Khamis, 13 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Remy, Maya baiki diri

Posted:

Remy, Maya baiki diri

Remy, Maya baiki diri

BIDANG lakonan bukanlah satu cabang seni yang bergerak secara mendatar. Melaluinya, setiap bakat yang diketengahkan menerusi tenaga dan aura penampilan seorang pelakon perlu melepasi beberapa fasa sehingga ia mencapai satu tahap yang mampu untuk dibanggakan.

Tidak terlalu klise, bakat yang yang kerap diasah melalui platform filem atau drama mampu melahirkan pelakon-pelakon yang bukan sahaja berkualiti, malah mampu untuk menggalas sebarang tanggungjawab yang diberikan.

Bagi pelakon Remy Ishak, 32, walaupun sudah lapan tahun menceburkan diri dalam bidang lakonan, dia masih terus ingin memperbaiki mutu lakonannya di samping meneliti kekurangan yang ada pada dirinya.

Utamakan filem

"Walaupun sudah agak lama berada dalam industri lakonan, tetapi masih banyak yang perlu saya belajar dan perbaiki. Terutama dari segi pemilihan watak menerusi drama mahupun filem," ujar Remy.

Ditebak mengenai prioritinya dalam bidang lakonan, Remy berkata, dia kini lebih selektif dan mengutamakan tawaran filem berbanding drama.

"Saya akui lebih mengutamakan tawaran filem berbanding drama. Tetapi, ini tidak bermaksud saya mengabaikan tawaran-tawaran lain.

"Tidak semua watak dalam filem yang ditawarkan kepada saya bagus. Kadangkala, watak-watak dalam drama yang berbajet rendah juga turut mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon. Semuanya bergantung pada watak itu sendiri," ujarnya yang bakal muncul dengan filem terbaharu lakonannya bersama Maya Karin dan Bront Palarae, Sejoli yang diarahkan oleh Osman Ali.

Abang

Ketika ditebak mengenai kekerapan pengarah filem itu memilih dirinya sebagai pelakon, jelas Remy, dia bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Osman Ali untuk berlakon di bawah arahan pengarah berkaliber itu.

MAYA tetap tegas dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan identiti kekasih baharunya buat masa ini.


"Osman Ali merupakan individu yang bertanggungjawab membawa saya mengenali dunia lakonan. Saya sangat selesa bekerja dengannya dan sudah menganggapnya sebagai seorang abang.

"Walaupun hubungan kami agak rapat, namun, apabila berada di lokasi, dia merupakan seorang pengarah yang berwibawa dan tahu apa yang dia mahukan," ujar Remy lagi.

Klausa itu disokong oleh Maya. Sukar untuk menolak 'lamaran' daripada sutradara terkenal itu memandangkan kebanyakan karakter yang ditawarkan menarik hati.

"Tidak pernah saya rasa dilayan seperti anak emas Osman Ali. Cuma apa yang boleh saya katakan, saya bertuah untuk dapat bekerja dengan beliau.

"Setiap kali tawaran dibuka, pasti wataknya sangat menarik, sehinggakan tidak sanggup saya tolak. Malah, gandingan saya pun selalunya ada keserasian yang kuat," tambahnya yang bakal tampil menerusi filem psiko-thriller berjudul Juanita bersama Cristina Suzanne tidak lama lagi.

Tahun produktif

Sementara itu, Maya Karin atau pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke melihat tahun 2014 adalah masa terbaik untuk dia mengisi penuh kalendarnya.

"Saya ada terbaca satu artikel yang mengatakan bahawa 2014 merupakan tahun terbaik untuk sesiapa yang dilahirkan pada tahun (yang diwakili lambang haiwan) kambing. Mungkin akan ada banyak kerja tahun ini dan kekal aktif lagi dua tiga tahun selepas ini. Tapi jelas sekali 2014 bukan tahun untuk (saya) berkahwin.

"Benar barangkali saya seorang yang suka sibukkan diri dan terlalu memikirkan soal kerja dalam jangka masa panjang tapi saya tahu di mana untuk berhenti sama ada bercuti atau mencari inspirasi," katanya yang berhajat untuk ke Afrika Selatan sekali lagi.

Ditanya adakah Maya bercadang untuk mengambil anak angkat memandangkan usianya pada tahun ini sudah mencecah 35 tahun, ujarnya, perkara itu pernah terlintas dalam benak fikirannya sebelum ini.

MAYA yang mengakui teman lelakinya yang jauh di mata sebaliknya bersimpati dengan teman wanita Remy ekoran mereka berdua sering digosip menjalinkan hubungan cinta.


"Pernahlah juga terlintas dalam fikiran untuk mengambil anak angkat tapi komitmen itu tinggi. Namun, saya tidak boleh sewenang-wenangnya ambil anak angkat tetapi misalnya hanya mampu berjumpa dua kali seminggu.

"Tidak lagi buat masa sekarang takut saya sendiri yang tidak mampu nanti," jelasnya.

Sejoli

Sementara itu, bercakap tentang pembabitan mereka dalam Sejoli yang bakal ditayangkan pada 20 Februari ini, Remy yang memegang watak sebagai Hardy berharap, karakter nakal yang dipersembahkannya melalui filem ini dapat diterima oleh para penonton.

"Watak Hardy tidak terlalu serius kerana karakter yang perlu saya mainkan banyak berteraskan komedi. Ia lebih santai dan berbeza dengan watak yang pernah saya pegang sebelum ini," ujarnya yang percaya dengan kekuatan barisan pelakon lain filem itu.

Sebagai Gina, Maya menyifatkan Sejoli sebuah naskhah yang mudah untuk diterima oleh penonton.

Katanya: "Gina merupakan seorang gadis yang cukup kelakar dan sering cuai dalam apa jua hal yang dilakukannya.

"Selain itu, kerjasama yang diterima daripada Remy dan Bront cukup memuaskan. Saya begitu teruja dapat bekerjasama dengan mereka," ujar Maya.

Sleeq & Friends tidak tiru Hotel Mania - Khalid

Posted:

Sleeq & Friends tidak tiru Hotel Mania - Khalid

Sleeq & Friends tidak tiru Hotel Mania - Khalid

Oleh IZWAN MOHD. ISA


SYARIF


KEBANJIRAN bakat dari negara seberang bukanlah sesuatu yang asing dalam industri hiburan tanah air. Kemasukan penyanyi dan pelakon dari negara-negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei dilihat mampu memberikan saingan yang sihat terutamanya dalam kalangan artis-artis tempatan.

Bagaimanapun, tindakan produksi-produksi tempatan memberikan peluang yang lebih kepada artis-artis tersebut dilihat seperti menganaktirikan bakat-bakat yang ada dalam negara sendiri.

Namun bagi pengarah muda, Khalid Nadzri, 28, tindakannya memberikan peluang kepada kumpulan hip hop dari Singapura, Sleeq bagi membintangi siri muzikal Sleeq & Friends yang bersiaran pada pukul 9 malam bermula 24 Januari lalu di saluran TVi (Astro 180), bukanlah satu masalah yang besar.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama muzikal tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ahmad Khalid berkata, tidak salah baginya untuk mengenengahkan kumpulan tersebut sebagai watak utama mokumentari arahannya itu.

Ini kerana, irama hip hop dilihat kembali diterima oleh para peminat Malaysia dan Sleeq yang dianggotai oleh Muhammad Alif Abdullah (Alyph) dan Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) juga ada pengikut yang tersendiri. Ikuti temu bual selanjutnya.

KHALID NAZRI mempunyai alasan tersendiri kenapa dia memilih Sleeq untuk projek mokumentari muzikal, Sleeq & Friends.


Kosmo!: Boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai muzikal Sleeq & Friends?

AHMAD KHALID: Siri muzikal ini dipanggil mokumentari kerana jalan cerita yang disampaikan adalah berdasarkan cerita sebenar. Hampir 90 peratus cerita diambil daripada pengalaman Alyph dan Syarif. Siri muzikal 13 episod ini berkisar tentang pengalaman hidup mereka berdua ketika mula-mula berjinak dalam irama hip hop Melayu di Singapura. Lebih istimewa, ia turut diserikan dengan lagu-lagu dendangan Sleeq.

Kenapa memilih untuk mengenengahkan bakat baharu dari Singapura? Apakah bakat di Malaysia tidak cukup baik jika mahu dibandingkan dengan Sleeq?

Bagi saya, tiada isu yang melibatkan pemilihan bakat dalam drama bersiri ini kerana setiap penyanyi mempunyai kelebihan masing-masing. Mereka bermula dari bawah dan mempunyai kisah yang menarik untuk diceritakan sewaktu sebelum bergelar selebriti. Lagipun, irama hip hop berbahasa Melayu sudah kembali diterima peminat muzik tanah air dan mereka mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri.

Anda menyatakan bahawa Sleeq & Friends turut menampilkan lagu-lagu nyanyian Sleeq. Tidak takut jika dibandingkan dengan drama muzikal Hotel Mania yang pernah popular beberapa tahun dahulu?

Sleeq & Friends mengangkat kisah sebenar kumpulan tersebut sebelum mereka bergelar penyanyi dan lagu-lagu yang diselitkan bukanlah lagu-lagu penyanyi lain yang dirakam semula. Lagipun, drama muzikal Hotel Mania yang pernah dihasilkan merupakan fiksyen semata-mata dan berkisar tentang hotel tersebut. Sleeq & Friends dan Hotel Mania merupakan dua garapan yang berbeza.

ALYPH


Apakah cabaran yang dilalui sewaktu proses penggambaran drama bersiri ini?

Penggambaran Sleeq & Friends dilakukan di Malaysia dan Singapura pada bulan Ramadan tahun lalu. Cabaran paling besar sudah semestinya terpaksa berpanas di lokasi dan pada masa yang sama menjalani ibadah puasa. Dalam pada itu, saya terpaksa memberikan tunjuk ajar yang betul kepada mereka terutamanya ketika babak yang memerlukan gerakan tarian.

Apakah kelainan yang ditonjolkan dalam siri ini?

Seperti yang saya kongsikan tadi, ia merupakan sebuah dokumentari yang mengambil latar kisah hidup Alyph dan Syarif selaku anggota Sleeq. Watak Aaron Aziz dan isterinya turut ditampilkan dalam siri ini. Karakter mereka dimainkan oleh pelakon Kazim dan Aida Jebat.

Harapan anda pada siri ini?

Ini merupakan drama muzikal pertama arahan saya. Justeru, banyak yang perlu diperbaiki dalam pengarahan saya pada masa akan datang. Saya perlu memberikan fokus yang lebih dari segi pengurusan masa supaya babak-babak yang diketengahkan dapat berjalan dengan sempurna.

Konsert artis muda Malaysia, Singapura

Posted:

Konsert artis muda Malaysia, Singapura

Konsert artis muda Malaysia, Singapura


PADUAN vokal hebat Dayangku Faezah dan Maya Rahman memukau audiens Konsert Muzika Ekstravaganza.


INISIATIF dua buah stesen televisyen untuk merapatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura telah terhasil menerusi penganjuran Konsert Muzika Ekstravaganza yang menggabungkan semua artis muda dari kedua-dua negara berjiran tersebut.

Konsert yang memasuki kali kelapan penganjurannya itu disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

RTM yang memegang amanah sebagai tuan rumah kepada konsert itu telah mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangan bintang-bintang besar yang pernah mencipta fenomena tersendiri dalam industri seni serantau.

Konsert itu dihoskan oleh gandingan pelakon dan pelawak dari kedua buah negara iaitu deejay Nasional FM, Muaz Mohammed (Malaysia), Huda Ali (Singapura) dan pelawak terkenal, Saiful Apek serta bekas peserta program realiti Raja Lawak, Azrul Zaidi.

Gandingan empat nama yang berbeza generasi ini sememangnya menjadi apabila lawak jenaka yang disampaikan walaupun bersahaja, namun sukses dalam mengundang tawa hadirin yang memenuhi auditorium tersebut.

Persembahan yang memakan masa selama dua jam itu dimulakan dengan persembahan instrumental cello daripada kumpulan Paladin sebagai pembuka tirai, sebelum diikuti oleh persembahan nyanyian daripada barisan artis terkenal kedua buah negara.

Antara artis dari Malaysia yang membuat persembahan pada malam penuh gemilang termasuklah Mawi, Black, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Soo Wincci dan kumpulan Paladin.

Artis Singapura yang membuat persembahan pada malam tersebut pula terdiri daripada Awi Rafael, Aliff Aziz, Sleeq, Maiya Rahman dan Daly Filsuf.


MISHA OMAR dan Awi Rafael berkolaborasi vokal menyampaikan medley lagu-lagu popular penyanyi popular, Anita Sarawak.


Persembahan yang dapat disaksikan pada malam tersebut penuh bertenaga kerana setiap penyanyi yang membuat persembahan diiringi dengan muzik hasil gabungan bersama pemuzik Orkestra RTM dan Singapura.

Keunikan yang dapat disaksikan pada malam tersebut bukan sahaja kerana barisan artis yang ditampilkan tetapi juga persembahan kolaborasi antara artis daripada dua negara.

Antara persembahan yang memukau hadirin adalah medley lagu-lagu popular yang pernah didendangkan oleh ikon Singapura, Anita Sarawak termasuklah Antara Yang Manis, Cintamu Muzik Di Hati dan Akhirnya Kini Pasti yang disampaikan dengan mantap menerusi kolaborasi Awi Rafael dan Misha Omar.

Selain itu, paduan suara antara Dayang Nurfaizah dan Maya Rahman, dua penyanyi yang berbakat besar dan yang mempunyai lontaran vokal yang tinggi ini juga turut menghiburkan hadirin.

Mereka mengalunkan barisan lagu hit daripada penyanyi lagenda Malaysia, Datuk Sheila Majid yang terdiri daripada Sinaran, Aku Cinta Padamu dan Lagenda.

Persembahan penuh gilang- gemilang yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV2 dan Suria yang menandakan kerjasama antara dua buah negara ini diakhiri dengan kesemua penyanyi menyanyikan lagu Sahabat nyanyian asal Najwa latif, Sleeq dan Syam Kamarul.

Antara yang hadir menyaksikan konsert pada malam tersebut ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Sementara antara orang kenamaan dari negara jiran yang hadir termasuklah Menteri Komunikasi dan Penerangan Republik Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, Ong Keng Yong serta Setiausaha tetap Kementerian Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Republik Singapura, AuBeck Kam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved