Rabu, 12 Mac 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Kes Larkin dibincang minggu depan

Posted:

Kes Larkin dibincang minggu depan

Kes Larkin dibincang minggu depan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

JATAWANKUASA Tatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal membincangkan kes 'Terowong Larkin' selewat=lewatnya minggu depan.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Taufek Razak (gambar) memberitahu, kes tersebut masih memerlukan penelitian kerana ia melibatkan jumlah saksi yang begitu ramai.

Taufek menjelaskan, FAM perlu mengikut prosedur iaitu meneliti setiap kes berdasarkan 'susunan' atau giliran kes yang diajukan kepada pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Katanya, mesyuarat hari ini akan membentangkan masalah enam pasukan antaranya Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak yang melibatkan salah laku penyokong-penyokong mereka sahaja.

Jelasnya lagi, kes 'Terowong Larkin' dijangka dibincangkan sebaik kes yang melibatkan pemain tengah Johor Darul Takzim (Johor DT), Pablo Aimar didakwa menghamburkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemain pertahanan Pahang, Damion Stewart selesai.

"Kes ini (Terowong Larkin) memerlukan banyak penelitian dan membabitkan ramai saksi. Kes yang dibincangkan esok (hari ini) sudah lama diadukan (ke pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM).

"Kes ini membabitkan masalah enam pasukan yang melibatkan salah laku penyokong iaitu menyalakan api suar, bom asap, penyokong masuk padang dan penyokong menghina FAM.

"Selepas itu pula, masih lagi ada kes (kata-kata berbaur perkauman) melibatkan Aimar dan Stewart, kes melibatkan pergaduhan penyokong-penyokong Johor DT dan Pahang, kes kereta pengurus Perak (Datuk Azhar Ahmad).

"Saya yakin bahawa kes (Terowong Larkin) itu akan dibentang pada minggu depan selepas selesai kes Aimar. Apa yang pasti, kami akan pastikan perbicaraan terhadap ini telus," katanya kepada Kosmo!, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM telah menghantar surat pertuduhan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung insiden kekecohan yang berlaku dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Pemain serta jurulatih kecergasan T-Team, Elvaldo Rodrigues dan Stefano Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan pemain pada aksi pusingan kedua Piala FA.

T-Team bertindak menarik diri tetapi FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas mendapati T-Team bersalah kerana menarik diri dan gagal meneruskan perlawanan atas faktor alasan keselamatan sebagai tidak kukuh.

Ketika ditanya mengenai surat pertuduhan yang dibalas oleh PBNJ, Taufek menegaskan: "Saya belum baca lagi surat pertuduhan tersebut, mungkin esok (hari ini) saya akan semak."

Ismail kecewa prestasi pemain import

Posted:

Ismail kecewa prestasi pemain import

Ismail kecewa prestasi pemain import


MENSAH (kiri) bakal dilepaskan oleh Sime Darby jika terus gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.


JURULATIH Sime Darby, Ismail Zakaria bagaikan sudah tidak berminat lagi untuk 'menyimpan' khidmat dua tonggak import, Wisdom Agblexo dan William Mensah.

Ismail dilaporkan cukup kecewa dengan prestasi dua pemain kelahiran Ghana itu yang gagal mempamerkan prestasi cemerlang.

Musim ini, Agblexo masih gagal untuk menjaringkan gol bersama The Giant Killer manakala prestasi Mensah yang dipertanggungjawabkan mengawal benteng pertahanan tidak begitu memberangsangkan.

Sime Darby kekal di tangga tercorot Liga Super yang menyaksikan mereka sekadar memperoleh tiga gol dan dibolosi sembilan gol dalam enam perlawanan setakat ini.

Justeru, Ismail menuntut sentuhan terbaik Agblexo dan Mensah menjelang pertemuan menentang Perak pada Sabtu ini.

Jelasnya, beliau yang turut mengakui sedang memantau beberapa pemain baharu, tidak teragak-agak untuk melepaskan kedua-dua pemain import tersebut jika masih beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar.

"Saya boleh katakan pertemuan menentang Perak adalah peluang terakhir mereka untuk membuktikan prestasi masing-masing.

"Saya tawar hati dengan persembahan mereka. Sehingga (aksi keenam liga) setakat ini, mereka masih gagal membuktikan keupayaan sebenar.

"Jika mereka gagal mempamerkan sesuatu, saya terpaksa mencari alternatif lain (pemain import baharu) pada jendela perpindahan pemain pada April depan," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail mengakui skuad kendaliannya tidak akan mengambil mudah terhadap cabaran Perak nanti.

"Keupayaan Sime Darby dan Perak adalah seimbang tetapi kami akan berusaha untuk menang," katanya.

ATM sedia bedil lawan

Posted:

ATM sedia bedil lawan

ATM sedia bedil lawan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

'EPISOD' duka skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mencatatkan kekalahan 1-4 di tangan Pahang pada aksi Liga Super masih lagi dirasai jurulatihnya, B. Sathianathan (gambar).

Selepas dimalukan pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lalu, Sathianathan enggan lagi menyaksikan episod duka itu berulang apabila turun menlayan kunjungan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Sabtu ini.

Apa yang pasti, Sathianathan sedang merencanakan strategi terbaik dalam usaha memburu tiga mata pada perlawanan itu nanti, sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga.

Lebih tepat, bekas pengendali Kelantan itu mahukan anak-anak buahnya menjadikan pertemuan menentang skuad kendalian Mehmet Durakovic sebagai medan kebangkitan selepas mengalami kekalahan besar kepada Tok Gajah.

"ATM mengambil masa tiga tahun untuk membina pasukan ini, kami tidak akan sesekali menyerah kalah.

"Saya akui, prestasi ATM pada aksi menentang Pahang bukan taring sebenar kami. kami boleh beraksi lebih baik daripada itu.

"Saya berharap pertemuan menentang Selangor akan menjadi titik kebangkitan buat anak-anak buah saya. ATM sudah tidak rela lagi keciciran mata.

"Jika kami gagal untuk berbuat demikian, ia pasti menyulitkan usaha ATM untuk menduduki kelompok tiga teratas Liga Super musim ini," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

The Gladiators dilihat memiliki sedikit kelebihan daripada segi faktor rehat memandangkan Selangor telah bermain di pentas Piala AFC menentang Maziya Sports & Recreation, kelmarin.

Selaku wakil Malaysia yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika menentang pasukan dari Maldives itu, menyaksikan Selangor sekadar seri 1-1 dalam saingan Kumpulan F di Stadium National, Male.

Begitupun, Sathianathan tidak menganggap kelebihan itu ada pada pasukan bimbingannya memandangkan semua pasukan memiliki kelebihan tersendiri.

"Harus diingat bahawa Selangor juga mendapat rehat selepas aksi mereka menentang Terengganu ditunda.

"Saya sendiri tidak nampak bahawa faktor rehat itu memihak kepada ATM sebaliknya kami mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata berharga," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved