Rabu, 8 Januari 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Kehidupan tradisi pukau pelancong

Posted:

Kehidupan tradisi pukau pelancong

Kehidupan tradisi pukau pelancong

Oleh NUR AISHAH AMIN

SUASANA kawasan rumah bot di Allepey, Kochi, India, pagi itu kelihatan tenang. Kelihatan kira-kira 30 rumah bot yang diperbuat daripada jerami terdapat di situ.

Penulis dan sekumpulan wartawan dari Malaysia tertarik melihat keunikan bot tersebut. Apabila melangkah masuk ke 'perut' bot berhiasan sederhana itu, penulis semakin teruja untuk menikmati pelayaran itu.

Bot unik itu mempunyai tiga bilik tidur, berkelajuan 10 kilometer sejam dan pelayaran biasanya memakan masa selama tiga jam. Sepanjang perjalanan pelancong bukan sahaja disajikan keindahan kawasan tersebut malah akan dijamu hidangan makan tengah hari dan minum petang.

Menu yang dihidangkan ala-ala masakan Melayu itu dimasak di dalam rumah bot tersebut oleh seorang tukang masak lelaki.

"Setiap rumah bot ini dilengkapi tiga buah bilik tidur, tandas dan sebuah dapur. Ia dikendalikan oleh tiga orang kru iaitu tukang masak, pemandu bot dan pembantu teknikal.

"Rumah bot ini adalah destinasi wajib kepada mereka yang melancong di India selain monumen Taj Mahal yang terletak di Agra, India," kata Nadakrishnan, 40, tukang masak di rumah bot itu.

Suasana damai

Dia yang berpengalaman memasak di atas bot itu selama 13 tahun berkata, pelayaran rumah bot mampu memberi suasana damai dan romantik kepada penumpang terutamanya pasangan yang berbulan madu.

"Selepas 30 minit rumah bot berlayar, para penumpang akan dihidangkan makan tengah hari seperti ikan bakar, sayur masala dan kari ayam.

"Pelancong juga boleh melihat aktiviti harian penduduk Kochi yang tinggal berhampiran tasik. Mereka melakukan aktiviti seperti menangkap ikan sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri. Kumpulan kanak-kanak bersekolah dan bermain di tepi tasik juga boleh disaksikan pengunjung.

"Mereka tidak terpinggir daripada arus kemodenan, sebaliknya menggunakan peluang tersebut untuk menyara keluarga termasuk terlibat dalam sektor pelancongan," kata Nadakrishnan.

Bercerita mengenai pengalaman memasak, dia mengatakan dirinya amat bertuah kerana melakukan tugas memasak dalam suasana unik.

"Memasak di atas rumah bot tentunya satu pengalaman yang unik. Saya memasak dalam keadaan bot bergerak," ujar lelaki itu sambil membancuh kopi untuk penumpang.


KUMPULAN media Malaysia yang mengunjungi Kochi bergambar bersama penari Katakali.


Hasil laut

Kochi ialah sebuah bandar yang terletak dalam daerah Ernakulam di negeri Kerala, India. Selain rumah bot, Kochi juga cukup kaya dengan makanan laut. Hasil laut merupakan punca pendapatan utama penduduk Kochi.

Kata pemandu pelancong rombongan media ke Kochi yang mesra dipanggil Shine, penduduk di Kochi menggunakan jala besar yang dipasang di tepi laut untuk menangkap ikan.

"Hasil tangkapan dijual kepada pengusaha restoran selain dieksport ke luar negara," katanya.

Kochi mempunyai penduduk seramai 1.3 juta orang dan kebanyakan adalah golongan terpelajar.

Banyak pusat pendidikan dan universiti boleh ditemui di Kochi. Selain itu, sukar untuk melihat pengemis di bandar ini.

"Kehidupan penduduk Kochi adalah sederhana, tetapi kebanyakan mereka golongan terpelajar dan mempunyai pekerjaan. Apa sahaja peluang pekerjaan, mereka akan ambil. Memang susah untuk jumpa orang tua menjadi pengemis di Kochi ini," katanya.

Pusat dobi

Kata-kata Shine itu ternyata benar apabila penulis berkunjung ke sebuah pusat dobi kelihatan golongan warga emas bertungkus-lumus menyara hidup tanpa mengharapkan belas ehsan orang lain.

Di pusat dobi itu, mereka melakukan kerja-kerja mencuci, menjemur dan menggosok pakaian dengan cara tradisional.

Salah seorang pekerja di situ, Kumaresan, 52, berkata, dobi cara tradisional itu masih mendapat sambutan biarpun ada mesin basuh pelbagai jenama di pasaran.

"Kami ada lebih kurang 20 pekerja lelaki dan perempuan melakukan kerja mencuci pakaian secara tradisional. Ia masih mendapat sambutan daripada pelanggan.

"Pelanggan kami terdiri daripada pekerja kilang, pusat perubatan dan hotel-hotel," katanya yang pernah bekerja di Pelabuhan Klang, Selangor pada awal tahun 2000.


KOCHI terkenal dengan rempah-ratus.


Ujarnya, perkhidmatan cuci kain tradisional itu juga dijamin lebih bersih selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Kami mencuci, mengering, menggosok dan melipat. Kami menggosok baju menggunakan seterika arang lama," katanya.

Penulis kagum menyaksikan seorang wanita warga emas yang mampu mengangkat seterika lama yang mempunyai berat lebih tiga kilogram, malah melakukan kerja menggosok pakaian dengan pantas dan cekap. Bahkan pelancong yang mencuba menggosok pakaian mengeluh kerana seterika yang digunakan agak berat.

Tarian Katakali

Kunjungan ke Kochi bagaikan tidak lengkap jika tidak menonton tarian Katakali yang disifatkan sebagai satu persembahan yang memukau mata.

Tarian Katakali dipersembahkan kepada pengunjung setiap hari pada pukul 7 petang. Menariknya, tarian ini bukan sahaja kerana solekan mahupun kostum tetapi maksud di sebalik gerak tari itu sendiri.

Sekitar jam 5 petang, para penari mula disolek oleh seorang juru andam lelaki yang berusia awal 50-an. Solekan itu menjadi perkara wajib dalam tarian tersebut.

Penari Katakali diiringi pemuzik yang menggunakan alat muzik tradisional seperti gendang bulat, kesi, sangkakala, trompet kecil dan gendang kecil dan muzik itu pula seiring dengan tarian skrip dalam tarian tersebut.

"Tarian Katakali ini, satu skrip lakonan tetapi tidak menggunakan percakapan sebaliknya menggunakan mimik muka dalam menyampaikan sesuatu maksud," kata Shine.

Tarian dipersembahkan kepada penonton mengambil masa sekitar dua jam.

Salah seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Richard, 40, mengakui terpesona dengan persembahan tersebut, malah turut serta menari tarian Katakali.

"Muzik yang dialunkan seiring dengan lakonan mereka. Ia sangat menarik dan saya kagum melihat solekan, pakaian, tarian dan persembahan kumpulan ini," katanya.

Selepas tarian, penari Katakali memberi peluang kepada penonton untuk mendekati mereka dan melihat lebih dekat kostum dan solekan yang dipakai semasa tarian.


SEORANG lelaki warga emas menggosok baju seorang pelanggan di sebuah pusat dobi tradisional.


Ayurveda

Kochi juga terkenal dengan perubatan tradisional dengan cara urutan yang dipanggil sebagai Ayurveda. Urutan itu dilakukan individu yang pakar dan dipantau seorang pegawai perubatan.

Urutan itu dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit termasuk batuk, selesema dan demam. Cara urutan Ayurveda sungguh unik. Pesakit dibaringkan dan urutan dilakukan seluruh badan menggunakan minyak yang telah dicampur dengan ubat.

Minyak itu dimasak terlebih dahulu. Suhu minyak yang dilumur pada badan pula sederhana panas memberi ketenangan kepada pesakit.

Usai urutan, pesakit mandi wap sebelum dibenarkan mandi untuk membuang semua minyak di badan. Percayalah urutan Ayuerveda cukup berbeza.

Cabaran Taman Negara Sungai Relau

Posted:

Cabaran Taman Negara Sungai Relau

Cabaran Taman Negara Sungai Relau

Oleh MOHD. NOOR MAT AMIN
rencana@kosmo.com.my


PESERTA-PESERTA program mengambil gambar kenangan selepas melakukan aktiviti di Santuari Ikan Kelah.


EKSPEDISI di Taman Negara, Pahang ternyata menuntut kecergasan mental dan fizikal yang tinggi. Hutan hujan tropika yang terletak di banjaran Titiwangsa itu menyediakan pelbagai medan dan trek bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak.

Kebiasaannya, pendaki gunung melalui Kuala Tahan sebagai pintu masuk utama untuk memulakan pendakian ke puncak Gunung Tahan yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Namun, jarang yang mengetahui laluan alternatif ke Taman Negara melalui Sungai Relau iaitu tujuh kilometer dari pekan Merapoh, Pahang.

Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama Rakan Alam sekitar (RAS) baru-baru ini menganjurkan Program Jejak Mesra RAS Bersama Media 2013 di sekitar Sungai Relau selama tiga hari. Program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan aktiviti yang berkaitan alam sekitar.

Turut serta, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Datuk Abu Hasan Mohd. Isa.

Peserta memulakan perjalanan dari pekarangan bangunan JAS, Presint 4, Putrajaya menuju tempatan penginapan di Kesedar Inn, Gua Musang, Kelantan yang mengambil masa selama tujuh jam.

Kami tidak berpeluang menginap di calet berdekatan Taman Negara Sungai Relau kerana ia masih dalam proses pengubahsuaian dan ditutup kepada umum.

Perjalanan dari Gua Musang ke Merapoh hanya 20 kilometer (km).

Pada sebelah malam, para peserta diberi taklimat mengenai Taman Negara Sungai Relau oleh pegawai taman negara tersebut.

LALUAN sempit di Gua Katak tidak mematahkan semangat para peserta program.


Bersemangat

Keesokan harinya, kesemua peserta kelihatan amat bersemangat untuk memulakan aktiviti. Kami menaiki bas menuju ke pekan Merapoh.

Setibanya di pekan Merapoh, sebanyak lima buah kenderaan pacuan empat roda siap sedia menunggu kami. Petugas program turut menyediakan peralatan seperti topi keselamatan yang dilengkapi lampu suluh kepada semua peserta.

Abu Hasan mengetuai perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju Gua Katak yang merupakan destinasi pertama ekspedisi itu. Jarak gua itu hanya 14km dari pekan Merapoh.

Peserta perlu berjalan sejauh 800 meter sebelum sampai di pintu gua. Jurupandu arah turut memberi taklimat ringkas kepada kami sebelum meneroka gua sempit itu.

Sepanjang perjalanan 200 meter itu, peserta perlu menempuh laluan air sehingga paras perut, merangkak, meniarap dan melalui lubang. Ia ternyata menguji ketahanan fizikal setiap peserta.

Peserta juga dapat melihat banyak katak jinak di kawasan berair di dalam gua itu. Melalui ekspedisi selama sejam itu, peserta berpeluang melihat keindahan alam semula jadi yang masih terjaga sehingga kini.

Ikan kelah

Usai ekspedisi di gua itu, peserta kembali ke pekan Merapoh dengan pakaian yang basah untuk berkonvoi dengan menaiki pacuan empat roda menuju ke Santuari Ikan Kelah di Sungai Juram.

Perjalanan menuju ke Santuari Ikan Kelah mengambil masa selama 45 minit dengan melalui laluan berbukit dan berliku sebelum tiba di kawasan itu.

Peserta berpeluang mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar bersama ikan yang mendapat jolokan Raja Sungai itu dengan bantuan kakitangan Santuari Ikan Kelah.

Menurut kakitangan di situ, ikan kelah amat jinak dan ia akan berkumpul berdekatan pengunjung apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.

Selepas hampir dua jam bersama ikan kelah, semua peserta menikmati bekalan hidangan makan tengah hari sebelum memulakan aktiviti seterusnya.

Para peserta juga diberi peluang menaiki Menara Pandang Bukit Seraya di Bukit Tinggi untuk melihat pemandangan kawasan sekitar.

Kami bergegas ke pekarangan pejabat Taman Negara untuk melakukan aktiviti menaiki tiub merentasi Sungai Relau. Selepas sesi taklimat, peserta bergerak menuju ke hulu sungai sejauh hampir dua km.

Petugas turut memberi tunjuk ajar kepada peserta agar menaiki tiub mengikut arus anak sungai. Ia merupakan pengalaman pertama bagi kebanyakan peserta malah ada antara mereka hampir terlanggar tebing sungai terutamanya ketika melalui kawasan air deras.

Selepas aktiviti itu, semua peserta kembali ke pekan Merapoh dan menaiki bas untuk kembali ke penginapan di Gua Musang untuk beristirehat.

PESERTA sedaya upaya memanjat cenuram setinggi 20 meter yang menguji ketahanan fizikal mereka.


Aktiviti bertali

Pada hari terakhir program itu, para peserta diberi peluang melakukan aktiviti bertali iaitu memanjat tembok, flying fox dan abseiling di Taman Etnobotani.

Aktiviti itu ternyata mencabar ketahanan fizikal peserta terutama ketika memanjat tembok dinding setinggi 20 meter. Dengan bantuan jurulatih berpengalaman, banyak manfaat yang diperoleh peserta melalui aktiviti itu.

Peserta-peserta menghabiskan masa selama lima jam untuk mencuba ketiga-tiga aktiviti itu.

Pujian harus diberikan kepada pihak JAS, RAS dan Taman Negara atas inisiatif penganjuran program itu yang memberi banyak manfaat kepada peserta.

Bagi penganjur usaha tersebut dapat membangkitkan kesedaran kepada orang ramai supaya menghargai keindahan dan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat

di negara ini.

Meneroka alam Kampung Peruas

Posted:

Meneroka alam Kampung Peruas

Meneroka alam Kampung Peruas


KEDAMAIAN dan keindahan Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang menjadi tarikan kepada pelancong.


LENA diulit mimpi dalam alam semula jadi menjadi taruhan Homestay Kampung Peruas bagi menggamit pengunjung bertandang di 14 calet yang terletak Ulu Dong, Raub, Pahang itu.

Kedinginan waktu pagi dan kicauan burung yang merdu pasti menambah keasyikan percutian tersebut.

Tidak ketinggalan keramahan penduduk yang sering menjadi buah mulut pengunjung di kampung ini.

Bahkan pengunjung pasti terpesona dengan hidangan wajib calet berkenaan iaitu pisang wap.

Penyelaras merangkap Koordinator Homestay Kampung Peruas, Amran Husin berkata, Kampung Peruas mempunyai khazanah alam semula jadi yang menarik untuk diterokai.

"Kita mempunyai beberapa pakej yang ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.

"Pakej pertama ialah pakej lawatan sehari berharga RM90 seorang, pakej kedua pula penginapan dua hari satu malam (RM180) dan pakej ketiga ialah penginapan tiga hari dua malam (RM260)," jelasnya ketika ditemui di kampung berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, kesemua pakej tersebut turut merangkumi makanan dan aktiviti.


PENGUNJUNG seronok menikmati kesejukan air sungai di Hutan Lipur Lata Jarum, Hulu Dong, Raub, Pahang.


"Ketiga-tiga pakej itu sesuai untuk kumpulan 20 orang hingga 40 orang dalam satu-satu masa.

"Antara aktiviti yang kami tawarkan ialah melawat sekeliling kampung menggunakan kenderaan khas iaitu Kampung Joy Ride," katanya.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan sendiri bunga Rafflesia yang terletak di kawasan Hutan Lipur Lata Jarum.

Malah, pengunjung juga berpeluang merasai kesejukan dan kesegaran air terjun di situ sama ada untuk berkelah atau mandi-manda bersama keluarga.

Anugerah

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Peruas, Jamaluddin Husin berkata, Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2013 yang diterima pada November tahun lalu sebagai bukti penduduk luar bandar turut berpeluang menjana ekonomi yang mapan.

Katanya, ramai dalam kalangan pelancong teruja dengan keindahan semula jadi yang ditawarkan selain keramahan penduduk di kampung ini.

"Kami menganggap pelancong sebagai saudara kandung sendiri sekali gus membuatkan mereka lebih gembira dan selesa berada di sini.

"Walaupun ada dalam kalangan pelancong asing bertutur dalam bahasa Inggeris, ia tidak menjadi halangan untuk kami meneruskan program.

"Meskipun begitu, berlaku juga kejadian lucu apabila melihat penduduk kampung gigih untuk berturut dalam bahasa Inggeris," katanya.

Jamaluddin berkata, pelaksanaan program inap desa ini juga membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan itu.

"Selepas ini, anak jati di kampung ini tidak perlu lagi ke bandar untuk mencari pekerjaan sebaliknya boleh memulakan kerjaya di sini terutama dalam bidang perniagaan dan pelancongan," jelasnya ringkas.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved