Rabu, 8 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nabila Huda utamakan karier

Posted:

Nabila Huda utamakan karier

Nabila Huda utamakan karier

JIKA boleh diukur kadar kekerapan wajahnya muncul di kaca televisyen tahun lalu, mungkin ramai yang mengandaikan Nabila Huda sebagai pelakon terlebih publisiti.

Bagaimanapun, kekerapan itu dilihat berjalan positif seiring dengan komitmen dan kualiti yang dipersembahkan melalui aksi lakonannya dalam sesebuah produksi.

Sambutan hangat yang diterima melalui drama-drama rantaian seperti Teduhan Kasih, Jodoh Itu Milik Kita, Sangkar, Janji Shirah, Dia Suamiku dan Udin Glamor Balik Kampung sudah cukup untuk membuktikan pelakon berusia 30 tahun itu tidak pernah memandang enteng dengan apa yang dilakukan sepanjang bergelar seorang pelakon.

Terbaharu, Nabila atau lebih mesra disapa Abil muncul dengan sebuah drama bersiri Ariana Rose, sebuah karya yang diadaptasi daripada novel popular hasil tulisan Evelyn Rose.

Tawaran demi tawaran yang diterimanya itu membuatkan wanita ini dilihat sebagai Ratu Drama Melayu masa kini.

Tidak terus mengiyakan gelaran yang diberikan kepadanya itu, Nabila menegaskan, dia menceburi bidang lakonan bukan semata-mata mahu mengejar status ataupun sebarang pengiktirafan dan anugerah. Sebaliknya, penglibatan Nabila dalam bidang seni sejak dia berusia 16 tahun semata-mata kerana cintanya yang mendalam terhadap bidang itu.

Bukan kejar anugerah

"Saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran dalam karier setakat ini. Apa sahaja tawaran yang diterima saya cuba lakukan dengan baik. Jauh sekali mengimpikan anugerah atau sebarang pengiktirafan.

"Bidang lakonan merupakan pilihan utama saya. Setiap kali bangun daripada tidur, saya berasa gembira kerana diberi peluang untuk melakukan sesuatu yang saya suka.

"Jika ditakdirkan tercalon dan menang dalam sesebuah acara anugerah, saya menerima dengan tangan terbuka. Namun, meletakkan sasaran anugerah yang ingin saya kecapi, tidak sama sekali," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Arianna Rose di Sri Pentas TV3, Kuala Lumpur baru-baru ini.

NABILA HUDA masih cemerlang dalam kariernya. Dia kini menjadi rebutan pengarah untuk membintangi naskhah mereka kerana kredibiliti yang ditonjolkan.


Ibu kepada Keisha Laila ini turut memberitahu, apa yang ingin diburunya selama bergelar pelakon ialah peluang melakonkan pelbagai watak yang menuntut permainan emosi dan mampu menyentuh jiwa penonton.

"Saya akui, orang ramai mengenali saya sebagai pelakon yang sering membawakan watak-watak berat. Saya juga turut menjadi pilihan produser untuk memainkan watak-watak bersifat antagonis.

"Namun, itu tidak bermakna saya enggan untuk mencuba karakter yang berlainan dalam drama-drama akan datang. Sebagai contoh, saya bakal hadir dengan drama berbentuk biopik berjudul Saloma.

"Drama itu menuntut lebih banyak permainan emosi berbanding drama-drama biasa yang pernah saya lakonkan," jelasnya lagi.

Bunuh abang

Dalam pada itu, ketika berbicara mengenai wataknya dalam drama bersiri Ariana Rose, karakter Liyana yang didukung Nabila sedikit berbeza dengan watak-watak yang pernah dilakonkan sebelum ini.

"Watak Liyana merupakan watak antagonis dalam Ariana Rose tetapi kehitaman watak ini sedikit berbeza dengan watak-watak antagonis yang saya bawa selama ini," ujarnya yang menyifatkan perkembangan wataknya berubah seiring dengan perjalanan cerita.

Tambah Nabila, watak jahat tidak semestinya statik tanpa sebarang makna. Pelakon yang diberikan tanggungjawab itu perlu bijak mewarnai karakter dengan jiwa yang tersendiri apabila berdepan dengan watak-watak baharu.

"Saya tidak mahu watak jahat yang dipersembahkan tampak klise setiap kali muncul di kaca televisyen. Apa yang penting adalah cara kita mengolah karakter yang diberikan," ujarnya lagi.

Menjadi Saloma

Melanjutkan bicara tentang perjalanan kariernya yang tidak pernah sepi, Nabila saat ditanya tentang kesempatan menjadi Saloma dalam biopik Saloma nyata teruja dengan kepercayaan yang diberi sutradara Melissa Saila itu kepadanya.

Ujarnya, menjayakan watak Saloma merupakan suatu pengalaman yang begitu mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

"Saya diminta untuk hadir pada sesi uji bakat bagi mencari pendukung watak Saloma oleh pengarahnya sendiri iaitu Melissa Saila.

"Ketika itu, saya sungguh terkejut. Namun, Kak Melissa begitu yakin dengan saya dan menggalakkan saya untuk mencuba. Alhamdulillah, tidak berapa lama selepas sesi uji bakat itu berlangsung, saya terpilih untuk membawakan watak tersebut," ujarnya.

MENGAKU hatinya kini telah kembali dimiliki oleh seseorang, Nabila bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut kisah percintaannya.


Nabila turut memberitahu, mendalami karakter seorang biduanita legenda yang wujud sebelum dia dilahirkan sememangnya satu tugas yang sukar.

"Bagi membawa watak Saloma dengan baik, saya perlu belajar cara pembawaan dirinya dengan betul. Cara dia bercakap, berjalan dan menari turut memainkan peranan kepada saya untuk menjiwai karakter tersebut.

"Justeru, saya banyak belajar dengan Sasha, kakak kepada Melissa Saila. Dia pernah tinggal dan membesar sebumbung dengan Saloma. Atas bantuannya, saya sedikit yakin dalam membawakan watak isteri kepada P. Ramlee itu," katanya yang mengguna- kan suara Liza Hanim sebagai suara nyanyian menerusi drama tersebut.

Anak teman hidup

Kehidupannya yang begitu sibuk membuatkan Nabila begitu berkira untuk berenggang dengan anak perempuan kesayangannya, Keisha.

Lebih-lebih lagi apabila dia terpaksa bergilir hak penjagaan dengan bekas suaminya setiap minggu seperti yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.

"Dia sering menangis ketika tiba giliran untuk tinggal bersama ayahnya tetapi saya menasihati Keisha supaya tidak mudah menangis dan berjanji untuk menghabiskan masa bersama pada minggu berikutnya," katanya.

Nabila memberitahu, dia dan Keisha turut berkongsi hobi yang serupa iaitu gemar duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama-sama.

"Jika saya tidak sibuk di lokasi penggambaran, saya lebih suka lepak dengan dengan anak saya. Keisha juga tidak gemar keluar untuk bersiar-siar.

"Pernah pada suatu hari, saya membawanya keluar untuk membeli-belah. Tidak sampai sepuluh minit berada di sana, dia merengek mahu pulang untuk bermain. Jadi, pada hari itu, kami pulang awal dan duduk seharian di rumah," katanya sambil ketawa.

Kalau ingin melamar, ikut syarie - Heliza

Posted:

Kalau ingin melamar, ikut syarie - Heliza

Kalau ingin melamar, ikut syarie - Heliza

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

HELIZA menegaskan, dia seorang yang terbuka dan tidak akan merahsiakan tentang perkahwinannya jika benar dia akan mendirikan rumah tangga kelak.


SUDAH agak lama tidak mendengar cerita mengenai penyanyi jelita, Heliza Helmi, tiba-tiba bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia musim keempat itu dikatakan telah dilamar oleh pencipta lagu dan penyanyi terkenal, Hafiz Hamidun.

Cerita sensasi tersebut timbul berdasarkan kenyataan Hafiz dalam sebuah akhbar semalam tentang desas-desus lamarannya untuk berkahwin dengan seorang penyanyi yang kini merupakan penceramah bebas.

Biarpun tidak menyatakan nama wanita yang dilamarnya itu, namun ramai yang menyangka bahawa individu yang dimaksudkan itu ialah Heliza, berdasarkan maklumat yang dinyatakannya dalam akhbar berkenaan.

Ketika dihubungi Kosmo! semalam, ternyata Heliza sangat terkejut apabila namanya telah dikaitkan memandangkan dia sendiri tidak mengetahui cerita mengenai lamaran yang dibuat.

Kosmo!: Dalam laporan sebuah akhbar semalam, Hafiz Hamidun mendakwa dia telah menyatakan hasratnya untuk memperisterikan seorang penceramah bebas yang juga seorang penyanyi kelahiran sebuah program realiti TV sehingga timbul desas-desus bahawa individu yang dimaksudkan ialah Heliza. Boleh anda komen mengenainya?

HELIZA: Saya tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara ini dan percaya saya bukanlah individu yang dimaksudkan itu. Jadi, agak sukar untuk saya memberikan sebarang komen. Dalam hal ini, saya rasa tindakan yang paling wajar adalah dengan bertanya kepada Hafiz sendiri memandangkan dia yang membuat kenyataan kepada akhbar berkenaan.

Adakah benar Heliza ada menerima lamaran perkahwinan daripada mana-mana lelaki?

Sehingga kini saya masih belum ada menerima sebarang lamaran perkahwinan, termasuk daripada Hafiz. Itu yang membuatkan saya terkejut apabila nama saya tiba-tiba-tiba dikaitkan pula.

Saya melihat perkara ini sebagai satu isu yang besar memandangkan saya masih mempunyai ibu dan bapa. Bagi saya, kalau benar hendak melamar seorang wanita itu perlulah ikut syarie (hukum Islam).

Sejauh mana Heliza mengenali diri Hafiz?

Saya akui mempunyai hubungan dengan Hafiz tetapi tidak lebih daripada sekadar sahabat. Lagipun, kami berdua sentiasa terlibat dengan program atau acara berbentuk keagamaan bersama-sama.

Secara peribadi, adakah Heliza jenis yang berahsia atau akan bersikap terbuka sekiranya akan berkahwin nanti?

Kalau mengikut hukum agama, perkahwinan itu haruslah dihebahkan kepada orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang fitnah. Jadi, saya akan bersikap terbuka mengenainya tetapi ia akan dihebahkan sekiranya saya memang sudah sah akan berkahwin.

PICC padat acara hiburan 2014

Posted:

PICC padat acara hiburan 2014

PICC padat acara hiburan 2014


BARISAN pelawak yang terlibat dalam persembahan GengLawak @PICC (dari kiri), Os, Yus, Tauke, Jihan, Yasin dan Syuk.


KAPASITI penonton yang hadir menyaksikan persembahan Geng Lawak @PICC di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Tahun Baru (31 Disember) lalu, hanya mencecah 1,000 berbanding 3,000 kapasiti tempat duduk yang disediakan.

Bagaimanapun, itu tidak menjadi masalah buat Ketua Pegawai Operasi PICC, Badlishah Ahmad kerana objektif utama yang ingin disampaikan pihaknya tercapai.

"Persembahan Geng Lawak @PICC merupakan eksperimen untuk kita. Memang satu risiko apabila pihak PICC menganjurkan sebuah persembahan berbayar pada malam Tahun Baru. Sedangkan, pada masa yang sama terdapat beberapa konsert percuma turut diadakan.

"Namun, apa yang penting pulangan ke atas aset (ROA) berjaya walaupun pulangan ke atas pelaburan (ROI) tidak seberapa. ROA itu lebih penting sebab orang ramai kini tahu PICC juga menganjurkan acara santai seperti Geng Lawak @PICC.

"Malah bermula tahun 2014, PICC akan mengadakan lebih banyak acara hiburan seperti konsert gabungan artis Indonesia dan Malaysia serta Karnival Pertandingan Magik peringkat junior dan antarabangsa," ungkapnya optimis mengenai perancangan PICC pada masa hadapan.

Malam Tahun Baru lalu menyaksikan buat pertama kalinya PICC mengadakan sebuah majlis hiburan berbentuk komedi dengan membariskan beberapa pelawak terkenal seperti Osama (Os & Isma), Jambu (Yus & Tauke), SYJ (Syuk, Yassin & Jihan), Sabri Yunus, Kuah Jenhan dan KL Street Drummers.

Tiket-tiket persembahan telah dijual pada harga RM85 sehingga RM205 dan biarpun tidak penuh, namun sambutan yang diterima untuk program pertama kali seumpama itu boleh dibanggakan.


SYJ yang pertama kali bergabung teruja kerana dapat terbabit dengan program diadakan buat julung-julung kali tersebut.


Acara yang bermula pada pukul 9.30 malam itu dimulakan dengan persembahan KL Street Drummers. Selepas itu, kumpulan SYJ mengambil alih pentas menghiburkan penonton dengan aksi lawak daripada Syuk, Yasin dan Jihan.

Mereka yang membawakan watak warga Indonesia yang menyambut Tahun Baru di Malaysia, berjaya mencuit hati penonton pada malam itu.

Usai SYJ membuat persembahan, kumpulan Osama pula mengambil alih dengan lawak bersahaja daripada pelawak veteran Os dan juga Isma Aliff.

Masih berbisa, persembahan kumpulan Osama cukup menghiburkan kerana bakat meniru suara penyanyi daripada Isma. Isma juga mempunyai suara yang cukup merdu ketika menyanyi.

Kesimpulannya, persembahan Geng Lawak @PICC cukup menghiburkan kerana pelawak-pelawak mengangkat tema lawak muzikal malam Tahun Baru.

Mengulas lanjut mengenai persembahan Geng Lawak @PICC, kata Badlishah, kemungkinan besar jika mereka mahu menganjurkan program sedemikian lagi pada tahun depan, pihaknya akan mengkaji lebih lanjut mengenai bayaran yang akan dikenakan.

"Kami akui harga tiket yang dikenakan pada malam Tahun Baru itu agak mahal. Sebabnya kami hanya merancang acara ini kira-kira dua minggu.

"Kami akan kaji semula harga bayaran yang akan dikenakan kepada penonton. "Mungkin juga kami akan memanggil lebih ramai pelawak untuk turut serta di masa akan datang," ungkapnya.

Persembahan terbaik

Sementara itu, menurut Yus dari kumpulan Jambu, dia bersyukur dan berterima kasih kepada peminat-peminat kumpulan itu yang sanggup membeli tiket pada harga mahal untuk menyaksikan persembahan mereka.


JAMBU terharu kerana peminat mereka sanggup membeli tiket untuk menyaksikan persembahan berbayar mereka pada malam tersebut.


Sedar hakikat tersebut, Yus mengakui, sanggup memanggil beberapa orang pelakon tambahan bagi menjayakan lawak yang mengangkat tema Tahun Baru itu.

"Saya sedar, ramai penonton yang hadir dalam kalangan peminat-peminat Jambu. Sebabnya, ramai peminat yang memberitahu saya, akan hadir menyaksikan lawak Jambu.

"Disebabkan itu, saya berjanji untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada mereka. Buat pertama kalinya juga kumpulan Jambu menggunakan pelakon tambahan untuk menunjukkan kemeriahan sambutan Tahun Baru," tuturnya yang lega ramai penonton yang terhibur menyaksikan persembahan Jambu pada malam itu.

Syukur kerana dipilih pihak PICC, Yasin daripada kumpulan SYJ pula memberitahu, dia tidak kisah mengenai sambutan jumlah penonton yang hadir asalkan kumpulannya dapat menghiburkan penonton pada malam Tahun Baru itu.

Yasin juga mengakui tidak berasa tertekan memberikan persembahan terbaik pada malam itu kerana tema yang diberikan oleh pihak PICC adalah bebas - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved