Rabu, 23 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dinding kedai jadi kanvas lukisan

Posted:

Dinding kedai jadi kanvas lukisan

Dinding kedai jadi kanvas lukisan

SETIAP pengunjung yang meluangkan masa di sekitar George Town, Pulau Pinang terutama di Lebuh Armenian, pasti tertarik dengan pelbagai mural atau lukisan dinding berwarna-warni yang terdapat di situ.

Kepelbagaian warna dan motif lukisan di sepanjang dinding premis perniagaan di jalan itu menjadikan setiap pengunjung berasa seperti sedang berjalan di sebuah galeri seni yang besar.

Di sepanjang Lebuh Armenian sahaja, terdapat kira-kira 20 mural yang pasti menarik perhatian setiap pengunjung dan apabila dicampur lukisan dinding di seluruh George Town pula, ia mencecah hampir 100 karya pelukis jalanan.

Selain mural, terdapat juga beberapa arca seni yang mempamerkan kepelbagaian budaya dan warisan di sekitar pulau yang pernah menjadi jajahan Negeri-Negeri Selat di bawah pentadbiran imperialis British satu masa dahulu.

Menurut peniaga, Tan Kok Yu, 57, semua mural dan arca di Lebuh Armenian menjadi tarikan utama terhadap para pelancong asing dan tempatan sejak beberapa tahun lalu.

"Ramai pelancong datang ke sini untuk tengok dan bergambar dengan semua lukisan (mural) yang ada. Pada masa yang sama, ia juga membantu para peniaga apabila kedai dan restoran mereka turut dikunjungi pelancong.

"Boleh dikatakan hampir semua dinding kedai di sini ada dilukis dengan pelbagai gambar yang mempunyai kisah-kisah tersendiri," kata Kok Yu yang mengusahakan premis sewaan kenderaan kepada pelancong sejak 14 tahun lalu.


KAMERA lama turut dijadikan subjek lukisan mural bagi menggambarkan bidang penerbitan akhbar yang telah bertapak di George Town seawal abad ke-18.


Lebih menarik, ada antara lukisan-lukisan berkenaan memaparkan maksud tertentu apabila dilihat dari sudut berbeza seperti mural dan arca kucing di laluan sambungan Gat Lebuh Armenian.

Jika dilihat dari sudut hadapan, pengunjung akan melihat imej seekor kucing bersaiz besar dan arca beberapa ekor lagi sedang meniti di atas ampaian.

Namun jika dilihat dari sudut tepi bangunan kedai itu pula, pengunjung akan melihat keseluruhan maksud mural itu melalui imej seekor tikus yang sedang bersembunyi seperti ketakutan terhadap kucing tersebut.

Begitu juga dengan beberapa imej lukisan dinding lain yang dihasilkan secara kreatif oleh para pelukis mural jalanan untuk menghiasi Lebuh Armenian yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Lebuh Armenian dibuka oleh sebuah keluarga pedagang dari Armenia pada kurun ke-19. Ia kini terletak di zon tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Memasuki abad ke-20, kegiatan perniagaan di Lebuh Armenian bertambah rancak apabila para pelombong Cina yang melombong bijih timah di Larut, Perak memilih untuk bermastautin dan menjalankan perniagaan di situ.

Lokasi tumpuan

Sejak itu, para pelombong mendirikan rumah-rumah kongsi seperti Khoo Kongsi berhampiran Lebuh Armenian pada tahun 1851 yang juga pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Hollywood, Anna and the King pada 1999.

Rumah-rumah kongsi berkenaan dibina untuk dijadikan tempat tinggal para pekerja dan pejabat pentadbiran bagi menguruskan perniagaan mereka termasuk industri pembuatan barang perhiasan emas dan perak.

Disebabkan perniagaan sedemikian berkembang pesat di Lebuh Armenian pada ketika itu, ia kini turut dikenali Jalan Tukang Tembaga kerana pernah menjadi lokasi tumpuan tukang emas, perak dan tembaga.


SEBUAH arca logam menceritakan sejarah penjaja kaki lima di Lebuh Armenian.


Sehubungan itu juga, banyak premis perniagaan dan bangunan pentadbiran era British dibina pada awal abad itu bagi menguruskan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak di Lebuh Armenian.

Hampir semua bangunan tersebut masih dipelihara sehingga hari ini. Disebabkan terdapat bangunan yang ada ketinggian nilai sejarah, tidak semua dinding bangunan di Lebuh Armenian dibenarkan untuk tujuan lukisan mural.

Antara lukisan dinding yang popular dan menjadi tumpuan setiap pelancong di Lebuh Armenian ialah Little Children on A Bicycle karya pelukis muda dari Lithuania, Ernest Zacharevic, 27, yang dihasilkan pada tahun 2012.

Lukisan dinding

Pelbagai arca besi berasaskan karya kartunis Tang Mun Kian turut menjadi penghias jalan yang menarik di Lebuh Armenian dan sekitar Pulau Pinang.

Ujar Kok Yu, setiap pemilik premis di Lebuh Armenian berlumba-lumba untuk menawarkan dinding kedai mereka sebagai 'kanvas' sejak lukisan dua kanak-kanak menunggang basikal itu mendapat perhatian terutama pelancong asing.

"Sejak lukisan pelukis asing (Zacharevic) jadi popular di sini, ramai pemilik kedai meminta kebenaran daripada MPPP untuk membuat lukisan pada dinding kedai mereka.

"Kesannya seperti yang kita semua dapat lihat hari ini, boleh dikatakan hampir semua dinding kedai di Lebuh Armenian dihiasi pelbagai rupa lukisan dinding.

"Tidak cukup dengan itu, ia merebak ke seluruh Pulau Pinang dan menjadi sesuatu yang sangat menarik perhatian pelancong. Bandar juga jadi cantik," tambah Kok Yu.

Peniaga yang bermastautin di Pulau Pinang sejak 30 tahun lalu itu menambah, anaknya, Wallace Tan, 25, turut menghasilkan lukisan dinding di hadapan premisnya.


ZACHAREVIC dengan hasil kerja tangannya yang bertajuk Little Children on A Bicycle.


Warga emas yang mahu dipanggil Hong, 73, pula berkata, wajah Lebuh Armenian dan seluruh George Town bertukar sejak para pemilik kedai dan pelukis berlumba-lumba menghasilkan mural yang lebih unik.

"Dahulu tidak ada semua ini. Sekarang semua (dinding kedai) jadi cantik. Lukisan yang paling saya suka ialah dua budak yang mahu curi kuih pau di dinding kedai ini," kata beliau semasa ditemui di hadapan sebuah restoran makanan Cina.

Tambah warga emas itu lagi, kewujudan mural di Lebuh Armenian dan sekitar Pulau Pinang juga menjadikan dia seronok berjalan-jalan sambil melihat semua lukisan dinding tersebut tanpa berasa letih.

Selain di Lebuh Armenian, lukisan mural turut menjadi penghias dinding premis di sekitar Lebuh Ah Quee, Lebuh Muntri, Lebuh Cannon dan Jalan Penang.

Dalam pada itu, Eling Ki, 32, berkata, lukisan dinding yang terdapat di Lebuh Armenian menjadikan ia unik berbanding kawasan tumpuan pelancong yang lain di Pulau Pinang.

"Terdapat banyak saiz lukisan dinding di sini. Ada yang besar memenuhi dinding dan ada juga yang kecil dilukis di tangga kedai. Perniagaan di sini juga semakin baik sejak semua lukisan ini menjadi tarikan pelancong," katanya.

Eling menambah, kemeriahan pelbagai lukisan mural, arca dan objek-objek seni lain yang terdapat di pulau itu menjadikan mereka berasa bangga.

"Lukisan dinding yang banyak, cantik dan menarik di deretan bangunan kedai lama di sini sudah menjadi tarikan luar biasa kepada orang luar tanpa disangka-sangka," ujarnya.

Sut lycra ketat ahli zentai

Posted:

Sut lycra ketat ahli zentai

Sut lycra ketat ahli zentai


SELAIN aktif di laman sembang internet, kumpulan zentai juga sering mengadakan perjumpaan antara mereka.


PADA waktu siang, Hokkyoku Nigo berpakaian sopan dengan mengenakan solekan dan gaya rambut sederhana sesuai dengan imej gadis berusia 20-an yang bekerja sebagai seorang kerani.

Namun, penampilannya berubah pada waktu malam. Dia memakai pakaian ketat diperbuat daripada fabrik spandeks yang melekap ditubuhnya termasuk kedua-dua mata.

Setelah berpakaian seperti itu, dia pergi ke bar seorang diri tanpa mempedulikan pandangan orang lain terhadap penampilannya.

Menurut Hokkyoku, dengan wajahnya yang tertutup, dia tidak boleh makan atau minum seperti pelanggan lain di bar itu.

"Penampilan seharian membuatkan saya merasa tidak selesa. Ada yang memberitahu saya comel dan naif. Namun, saya selesa menjadi diri sendiri pada waktu malam dengan berpakaian seperti ini," jelasnya.

Fesyen pelik

Hokkyoku merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan zentai iaitu singkatan zenshintaitsu yang bermaksud sut di seluruh badan. Mereka obses dalam berpakaian fesyen pelik berwarna-warni.

Kebanyakan ahlinya mengatakan bahawa mereka mencari kebebasan berfesyen.

Kumpulan tersebut aktif menggunakan laman sembang internet iaitu Kelab Tokyo Zentai untuk mengumpul ahli. Seramai 10 orang ahli baharu berjaya dikumpul setiap bulan.

Tidak seperti kumpulan lain yang gemar berparti, zentai memakai pakaian ketat fabrik lycra yang menutupi bahagian kepala hingga kaki mereka.

Seorang ahlinya, Hanaka, 22, memberitahu, dia terpikat dengan pakaian adi wira seperti seorang kanak-kanak. Dia yang mengetahui maklumat mengenai kelab tersebut daripada teman lelakinya Popo yang berusia 25 tahun.

"Semasa saya berumur 13 atau 14 tahun, saya mencuba untuk menjahit sut yang meliputi seluruh badan. Namun, saya berhenti separuh jalan kerana terfikir telah melakukan sesuatu yang pelik.

"Saya berasa amat gembira apabila mengetahui ada golongan yang mempunyai minat yang sama menerusi forum itu," ujar Tanaka yang sering hadir dalam acara Kelab Tokyo Zentai bersama Popo.


WALAUPUN pelik, setiap ahli kumpulan zentai bangga mempamerkan ekspresi mereka terhadap fesyen.


Walaupun hobi tersebut masih dianggap baharu di negara itu, fesyen tersebut sebenarnya adalah penampilan yang jarang dilihat dalam kebudayaannya.

Pemakaian zentai juga merupakan cara ahli kumpulan tersebut melahirkan rasa hormat kepada adi wira kegemaran mereka.

Seorang lelaki memakai kostum Power Ranger menjadi bualan masyarakat di Jepun apabila membantu golongan ibu-ibu muda membawa bayi ketika menuruni tangga di kawasan kereta api bawah tanah.

Walaupun melakukan perbuatan baik ketika memakai sut itu, namun ada yang memberitahu bahawa pemakaian itu mempunyai unsur seksual.

Seorang guru, Nezumiko, 36, berkata, dia gemar menyentuh dan mengusap orang lain.

"Saya juga suka apabila orang lain menyentuh dan mengusap diri ini. Apabila memakai sut ini, saya dapat memegang orang lain selain melihat mereka.

"Saya bukan seorang lesbian tetapi tidak kisah menjadi wanita seperti ini. Perasaan sebagai seorang zentai berbeza daripada mereka yang mempunyai nafsu normal," jelasnya.

Cari identiti

Seorang ahli akademik Universiti Tokyo Mirai, Ikuo Daibo pula menjelaskan, peminat zentai seolah-olah kurang jelas dan tercari-cari untuk menyatakan identiti mereka dalam cara berbeza.

"Di Jepun, ramai orang yang berasa bingung dan tidak dapat mencari identiti mereka dalam masyarakat. Mereka juga mempunyai ramai ikon tetapi tidak tahu untuk memilih yang sesuai," ujarnya.

Jelasnya, ahli zentai percaya ia mampu menarik orang ramai mengenali mereka bukan kerana paras rupa dan penampilan. Ia juga satu cara yang sangat menarik dalam berkomunikasi.

Seorang pengamal fesyen zentai sejak 20 tahun lalu, Alice Omori, 40, bersetuju dengan pendapat Ikuo.

Alice juga menjalankan perniagaan servis menjahit pakaian di internet kepada pengikut kumpulan zentai.

"Anda akan merasa lebih baik dan gembira apabila memakai sut ini. Ia merupakan satu perkara yang menakjubkan," jelasnya yang juga memakai sut ketat ketika ditemuramah. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved