kerana anak lelakinya itu cepat belajar dan berharap dirinya dan Diana mampu menjadi ibu bapa yang baik kepada anaknya itu.

Mengakui apa yang dituturkan Farid, Diana turut memberitahu, tiada sebarang perancangan pada masa terdekat ini untuk menambah anak. Apa yang penting baginya adalah untuk memberi keutamaan kepada Muhammad dulu.

Bella kini berhijab

Posted:

Bella kini berhijab

Bella kini berhijab

Oleh HARYATI KARIM

BELLA memberitahu, selepas memakai hijab, dia berasa kehidupannya lebih tenang.


PELAKON cantik Nabilah Ali Dally atau nama komersialnya Bella Dally sebelum ini cukup hangat dengan kontroversi putus cinta bersama pelakon Nazim Othman.

Walaupun diasak dengan pelbagai soalan, Bella tetap dengan pendiriannya enggan membuka mulut mengenai kisah cintanya bersama Nazim.

Kini, tumpuan beralih kepada perubahan imejnya yang telah berhijab penuh. Perubahan pelakon berusia 23 tahun ini menarik perhatian peminat apabila dia memuat naik fotonya berhijab dalam akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Bukan kerana fesyen atau mengikut orang, tegas pelakon drama Kalimah Jiwa itu, perubahan imej yang dilakukan atas kemahuannya sendiri tanpa dipaksa orang lain.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Bella yang di hubungi semalam.

Kosmo!: Sejak bilakah Bella membuat perubahan terhadap imej dengan berhijab penuh?

BELLA: Saya baru sahaja berhijab penuh sejak beberapa hari yang lalu. Sekarang dalam proses untuk membiasakan diri keluar dengan berhijab. Alhamdulillah sekarang ini saya rasa cukup tenang.

Apakah yang mendorong anda untuk berhijab?

Semuanya berlaku secara tiba-tiba, saya tidak mengalami sebarang mimpi, sebaliknya atas kemahuan sendiri dan saya lakukan kerana Allah. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan niat untuk berhijab.

Bagaimanakah dengan fesyen hijab anda?

Saya baru sangat berhijab, buat masa sekarang saya pakai biasa sahaja asalkan selesa dan menutup rambut. Namun, status saya sebagai artis memerlukan saya untuk tampil dengan fesyen menarik tidak boleh terlalu biasa.


DARI KIRI: Uqasha, Bella dan Nelydia Senrose.


Adakah anda akan tinggalkan dunia lakonan selepas ini?

Tidak, saya akan terus berlakon kerana lakonan merupakan sumber pendapatan dan minat saya. Walaupun berlakon, saya tetap akan menutup aurat. Apabila saya ambil keputusan untuk berhijab ia keputusan muktamad dan bukan boleh dibuka sesuka hati.

Selepas berhijab pasti ada batas yang harus dijaga, adakah anda meletakkan syarat tertentu kepada pengarah dan penerbit selepas ini?

Rasanya tidak ada sebarang masalah kerana rata-rata mereka faham keperluan pelakon wanita berhijab. Saya tidaklah meletakkan sebarang syarat, selagi selesa saya tidak ada sebarang masalah. Jika adegan terlalu melampaui batas mungkin saya akan bersuara. Pihak penerbit juga memberitahu, berhijab tidak membataskan tawaran lakonan.

Apakah komen peminat anda terhadap imej baharu ini?

Alhamdulillah, saya tidak sangka mendapat sokongan begitu ramai pihak yang suka dengan perubahan ini. Selain peminat yang memberi kata sokongan, keluarga saya juga amat gembira dengan keputusan saya untuk berhijab.

Sebenarnya apakah yang berlaku antara anda dan Nazim? Adakah benar kalian sudah rasmi putus cinta?

Saya macam biasa sahaja dengan dia, itu sahaja yang saya boleh beritahu. Saya tidak mahu membuat sebarang pengesahan putus cinta atau komen kisah cinta kami. Biarlah hanya kami berdua sahaja yang tahu apa yang berlaku.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved