Jumaat, 4 April 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Penggerak kempen kanser payudara

Posted:

Penggerak kempen kanser payudara

Penggerak kempen kanser payudara

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

DARI kiri: Soo Hwang, Billy, Ruthra Ganesan dan Norliza memegang poster Be Frank: Program Pendandan Rambut.


KEDATANGAN pelanggan pertamanya pagi itu disapa dengan ucapan mesra sambil menguntum sebuah senyuman ikhlas.

Dia segera menyediakan kerusi dan mengenakan kain pelapik rambut pada wanita berusia 30-an itu. Setelah diberitahu tentang perkhidmatan yang diinginkan, jari-jemarinya mula 'menari-nari' di atas kepala pelanggan untuk merapikan rambut yang sedikit kusut, mungkin kerana ditiup angin pagi.

Cuba mendekati pelanggannya, Billy Lim, 50, bertanyakan beberapa soalan biasa yang sering diungkap apabila berjumpa dengan pelanggan baharu. Selang beberapa minit, dia sudah boleh bergelak ketawa dengan pelanggannya, Jasvin Sidhu, 37.

Namun, di sebalik mewujudkan suasana harmoni di dalam salonnya, anak kelahiran Kedah itu mempunyai agenda tersendiri, iaitu menyampaikan amanat yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Perlahan-lahan dia mengatur langkah dan mula berbicara tentang kesihatan pelanggannya. Apabila menemui satu titik perbualan yang sesuai, Billy terus membuka topik berkenaan penyakit nombor satu menyerang wanita iaitu kanser payudara.

Ternyata, tidak sekadar memberikan perkhidmatan kecantikan luaran, Billy memainkan peranan sebagai 'kawan' dengan berkongsi maklumat tentang kecemerlangan kesihatan dalaman.

Dia yang telah berkecimpung dalam dunia dandanan selama 15 tahun telah membuka sudut perspektif berbeza dalam kerjayanya iaitu menjadi penggerak Yayasan Penyelidikan Inisiatif Kanser (CARIF) untuk kanser payudara.

JASVIN membaca risalah kanser payudara yang diletakkan di atas meja cermin sementara menunggu rambutnya siap dikeringkan.


Penglibatan

Penglibatannya merupakan salah satu usaha CARIF dalam kempen Be Frank: Program Pendandan Rambut yang dilancarkan pada Februari 2013.

Program tersebut berjaya mencuri perhatian Yayasan Prihatin Berjaya untuk membantu dari segi dana. Acara tersebut turut menerima anugerah untuk Pemeriksaan Payudara Terbaik dan Pertandingan Kesedaran Philips daripada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia pada Ogos 2013.

Sejak tahun lalu, seramai 30 orang pendandan rambut telah dilatih dan diajar mengenai kanser payudara dan berjaya meningkatkan kesedaran kira-kira 800 wanita.

Menurut Billy, saranan yang diberi merupakan antara salah satu bentuk tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Salon bukan sekadar tempat untuk mencantikkan diri, tetapi kebiasaannya menjadi ruang bagi mereka yang penat bekerja merehatkan minda dengan berkongsi aktiviti seharian bersama pendandan.

"Jadi, saya yakin pendandan rambut adalah orang yang paling dekat dengan orang ramai dan diberi 'kebenaran' untuk bercakap mengenai hal yang lebih serius seperti kanser payudara. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan status profesion pendandan rambut di mata dunia," jelasnya ketika ditemui di salonnya, MTH Salon di Petaling Jaya, Selangor.

Bagi Jasvin, dia tidak berasa segan berbicara tentang kanser payudara atau mengambil saranan yang diberikan secara negatif.

Perkongsian tersebut dianggap sebagai satu peringatan yang disampaikan dengan cara yang lebih mesra dan tidak terlalu serius seperti perbincangan di dalam bilik doktor.

"Perkara ini sering diambil mudah oleh masyarakat Malaysia, terutama mereka yang tinggal di bandar dan sibuk bekerja tanpa mengutamakan keadaan kesihatan dalaman.

"Justeru, perkongsian mengenai kanser payudara antara pendandan rambut dan pelanggan merupakan kaedah yang paling sesuai. Ia juga lebih natural dan mudah difahami serta tidak terlalu berat dengan statistik atau bahasa perubatan seperti yang digunakan oleh doktor," jelasnya sambil memberitahu telah membuat pemeriksaan payudara pada awal tahun lalu.

Dalam pada itu, di atas meja cermin di hadapan pelanggan juga diletakkan beberapa risalah berkenaan kanser payudara.

Risalah-risalah tersebut dibekalkan oleh pihak CARIF dalam meraih keyakinan pelanggan terhadap apa yang cuba disampaikan oleh pendandan rambut.

Selain risalah, CARIF turut membekalkan baucar ujian mamogram secara percuma yang bernilai RM238 kepada beberapa buah salon sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya dalam menggalakkan kaum wanita menjalani pemeriksaan payudara.


PELANGGAN perlu mengisi borang selidik sebelum diberikan baucar pemeriksaan mamogram bernilai RM238.


Bagaimanapun, bagi pemilik salon Norliza Hair and Beauty, Norliza Mohd. Hashim, terdapat segelintir pelanggannya menolak mentah-mentah apabila dia cuba menyampaikan saranan mengenai kanser payudara.

"Ada yang memberitahu saya mereka malu untuk bercakap mengenai aset kaum wanita itu. Jadi, saya perlu menghormati keputusan mereka.

"Namun, kadangkala saya memujuk mereka bergantung kepada perwatakan individu terbabit. Ini kerana setiap penolakan meningkatkan jumlah kemungkinan wanita menghadapi kanser payudara," jelasnya ketika ditemui di salonnya di seksyen 9, Shah Alam.

Takut

Pelanggan Norliza, Noor Haniza Mohd. Yunen, 46, berkata, dia pada mulanya takut untuk membuat pemeriksaan payudara dan hanya melakukannya apabila diberi galakkan ketika membuat rawatan rambut.

"Awalnya, saya hanya menerima baucar yang diberikan tetapi tidak pergi ke hospital untuk menjalankan rawatan.

"Ini kerana saya mendengar khabar angin daripada rakan-rakan tentang kesakitan ketika membuat mamogram. Namun, setelah diterangkan oleh Norliza tentang wanita berusia 40 ke atas lebih berpotensi untuk mendapat kanser payudara, saya akhirnya memberanikan diri melakukan ujian tersebut," jelasnya.

Ketua Eksekutif CARIF, Prof. Dr. Teo Soo Hwang berkata, program tersebut menggunakan pendekatan seperti yang dibuat oleh masyarakat Amerika Afrika pada sekitar tahun 2000 dalam usaha memerangi kanser.

Ini kerana, masyarakat Amerika Afrika kerap mengunjungi salon atau kedai rambut untuk mencantikkan rambut kerinting mereka.

Menurut artikel daripada agensi berita abc, kira-kira seramai 4,000 pendandan rambut di Amerika Syarikat (AS) telah diberi pendidikan tentang kanser prostat dan menjalankan kempen pemeriksaan untuk pelanggan lelaki.


WANITA berusia 40 tahun ke atas digalakkan membuat pemeriksaan mamogram.


"Kita turut mengguna pakai kaedah tersebut kerana ia dianggap berjaya dan di AS kini semakin ramai pendandan rambut dipanggil untuk menyampaikan maklumat berkenaan dengan penyakit lain.

"Malah, dalam satu persidangan antarabangsa strok pada Februari lalu, penyelidik AS melaporkan kedai-kedai kecantikan di bandar itu merupakan tempat yang ideal untuk membantu wanita Amerika Afrika belajar tentang tanda-tanda amaran strok dan mencegah serangan maut tersebut," jelas Teo ketika ditemui di Pusat Perubatan Sime Darby Ara Damansara, Selangor.

Menurutnya, setiap 16 buah salon yang terlibat turut dibekalkan dengan borang selidik mengenai kefahaman dan kesedaran pelanggan mengenai kanser payudara.

Borang-borang tersebut perlu diisi oleh pelanggan sebelum menerima baucar pemeriksaan mamogram secara percuma hanya di Pusat Perubatan Sime Darby.

Satu kajian mengenai tahap kesedaran akan dibuat oleh CARIF berdasarkan kutipan data dan kehadiran pelanggan yang membuat pemeriksaan mamogram.

"Saya berharap dengan kerjasama pendandan rambut, kami dapat memantapkan cara memerangi kanser, sekali gus mengurangkan kes-kes baharu kanser payudara.

"CARIF juga akan menawarkan kursus kepada pemilik-pemilik salon yang berminat untuk menyertai kempen ini pada 21 April ini di Pusat Perubatan Sime Darby Ara Damansara," jelasnya.

Terdahulu, tahun lalu CARIF telah mengagihkan sebanyak 2,000 baucar percuma di salon-salon yang terlibat dengan sasaran pengunjung wanita berusia 40 tahun ke atas.

Teo memberitahu pada tahun ini jumlah baucar tersebut akan ditambah dan kawasan salon diperluas.

Kes payudara terus catat angka tertinggi

Posted:

Kes payudara terus catat angka tertinggi

Kes payudara terus catat angka tertinggi


SERAMAI 10 orang penyelidik CARIF giat menjalankan eksperimen mencari rawatan terbaik untuk kanser payudara.


SABAN hari semakin ramai manusia yang diserang penyakit seperti kanser. Ironiknya, walaupun ramai mengetahui mengenai bahaya kanser, namun tidak ramai yang mengambil berat tentangnya.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Penyelidikan Inisiatif Kanser (CARIF), Prof. Dr. Teo Soo Hwang, penyakit kanser merupakan penyakit yang boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal.

"Kanser boleh berlaku disebabkan oleh penyakit genetik dan gaya hidup individu. Kanser boleh dikesan pada peringkat awal menerusi pemeriksaan kesihatan secara terperinci.

"Namun, mereka yang mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser disarankan membuat pemeriksaan kesihatan berterusan," jelasnya.

Menurut statistik kanser oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 18,219 kes baharu dilaporkan pada tahun 2007. Seramai 8,123 daripadanya ialah penghidap lelaki dan selebihnya wanita. Namun, etnik yang mencatatkan kes kanser baharu tertinggi ialah Cina, iaitu 3,650 kes, diikuti Melayu (3,093 kes) dan India (462 kes).

Bagaimanapun, daripada 12 jenis kanser yang dilaporkan, kanser payudara berada pada kedudukan teratas.

"Berdasarkan statistik tersebut, kanser payudara mencatatkan kes sebanyak 3, 292, iaitu 18 peratus berbanding kanser kolorektum 2,246 serta kanser trakea, bronkus dan paru-paru mencatatkan sebanyak 1,865.

"Daripada jumlah kanser payudara tersebut, 3,242 terdiri daripada penghidap wanita. Tetapi secara terperinci mengikut etnik, wanita Melayu menjadi penyumbang utama dengan 1,432 kes, diikuti Cina 1,343 dan India 297," jelasnya.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2013, lebih 508,000 wanita meninggal dunia pada tahun 2011 akibat kanser payudara dan jumlah itu dipercayai akan terus meningkat.

"Bimbang dengan angka yang semakin besar, sejak ditubuhkan pada tahun 2000, CARIF menjadi antara penggerak paling aktif dalam berusaha memujuk rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan awal dan meningkat kesedaran mengenai bahaya kanser.

"Baru-baru ini antara program yang dijalankan oleh CARIF termasuklah Be Frank: Kempen Bantu Perangi Kanser dan Be Frank: Program Pendandan rambut," jelasnya.

Dalam pada itu, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai jumlah survival kanser paling rendah berbanding Korea dan Singapura.

Didik pelajar tatatertib menaiki bas sekolah

Posted:

Didik pelajar tatatertib menaiki bas sekolah

Didik pelajar tatatertib menaiki bas sekolah

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


MOHAMAD HALIM bersalaman dengan kanak-kanak yang terlibat dalam program Be Smart dan SafetyBus di Hotel Seri Pacific baru-baru ini.


DI sebalik kesesakan lalu lintas di hadapan Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, lokasi berlangsungnya Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) baru-baru ini, sekumpulan kanak-kanak tetap ceria mengikuti program tersebut.

Memakai persalinan berwarna-warni yang tertera perkataan Be Smart, masing-masing berjalan penuh semangat menuju ke sebuah bas yang diletakkan tidak jauh dari hotel berkenaan.

Sambil berpegangan tangan dan berjalan dalam satu barisan, kanak-kanak pra-sekolah dari Smart Reader Kids Ukay Perdana, Ampang, Selangor ini kemudian diarahkan menaiki bas tersebut.

Suasana yang pada mulanya riuh dengan suara mereka berubah senyap apabila melihat kehadiran seorang anggota polis trafik di dalam bas tersebut.

Taklimat

Kemudian, tanpa berlengah Sub Inspektor Mustafa Zaini yang dibantu oleh Inspektor Ummul Hidayah Khadari dan Koperal Noraziman Abdullah terus menjalankan tugas mereka iaitu memberi taklimat mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Ada dalam kalangan kanak-kanak itu terangguk-angguk kepala mendengar penerangan yang diberikan. Tidak kurang juga yang tersenyum simpul, mungkin tidak mengerti apa yang diperkatakan.


MENDIDIK anak-anak mengenai peraturan menaiki bas perlu dilakukan pada awal usia agar sikap positif ini dapat diteruskan hingga dewasa.


Menurut Mustafa, program Be Smart anjuran Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur itu satu pendedahan yang baik buat kanak-kanak pra-sekolah yang berusia antara empat hingga enam tahun. Ini kerana, kebanyakan mereka menaiki van atau bas untuk ke sekolah.

"Justeru, melalui program sebegini, ia mampu mendidik kanak-kanak agar berhati-hati dan menjaga tatatertib ketika menaiki kenderaan awam.

"Pada usia ini, kanak-kanak mudah menerima nasihat yang diberikan oleh orang dewasa. Jadi, penganjuran program Be Smart ini merupakan satu pendekatan terbaik kerana melibatkan penyertaan di peringkat akar umbi," ujar Penolong Pegawai Latihan Kepolisan di Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur itu.

Berlangsung selama tiga hari pada 14 hingga 16 Mac lalu, Be Smart adalah satu program khidmat komuniti anjuran hotel terbabit khusus untuk kanak-kanak. Ia bertujuan untuk mendidik mereka mengenai aspek keselamatan jalan raya dan peraturan menaiki bas sekolah.

Seramai 150 kanak-kanak dari tiga pra-sekolah iaitu Smart Reader Kids Ukay Perdana, Ampang, Selangor; Tadika Cerdik Kami, Setapak dan Tadika Duta Iman, Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur telah terpilih menyertai program ini.


AKSI kanak-kanak dari pra-sekolah Smart Reader Kids Ukay Perdana sewaktu menaiki bas.


Aktiviti utama

Terdapat dua aktiviti utama iaitu SafetyBus yang mengajar mereka mengenai peraturan dan tatatertib menaiki bas seperti cara beratur, etika menyeberang jalan, memakai tali pinggang keledar dan kelakuan di dalam bas.

Bagi aktiviti SmartFun pula, mereka berpeluang mempamerkan bakat dalam tarian dan kreativiti menghias kek cawan.

Kesemua pelajar tersebut dibantu oleh kakitangan hotel yang teruja menyaksikan keletah anak-anak kecil dengan pelbagai ragam dan gaya.

"Kami sangat teruja melancarkan program komuniti Be Smart yang dapat membantu kanak-kanak membuat persediaan awal menghadapi alam persekolahan sebenar.

"Diharap acara ini memberi manfaat kepada mereka sekali gus menjadi insan berperibadi mulia apabila dewasa kelak," kata Pengurus Besar Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Mohamad Halim Merican.

Sementara itu, Pengetua Smart Reader Kids Ukay Perdana, Rizwani Maarof turut melahirkan rasa gembira diundang menyertai program Be Smart kerana kebanyakan pelajar mereka menaiki van ke sekolah.

"Ini merupakan kerjasama pertama kami dengan pihak hotel dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang. Apa yang penting, para pelajar kami seronok mengikuti program Be Smart dan masing-masing menunjukkan komitmen terbaik.

"Selain daripada guru pengiring, kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan kakitangan hotel yang memberi layanan mesra pada rombongan kami," ungkap Rizwani sambil memberitahu, pihak sekolah sentiasa mengadakan pelbagai program dalam usaha memberi kesedaran kepada pelajar mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved