Jumaat, 10 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Shaw perintis era Hollywood Timur

Posted:

Shaw perintis era Hollywood Timur

Shaw perintis era Hollywood Timur

SETIAP kali menonton filem-filem klasik arahan dan lakonan Tan Sri P. Ramlee seperti Musang Berjanggut, Tiga Abdul dan Madu Tiga, pasti tontonan bersama seisi keluarga itu dimulai dengan satu lambang SB atau Shaw Brothers. Ia seperti menjadi signatur kepada era kegemilangan filem Melayu kerana kebanyakan produk bersama lambang itu kekal relevan dan masih mendapat sambutan sehingga ke hari ini.

Shaw Brothers milik dua beradik Run Run dan Runme Shaw merupakan antara penggerak awal kepada industri filem Melayu melalui pembukaan Studio Jalan Ampas di Singapura yang melahirkan pelakon-pelakon versatil seperti Datuk Aziz Satar, S. Syamsuddin, Sarimah Ahmad dan ramai lagi.

Tiga hari lalu, industri filem Asia menerima perkhabaran sedih apabila pengasas terakhir Shaw Brothers, Run Run meninggal dunia pada usia 106 tahun di kediamannya. Abangnya, Runme meninggal dunia pada tahun 1985 pada usia 84 tahun.

Namun, legasi adik-beradik Shaw ini terus mekar dan melakar sejarah tersendiri dalam industri filem, bukan sahaja di Tanah Melayu malah di tanah kelahiran mereka menerusi penubuhan stesen televisyen, Televisyen Broadcasts Limited (TVB) di Hong Kong dan beberapa rangkaian syarikat di Singapura dan China seperti panggung wayang, majalah dan taman tema.

Cinta seni

"Dia mencipta era Hollywood Timur menerusi pembinaan studio besar," ujar pakar filem Cina, Prof. Stanley Rosen. Beliau menyatakan Shaw sebagai seorang maharaja seni di Hong Kong.

Merungkai caturan hidup Shaw, beliau merupakan anak bongsu kepada enam orang adik-beradik kelahiran Ningbo, di wilayah Zhejiang, China pada 23 November 1907. Lahir dalam keluarga yang terlibat secara serius dalam industri tekstil tidak menyekat minat Shaw untuk berjinak-jinak dalam dunia hiburan.


SHAW (tengah) diapit oleh isteri dan anak perempuannya ketika menerima anugerah di London pada tahun 1978.


Kecintaan terhadap seni membawa kepada pementasan teater Man From Shensi di atas pentas yang diperbuat daripada papan-papan buruk. Pertunjukan malam pertama sudah membawa cabaran kepada mereka, pelakon utama terjatuh ke dalam lubang akibat papan pentas patah. Insiden drastik itu dianggap sebagai jenaka slapstik yang menghiburkan penonton, maka 'babak' tersebut dikekalkan sehingga ke malam seterusnya.

Kejayaan pementasan itu meyakinkan mereka untuk menghasilkan filem pertama pada tahun 1924. Selepas menerbitkan beberapa buah filem, Shaw dan saudaranya berhijrah ke Singapura pada tahun 1927 berikutan perang antara Parti Kebangsaan dan Komunis.

Di Singapura, mereka menubuhkan syarikat perfileman, Malay Film Productions. Studio milik Shaw Brothers sempat menghasilkan 167 judul filem selain membawa filem-filem luar dari China, Hollywood dan Britain.

Kegemilangan Jalan Ampas beransur malap apabila Tentera Jepun menyerang Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1941 menyebabkan pawagam-pawagam milik Shaw Brothers diletupkan dan merampas peralatan filem di studio.

"Mujur kami ada menanam barang-barang berharga seperti emas, barang kemas dan wang ringgit yang ke semuanya berjumlah lebih $4 juta (RM10 juta) di belakang rumah di Singapura," ujar Shaw dalam satu temu bual media tempatan di Hong Kong.

Dengan dana tersebut, Shaw berpindah ke Hong Kong yang ketika itu menjadi pusat utama pasaran filem-filem Cina. Bagi mengukuhkan namanya, beliau membina Shaw Movietown pada tahun 1961 iaitu sebuah kompleks studio perfileman dan asrama bagi menempatkan para pelakon.

GENRE filem kung fu menjadi fenomena di Asia dan Amerika Syarikat menerusi terbitan Shaw Brothers.


Fenomena di Asia

Perkampungan filem itu dikatakan sebagai studio paling sibuk di dunia yang merangkumi fasiliti seperti 80,000 kostum, 12 pentas audio dan 16 set kekal. Terdapat 1,200 pelakon, pengarah dan kru tinggal dalam kompleks itu.

Kompleks dengan keluasan 18,600 meter persegi itu pernah mendapat kunjungan selebriti-selebriti antarabangsa seperti The Beatles, Rock Hudson dan Peter O'Toole. Ia mampu menghasilkan 50 filem dalam tempoh setahun.

Produk-produk keluaran kompleks tersebut membawa kepada fenomena di seluruh Asia dan dunia melalui filem genre seni pertahanan diri, kung fu. Filem seperti Five Fingers of Death (1973) dikatakan sebagai filem kung fu terhebat, diikuti Man of Iron dan The Shaolin Avengers.

Walaupun mendapat respons kurang memberangsangkan daripada pengkritik filem, kadar tontonan terus meningkat dalam setiap filem. Sambutan menggalakkan itu membuatkan Shaw membuka 200 pawagam baharu di Asia dan Amerika Syarikat.

"Kami sama seperti era kegemilangan Hollywood pada tahun 30-an. Syarikat mempunyai pelakon, produksi, pengedar dan pawagam sendiri," imbas Shaw kepada media antarabangsa ketika hayatnya.

Kerugian paling besar yang mungkin dirasai oleh Shaw ialah apabila beliau gagal menarik pelakon aksi terkenal, Bruce Lee untuk bernaung di bawah syarikatnya. Pada awalnya, pelakon itu menawarkan Run Run kontrak jangka panjang berjumlah $10,000 (RM25,800) untuk sebuah filem. Tetapi, tawaran itu ditolak oleh Shaw Brothers.

Bagaimanapun, tawaran itu akhirnya diterima oleh syarikat Golden Harvest milik bekas kakitangan Shaw, Raymond Chow. Filem Fists of Fury lakonan pertama Bruce Lee di syarikat Chow mendapat sambutan hebat sehingga beberapa nama besar pelakon dan pengarah beralih ke Golden Harvest.

STUDIO Jalan Ampas menyimpan pelbagai cerita suka dan suka seniman filem Melayu era 50-an dan 60-an.


Perubahan itu tidak membuatkan Shaw berputus asa kerana beliau mula memberikan tumpuan kepada cabang baharu iaitu penubuhan TVB pada tahun 1967 dengan menghasilkan drama-drama rantaian dan drama kostum untuk penonton bahasa Cina.

Di TVB, bintang-bintang baharu tercipta antaranya ialah Andy Lau, Stephen Chow dan Chow Yun-fat.

Tidak hanya menabur bakti kepada dunia perfileman, Shaw turut terkenal sebagai dermawan yang dihormati di Hong Kong. Beliau memberikan dana kepada sekolah dan universiti di Hong Kong dan Tanah Besar.

Pada tahun 2012, Shaw memperkenalkan Hadiah Shaw yang memberikan dana AS $1 juta (RM3.28 juta) kepada pengkaji-pengkaji dalam bidang astronomi, sains dan matematik.

Beliau pernah berkahwin dengan warga Malaysia, Lily Shaw dan dikurniakan empat orang anak iaitu Vee-ming, Harold, Violet dan Dorothy. Selepas Lily meninggal dunia pada tahun 1987, Shaw berkahwin semula bersama bekas penyanyi dan pelakon, Mona Fong pada tahun 1997. Ironinya, tiada satu daripada anak-anaknya melibatkan diri dalam dunia perfileman.

Kecintaannya dalam dunia filem terus kekal sehingga ke akhirnya. Segala cita-cita dan harapan semasa hayatnya telah terlaksana dan masih dapat dilihat sehingga kini.

Biar pagar Studio Jalan Ampas tertutup rapat, yang pasti sinarnya tidak kelam ditelan masa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved