Rabu, 12 Mac 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tuah dapat lihat semua sisi Gunung Malu

Posted:

Tuah dapat lihat semua sisi Gunung Malu

Tuah dapat lihat semua sisi Gunung Malu

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

KERETA Suprima S mendahului konvoi pengamal media ke kaki Guunung Kinabalu.


SUASANA redup di tempat penginapan kami di Hotel Shangri-La, Rasa Ria Resort di Kota Kinabalu, Sabah pagi itu sungguh nyaman, seakan-akan meraikan kedatangan para pengamal media yang bersiap sedia memulakan konvoi ke kaki Gunung Kinabalu.

Usai sarapan sekumpulan 112 pengamal media termasuk kakitangan Kumpulan DRB-Hicom yang mengikuti program tiga hari DRB-Hicom Bersama Media Ke Negeri Di Bawah Bayu baru-baru ini berkumpul di lobi penginapan.

Aktiviti konvoi yang bermula pukul 8 pagi itu menyaksikan penyertaan 42 buah kereta termasuk dua buah kenderaan mewah, Lotus Exige dan Lotus Elise selain Proton Suprima S, Proton Preve, Proton Perdana versi terbaharu serta Proton Exora.


SEBAHAGIAN daripada pengamal media yang mengikuti program DRB-Hicom Bersama Media Ke Negeri Di Bawah Bayu bergambar di Taman Kinabalu, Sabah baru-baru ini.


Perjalanan peserta konvoi ke kaki Gunung Kinabalu sejauh 60 kilometer (km) itu menjadi semakin bersemangat tatkala diberi peluang memandu uji Proton Suprima S yang disediakan oleh pihak penganjur.

Suprima S merupakan kereta pertama keluaran Proton bercirikan hatchback yang mempunyai reka bentuk lebih aerodinamik dengan gaya kereta Eropah, manakala ruang dalaman dan butnya lebih luas.

Kehebatan kawalannya yang menggunakan enjin Campro 1.6 turbo dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT) hasil sentuhan jurutera Lotus memang tidak boleh dinafikan termasuklah ketika memandu laju, membelok dan memotong.

Laluan yang curam dan berliku-liku berjaya dilepasi dengan baik dan penulis langsung tidak berasa pening atau 'loya' seperti biasa ketika berada dalam Suprima S.

Ternyata, Suprima S memang sangat berbaloi untuk dimiliki dan penulis yakin Proton semakin berdaya saing dengan model-model baharunya berbanding sebelum ini.


GERAI menjual buah-buahan antara tarikan pengunjung di Pekan Kundasang.


Dilitupi kabus

Sebaik tiba di Pekan Nabalu, kelibat Gunung Kinabalu yang diiktiraf gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 4,095 meter itu mula kelihatan walaupun ada kalanya dilitupi kabus tebal.

Menurut jurupandu jalan, para peserta agak 'bertuah' pada hari tersebut memandangkan langit yang cerah pagi itu mengizinkan kami melihat dengan jelas gunung yang terpacak indah di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Dari pekan itu, peserta dapat melihat keseluruhan sisi gunung tersebut yang turut digelar Gunung Malu oleh penduduk setempat memandangkan pada kebiasaannya, Gunung Kinabalu akan diselimuti kabus tebal sekali gus menghalang pemandangan seawal pukul 7 pagi.

Berehat sebentar di Pekan Nabalu, peserta konvoi tidak melepaskan peluang bergambar kenangan berlatar belakangkan kemegahan gunung yang memuncak.

Malah, ada yang mengambil peluang membeli cenderamata dan barangan kraf tangan Sabah yang mempunyai keunikannya tersendiri sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang. Antaranya, kain batik corak tradisional Sabah, kuih cincin dan barangan kraf tangan.

Konvoi kemudian meneruskan perjalanan ke destinasi kedua iaitu Taman Kinabalu yang merupakan lokasi tumpuan pelancong terutama bagi mereka yang ingin memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu.


PESERTA bergambar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu di Taman Kinabalu.


Dua laluan

Ketika tiba di Taman Kinabalu kira-kira pukul 10.30 pagi, suhu agak dingin ekoran angin bertiup kuat ditambah pula hujan renyai-renyai yang menyambut kedatangan peserta. Suhu yang dicatatkan ketika itu sekitar 20.4 darjah Celcius.

Taman Kinabalu yang mempunyai keluasan 754 kilometer persegi merupakan Tapak Warisan Dunia pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada Disember 2000.

Mungkin sudah rezeki kami, peserta konvoi sekali lagi berpeluang melihat keindahan puncak Gunung Kinabalu dan sekitarnya dari Taman Kinabalu yang turut terkenal dengan keindahan flora dan fauna.

Taman Kinabalu ini menempatkan dua laluan untuk mendaki ke puncak gunung.

Laluan yang pertama ialah laluan yang biasa digunakan iaitu melalui Timpohon Gate Trail dengan jarak pendakian sebanyak 8.72 kilometer, manakala laluan kedua dari Mesilau Trail di mana pendaki perlu melalui jarak tambahan sebanyak 1.5 kilometer daripada jarak laluan pertama.


KETIBAAN konvoi pengamal media ke Taman Nabalu yang memandu uji kereta-kereta keluaran DRB-Hicom disambut suhu dingin yang mendamaikan.


Tidak menetapkan lokasi untuk destinasi seterusnya, pihak penganjur sebaliknya memberi peluang kepada pihak media untuk meneroka sendiri kawasan sekitar dan kebanyakan kami memilih ke Pekan Kundasang.

Pekan yang terletak kira-kira lima kilometer dari Taman Kinabalu ini popular dengan jolokan nama New Zealand Malaysia kerana pemandangannya yang indah.

Pengarah Urusan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil, dalam ucapannya berkata, tujuan utama program diadakan untuk menghargai kerjasama rakan media dalam membuat laporan mengenai DRB-Hicom.

"Selama tiga hari di sini bersama rakan media, kami berasa gembira dapat berkongsi pandangan dan menceriakan anda dalam setiap program yang diatur," ujar beliau.

Ternyata, sepanjang lawatan tiga hari itu, sememangnya pihak media dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pihak penganjur DRB-Hicom di samping dapat merasai pengalaman indah berada di bumi bertuah Sabah.

11:17 PM 3/12/201411:17 PM 3/12/2014Korea Selatan sara itne selepas beku

Posted:

11:17 PM 3/12/201411:17 PM 3/12/2014Korea Selatan sara itne selepas beku

11:17 PM 3/12/201411:17 PM 3/12/2014Korea Selatan sara itne selepas beku


TIGA rakyat Malaysia yang ditemui sedang berseronok di taman tema Lotte World.


SUHU paling ekstrem, sehingga pada satu masa mencatatkan lebih daripada 20 darjah Celcius di bawah paras beku, telahpun dirasai di sesetengah tempat di Korea Selatan ketika musim sejuk yang kini baru sahaja berakhir.

Dalam menggagahi kedinginan salji, negara yang terkenal dengan bangsa kuat bekerja itu tetap meneruskan rentak kehidupan dalam pelbagai bidang, terutamanya sektor kekayaan utama iaitu industri pengeluaran dan pembuatan berteknologi tinggi.

Industri pelancongan juga tidak terkecuali. Saat kuntum terawal musim bunga mula berputik, begitulah juga mekarnya Korea Selatan dalam menyambut rasa ingin tahu jutaan pelancong yang mahu mendekati keistimewaan warisan tradisi, seni bina, gastronomi dan alam semula jadinya.


PEMANDANGAN ini merupakan hadiah terindah bagi mereka yang mendaki Seongsan Ilchubong di Pulau Jeju.


Keasyikan alam Pulau Jeju

Pulau yang diberi jolokan Hawaii Korea Selatan itu sekarang ini kembali hidup dengan kehijauan pohon-pohon palma dan bunga-bungaan aneka warna. Dalam usaha mencipta suasana ala tropika sepanjang laluan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, keunikan sebenarnya merentas ke seluruh landskap hinggalah ke kawasan tebing laut.

Bermula dengan lawatan ke tebing laut Yongduam Rock (Batu Kepala Naga) di sebelah utara, pelancong boleh juga mengunjungi Soepjikoji di sebelah timur Jeju yang memukau dengan hamparan padang saujana.

Begitupun, tebing paling luar biasa ialah di Jusangjeolridae di sebelah perairan Jungmun. Di situ, terdapat formasi batu bak tetiang rapat heksagon yang sehingga kini masih menghairankan para pelancong. Struktur tebing itu dipercayai terjadi akibat lelehan lahar Gunung Berapi Halla yang meletus ratusan ribu tahun lalu dan sejak itu bertembung dengan elemen ombak laut dan angin.

"Dari pinggir laut, kehebatan kembara geologi Jeju memusat ke salah satu daripada tarikan dalam senarai baharu tujuh keajaiban dunia UNESCO kategori alam semula jadi iaitu Seongsan Ilchubong. Gunung kecil dengan puncak kawah mati itu merupakan lokasi paling indah untuk melihat momen matahari terbit," ujar pemandu pelancong dari agensi percutian Comfortour Korea, Yoon Jong-Hyun.

Dari beberapa pelantar tinjau di ketinggian tertentu, para pendaki Seongsan Ilchubong berpeluang menikmati pemandangan landskap pancawarna yang mempesona. Umpama lukisan, pemandangan itu 'terlukis' daripada corak petempatan kampung dan bandar, jaringan jalan serta tapak-tapak pertanian termasuklah ladang pokok canola yang kuning berseri.

Berkesinambungan dari tarikan tebing laut dan gunung, dunia bawah tanah juga menanti kedatangan mereka yang tidak takut pada faktor kegelapan. Gua Manjang di Gujwa merekod sejarah kejadian Jeju sejak kira-kira 300 ribu tahun dahulu.Terbentuk akibat aliran lahar bawah tanah, lohong gua sepanjang lebih tujuh kilometer telah ditemui dalam siri penyelidikan khas dengan satu kilometer daripadanya kini dibuka untuk kunjungan orang awam.


PASAR Jagalchi di Busan sentiasa meriah dengan aksi jualan makanan laut segar.


"Jeju ternyata menjadi pilihan pelancong kerana iklim sederhananya, lokasi matahari terbit dan terbenam yang menarik, gaya hidup desa pulau yang relaks serta keindahan hamparan pantainya," ujar Jong-Hyun yang turut mengajak pelancong mengakhiri agenda di Jeju dengan menyaksikan pementasan teater muzikal Nanta yang menghiburkan.

"Cuba lengkapkan kembara Korea Selatan dengan mencuba makanan laut di Busan pula. Di situ, anda boleh menikmati yang terbanyak, terlazat dan paling segar. Lebih penting, harganya juga murah berbanding di Jeju atau Seoul," syor Pengurus Besar Rantau Asia Tenggara Comfortour, Hanis Hussin.

Sebagai bandar raya kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul, Busan yang berpopulasi lebih 3.5 juta orang jelas mempunyai identiti tersendiri. Kedudukannya di penghujung paling selatan Semenanjung Korea, Busan berfungsi sebagai pintu masuk laut terbesar negara itu. Pusat komersialnya sering saja dimeriahkan kehadiran pelancong dan komuniti pelayar antarabangsa, tentunya untuk membeli-belah dan menikmati gastronomi bertemakan menu laut.

Menurut Hanis, pelbagai aktiviti nelayan moden terlihat melalui kewujudan banyak pusat peraih dan kilang memproses hasil laut yang seterusnya mencambahkan banyak bisnes restoran. Persaingan itulah yang mencetus perang harga yang akhirnya menguntungkan kantung wang pembeli, sama rancak seperti pesta tawar-menawar di Pasar Jagalchi.

Usai melunaskan selera makan, masanya untuk bersiar-siar. Antara tempat menarik lain yang boleh dirancang dalam sesi jelajah Busan ialah Pasar Gukje, Busan Aquarium, kampung budaya Gamcheon dan Yongdusan Park yang menempatkan Menara Busan.

Tidak ketinggalan, istirehat jiwa boleh direalisasikan di Taejongdae Park yang menawarkan pengalaman pesiaran trem, hentian rehat tebing laut, trek hutan, tinjauan dari tapak pusat observatori dan rumah api serta kolam air hangat.


GUA Manjang yang terbentuk daripada aliran lahar bawah tanah menyimpan sejarah geologi Jeju.


Keseronokan berganda turut menanti di Seoul. Ada banyak cara untuk meneroka jantung kotanya, sama ada menaiki teksi, bas awam, atau sistem subway. Meskipun hanya berjalan mengikuti siar kaki yang tercabang lagi kepada banyak lorong tarikan beli-belah, kota ini sememangnya membawa kejutan di setiap sudut jalanan.

Jika hendak memulakan kunjungan ke lokasi budaya dan sejarah, Istana Gyeongbok ialah tempat yang kaya dengan tinggalan warisan dinasti terdahulu. Di pekarangan istana itu, perasaan pengunjung dengan mudah melintas dimensi silam apatah lagi dengan persembahan perbarisan pengawal diraja yang lengkap dengan instrumen muzik dan kostum pahlawan.

Kalau dahulu istana tersebut megah berlatarkan Gunung Bukaksan, kini sekitarnya turut dicorakkan banyak bangunan dan menara pencakar langit. Seni bina moden itu jugalah yang mewakili semangat urban kota mega tersebut. Dengan keluasan 605 kilometer persegi dan berpopulasi lebih 10 juta orang, bagaimanakah cara terpantas untuk mengenal isi metropolis Seoul?

Selain mengambil jalan pintas melalui kunjungan ke dek tinjau N Seoul Tower, tentu sekali keinginan tersebut boleh terlaksana dengan menyusuri Sungai Han melalui pakej bot siar. Di sepanjang sungai yang banyak menyaksikan rentetan peristiwa jatuh bangun Korea Selatan itu, ilham fotografi pun segera muncul lebih-lebih lagi apabila bot siar melewati pelbagai struktur kota rekaan ultra.


PANORAMA landskap kota yang disaksikan dari dek tinjau Menara Busan.


Zon beli-belah

Bukan sekadar sebuah kota bisnes, hasrat mengecap keriangan bersama keluarga juga boleh dicapai di Seoul. Untuk tujuan itu, kunjungilah alam magis Everland ataupun ke taman tema tertutup terbesar Asia, Lotte World.

Keriangan juga datang dalam keinginan membeli-belah. Rata-rata pelancong di Seoul pasti menyebut tentang tiga lokasi persinggahan wajib bagi tujuan berbelanja.

Zon beli-belah Insadong menjadi pilihan para peminat seni dan kraf, sementara Myeongdong pula dipenuhi mereka yang mahu mendapatkan produk kosmetik pada harga yang murah. Seterusnya adalah di Dongdaemun yang tidak pernah gagal menggoda pelanggan menerusi seleksi aksesori fesyen dan pakaian. Mahukan debaran terapi runcit yang lebih hebat? Ledakkan saja bajet anda di kawasan sekitar kawasan komersial bercita rasa tinggi di Gangnam!

Lokasi seterusnya pula ibarat mandatori. Para pelibur tentunya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengecap aura romantis di Pulau Nami.

Pulau yang menjadi latar penggambaran drama Winter Sonata itu tidak pernah sunyi dikunjungi pelancong biarpun pada tahun lalu, ia sudah menyambut ulang tahun ke-10 pembikinan drama tersebut. Di antara perspektif deretan pokok ginkgo yang terkenal itu, kisah cinta Joon-Sang dan Yoo-Jin terus bersemi di hati jutaan peminatnya.

Begitulah Korea Selatan dengan kuasa eksport hiburan dan pengaruh selebritinya. Teringat pula kata aktor Ha Jeong-Woo yang menyebut frasa sara itne dalam sebuah filem aksi tempatan, Nameless Gangster. Kata yang secara akumulatif bermaksud 'hidup dan segar' itu pantas menjadi budaya sebutan popular dalam perbualan harian generasi muda bagi merujuk kepada sesuatu yang hebat dan mengujakan.

Ya, mungkin benar kalau hendak meminjam kata Jeong-Woo itu. Korea Selatan sememangnya sara itne lebih-lebih lagi setelah musimnya melepasi pusingan fasa beku.

Himpunan srikandi silat

Posted:

Himpunan srikandi silat

Himpunan srikandi silat


PERSEMBAHAN silat berkumpulan yang diketuai oleh Intan Diana (depan) merupakan kemuncak acara perjumpaan ahli DSSM edisi ketujuh.




MENERUSI persembahan silat, masyarakat dapat melihat busana yang digayakan oleh pesilat wanita pada zaman pendekar.
AKSI lincah kanak-kanak Persatuan Seni Silat Gayong Makrifat negeri Pahang mendapat tepukan gemuruh daripada pengunjung.





PALUAN gendang, gong dan tiupan seruling bergema di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Di tengah-tengah gelanggang, dua orang kanak-kanak dari Persatuan Seni Silat Gayung Makrifat cawangan negeri Pahang sedang mengatur langkah.

Langkah kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun itu diatur kemas. Ketika bertarung, kedua-duanya kelihatan amat bertenaga dan usaha mereka itu menghasilkan tepukan gemuruh daripada ratusan pengunjung.

Pertunjukan silat itu merupakan salah satu acara yang mendapat perhatian pada Perjumpaan Ahli Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) seluruh negara dan Himpunan 1,000 Srikandi Silat di Taman Tasik Titiwangsa pada 1 Mac lalu.

Pengerusi dan Pengasas DSSM, Sahrudin Esa berkata, himpunan pesilat wanita itu bersempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac lalu.

"Himpunan ini pertama kali diadakan bagi mengiktiraf penglibatan ahli-ahli wanita. Mereka juga nadi dalam usaha memartabatkan warisan seni silat di negara ini.

"Kira-kira 300 pesilat wanita hadir dalam acara pada kali ini. Walaupun gagal mengumpulkan 1,000 srikandi, acara ini merupakan salah satu platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara pesilat wanita dalam DSSM," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada acara berkenaan.

Turut hadir, Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omardin Mauju.

Sahrudin menambah, DSSM sebulat suara mahu menjadikan himpunan pesilat wanita sebagai acara tahunan yang akan dianjurkan pada bulan Mac.

Lebih 50 perguruan dan persatuan seni silat dari seluruh negara termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia berhimpun dalam acara tersebut.

Persembahan

Ketua Srikandi DSSM dari perguruan Seni Silat Tokku, Pulau Langkawi, Kedah, Intan Diana Bakri, 36, berkata, setiap perguruan perlu membuat persembahan secara solo dan berkumpulan untuk tatapan guru-guru silat perguruan yang mengambil bahagian.

Selain persembahan silat, turut diadakan pertunjukan memanah, gerai-gerai pameran keris dan senjata yang digunakan dalam pencak silat.

Sementara itu, menurut Omardin, perhimpunan pesilat srikandi DSSM merupakan satu perintis yang bakal membuka mata masyarakat mengenai pembabitan wanita dalam arena pencak silat.

"Silat merupakan satu elemen mempertahankan diri yang membina jati diri dan kesihatan. Melalui acara ini, saya melihat silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang menjadi pilihan wanita Melayu.

"Namun demikian, tidak kira lelaki mahupun wanita, silat merupakan salah satu identiti Melayu yang seharusnya dipelihara," jelasnya.

DSSM kini mempunyai kira-kira 10,000 orang ahli di seluruh negara, dengan 3,000 daripadanya ahli wanita.

Selain silat, DSSM turut merancang memperkenalkan busana tradisi Melayu lelaki dan wanita untuk kegunaan harian dan mewujudkan bahagian silat berkuda DSSM.

Seorang peserta dari perguruan Seni Silat Harimau Gayong, Grik, Perak, Siti Norakilah Zulkifli, 16, memberitahu, dia teruja apabila berpeluang menyertai acara itu.

"Melalui acara ini, saya dan empat rakan lain mengadakan persembahan di hadapan persatuan dan perguruan silat lain sekali gus melihat perbezaan, persamaan dan kelebihan perguruan masing-masing," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 4, Grik itu. - MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved