Rabu, 8 Januari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Keterujaan bersanding buat kali kedua

Posted:

Keterujaan bersanding buat kali kedua

Keterujaan bersanding buat kali kedua

Oleh ZAKI SALLEH

PASANGAN Faizal Arabi dan Nooriyah bertuah kerana diraikan dengan perkahwinan tradisi India Muslim.


PALUAN gendang yang dialun rancak kedengaran bergema di sekitar kawasan Tingkat Sungai Gelugor 8, Sungai Gelugor, Pulau Pinang.

Pemukulnya, iaitu dua pemuda memakai baju potongan ala Punjabi tersenyum sambil kedua-dua tangan mereka rancak memukul belulang gendang dengan bilah rotan kecil.

Beberapa wanita separuh abad menuruti di belakang membawa tujuh dulang yang antaranya berisi sepersalinan pakaian, barang-barang dandanan wanita, kuih-muih, manisan, buah-buahan dan lima biji kelapa yang telah dibuang sabut.

Mata orang ramai pula tertancap kepada seorang lelaki berpakaian kurta, iaitu pakaian tradisional bagi lelaki kaum India lengkap dengan turban yang di hadapannya dihiasi juraian bunga melor.

Dia diarak menaiki seekor kuda yang dihias cantik dengan juraian bunga.

Kemeriahan itu merupakan majlis perkahwinan Faizal Arabi Mohamed Firthouse, 31, seorang pengurus jualan di sebuah bank tempatan di George Town, Pulau Pinang.

Berbeza

Walaupun bergelar pengantin buat kali kedua, majlis tersebut cukup berbeza bagi Faizal Arabi yang disatukan di pentas pelamin bersama isterinya, Nooriyah Mohd. Tvani, 30.

Majlis serba meriah itu dijalankan mengikut adat tradisional masyarakat India Muslim Pulau Pinang sepertimana diamalkan nenek moyang pasangan tersebut kira-kira 200 tahun lalu.

Ianya inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang (JKKN) untuk tujuan dokumentasi bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

JKKN dengan kerjasama Liga Muslim Pulau Pinang (LMPP) menganjurkan majlis tersebut yang merupakan sebahagian daripada Festival Majlis Tradisional Perkahwinan Masyarakat India Muslim Pulau Pinang.


SEGAK menggayakan kurta, pengantin lelaki diarak menggunakan seekor kuda berhias.


Majlis kenduri dijalankan di rumah Julaiha Begum Md. Sultan yang juga Pengerusi Bahagian Wanita LMPP.

"Kami telah berkahwin pada 24 Jun 2011 dan ketika itu hampir 90 peratus majlis perkahwinan kami mengikut cara tradisional India Muslim.

"Bezanya, ketika itu saya menaiki kereta tetapi hari ini saya diarak menaiki kuda," kata Faizal.

Nooriyah yang merupakan pengurus firma undang-undang berkata, beliau begitu gembira kerana dapat melalui majlis perkahwinan buat kali kedua.

"Majlis ini turut dihadiri sahabat handai yang tidak berpeluang menyaksikan majlis persandingan kami dahulu.

"Tetapi majlis kali ini lebih menarik kerana diadakan secara besar-besaran selain mendapat liputan media," ujarnya sambil mengukir senyuman.

Upacara tradisional

Pasangan itu menjalani upacara tradisional seperti merisik, bertunang, akad nikah dan majlis persandingan.

Pengantin perempuan juga menjalani majlis berinai yang diadakan sebelum majlis akad nikah.

Perjalanan majlis itu mengikut susun atur sebenar perkahwinan mempelai masyarakat India Muslim.

Difahamkan, ada antara adat tradisi itu tidak lagi diamalkan dalam kebanyakan majlis perkahwinan masyarakat India Muslim Pulau Pinang selain ada keluarga memilih mengikut adat istiadat perkahwinan orang Melayu.

Perasmian majlis perkahwinan itu disempurnakan Puan Seri Fawziah Begum Mohd. Abu Bakar, isteri bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pulau Pinang, Ong Hui Guan.

Sementara itu, Pengarah JKKN Mohd. Rizal Ismail berkata, majlis perkahwinan itu adalah yang pertama untuk didokumentasikan oleh jabatan itu sebagai persediaan untuk TMM 2014.

"Dokumentari ini akan disimpan sebagai bahan rujukan dan akan disalin ke dalam bentuk video cakera padat digital untuk diberikan kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Ini adalah salah satu tarikan yang unik di Pulau Pinang yang kaya dengan khazanah tradisi masyarakatnya. Selain itu, generasi hari ini juga perlu mengetahui adat resam mereka yang mempunyai makna tersendiri," ujar beliau.

Tropfest berkunjung ke Malaysia

Posted:

Tropfest berkunjung ke Malaysia

Tropfest berkunjung ke Malaysia


PENGANJURAN Tropfest memberi peluang kepada karyawan muda mempamerkan produk-produk mereka dan diadili oleh ahli profesional industri filem.


BUAT julung-julung kalinya, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara dipilih sebagai lokasi festival filem pendek berprestij, Tropfest yang akan diadakan di Georgetown, Pulau Pinang pada 20 hingga 25 Januari 2014.

Edisi Tropfest Asia Tenggara itu disokong oleh Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia dan Malaysia Major Events iaitu sebahagian daripada Malaysia Convention and Exhibition Bureau, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Ia bertujuan untuk memartabatkan Malaysia sebagai pusat serantau dalam usaha mendorong pembangunan industri pembuatan filem dengan menghargai dan mengiktiraf hasil karya para pembuat filem baharu.

"Kami rasa bertuah kerana diberi peluang untuk menganjurkan festival yang berprestij dan menjadi platform untuk mencungkil bakat.

"Pada masa sama, memperlihat dan menyediakan pentas kepada pembuat filem baharu untuk melancarkan kerjaya profesional mereka," kata Pengarah Urusan Tropfest Asia Tenggara, Joe Sidek pada satu kenyataan kepada media.

Beliau menambah, Tropfest Asia Tenggara menerima lebih 180 penyertaan yang ditutup pada Oktober 2013. Ia merupakan karya-karya oleh peserta dari 11 negara serantau seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

"Ini menunjukkan industri filem pendek serantau sedang berkembang pesat dan bersedia untuk bersaing di arena global," katanya.

Setiap tahun Tropfest akan memberikan tema unik kepada peserta, kali ini, Nasi menjadi kriteria utama yang perlu ada dalam setiap karya mereka.

Dalam pada itu, pengarah filem bebas dari Thailand, Apichatpong Weerasethakul dipilih sebagai duta Tropfest Asia Tenggara.

Pemenang akan menerima hadiah berupa pakej lawatan industri selama lima hari ke Los Angeles, Amerika Syarikat tajaan Motion Picture Association dan wang tunai AS$10,000 (RM32,900) sumbangan Tropfest Asia Tenggara.


LEBIH 180 penyertaan diterima pada Tropfest edisi Asia Tenggara. - Gambar hiasan


Segmen baharu

Tropfest Asia Tenggara akan dibuka dengan satu segmen baharu iaitu Pertunjukan Filem yang mempertontonkan pilihan filem mencerminkan pembangunan dan kejayaan industri filem Asia Tenggara. Tayangan itu akan disusuli dengan sesi soal jawab bersama pengarah atau kurator filem.

Satu lagi tambahan dalam festival tahun ini ialah Anugerah Pilihan Penonton yang dikendalikan oleh Viddsee.com, rakan rasmi tayangan dalam talian.

Orang ramai boleh menonton filem Finalis Tropfest Asia Tenggara di saluran khas www.viddsee.com/tropfestsea dan mengundi filem pendek kegemaran mereka. Pemenang keseluruhan akan dipilih berdasarkan undian tertinggi.

Setiap acara festival terbuka secara percuma kepada orang ramai. Ia turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan muzik dan hiburan secara langsung dan kehadiran bintang terkenal.

"Kita mempunyai komuniti kreatif yang sedang berkembang pesat di Asia Tenggara dan berhak mendapat pengiktirafan.

"Kami yakin Tropfest adalah platform yang sesuai untuk memberi peluang kepada para pembuat filem bebas memperlihatkan hasil karya mereka dan melontarkan suara hati mereka," ujar Sidek.

Sidek berkata, jurang antara gergasi hiburan dunia dan Asia semakin kecil apabila lebih ramai pembuat filem Asia berjaya memenangi anugerah dan mencipta nama dalam industri pengiklanan, televisyen, filem dan muzik di peringkat antarabangsa.

"Sebagai tuan rumah Tropfest Asia Tenggara, Malaysia berpeluang untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pusat seni kreatif terbaharu," kata Sidek.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved