Sabtu, 12 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tunggangan rangsang 1,000 otot

Posted:

Tunggangan rangsang 1,000 otot

Tunggangan rangsang 1,000 otot

Oleh KHAIRIYAH HANAFI

"ANGKAT tangan, tegakkan badan," kata seorang pelatih yang berdiri di tengah-tengah gelanggang kuda yang berpagarkan kayu putih itu.

Seakan-akan faham dengan arahan yang diberikan, tubuh kecil yang sejak dari tadi duduk diam di atas badan kuda putih bernama Seroja itu menukar posisi.

Biarpun sinar mentari pagi mula memancar terik di Unit Rekreasi Berkuda, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, namun riak wajah yang terpamer itu masih bersemangat untuk terus menunggang kuda.

Daripada pandangan mata kasar, remaja lembam, Husni Mubarak, 17, tidak ubah seperti manusia normal lain, namun siapa sangka, dia sebenarnya orang kelainan upaya (OKU) yang sedang menjalani latihan terapi berkuda.

Menurut Pembantu Tadbir Tertinggi Jabatan Landskap dan Rekreasi, DBKL, Zainora Buyong, terapi berkuda merupakan inisiatif DBKL untuk membantu kanak-kanak dan remaja OKU membina pertumbuhan fizikal dan emosi.

"Kuda merupakan haiwan cerdik yang tahu siapa penunggangnya.

"Jadi, secara tidak langsung ia memudahkan lagi proses terapi dijalankan memandangkan kuda memiliki daya sensitiviti yang lebih terhadap golongan tersebut," katanya.

Tambah Zainora, keistimewaan kuda yang mempunyai lengkok pada belakang badannya itu berkesan dalam membantu memperbaiki pertumbuhan otot serta saraf secara semula jadi.

Ini ekoran daripada kesan tindak balas latihan terapi fizikal tersebut.

Melalui terapi itu, mereka diajar cara untuk membuat beberapa pergerakan asas semasa menunggang kuda.


KUDA akan diperiksa bagi memastikan keupayaannya menampung berat badan pelatih.


Ujarnya, bagi setiap 10 minit terapi, kira-kira 1,000 otot pelatih dapat digerakkan.

"Kita akan dapat melihat perubahan tersebut setelah dua hingga tiga kali terapi, bergantung kepada keupayaan kanak-kanak berkenaan.

"Ada satu kes seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan sukar mendengar arahan namun sebaik tubuhnya diletakkan di atas kuda, dia berubah menjadi tertib," ulasnya.

Tambah Zainora, hal tersebut disebabkan wujudnya hubungan unik antara kuda dengan penunggang yang menimbulkan perasaan percaya.

"Disebabkan itulah kanak-kanak akan disuruh membelai kuda terbabit sebelum terapi bermula.

"Ini bagi memastikan kuda tersebut kenal orang yang akan menunggangnya sekali gus mengelakkan kuda daripada berasa terancam," jelasnya

Ulasnya lagi, terapi tersebut bagaimanapun sesuai untuk OKU yang tergolong dalam empat kategori kecacatan sahaja iaitu kecacatan anggota badan, sindrom Down, lembam dan autisme.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, terapi berkuda diperlukan untuk perkembangan fizikal seseorang terutamanya OKU.

"Terapi berkuda sebenarnya merupakan sejenis sukan ataupun latihan fisioterapi yang bagus untuk golongan tersebut.

"Ini kerana setiap manusia perlu membuat pergerakan badan bagi membetulkan organ dalaman yang bermasalah," katanya.

Namun begitu, beza terapi berkuda dengan terapi fisiologi di hospital ialah mereka terpaksa menjalani latihan secara berseorangan tanpa rakan-rakan yang boleh bergaul selain terkurung di dalam bilik terapi selama beberapa jam.

Jadi, apabila emosi berada dalam keadaan gembira, stabil dan tidak tertekan, tindak balas terapi itu membantu mempercepatkan proses pemulihan, katanya.

KUDA mesti dibelai dulu sebelum sesi terapi.


Kecacatan

Walaupun terapi berkuda dianjurkan khas bagi kanak-kanak OKU, namun mereka wajib mendapatkan surat akuan kesihatan daripada doktor terlebih dulu.

Seorang jurulatih, Zarina Ali berkata, hal tersebut bertujuan memastikan tahap kesihatan kanak-kanak selain mengelakkan sebarang kejadian buruk kepada mereka.

"Jika kanak-kanak itu tidak mempunyai surat perakuan doktor, secara automatik kita tidak akan membenarkan mereka menjalani sesi terapi di sini.

"Sesetengah kanak-kanak bukan sahaja mengalami kecacatan anggota badan, bahkan menghadapi masalah kesihatan yang lain seperti sakit jantung dan asma," ujarnya.

Lazimnya, terapi dilakukan selama kira-kira lima jam iaitu dari pukul 7.30 pagi pada hari Selasa hingga Khamis. Secara purata, setiap kanak-kanak akan mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk satu sesi terapi.

Dalam pada itu, seorang jurulatih, Roslan Sulaiman, 49, berkata jumlah masa yang diperuntukkan itu termasuk untuk pemasangan pelana dan pelapik pelana di atas badan kuda, persediaan pelatih dan latihan terapi itu sendiri.

"Pelatih akan diberikan taklimat ringkas keselamatan supaya proses tersebut berjalan lancar.

"Jadi ketika menunggang kuda, mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan kepada siapa perlu mereka rujuk serta fokus untuk mendengar arahan yang selanjutnya," ujarnya.

Tambah Roslan, semasa sesi terapi, pelatih akan diiringi oleh sekurang-kurangnya empat orang jurulatih yang mempunyai peranan masing-masing.

"Setiap terapi wajib diiringi oleh seorang jurulatih, seorang ketua, dua orang pembantu dan juga penunggang itu sendiri.

"Jurulatih akan berada di tengah-tengah kandang dan berperanan untuk memberi arahan sepanjang proses terapi manakala ketua yang berada di bahagian kepala kuda bertugas untuk mengawal pergerakan kuda menggunakan tali kekang," katanya.

Sementara itu, pembantu yang lazimnya berada di kedudukan kiri dan kanan pelatih pula ditugaskan menjaga keseimbangan dan keselamatan pelatih selain memastikan pelatih mengikut arahan.


KHAIRI yang berdiri di tengah-tengah padang bertindak sebagai ketua dan memberi arahan kepada pelatih.


Kuda padi

Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa kuda padi digunakan dalam terapi berkuda berbanding spesies kuda yang lain.

Menurut seorang jurulatih, Muhammad Khairi Abdul Halid, ketinggian kuda padi yang hanya berukuran kira-kira 1.4 meter itu menyebabkan ia sesuai digunakan untuk terapi berkuda.

"Seperti yang diketahui, terapi berkuda memfokuskan kanak-kanak OKU. Disebabkan kuda padi mempunyai ketinggian yang paling minimum berbanding jenis kuda yang lain, ia merupakan kuda yang paling selamat digunakan.

"Tambahan pula pergerakan kuda padi yang perlahan dan teratur mampu memberi tindak balas dalaman yang diperlukan oleh kanak-kanak ini," jelasnya.

Namun begitu, kuda padi yang aktif sehingga tempoh enam tahun pertama hayatnya itu hanya mampu menampung berat sehingga 60 kilogram.

Ujar Khairi, kuda tersebut terlebih dulu akan dibawa mengelilingi kandang berkeluasan kira-kira dua hektar itu bagi melancarkan peredaran darahnya selain mengelakkannya daripada menerima kejutan.

"Seperti sukan-sukan yang lain, aspek keselamatan turut dititikberatkan dalam terapi berkuda.

"Setiap pelatih wajib memakai topi keselamatan dan but khas," katanya sambil menambah, terapi tersebut sememangnya bermanfaat untuk pelatih dalam kalangan OKU.

Bencana anak perangai hantu

Posted:

Bencana anak perangai hantu

Bencana anak perangai hantu

Oleh KHAIRIYAH HANAFI


PENDEDAHAN terhadap filem Hollywood secara berlebihan mendorong anak bertindak di luar dugaan.


"SAYA sangat terkejut melihat leher wanita tersebut berlumuran darah. Keadaannya sungguh tenat sehingga terkulai layu di tempat duduk pemandu," kata seorang saksi, Ericson Mahaeh, 17.

Ujarnya, dia menyedari kelibat kereta jenis Hyundai Atos yang dipandu oleh guru wanita malang itu sebaik tiba di Kompleks Tenis, Jalan Sukan, Miri, Sarawak pada pukul 8 pagi hari kejadian.

Namun sebaik kakinya melangkah keluar dari kompleks berkenaan pada pukul 2.30 petang, kedudukan kenderaan tersebut tidak berubah.

Bukan itu sahaja, wanita itu juga masih berada pada posisi yang sama, seakan-akan tidak berganjak sejak enam jam yang lalu.

Curiga dengan keadaan tersebut, dia bertindak memeriksa kenderaan itu sebelum mendapati guru tuisyen warga Filipina yang dikenali sebagai Marife R. Wong, 42, itu berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa.

Dalam keadaan terperanjat dan terketar-ketar, Ericson menghubungi pihak polis. Beberapa minit kemudian, sepasukan anggota polis dan forensik tiba di lokasi kejadian untuk melakukan penyiasatan.

Ericson diberitahu oleh anggota polis yang bertugas bahawa wanita itu dikelar dan ditikam di leher oleh anak lelakinya yang berang selepas permintaan untuk memiliki telefon pintar jenis Samsung tidak diendahkan si ibu.

Sumber polis memberitahu, sebelum kejadian berlaku, mangsa dan anak lelakinya yang berusia 18 tahun dikatakan telah bertengkar.

Perkara yang hampir serupa pernah terjadi di North Austin, Amerika Syarikat, apabila seorang remaja lelaki sanggup membunuh ibunya sendiri semata-mata mahu membolot AS$90,000 (RM292,000) dalam bank akaun ibunya.

Kejadian anak membunuh ibu atau bapa bukan sekali dua berlaku di negara ini. Sebaliknya, kes-kes seperti itu sudah beberapa kali dilaporkan malah semakin membimbangkan.

WANITA ini menerima nasib malang selepas lehernya dikelar oleh anaknya sendiri di Kompleks Tenis, Miri, Sarawak pada 5 April lalu gara-gara telefon pintar.


Menurut Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud, kejadian tersebut merupakan implikasi daripada sosiologi manusia masa kini yang beranggapan telefon pintar merupakan benda wajib milik sehingga sanggup bertindak di luar batasan tuntutan itu tidak dipenuhi.

"Dari segi psikologi, terdapat tiga faktor yang mempengaruhi perubahan perilaku seseorang iaitu pengaruh dadah, pengaruh rakan sebaya dan juga dirinya sendiri.

Didikan

"Namun begitu, kejadian ini berkemungkinan terjadi atas faktor rakan sebaya kerana si anak terlalu tertekan. Dari situ pula timbul perasaan cemburu apabila melihat rakan sebaya yang lain mampu bergaya dengan telefon pintar masing-masing," katanya.

Ujarnya, punca lain kejadian tersebut ialah perubahan pantas teknologi terkini.

"Keadaan sudah berubah. Anak-anak terlalu terdedah dengan kehidupan ala Barat seperti yang dipaparkan media elektronik dan media cetak.

"Jadi apabila mereka kerap dihidangkan dengan kisah pembunuhan ibu bapa oleh si anak, maka tidak mustahil kalau perasaan tersebut meresap masuk ke dalam jiwa mereka sehingga ada yang beranggapan membunuh itu perkara biasa," jelasnya.

Namun begitu, menurut Fatimah, orang ramai tidak sewajarnya meletakkan kesalahan itu seratus peratus terhadap remaja tersebut memandangkan kelakuan seseorang dipengaruhi oleh didikan yang diterimanya sejak kecil.

"Dalam hal ini, kita perlu mengambil kira didikan yang diberikan oleh ibu bapa ketika anak-anak masih kecil.

"Malangnya, ada ibu bapa moden yang mudah terikut-ikut dengan cara didikan orang lain, tanpa memeriksa terlebih dulu baik buruknya kaedah itu," ulasnya.


IBU bapa harus memberi didikan yang secukupnya kepada anak-anak sejak kecil. - Gambar hiasan


Lebih-lebih lagi sekarang banyak tip keibubapaan yang mampu diperoleh dengan mudah menerusi internet tanpa memerlukan mereka mengikuti kursus khas.

"Pada saya, mengikut arus kemodenan itu tidak salah tetapi harus dibuat dengan cara yang betul, lebih-lebih lagi ketika mendidik anak.

"Bagi ibu bapa yang beragama Islam, mereka perlu kembali kepada cara mendidik seperti yang disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi di samping mengguna pakai pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang zaman dahulu," tambahnya.

Dalam pada itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, kejadian tersebut berlaku berkemungkinan disebabkan kurangnya didikan dan kasih sayang daripada ibu bapa.

"Sekarang ramai ibu bapa yang hanya tahu menghantar anak ke sekolah dan tidak memberi pendidikan tambahan di rumah, yang menerapkan elemen kasih sayang berkeluarga.

"Selain itu, ramai ibu bapa yang cenderung memanjakan anak dengan memberi segala keinginan sehingga permintaan yang tidak penting pun ditunaikan," ujarnya

Disebabkan itu, anak-anak cenderung memberontak dan bertindak di luar kawalan apabila permintaan mereka tidak ditunaikan.

Keindahan sakura Alor Setar

Posted:

Keindahan sakura Alor Setar

Keindahan sakura Alor Setar

Oleh NOR IDAYU BOSRO


SEORANG penduduk mengutip bunga pokok Tecoma yang gugur di atas ruang pejalan kaki di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.


HASRAT untuk menjejakkan kaki ke Korea bagi menikmati musim bunga di negara itu sudah lama dipendam Maizatul Miza Mohd. Disa.

Namun, keinginan wanita berusia 31 tahun itu untuk menikmati suasana indah dengan panorama bunga sakura berguguran seakan-akan menjadi kenyataan apabila dia berpeluang merasai pengalaman tersebut di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Mana tidaknya, ibu negeri Jelapang Padi itu dilimpahi dengan guguran bunga merah jambu dan putih di hampir keseluruhan bandar raya itu

Pokok Tecoma itu menghiasi beberapa kawasan di Alor Setar antaranya Jalan Gangsa, Kuala Kedah, Simpang Empat, Langgar dan Anak Bukit.

"Saya memang teringin untuk ke Korea, namun apabila di Alor Setar pun sudah ada bunga 'sakura', keinginan itu seolah-olah direalisasikan.

"Bunga yang dihasilkan pokok ini akan memukau pandangan sesiapa sahaja yang melalui kawasan ia ditanam," katanya.

Di Putrajaya, pokok-pokok besar yang mengeluarkan banyak bunga berwarna-warni turut mewujudkan fenomena seperti musim bunga di bandar raya dalam taman itu.

'Musim bunga' yang melanda bandar-bandar itu lantas menjadi fenomena di Facebook dan Instagram apabila ramai memuat naik gambar pemandangan indah itu ke laman sosial berkenaan.

Fenomena berkenaan sebenarnya pernah melanda negara pada tahun 2009 apabila bunga Tecoma atau nama saintifiknya Tabebuia Rosea itu banyak ditemui di Johor Bahru, Johor.

Berlaku setiap empat bulan sekali bermula bulan Februari, ia menghiasi sebahagian besar landskap bandar raya itu termasuk kawasan Larkin Perdana, Kampung Datuk Onn, Taman Sri Bahagia dan Taman Molek.

Musim kemarau

Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, musim kemarau panjang selama tiga bulan membuatkan lebih 100 batang pokok yang ditanam di bandar itu mengeluarkan bunga yang banyak.

"Pokok-pokok ini mengeluarkan bunga setiap tahun dan musim bunga 'sakura' biasanya pada bulan Mac dan April.

"Namun berbeza tahun ini, pokok Tabeluia menerima tempias musim kering dan kemarau yang begitu ketara disusuli pula hujan lebat.

"Keadaan cuaca ini membantu menghasilkan bunga yang lebih banyak berbanding tahun lalu," jelasnya.


BENTUK kanopi pohon Tecoma yang rendang dan merimbun sesuai dijadikan tanaman hiasan di tepi jalan.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Seni Taman Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Haslinda Khalid memberitahu, fenomena musim bunga di Putrajaya biasanya berlaku selama empat bulan iaitu antara Mac hingga Jun.

Katanya, pada waktu itu antara pokok yang aktif mengeluarkan bunga termasuklah daripada jenis sakura tecomadan golden shower atau pokok janda kaya.

"Musim panas menyebabkan pokok-pokok tersebut mengalami tekanan hingga mengaktifkan hormonnya yang membolehkan ia mengeluarkan banyak bunga," jelasnya.

Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, pokok Tecoma mudah ditemui di lokasi asalnya iaitu dari Mexico hingga ke bahagian utara benua Amerika Selatan.

Ia tumbuh pada ketinggian 1,200 meter (m) dari paras laut dengan suhu purata antara 20°C hingga 30°C selain memerlukan hujan tahunan melebihi 500 milimeter setahun.

Di Malaysia, pokok yang juga terkenal dengan nama 'pokok kertas tisu' kerana kelopak bunganya yang lembut banyak ditanam sebagai tanaman landskap taman.

"Bentuk kanopinya yang rendang dan merimbun sesuai dijadikan sebagai pokok teduhan. Warna bunganya yang menarik juga menjadikan tanaman ini sering ditanam sebagai tanaman hiasan baik di tepi jalan mahupun di dalam kawasan bandar.

"Malah, kebanyakan negara tropika menjadikan pohon 'sakura' ini sebagai pokok hiasan dan membiakkannya melalui biji benih, keratan batang atau ranting," katanya.

Terdapat lebih 50 spesies pokok Tecoma yang boleh dibezakan menerusi bentuk dan warna bunga seperti putih, kuning, perak, merah jambu dan merah.

"Ia juga menjadi penghalang angin untuk persekitaran dan kediaman selain berupaya menyerap bunyi kerana tekstur kelopak bunga yang lembut," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved