Khamis, 24 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dari Asia Barat ke Asia

Posted:

Dari Asia Barat ke Asia

Dari Asia Barat ke Asia

KEBIMBANGAN terhadap seorang jururawat Filipina yang positif Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) pulang ke negara asalnya terlerai selepas dia didapati bebas daripada jangkitan dalam pemeriksaan berikutnya.

Terdahulu, lelaki warganegara Filipina itu pulang pada Selasa lalu dengan penerbangan Etihad Airways telah dikuarantinkan bersama sanak saudaranya termasuk mereka yang mempunyai hubungan langsung semasa ketibaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Nasib baik, ia bagus untuk menenangkan orang ramai. Hasil ujian di Institut Penyelidikan Perubatan Tropika kami mendapati ia negatif," kata Setiausaha Kesihatan Filipina, Enrique Ona.

Jururawat berkenaan merupakan seorang pembantu kepada seorang paramedik dari Filipina yang meninggal dunia akibat jangkitan MERS-CoV di UAE pada 10 April lalu.

Dalam pada itu, Ona memberitahu, pihak pemerintah berusaha mengesan 415 penumpang penerbangan 0424 dari Abu Dhabi ke Manila untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Arab Saudi pada 23 April lalu melaporkan terdapat 11 kes baharu MERS-CoV dengan satu kes kelihatannya yang pertama dikesan di Tanah Suci Mekah.

Unta positif

Kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan lapan daripada pesakit tersebut ditempatkan dalam wad rawatan rapi, dua dalam keadaan stabil termasuk seorang lelaki Arab berusia 24 tahun yang berasal dari Mekah manakala seorang lagi tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Tiga daripada pesakit itu yang dijangkiti adalah pekerja penjagaan kesihatan," katanya.

Pada November 2013, kerajaan Arab Saudi menyatakan bahawa unta telah diuji positif MERS-CoV dan ia merupakan kes pertama haiwan dijangkiti virus korona yang telah membunuh 64 orang di seluruh dunia pada ketika itu.

Unta berkenaan dimiliki oleh seseorang yang menghidap penyakit MERS-CoV telah diuji positif dalam pemeriksaan awal makmal.

"Kementerian telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan makmal-makmal untuk mengasingkan virus serta membandingkan struktur genetik dengan apa yang ditemui pada pesakit itu.


PEKERJA penjagaan kesihatan boleh terdedah dengan jangkitan MERS-CoV dalam makmal jika tidak mengambil langkah sesuai bagi mengurangan penyebaran virus.


"Jika virus yang dibawa oleh unta dan pesakit adalah serupa, maka ini akan menjadi satu penemuan saintifik pertama di dunia sekali gus menjadi kunci dalam mengenal pasti punca virus berkenaan," jelasnya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita SPA negeri.

Menurut kenyataan dalam laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus korona merupakan anggota keluarga kumpulan coronavirus yang menjangkiti manusia dan haiwan.

Virus korona boleh menyebabkan pelbagai penyakit bertambah teruk bermula daripada selsema biasa seperti wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meletus pada tahun 2003.

Virus ini mula dikesan sejak April 2012 dan dikenali sebagai novel coronavirus . Ia merupakan virus baharu yang tidak pernah ditemui pada manusia sebelum ini.

Dalam kebanyakan kes, virus ini telah menyebabkan beberapa pesakit mengalami masalah pernafasan serius dan kegagalan buah pinggang manakala jumlah kematian berlaku separuh daripada kes yang dilaporkan.

Sementara itu, virus korona baharu ini dinamakan sebagai MERS-CoV oleh Kumpulan Kajian Virus Korona dalam Jawatankuasa Antarabangsa Taksonomi pada Mei 2013.

Dalam satu kajian yang diterbitkan minggu lalu mengenai Kemunculan Penyakit Berjangkit Baharu, penyelidik mendapati MERS-CoV boleh hidup di dalam susu unta untuk sekurang-kurangnya 72 jam. Bagaimanapun, mereka tidak memeriksa sama ada virus tersebut benar-benar ditemui dalam susu unta yang dijangkiti.

Negara pertama

Pada 11 November lalu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan bahawa MERS-CoV telah dikesan pada unta dan ia dikaitkan dengan kes jangkitan kepada manusia di negara berkenaan.

Selain itu, MERS-CoV baru-baru ini turut ditemui secara genetik dengan virus yang dikenal pasti terdapat pada kelawar dari Afrika Selatan. Namun, tidak ada bukti sahih bahawa MERS-CoV berasal daripada kelawar.

Dalam pada itu, sembilan negara dilaporkan telah terlibat dengan kes jangkitan MERS-CoV terhadap manusia.

Negara tersebut ialah Perancis, Jerman, Itali, Jordan, Qatar, Arab Saudi, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.


PEGAWAI perubatan Kementerian Kesihatan (kanan) memeriksa penduduk Kampung Bintang di pusat pemeriksaan khas jangkitan MERS-Cov di Johor baru-baru ini.


Terbaharu, Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang dilaporkan berlakunya jangkitan ke atas manusia sehingga membawa maut. Pesakit merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 54 tahun yang mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas pada 8 April lalu sejurus 10 hari pulang mengerjakan umrah.

Lelaki berkenaan ke Jeddah, Arab Saudi dengan sekumpulan 18 orang menunaikan umrah bermula 15 hingga 28 Mac lalu dan mengalami demam pada 4 April lalu.

Pesakit kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Johor pada 7 April sebelum pergi ke hospital pada 9 April.

Bagaimanapun, pesakit meninggal dunia pada 13 April. Pesakit berkenaan telah melawat ladang unta pada 26 Mac dan didapati minum susu unta. Sementara itu, kes di UAE pula melibatkan sekelompok empat pekerja kesihatan yang telah dikenal pasti memperoleh jangkitan menerusi kes dari Abu Dhabi yang meninggal dunia pada 10 April lalu.

Empat pekerja itu ialah tiga lelaki berusia 44, 30 dan 28 tahun dari Abu Dhabi serta seorang lelaki berusia 34 tahun dari Filipina yang terdedah dengan jangkitan dalam makmal.

Gejala

Kesemua empat pesakit tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara Asia Barat baru-baru ini dan tiada berhubung secara langsung dengan haiwan.

Tiga daripada empat kes tersebut telah dikuarantinkan di hospital dan mereka kini dalam keadaan stabil.

Di peringkat global sejak September 2012 hingga kini, WHO melaporkan sejumlah 243 kes disahkan dijangkiti MERS-CoV termasuk 93 kematian.

Tanda-tanda lazim jangkitan MERS-CoV adalah penyakit pernafasan yang serius dengan demam, batuk serta sesak dan kesukaran bernafas.

Kebanyakan pesakit mengalami radang paru-paru. Selain itu, ramai juga yang mempunyai gejala-gejala gastrousus termasuk cirit-birit, manakala sesetengahnya mengalami kegagalan buah pinggang.

Bagi mereka yang rendah sistem pertahanan tubuh, penyakit ini mungkin menyebabkan keadaan mereka menjadi lebih teruk.

Justeru, berdasarkan kepada keadaan dan maklumat semasa, WHO menggalakkan negara-negara anggota untuk meneruskan pengawasan terhadap jangkitan pernafasan akut teruk (SARS) dan seterusnya mengkaji dengan teliti jika ada sebarang perkara luar biasa.

Pada masa sama, langkah-langkah kritikal dalam kawalan dan pencegahan perlu dilakukan dalam usaha mengelak kemungkinan penyebaran MERS-CoV di pusat atau kemudahan jagaan kesihatan.


VIRUS korona boleh hidup di dalam susu unta sekurang-kurangnya 72 jam.


Pusat atau kemudahan jagaan kesihatan yang menyediakan rawatan kepada pesakit yang disyaki atau disahkan jangkitan MERS-CoV perlu mengambil langkah sesuai bagi mengurangkan risiko penyebaran virus daripada pesakit kepada pesakit lain, pegawai serta kakitangan perubatan dan pelawat.

Pegawai dan kakitangan kesihatan pula perlu mendapat didikan, latihan dan kemahiran terkini dalam pencegahan serta kawalan jangkitan.

Selain itu, WHO turut menasihatkan pusat-pusat kesihatan untuk terus mengekalkan kewaspadaan. Para pelawat dan pelancong yang mempunyai perjalanan dari Asia Barat harus menjalani pemeriksaan saringan MERS-CoV mengikut garis panduan pengawasan semasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, pihaknya telah menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan termasuk aktiviti pengesanan mereka yang ada berhubung dengan pesakit MERS-CoV.

Menurutnya, sehingga Ahad lalu, tiada kes baharu dikesan dan tiada kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan dari seluruh negara menjadikan jumlah kumulatif kekal sebagai satu kes kematian.

"Tiada sampel yang positif jangkitan MERS-CoV daripada 79 sampel yang telah diambil daripada kontak rapat yang bergejala dan tidak bergejala.

"Kesemua 17 ahli kumpulan dalam pakej umrah yang sama dengan mangsa didapati sihat dan tidak menunjukkan gejala serta disahkan negatif jangkitan MERS-CoV," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved