Jumaat, 24 Januari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Koleksi tudung serendah RM10

Posted:

Koleksi tudung serendah RM10

Koleksi tudung serendah RM10

PROMOSI 'Big Sale' menawarkan potongan harga setinggi 50 peratus ke atas koleksi tudung Aalia yang terpilih.


SAMBUTAN perayaan di Malaysia sudah sinonim dengan musim beli-belah dalam kalangan rakyat di negara ini. Maka, tidak hairanlah orang ramai berbelanja besar biarpun tidak menyambut perayaan tersebut.

Ini kerana kebanyakan peniaga menawarkan diskaun menarik terhadap barangan jualan mereka. Biarpun sambutan Tahun Baru Cina diraikan oleh masyarakat Cina, namun jenama tudung terkenal, Aalia tidak terkecuali daripada mengadakan jualan potongan harga yang dikenali sebagai Big Sale bagi pelanggan setianya yang beragama Islam.

Pengurus Pemasaran Aalia, Gulati's Eksklusif Sdn. Bhd. (Gulati's), Nor Shahiza Abdullah berkata, jualan tersebut akan berlangsung selama 11 hari bermula semalam hingga 3 Februari ini.

"Ramai bakal pengantin memilih cuti Tahun Baru Cina sebagai tarikh perkahwinan mereka. Maka, ini adalah masa terbaik untuk mereka berbelanja di butik Aalia bagi mendapatkan rekaan menarik pada harga menjimatkan.

"Sebahagian besar koleksi tudung Aalia ditawarkan pada potongan harga sebanyak 50 peratus. Promosi ini melibatkan kesemua 18 cawangan Aalia di seluruh negara," ujarnya ketika ditemui di ibu pejabat Gulati's di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

CORAK paisley kembali menjadi pilihan wanita yang gemar dengan penampilan segar dan ayu.


Rekaan segar

Tambah Nor Shahiza, terdapat koleksi tudung yang dijual serendah RM10 sepanjang tempoh promosi.

"Antara rekaan tudung yang mendapat sambutan menggalakkan ialah Myalesa, Lisa, Qaleesya Umaira, Dya Anggun dan Qayrah Eksklusif," jelasnya.

Menurut beliau, Aalia amat menitikberatkan kualiti fabrik yang digunakan, di samping menampilkan rekaan segar yang seiring dengan fesyen semasa dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Katanya, fabrik yang digunakan merupakan jenis sifon sutera yang diimport dari Itali, Korea dan China.

"Rekaan premium juga boleh digayakan di majlis-majlis kasual atau ketika di pejabat.

"Pelanggan turut berpeluang membeli secara pukal iaitu sekurang-kurangnya 20 pasang tudung bagi mendapatkan penjimatan lebih menguntungkan," katanya. - NADIA SHAIFUL BAHARI

Hukuman anak biar berpadan

Posted:

Hukuman anak biar berpadan

Hukuman anak biar berpadan

KAEDAH merotan sebenarnya bukanlah satu cara terbaik dalam menghukum kesalahan anak-anak.- Gambar hiasan


TIDAK semua perkara yang kita lakukan sesuai dalam apa jua keadaan. Ia bergantung kepada budaya dan norma masyarakat di sesebuah negara.

Itu yang mungkin dapat kita gambarkan dengan apa yang dihadapi oleh pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa Sweden kerana telah memukul anak mereka yang tidak bersolat.

Walaupun amalan untuk menghukum anak tidak bersolat mungkin suatu yang lazim dalam konteks masyarakat Islam secara am, bagaimanapun ia tidak semestinya direstui dalam semua masyarakat. Ini kerana setiap masyarakat mempunyai nilai yang tersendiri dalam melihat atau menangani sesuatu perkara.

Kita juga tidak sewajarnya menyalahkan ibu bapa tadi yang menggunakan pendekatan tersebut dalam mendidik anak-anak mereka kerana ia adalah kaedah yang diajar oleh Islam kepada penganutnya.

Solat adalah perkara wajib yang menjadi tiang agama. Merotan atau menghukum anak-anak yang tidak menjalani ibadah sembahyang perlu dilihat dalam konteks positif.

Walaupun kelihatannya seperti menyakitkan, tetapi sangat jarang ibu bapa mengambil pendekatan agresif terhadap anak-anak mereka. Ia hanya sekadar memukul kerana sayang dan bukannya kerana benci.

Bagaimanapun, masyarakat Barat melihat bentuk hukuman anak-anak dalam perspektif yang berbeza. Kebanyakan negara-negara itu telah mengharamkan hukuman yang dilihatnya menyakitkan.

Namun, ia tidak bermakna bahawa hukuman merotan anak-anak ini dianggap sebagai sesuatu yang paling teruk.

Satu tinjauan yang dilakukan terhadap 1,600 pembaca sebuah akhbar di Perth, Australia pada tahun 2012 mendapati, 80 peratus daripada responden menyokong agar hukuman rotan dikembalikan di sekolah.

Begitu juga yang ditunjukkan dalam satu kaji selidik pada tahun 2011 oleh Times Education Supplement, akhbar sisipan mingguan yang popular di United Kingdom. Daripada sejumlah 2,000 keluarga yang dikaji, 49 peratus daripadanya berpandangan bahawa hukuman yang berat seperti merotan atau memukul patut diperkenalkan semula di sekolah.

Malah, majoriti daripada pembaca mencadangkan agar kanak-kanak sekolah yang melakukan kesalahan ini dihukum dengan cara yang agak tradisional seperti menghalau mereka keluar kelas (89 peratus), dihukum selepas waktu persekolahan (86 peratus) dan menggantung persekolahan (84 peratus).


MENDIDIK anak-anak menunaikan solat perlu dilakukan sejak mereka kecil bagi membentuk keperibadian yang baik.


Mengatasi masalah displin

Merotan juga bukan sesuatu yang teruk dalam mendidik anak-anak. Dalam satu siri eksperimen kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Idaho State University di Amerika Syarikat sekitar tahun 1980-an, ia cuba membandingkan di antara kanak-kanak bermasalah disiplin yang dihukum dengan cara dirotan dan satu lagi kumpulan yang tidak dikenakan tindakan sama.

Kajian juga cuba melihat sama ada anak-anak ini akan patuh dengan 30 siri arahan ibu mereka.

Hasil eksperimen menunjukkan kanak-kanak yang dirotan lebih patuh dengan arahan berbanding dengan mereka yang tidak.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu berhati-hati dengan kaedah merotan anak-anak. Ia mungkin tidak relevan dalam semua bentuk tingkah laku mereka. Anak-anak yang mempunyai perangai yang agak agresif misalnya, tidak boleh mudah diubah sekiranya dirotan.

Daripada 27 kajian yang telah dilakukan, ia menunjukkan bahawa anak-anak yang dirotan ini akan cenderung untuk menjadi lebih agresif berbanding sebelumnya. Ini kerana apabila dihukum dengan cara yang kasar, mereka akan berasa malu, marah dan sedih sekali gus menyebabkan mereka cenderung menjadi lebih agresif.

Memahami psikologi

Persoalan yang timbul, apakah bentuk hukuman yang terbaik bagi mendidik anak-anak? Walaupun semua ibu bapa mempunyai niat yang murni bagi mendisiplinkan anak-anak mereka, pada masa yang sama keperluan memahami psikologi anak-anak ini perlu juga diperhatikan.

Sekiranya setiap kali anak melakukan kesalahan, hukuman yang menyakitkan tidak mengubah perilaku mereka, ada baiknya hukuman yang sama tidak diulangi.

Lantaran itu, dalam psikologi, selain hukuman yang dianggap sebagai bentuk 'peneguhan negatif', ibu bapa juga sewajarnya lebih memfokuskan kepada 'peneguhan positif'.

Contohnya, jika anak-anak ini menyempurnakan solat sebanyak lima kali sehari atau menyiapkan kerja sekolah seperti yang ditetapkan, mereka wajar diberikan penghargaan berupa ganjaran atau pujian.

Ia boleh diberikan dengan cara memberikan mereka 'markah terkumpul' yang boleh ditukarkan dengan hadiah tertentu.

Daripada hanya memberikan mereka hukuman yang menyakitkan bagi setiap kesalahan, adalah lebih baik memberikan mereka ganjaran sekiranya melakukan sesuatu yang kita harapkan.

Semua ini pada akhirnya bertujuan untuk membentuk nilai mulia dalam diri mereka. Kita, sebagai ibu bapa atau guru sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada anak-anak kita.

Kempen makan secara sihat MBG

Posted:

Kempen makan secara sihat MBG

Kempen makan secara sihat MBG


CHEF YEE (tengah) bersama Pengurus Pemasaran MBG, Thomas Lee (kanan) dan Eksekutif Pemasaran MBG, Jess Tee ketika melancarkan kempen MBG Golden Ho7se Bonanza baru-baru ini.


MERAIKAN Tahun Baru 2014 pasti menyeronokkan dengan menikmati pelbagai sajian enak. Namun, di sebalik keterujaan ini, jangan lupa untuk menjaga diet anda kerana makan secara berlebihan boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan diri.

Malah, baru-baru ini Malaysia dilaporkan menduduki senarai teratas masalah obesiti dan diabetes di Asia Tenggara dan tempat ke-6 di rantau Asia Pasifik. Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, terdapat kira-kira tiga juta rakyat negara ini yang obes dan bilangannya semakin meningkat.

Justeru, kata-kata hikmat 'mencegah lebih baik daripada mengubati' dan 'biarkan makanan menjadi penawar' memberi inspirasi kepada Money Back Guarantee Fruits Sdn. Bhd. (MBG) untuk melancarkan kempen MBG Golden Ho7se Bonanza.

Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee berkata, ini merupakan masa sempurna untuk memikirkan tentang makanan sihat dan menjadikan buah-buahan dan sayuran sebagai asas dalam setiap resipi.

"Buah-buahan adalah makanan serba guna dan amat sihat. Ia boleh disesuaikan dengan apa jua jenis sajian termasuk dalam resipi tradisional Tahun Baru Cina.

"Makanan dan kudapan suatu perayaan seperti kuih bakul, serunding daging, kuih badam dan nasi pulut memang sukar untuk ditolak apabila kita menghadiri rumah terbuka, tetapi semua makanan ini mengandungi banyak lemak dan memberi kesan buruk kepada kesihatan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Oleh itu, tambah beliau, kita perlu bijak memilih dan makan dengan sederhana. Lebih baik lagi, menggantikan makanan tertentu dengan buah-buahan untuk menjadikannya hidangan musim perayaan yang lebih sihat.

Menurut Adnan, kempen MBG Golden Ho7se Bonanza ini telah berlangsung sejak 6 Januari lalu dan akan berakhir pada 9 Februari ini.


BUAH-BUAHAN segar boleh digunakan untuk menghasilkan resipi yang lebih sihat dan berkhasiat.


Diet buah-buahan

Program ini merupakan kempen makan secara sihat untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengambil buah-buahan sebagai sebahagian daripada diet mereka.

"Tema kempen ini mengandungi huruf 'r' terbalik untuk menunjukkan jumlah nombor 2014 dan menggambarkan kedudukan kuda dalam kitaran kalendar Cina. MBG juga berharap angka 7 yang melambangkan tuah dalam adat resam Cina akan membawa kemakmuran, kesihatan dan segala kebaikan kepada rakyat Malaysia.

"Sempena musim perayaan ini juga, pastikan anda makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayuran dan buah-buahan setiap hari. Buah-buahan ini sebaiknya diambil sebelum makan untuk memastikan kita tidak makan secara berlebihan. Namun jika diambil selepas makan, ia akan membantu proses penghadaman," nasihat beliau.

Tambahnya, gunakan kreativiti anda untuk menggunakan buah-buahan ini sebagai bahan masakan atau sekurang-kurangnya sebagai pencuci mulut.

Menurut Chef Christopher Yee dari Restoran Perancis Top Shelf, rakyat Malaysia boleh menerapkan penggunaan buah-buahan segar dalam sajian kegemaran sempena Tahun Baru Cina.

"Kita hanya memerlukan sedikit kreativiti dan sedikit keupayaan untuk bermain dengan rasa, tekstur dan warna buah-buahan untuk menambah kelazatan dan persembahan sajian," katanya yang telah menyediakan beberapa resipi istimewa bersama MBG.

Pada masa yang sama, MBG turut menganjurkan promosi buah-buahan di semua cawangannya. Pelanggan hanya perlu menjawab satu soalan mudah tentang resipi Chef Yee untuk merebut peluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti peranti terkini dan bakul buah-buahan MBG.

Orang ramai juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan MBG untuk membawa pulang resipi Chef Yee pada penanda buku sebagai kenangan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved