Jumaat, 17 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Conti muncul wira Pahang

Posted:

Conti muncul wira Pahang

Conti muncul wira Pahang

Oleh IKHWAN IDERIS
Ikhwan.ideris@kosmo.com.my

CONTI (kiri) menjaringkan gol kemenangan 1-0 Pahang ke atas Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.


JUARA Piala Malaysia musim lalu, Pahang memulakan kempen Liga Super 2014 dengan langkah kanan.

Skuad Tok Gajah memenangi perlawanan Sumbangsih bagi merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan juara Liga Super 2013, Lions XII 1-0 pada aksi pembukaan tirai kempen Liga Malaysia (Liga M) di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Penyerang sensasi skuad Tok Gajah, Matias Ruben Conti menjaringkan gol kemenangan Pahang pada minit ke-57.

Conti turut menjaringkan gol kemenangan 1-0 Pahang ke atas Kelantan pada final Piala Malaysia tahun lalu.

Beraksi di hadapan 35,000 penyokong sendiri, Pahang tampil cemerlang dan melakukan asakan bertali arus di hadapan pintu gol Singapura seawal minit pertama perlawanan.

Penyerang berbisa, Dickson Nwakame berjaya meloloskan diri untuk memasuki kawasan penalti Lions XII, namun hanya mampu membuat tolakan lemah setelah dikepung tiga orang pemain lawan sebelum mudah dibaca penjaga gol, Mohd. Izwan Mahbub.

Kecederaan yang dialami Nwakaeme memaksa jurulatih membuat pertukaran pemain seawal minit ke-14, namun kemasukan penggantinya, Conti tidak menjejaskan serangan Pahang.

Sebaliknya, skuad Tok Gajah terus membuat beberapa percubaan bahaya yang menguji kekebalan pertahanan Lions.

Conti, Zeshan Rahman Damian, Azamudin Mohd. Akil dan Gopinathan memperoleh peluang untuk membuka tirai jaringan, namun kesemua percubaan mereka tersasar atau berjaya diselamatkan Izwan.

Lions XII hanya berpeluang memegang bola sekali-sekala, namun masih berjaya menguji pertahanan Pahang dan penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan dengan serangan balas pantas dan bertentangan dengan arus permainan.

Aksi separuh masa pertama berkesudahan tanpa jaringan dan sebaik sahaja masuk separuh masa kedua, pasukan pelawat mula mendapat rentak serta mempemerkan aksi yang lebih baik.

Bagaimanapun, cubaan Azamuddin pada minit ke-56 gagal ditampan kemas oleh Izwan dan Conti berjaya menyambar bola yang dimuntah di hadapannya untuk menjaringkan gol kemenangan.

Gol tersebut menjadi hadiah terbaik untuk Conti yang menyambut hari jadinya ke-24 semalam.

Jaringan tersebut gagal dipadam Lions XII dan barisan pertahanan Pahang yang diketuai Rehman berjaya mematahkan setiap serangan pasukan pelawat.

Conti memperoleh beberapa peluang keemasan untuk menggandakan jaringan, namun gagal disudahkan penyerang dari Argentina itu.

V Shem-Khim Wah garang

Posted:

V Shem-Khim Wah garang

V Shem-Khim Wah garang

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


KHIM WAH (kiri) dan V-Shem mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan England, Chris Langridge-Peter Mills 21-16, 21-14 semalam.


BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah tidak berdepan masalah untuk mengharungi aksi suku akhir pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014.

Pada aksi di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam, beregu ke-16 dunia itu berjaya mengekalkan konsistensi untuk membawa cabaran tunggal negara dalam aksi beregu lelaki selepas menewaskan pasangan England, Chris Langridge-Peter Mills 21-16, 21-14.

Bagaimanapun, V Shem mengakui, mereka sedikit goyah kerana terlalu fokus dengan setiap serangan yang dilakukan oleh pencabarnya itu.

"Mungkin sebab perlawanan ini tidak terlalu sukar, kami pula terlalu fokus sehingga membuat kesilapan sendiri tetapi kalau dilihat secara keseluruhan, permainan kami pada hari ini (semalam) tidak berkualiti sangat.

"Saya juga tidak menafikan kami berasa tertekan, mungkin kerana tinggal kami sahaja beregu negara tetapi kami tidak mahu menjadikannya alasan kerana sasaran kami sebelum masuk gelanggang tadi adalah untuk menang.

"Saya harap dapat buat lebih baik lagi nanti. Kalau hendak bandingkan dengan perlawanan semalam (kelmarin), yang itu lebih menarik kerana ada saingan. Hari ini lebih mudah sikit," ujar V Shem.

Langridge-Mills pernah membuat kejutan pada pusingan pertama kejohanan apabila menewaskan beregu kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong 18-21, 21-19, 22-20.

Pada aksi separuh akhir hari ini, V Shem-Khim Wah akan bertemu Angga Pratama-Ryan Agung Saputra dari Indonesia yang turut mara selepas menumbangkan pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 22-20, 21-16.

Ditanya mengenai persiapan untuk bertemu beregu ke-11 dunia itu, Khim Wah berharap mereka mampu bermain dengan lebih baik dan konsisten.

"Saya harap dapat lebih bersedia ketika menentang mereka nanti kerana kami pernah menang sebelum ini tetapi pertemuan terakhir kami tewas," tambah Khim Wah.

Pasangan itu turut membuat kejutan pada pusingan pertama apabila menumbangkan beregu ketiga dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen pada Rabu lalu.

Sementara itu, saingan suku akhir menjadi semakin menarik selepas pilihan kedua dari China, Chen Long tersingkir.

Chen Long tumpas kepada pemain Jepun, Kenichi Tago 18-21, 21-9, 10-21.

Bagaimanapun, Chen Long ketika mengulas mengenai kekalahan mengejut itu mengakui tidak berasa sihat ekoran keadaan cuaca di negara ini yang agak panas.

Sebelum ini, Chen Long mengakui, dia terpaksa beraksi dalam keadaan suhu sejuk iaitu ketika menjuarai Terbuka Korea 2014 Ahad lalu di Seoul.

"Saya berasa tidak sihat hari ini (semalam) mungkin demam. Latihan juga tidak cukup. Mengenai prestasi Tago pula, anda rasa bagaimana? Dia juga bagus.

"Bagi saya ia normal, kerana pemain-pemain muda pada kejohanan ini telah mula menunjukkan peningkatan yang baik, ia sekali gus menjadikan kejohanan ini menjadi semakin sengit," ujar Chen Long.

Iran tampil skuad terbaik

Posted:

Iran tampil skuad terbaik

Iran tampil skuad terbaik

Daripada NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


PEMAIN-PEMAIN Iran menjalani latihan seperti biasa menjelang aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Antarabangsa Frenz B-16 2014 menentang Eintracht Frankfurt minggu depan.


YOGJAKARTA, Indonesia - Tiada istilah 'pasukan kedua' buat skuad Bawah 16 Tahun (B-16) Iran sepanjang Kejohanan Bola Sepak Piala Antarabangsa Frenz B-16 2014 kali ini.

Meskipun telah mengesahkan slot ke separuh akhir apabila mengutip sembilan mata maksimum ketika saingan cuma berbaki satu perlawanan, skuad kendalian Mustafa Ghanbarpour enggan memandang mudah kemampuan pasukan lawan.

Sebaliknya, Mustafa bertekad untuk menpertaruhkan pasukan terbaik ketika berdepan Eintracht Frankfurt pada aksi terakhir mereka minggu depan.

"Tiada pasukan kedua. Bagi saya, kesemua pemain yang dibawa ke kejohanan ini merupakan yang terbaik.

"Jika diikutkan, saya tidak pernah kekal dengan kesebelasan pemain yang sama dalam ketiga-tiga perlawanan sebelum ini.

"Kesemua pemain diberikan peluang yang sama rata untuk beraksi. Jadi, kami akan tampil dengan skuad terbaik ketika berdepan Frankfurt kelak," katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad B-16 Iran mengesahkan slot ke separuh akhir selepas mengatasi kelab Portugal, Sporting Lisbon 3-0 di Stadium Antarabangsa Maguwoharjo, Sleman, Yogjakarta kelmarin.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut skuad B-16 Iran selepas terlebih dahulu mengatasi Chonburi FC (4-0) dan Frenz United Indonesia (3-0).

Bagaimanapun, Mustafa mahu anak-anak buahnya beraksi lebih tenang ketika berdepan Frankfurt bagi mengelak kecederaan.

"Saya juga mahu pemain-pemain memanfaatkan tempoh rehat yang agak panjang ini secukupnya selepas terikat dengan jadual perlawanan yang padat sebelum ini," katanya.

Saingan Kumpulan B kembali bersambung dan membabitkan pertemuan antara Chonburi FC dan Frankfurt, manakala wakil tuan rumah bersama, Frenz United Indonesia berdepan misi hidup dan mati ketika melayan cabaran Sporting Lisbon hari ini.

Kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Agung, Bantul, Yogjakarta.

Sementara itu, Frenz United Malaysia berjaya menewaskan Besiktas J.K 4-1 di Stadium Frenz Janda Baik, Pahang malam tadi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved