Khamis, 24 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mikail, Fadlan Pablo cari jalan keluar

Posted:

Mikail, Fadlan Pablo cari jalan keluar

Mikail, Fadlan Pablo cari jalan keluar

MENGANGKAT sniper (penembak hendap) sebagai judul filem, ia satu percubaan berani yang dicuba oleh pengarah dan pelakon Pierre Andre.

Filem terbaharu itu turut membariskan tiga pelakon yang masih rapuh dalam dunia lakonan iaitu Mikail Andre, Fadlan Hazim dan Pablo Amirul.

Namun, subjek dan barisan pelakon yang disajikan dalam filem itu tidak seharusnya dipandang enteng sebelum ia disaksikan sendiri apabila ditayangkan di layar perak hari ini.

Menjelaskan sedikit mengenai ketiga-tiga pelakon utama filem Sniper itu, nama Mikail mula dikenali menerusi filem Highland Tower manakala Fadlan pula menerusi kumpulan VIP bersama Adam AF2 dan juga lakonannya dalam drama rantaian Jodoh 2.

Bagaimanapun, raut wajah jejaka bernama Pablo Amirul ini mungkin sedikit canggung di mata orang ramai. Jika ada yang sedar, Pablo sebelum ini merupakan pelagak ngeri untuk beberapa buah filem.

Ikuti cerita dan pengalaman Mikail, Fadlan dan Pablo berlakon dalam filem Sniper.

Sniper berkisar mengenai Ahmad (Mikail) dan Rafi (Fadlan) yang ditemukan dalam sebuah permainan pembunuhan yang dicipta oleh seseorang yang tidak dikenali.

Berbekalkan senjata penembak hendap dan beberapa peluru, mereka dikehendaki untuk membunuh antara satu sama lain bagi melepaskan diri masing-masing.

Mereka juga perlu mencari jalan keluar dan dalang di sebalik permainan berbahaya itu.

Mikail cedera

Biarpun namanya mula dikenali menerusi filem Highland Tower, namun nama Mikail masih asing dalam dunia lakonan.

Sedar dia perlu berjuang lebih dengan pelakon-pelakon baharu yang memiliki rupa paras kacak, akui pemuda berusia 22 tahun itu, lakonan bermutu menjadi pegangannya untuk mencipta nama dalam bidang lakonan.

"Saya sedar ramai pelakon baharu dalam industri lakonan di Malaysia ini. Bagi saya, itu satu saingan yang bagus kepada saya untuk lebih berjuang dari segi lakonan supaya menonjol daripada pelakon-pelakon lain," jelasnya yang meminati lakonan Sidi Oraza dan juga ibunya, Khatijah Tan.

NASKHAH Sniper diterajui tiga anak muda (dari kiri), Mikail Andre, Pablo Amirul dan Fadlan Hazim.


Empat tahun berada dalam industri lakonan, Mikail sedar momentum lakonannya semakin bagus.

Kalau dulu dia berlakon 'kosong' tetapi kini, ungkapnya, lakonannya semakin matang dengan asas lakonan yang tepat.

Berkongsi pengalaman berlakon dalam filem aksi itu, Mikail akui mengalami beberapa kecederaan.

"Kami berlakon di sebuah kawasan terbiar yang dulunya terkenal iaitu Mimaland, Selangor.

"Kawasan itu 'keras' dan banyak terdapat saluran lubang. Ketika menjalani penggambaran selama dua minggu di sana, kaki saya banyak kali terseliuh dan tercedera termasuk ke dalam saluran yang tidak kelihatan.

"Kami juga perlu berlari sambil membawa senjata api sniper yang beratnya mencecah 12 kilogram. Malah, kami juga memegangnya dalam tempoh masa yang lama dengan hanya dibekalkan walkie- talkie sepanjang berada di dalam hutan tersebut," jelasnya mengenai kawasan berbukit seluas 300 ekar yang ditutup pada tahun 1994 atas faktor keselamatan itu.

Fadlan sering kecundang

Berbekalkan wajah kacak bukan 'tiket' mudah buat Fadlan untuk menjadi seorang pelakon.

Menurut jejaka berasal dari Kuala Lumpur itu, nasibnya dalam bidang lakonan sering kecundang apabila tidak diterima sebagai pelakon biarpun kerap menjalani sesi uji bakat lakonan.

"Banyak kali kena tolak. Memang sangat kecewa tetapi saya tidak putus asa. Saya memperbaiki lakonan di depan cermin dan akhirnya diterima berlakon sebagai kameo," ungkapnya jujur menceritakan pahit maung menjadi pelakon.

Disoal sama ada dia ingin menjadi pelakon kerana populariti yang bakal dikecapi, Fadlan menolak cepat dakwaan tersebut.

Jejaka berusia 22 tahun itu mengakui minat dengan lakonan Datuk Rosyam Nor sejak kecil lagi dan menaruh impian untuk menjadi seperti pelakon itu suatu hari nanti.

Selain itu, tanggungjawab sebagai anak sulung dalam menjaga ibu dan adik-adiknya selepas ketiadaan bapanya mendorong kuat untuk Fadlan mencari kerja bagi menampung kehidupan keluarganya.

Menurutnya, selepas ibu bapanya bercerai ketika berusia 16 tahun, dia yang membantu keluarganya mencari rezeki.

Memegang watak sebagai Rafi iaitu atlet sukan menembak dalam Sniper, Fadlan bersyukur akhirnya dia diberi peranan utama dalam filem terbitan MIG itu.

"Sebelum ini saya sering ditawarkan watak kameo dan juga pembantu dalam drama. Syukur, saya diberi peluang untuk membawa watak utama dalam filem.

Ternyata peranan Rafi yang dibawa cukup mencabar apabila Fadlan terpaksa belajar menembak dan melakukan aksi lagak ngeri selama dua minggu.

"Mujur, Pablo banyak mengajar saya dalam menjayakan aksi lagak ngeri," ucapnya.


SATU babak dalam filem Sniper yang membabitkan Fadlan, Mikail dan Pablo.


Pablo anggap Farid, Bront mentor

Bermula sebagai pelagak ngeri sejak empat tahun lalu, Pablo Amirul atau nama sebenarnya, Amirul Hisyam Mohd. Syakri juga pernah berlakon sebagai 'pak pacak' dengan bayaran hanya RM60 hingga RM80 sahaja.

"Ketika itu apa sahaja tawaran saya ambil, waima menjadi hantu, orang yang kena pukul mahupun menjadi perempuan. Namun, semuanya berubah apabila saya menghadiri sesi uji bakat filem Anak Jantan yang dilakonkan oleh Bront Palarae dan Farid Kamil.

"Saya ditawarkan dengan watak pembantu dan sejak itu saya mula rapat dengan Bront dan Farid. Saya anggap mereka sebagai mentor kerana sikap mereka yang tidak jemu mengajar dan memberi nasihat mengenai lakonan kepada saya" luah jejaka berusia 29 tahun itu.

Malah, keputusannya menyertai keluarga MIG sejak Mei tahun lalu, membuka jalan untuk dirinya terus sukses dalam lapangan seni lakonan.

Menceritakan wataknya sebagai Jim, seorang anggota penembak tepat dalam pasukan keselamatan negara, Pablo memberitahu, wataknya tidak mempunyai dialog yang banyak.

Bagaimanapun, ia menyukarkannya kerana perlu bermain dengan ekspresi muka dan anggota badan untuk menterjemahkan karakter watak.

"Walaupun watak saya kurang dialog, lebih kepada anggota badan dan ekspresi muka yang menggerunkan, sebenarnya ia lebih sukar untuk dihayati," kongsinya.

68 tahun, Mak Mah nikah lagi 17 Mei ini

Posted:

68 tahun, Mak Mah nikah lagi 17 Mei ini

68 tahun, Mak Mah nikah lagi 17 Mei ini

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

RUMINAH SIDEK atau Mak Mah akan bernikah buat kali keempat pada 17 Mei ini di Meru, Klang.


SIAPA sangka niat mengerjakan umrah di Mekah pada bulan Mac lalu menjadi detik bahagia buat pelakon veteran, Ruminah Sidek, 68, apabila bertemu jodoh di Tanah Suci itu.

Doa yang dipanjatkan Ruminah atau lebih mesra disapa Mak Mah didengari Allah. Ruminah yang lelah dan sunyi hidup bersendirian, berdoa di hadapan Kaabah supaya hidupnya terisi seorang khalifah yang dapat menjaga dan membimbingnya.

Sama juga dengan bakal suami Ruminah, Al Fatah Rahim, 70, yang memohon doa kepada Allah agar bertemu jodoh sekali lagi selepas kematian isterinya.

Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang, Selangor.

Pasangan itu memilih 17 Mei depan untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

Ruminah sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali termasuk dengan Allahyarham AR Tompel.

Hasil tiga perkahwinannya itu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuk pelakon Adlin Aman Ramlie. Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam orang cicit.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Mak Mah mengenai perkenalannya dengan peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan itu.

Kosmo!: Tahniah Mak Mah. Boleh Mak Mah kongsikan detik perkena- lan dengan pak cik Al Fatah?

RUMINAH: Terima kasih. Sebelum ini, ketika mengerjakan umrah, saya tidak pernah terdetik untuk bertemu jodoh sekali lagi tetapi kali ini lain. Hati saya terasa cukup sunyi dan diri juga terasa penat hidup bersendirian. Saya berdoa di sana mengadu rasa hati kepada Allah. Pada masa yang sama, Al Fatah juga berdoa agar bertemu jodoh sekali lagi. Kami bertemu dan berkenalan seterusnya berkongsi cerita mengenai hajat yang dipohon. Selepas itu kami terus berbincang untuk mendirikan rumah tangga.

Siapakah yang memulakan perkenalan dahulu?

Sebenarnya saya yang memulakan perkenalan dahulu (ketawa). Dia ada melihat saya dan tahu saya seorang pelakon tetapi dia tidak berani menegur saya. Kebetulan suatu hari ketika hendak makan, kerusi di sebelah saya kosong dan saya memanggilnya yang sedang mencari tempat duduk supaya duduk di sebelah saya. Dari situ kami mula berkenalan.

Adakah Mak Mah menyangka bertemu jodoh sekali lagi di usia 68 tahun?

Saya tidak sangka sebenarnya di usia tua ini bertemu dengan jodoh. Namun, inilah ketentuan Allah. Kami juga mengambil keputusan untuk berkahwin cepat kerana sedar usia masing-masing. Hendak tunggu sehingga 17 Mei itu juga tidak tahu sempat atau tidak. Kalau berlaku sesuatu daripada Allah, saya terima.

MAK MAH mengaku, dia yang memulakan perkenalan dengan tunangnya, Al Fatah sewaktu sama-sama menunaikan umrah baru-baru ini.


Bagaimanakah penerimaan anak- anak apabila Mak Mah memberitahu ingin berkahwin lagi?

Pada mulanya anak-anak tidak benarkan saya kahwin. Mereka menangis. Mereka tahu suka duka yang saya harungi dalam membesarkan mereka. Anak-anak cakap, "mak dah sampai masanya untuk berehat. Berani ke untuk harungi cabaran dalam rumah tangga sekali lagi?" Namun, setelah saya meluahkan isi hati, mereka bersetuju.

Boleh ceritakan mengenai pertunangan tempoh hari?

Keluarganya datang membawa sebentuk cincin. Tujuannya lebih kepada untuk mengenali saya.

Bagaimanakah persiapan perkahwinan pada 17 Mei nanti?

Insya-Allah majlis itu nanti akan diadakan di rumah abang ipar saya di Meru, Klang. Dijangka 4,000 tetamu akan dijemput.

Adakah pak cik Al Fatah membenarkan Mak Mah terus aktif berlakon selepas kahwin kelak?

Dia beritahu saya, kalau sudah penat jangan berlakon lagi tetapi kalau masih ingin berlakon dia izinkan.

Kongsikan sedikit mengenai perkembangan terbaharu Mak Mah dalam bidang lakonan?

Saya bakal keluar dalam telefilem Arca Cinta Kasih keluaran RTM. Insya-Allah, selepas majlis kahwin nanti, saya akan ke Singapura sempena majlis artis veteran di sana. Saya juga ada beberapa buah filem dengan MIG seperti Awak Nak Kahwin Dengan Saya dan Hantu Bungkus Ikat Tepi.

Lisa anti filem seram

Posted:

Lisa anti filem seram

Lisa anti filem seram

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

LISA mengakui yang dia tidak akan menonton filem seram di pawagam.


TIMBUL keraguan sebenarnya apabila pelakon Lisa Surihani dilantik menjadi hos yang akan mengulas dan berkongsi idea mengenai filem terbaharu, apabila pengacaranya sendiri bukan penggemar filem bergenre seram dan thriller.

Bagaimanapun, jelas Lisa untuk berkongsi pandangan dan sedikit ulasan berkenaan rangkuman filem menarik dalam tempoh sebulan untuk rancangan terbaharunya, HBO Sentral, dia tidak mewajibkan dirinya untuk menonton sesebuah filem itu.

"Menumpukan jalan cerita, mesej, aksi, trivia dan sedikit informasi menarik mengenai sesebuah filem kemudian berkongsi dan mengajak penonton untuk ke pawagam tidak bermakna saya perlu mengalami sendiri pengalaman menonton wayang itu.

"Adakalanya, keterujaan saya yang belum sempat atau tidak pernah menonton filem itu sendiri yang mampu menarik minat orang ramai untuk turut sama menonton," ujarnya pada majlis pelancaran HBO Sentral versi bahasa Malaysia di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terbawa-bawa

Sebagai seorang kaki wayang, satu-satunya genre yang enggan ditonton Lisa adalah filem seram dan thriller kerana katanya dia sering terbawa-bawa situasi yang ditonton ke dalam realiti.

"Saya pernah menonton filem The Blair Witch Project beberapa tahun lalu, namun malangnya saya tidak boleh tidur malam. Saya terpaksa ke bilik mama dan tidur bersamanya sebab terlalu takut.

"Sampai sekarang pun, kalau Yusri mengajak saya menonton filem-filem seram, saya tanpa berfikir panjang menolak pelawaan itu.

"Malah, ada antara filem tempatan yang dilakonkan teman rapat saya yang tidak mampu saya tonton. Bukan kerana saya tidak menyokong tapi saya terlalu takut," ulasnya.

Lisa juga menambah bahawa dia tidak pernah meminati filem seram, termasuk memberi persetujuan untuk terbabit di dalam sesebuah naskhah seram.

Katanya: "Sebab terlalu takut, saya pernah sekali menolak tawaran telefilem seram yang diarahkan oleh pengarah terkenal."

Namun, Lisa tidak menolak untuk menyaksikan filem psiko-thriller yang banyak bermain emosi dan manipulasi psikologi termasuk memainkan peranan dalam filem bergenre sedemikian seperti filem Dendam Orang Mati yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

HBO Sentral

Bercerita mengenai pengalaman mengacarakan rancangan yang dibantu oleh telepanduan dan layar hijau itu, ujar Lisa, dia juga banyak disokong oleh kru yang bertugas sepanjang proses rakaman.

"Saya akui seorang yang menurut perintah berpandukan keadaan dan persekitaran tapi menerusi rancangan ini saya boleh menjadi diri saya sendiri dan saya selesa.

"Kalau pelat pun saya teruskan juga tanpa ada rasa tertekan. Menariknya mengenai rancangan ini, saya perlu berimaginasi menggunakan props yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

"Tambah unik apabila saya perlu mengendalikan rancangan ini dalam bahasa Melayu yang saya fikirkan mampu mendekatkan penonton tempatan dengan kandungan saluran HBO," ujarnya yang menyifatkan pengalaman ini satu cabaran positif buatnya.

Ironinya, dunia pengacaraan bukan asing buat wanita ini. Lisa telah menceburkan diri dalam bidang pengacaraan pada usia 17 tahun lagi.

Antara rancangan yang diacarakannya termasuklah Mari Menari, MyEG Xtra Time Bring It!, Ekspresi Remaja, Whoa! dan X-Fresh TV.

HBO Sentral adalah program bulanan menerusi HBO (saluran 411 dan 431) yang memberikan panduan bulanan menarik di saluran tersebut.

Rancangan itu bersiaran pada setiap hari Ahad bermula 27 April pukul 7.15 malam dan diulang siar pada 1 Mei pukul 11 pagi dan 2 Mei pukul 8 malam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.astrogempak.com.my/hbosentral.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved