Jumaat, 24 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Emosi, diva dan duit Misha

Posted:

Emosi, diva dan duit Misha

Emosi, diva dan duit Misha

SENGAJA figura ini diminta hadir pada sesi pemotretan dalam keadaan polos. 'Bogel' tanpa sebarang solekan dan menyarung pakaian yang selesa, yang menjadi pakaiannya sehari-harian.

Tidak menolak, ditemani kakak kesayangannya yang banyak menjadi tulang belakang karier dan kehidupannya, Mimie, Misha Omar hadir ke lokasi dalam hujan renyai tanpa bertanya tujuan atau mempersoalkan mengapa dia perlu hadir 'bogel' tanpa sebarang solekan.

Begitulah Misha, sejak dulu, sejak 12 tahun lalu, tidak pernah banyak kerenah. Kecuali, prinsip wanita berusia 32 tahun ini, jangan meminta dia menyarung busana seksi, skirt pendek atau sesuatu yang terlalu menjolok mata. Cukuplah sekadar sedap di pandang mata dan tidak menimbulkan rasa menyampah pada semua orang.

Walau memenuhi permintaan Kosmo!, namun ada gejolak sugul pada bola matanya. Senyumnya diukir ikhlas tapi tidak semanis gula yang selalu menggugah rasa. Ia sekadar satu senyuman yang jauh dibalut luka.

Kami mengambil masa yang lama untuk memulakan bicara. Pertamanya, tidak tahu mahu bermula di mana. Keduanya, bimbang persoalan yang disua akan membuka luka di jiwa.

Hampir enam bulan memperlahankan rentak kerjaya kerana berhadapan dengan masalah kesihatan dua ahli keluarga terdekatnya, momentum kesedihan ditutup dengan pemergian bapa tercinta.

Ya, setiap insan akan kehilangan, kerana kematian itu satu janji. Begitu yang terjadi kepada Misha apabila bapanya, Omar Ismail, meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 75 tahun, 30 November lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan sekitar pukul 5.31 pagi.

"Ia merupakan enam bulan yang panjang dan sangat meletihkan. Sehingga akhir Disember 2013, baru saya rasa ia berakhir.

"'Tsunami' ini datang tanpa diduga. Memang saya tak bersedia sama sekali dengan setiap dugaan yang datang. Bagaimanapun, saya terima semuanya dengan reda," begitu Misha membuka bicara.

Sebelum bapanya diserang sakit jantung dan kemudian dipanggil Ilahi, salah seorang adiknya, Syazlin Syahira, 18, pula yang merupakan seorang penghidap autisme dan tidak boleh berdikari, jatuh sakit.

Didignosis sebagai pesakit paru-paru berair, sempat rusuk kirinya ditebuk dan ditahan tiga minggu di hospital, kata Misha, hal itu sahaja sudah meluruhkan perasaannya.

"Kami adik-beradik perempuan sangat rapat. Melihat Lin sakit membuat hati saya berkecai dan saya kata pada diri sendiri saya mahu menggantikan tempat dia kerana tidak tahan melihat dia sakit," katanya.


MISHA mahu meminta maaf kepada para peminatnya jika ada yang berkecil hati kerana teguran atau sapaan mereka pernah tidak diendahkan olehnya sepanjang enam bulan lalu.


Sebaik Lin pulih, mereka pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman, Kota Bharu, Kelantan dan di sana, dia pula jatuh sakit sehingga 'hilang' suara akibat terlalu tertekan.

Malah, ujarnya pada Aidilfitri tersebut juga, kakaknya Mimie seperti sudah dapat 'membaca' tentang jangka hayat bapanya.

Cerita Misha: "Mimie cakap dia lihat abah nampak sangat uzur. Jadi, raya tahun itu dia belikan abah pakaian serba lengkap termasuk tali pinggang dan melayan abah lebih daripada biasa.

"Beberapa hari kemudian, abah kena serangan jantung dan sejak itu rumah pertama kami semua ialah hospital. Selepas beberapa minggu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, abah minta pulang ke kampung.

"Dia mahu duduk di rumah sendiri, namun oleh kerana tahap kesihatannya merosot, dia ditahan di HUSM.

"Selepas 45 hari ditahan, abah akhirnya pergi, 10 minit sebelum Subuh dan saya tidak sempat berada di sisinya kerana dalam perjalanan ke hospital," ceritanya panjang lebar.

Sejak pemergian bapanya, Misha mengakui emosinya lebih jauh jatuh merudum. Dia tidak mahu bertemu orang, tidak keluar bekerja kecuali yang membabitkan perjanjian yang telah dipersetujui. Malah, dia banyak mengasingkan diri.

Mujur ibunya menjadi manusia yang mendorong dirinya membuang segala rasa terpuruk itu.

"Hubungan saya dengan abah sudah macam kawan dan mengimbas bagaimana dia merupakan orang yang menentang saya menjadi penyanyi kerana meminta saya sekurangnya memperoleh ijazah tetapi akhirnya dia juga yang menjadi penyokong paling tegar membuatkan saya rasa begitu kehilangan.

"Namun, mak menasihati saya, kata- nya sesiapa pun akan kehilangan dan rasa hilang memang tidak boleh lupa. Bagaimanapun, ingatlah bahawa dia ada di setiap darah kita dan nama pun saya kongsi dengan dia, bila rasa hilang, sedekahkan Al-Fatihah.

"Sebagai yang masih hidup, saya perlu teruskan perjalanan masa depan dan tanggungjawab sosial terhadap kerja saya," katanya sebak.

Meminjam semangat ibu dan keluarga serta peminat yang sentiasa menyokongnya, kata Misha, dia bangkit.

Kedatangan 2014, dengan penambahan usia 32 tahun pada 6 Januari lalu memberi dia semangat baharu untuk kembali aktif.

Kini, jadual kerjanya kembali padat dan dia kembali mengisi permintaan- permintaan pihak yang memerlukan khidmatnya sebagai anak seni.

Hanya katanya, buat masa terdekat, dia menolak untuk berlakon dan telah melepaskan dua tawaran yang dihulur pengarah Rashid Sibir serta Rina Khan kerana sedar bahawa emosinya masih belum sepenuhnya stabil.


MISHA berani tampil tanpa solekan kerana percaya peminat menerimanya bukan kerana kosmetik tetapi bakatnya.


Misha dulu

Sengaja mengendurkan emosi luka, mengajak wanita yang bicaranya selalu tersusun ini dek kerana hobi membaca melihat tahun pertama pembabitannya sebagai penyanyi, Misha ketawa lucu.

Sementelah, topik yang dibuka menyentuh tentang imejnya dan pembawaan diri untuk berada selesa di dalam bidang seni.

"Dulu, masa mahu jadi penyanyi, saya rasa perlu tampil menyenangkan semua orang. Bersolek dan memilik pakaian yang 'wow' itu perlu. Namun, sebagai budak kampung memang gagal tentang penampilan, semua yang saya pakai atau kenakan memang kelihatan canggung.

"Jadi akhirnya, apa yang saya jual ialah kekuatan vokal saya dan lagu hebat ciptaan Adnan Abu Hassan, Bunga-Bunga Cinta," katanya.

Hanya berbekalkan Bunga-Bunga Cinta, bertebaran magis lagu tersebut. Nama Misha menjadi harum di seluruh negara, menang beberapa anugerah dan single-single nyanyiannya selepas itu seperti Ku Seru atau Pulangkan menambah sukses lagi pada kariernya.

Seiring harum namanya, Misha sempat juga diserang beberapa berita negatif, termasuk diletak dalam sindrom diva apabila mempunyai penata bunyi dan mikrofon sendiri.

Ketawa apabila dikatakan diva, Mi-sha menyimpulkan ringkas: "Sebagai seorang penyanyi dan dibayar mahal, saya mahu memberikan yang terbaik untuk semua klien atau peminat saya.

"Saya mampu untuk membayar penata bunyi dan mempunyai mikrofon sendiri untuk karier saya, mengapa tidak saya lakukan? Ia tentang pilihan masing-masing dan saya memilih sebegitu untuk memastikan kualiti saya terjaga. Bukan untuk berlagak diva."

Disogok pula tentang kekurangannya muncul di kaca televisyen atau media, dia mengambil pendekatan seumpama itu untuk memberi nilai eksklusif dirinya sebagai seorang anak seni yang mahu bertahan untuk tempoh masa yang panjang.

Katanya, dia bimbang jika terlalu mengambil semua peluang yang datang, tarikh luput dirinya sebagai anak seni akan pantas berakhir.

"Jadi, saya kira biarlah mungkin saya jarang dilihat orang tetapi realitinya, saya masih ada dan dipanggil menyanyi," katanya bersyukur.

Duit

Skeptikal tentang dunia hiburan, hidup seseorang anak seni itu mewah. Mengaku pernah terjebak dan cuba untuk hidup mewah, akhirnya kata penyanyi bersuara lunak merdu itu, dia kembali kepada realiti, hidup sebagai orang biasa.


KESAYANGAN... Misha bersama kereta Perodua Kancil miliknya yang dibeli lebih 10 tahun lalu. Dia mengaku tidak malu memandu kereta tersebut sehingga sekarang.


"Saya kira, selepas insiden saya ditipu dengan pelaburan duit yang menghanguskan ratusan ribu duit saya dan pernah berteman dengan lelaki kaya yang setiap gerak geri diperhati dan kemahuan menjadi wanita biasa dinafikan, saya muhasabah diri.

"Hidup bukan sekadar untuk kaya atau mewah. Hidup adalah tentang bagaimana saya menikmatinya walau dengan sekecil apapun rezeki yang saya peroleh. Apa yang penting saya bersyukur," katanya membuat kesimpulan tentang 'raja manusia' pada hari ini iaitu duit.

Pasti kahwin

Dua kali menangguhkan pernikahannya dengan Firos Ezzwa Rossly yang telah menjadi tunangnya sejak 21 Februari 2012, kata Misha, jodoh mereka untuk bergelar suami isteri kini semakin hampir.

"Insya-Allah, selepas menangguhkannya dua kali, saya dan Firos akan bernikah sebelum pertengahan tahun ini. Saya percaya, walaupun abah tidak sempat menyaksikan kami bersatu, dia telah merestui hubungan kami dan ikhlas menyerahkan saya untuk dijaga Firos sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya yang mengunci mulut untuk menyasarkan tarikh pernikahannya kerana bimbang ia tergelincir lagi daripada rencana mereka berdua.

Yazit mimpi kumbang merayap

Posted:

Yazit mimpi kumbang merayap

Yazit mimpi kumbang merayap

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


YAZIT kini masih aktif bermain muzik bagi meraih semangat untuk meneruskan kehidupannya.


AWAL bulan Disember 2013, timbul khabar angin palsu menyatakan pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmat, 53, telah meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

Bagaimanapun, khabar angin itu telah dinafikan oleh keluarga Yazit dan anggota kumpulan Search dan menegaskan yang Yazit masih hidup.

Yazit yang menghidap masalah buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis sebelum ini menerima rawatan berkala daripada pihak hospital sebelum bertegas untuk mengadakan persembahan di Johor bulan Disember lalu sebelum dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas.

Menceritakan kembali pengalaman sepanjang empat hari koma, Yazit yang ditemui pada wadah Blues Untuk Teman bersama Ramli Sarip di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini turut meluahkan rasa kesal atas penyebaran khabar angin palsu mengenai kematiannya. Ikuti temu bual lanjut.

Kosmo!: Awal bulan Disember lalu kecoh seketika apabila Yazit dikhabarkan telah meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, walhal itu cuma berita palsu. Apakah komen Yazit sendiri?

YAZIT: Saya tidak menyalahkan penyebar khabar angin palsu itu kerana kalau melihat keadaan saya ketika itu dengan wayar yang berselirat, sudah pasti ramai yang beranggapan sebegitu. Mungkin tujuannya lain tapi yang sampai kepada pengetahuan orang, lain dan menjadi salah anggap.

Bagaimanakah situasi sepanjang dirawat di ICU sepanjang tempoh itu?

Saya koma selama empat hari kerana terlebih minum cecair yang diberikan kepada saya untuk merawat penyakit buah pinggang saya ketika itu. Saya jadi lemas dan paru-paru dipenuhi air. Saya bermimpi ada banyak kumbang merayap-rayap pada baju saya tapi apabila cuba ditangkap semuanya lari menyusup ke bawah baju. Saya kejar pun tak dapat. Apabila sedar, saya dapat rasa semua ahli keluarga dan kawan-kawan datang melawat tapi seperti sedang berada di Jepun. Tambahan pula apabila melihat nombor plat kereta yang banyak bermula huruf J di luar hospital.

WAKIL persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez (kanan) hadir melawat Yazitdi sebuah hospital di ibu kota, tahun lalu.


Selepas dirawat akibat koma, bagaimanakah rutin kehidupan harian Yazit?

Saya tidak pernah berputus harapan dan kerana muzik saya menjadi semakin bersemangat. Setiap tiga bulan sekali saya perlu menjalani pemeriksaan di hospital dan setiap hari sebanyak empat kali (setiap enam jam sekali) saya perlu menerima rawatan dialisis. Kalau kata sihat itu tidaklah juga, ada masanya sakit itu datang secara tiba-tiba. Buat masa sekarang saya ada masalah untuk tidur malam dan penyakit lelah kembali menyerang pula.

Selain rawatan di hospital, adakah Yazit menerima rawatan alternatif lain?

Tidak. Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah kerana baru-baru ini saya dipertemukan dengan seorang pakar dari Singapura yang menyarankan saya mengambil ubat yang boleh menjimatkan masa rawatan dialisis saya tapi kosnya mencecah 90,000 dolar Singapura (RM233,835). Ubat itu akan memudahkan saya daripada rawatan empat kali sehari selama empat jam setiap sesi bertukar menjadi sekali sehari selama tiga jam.

Bagaimanakah cara yang dilakukan Yazit untuk mengumpul dana membiayai kos perubatan itu?

Saya mengadakan klinik dram dan dibantu oleh Ramli Sarip menerusi wadah Blues Untuk Teman yang akan menjelajah seluruh Malaysia untuk mengumpulkan dana membantu artis yang memerlukan bantuan.

Yazit kata kini masih terbabit dengan muzik, tidakkah itu akan menjejaskan kembali kesihatan anda?

Itu adalah terapi buat saya. Apabila terlibat dengan muzik saya dapat melupakan kesakitan seketika dan melalaikan. Jadi, saya sendiri akan merasa lebih sihat. Biasanya saya akan ke studio melihat kawan-kawan saya berlatih. Doktor pun tidak menegah saya daripada terlibat dengan muzik, memandangkan itu mampu mengurangkan tekanan.

Hikmah di sebalik kejadian yang berlaku?

Saya reda jika ditakdirkan untuk terus diuji dengan penyakit ini sehingga akhir hayat. Alhamdulillah ujian ini telah mendekatkan diri saya dengan Allah, mungkin dulu saya pernah tersasar.

Diana, Mila menyanyi dalam

Posted:

Diana, Mila menyanyi dalam <i>ami Histeria</i>

Diana, Mila menyanyi dalam ami Histeria

DIANA DANIELLE memberitahu yang dia tidak mempunyai masalah untuk menyanyi dalam Kami Histeria kerana memang meminati bidang tersebut.


idea menghasilkan filem seram, komedi, Kami Histeria, diperoleh penulis skripnya, Rafidah Abdullah selepas melakukan penggambaran program 3R (Respek, Relaks, Respon) di sebuah pangsapuri lama berdekatan sebuah hutan beberapa tahun lalu.

"Saya terfikir mahu buat sebuah cerita seram bercampur komedi untuk karya terbaharu selepas mendengar cerita seorang penghuni pangsapuri yang memberitahu rumahnya sering diganggu dengan bunyi-bunyi pelik dan suara mengilai pada waktu malam," ujar Rafidah ketika ditemui pada sidang akhbar filem berkenaan di Cathay Cineplexes Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor.

Mula mencipta watak satu persatu, akhirnya Rafidah mendapat idea menyeluruh untuk menjadikan karyanya itu lebih menarik.

Dia menulis tentang band remaja indie, Histeria yang terdiri daripada Laila (Diana Danielle), Bad (Sara Ali), Peanut (Nad Zainal), Airin (Mila Jirin) dan Jojo (Umie Omar) yang berpindah ke sebuah pangsapuri berdekatan hutan.

Tanpa mereka sedari, ketika merakamkan lagu terbaharu di pangsapuri berkenaan, suara langsuir turut memasuki lagu berkenaan dan membuatkan lagu tersebut diminati ramai selepas dimuat naik di laman YouTube.

Mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan skrip berkenaan kerana kesibukan jadual Rafidah, Pengarah Urusan Red Films, Lina Tan berkata, pihaknya juga telah mengambil masa lebih tiga bulan untuk menyiapkan muzik bagi filem Kami Histeria.

Suara nyanyian Syafinaz

"Kami terpaksa menyiapkan muzik untuk filem ini lebih tiga bulan, malah pelakon-pelakon juga terpaksa menjalani latihan bermain alat muzik," jelasnya.

Selepas filem Songlap, Loque sekali lagi diberi kepercayaan bertindak sebagai pengarah muzik Kami Histeria dan menghasilkan tiga lagu nyanyian Diana Danielle dan Mila berjudul Muzik, Pujaan Hatiku dan Kami Histeria.

MILA membawa watak Airin dalam filem yang menyaksikan dirinya menjadi pemain bass.


Sementara itu, suara nyanyian langsuir yang digunakan dalam filem berkenaan merupakan suara penyanyi soprano, Syafinaz Selamat.

Menelan belanja sebanyak RM2 juta, menurut pengarah Kami Histeria, Shamyl Othman, filem terbitan Red Films, Astro Shaw dan Marna Film itu juga menjalani penggambaran sebulan di sekitar Lembah Klang.

Katanya, semua kesan khas dan muzik mengambil masa selama lebih 10 bulan untuk disiapkan.

Kami Histeria juga merupakan filem pertama arahan Shamyl selepas mengarahkan beberapa projek bawah Red Films seperti Blogger Boy, Waktu Rehat dan Oh My English!-Hello America.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su Lin Pillai memberitahu, Kami Histeria merupakan filem pertama hasil usaha sama Marna Films dan Red Films.

"Red Films bertindak sebagai tenaga produksi bagi menghasilkan Kami Histeria. Pihak Astro Shaw amat berbesar hati dengan hasil kerjasama ini dan produk akhir yang ditunjukkan oleh pihak produksi sangat mengagumkan," tuturnya.

Filem Kami Histeria bakal menemui penonton di seluruh pawagam pada 6 Februari depan. Selain lima pelakon tersebut, Kami Histeria turut dibintangi oleh Afdlin Shauki dan Izzue Islam. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved