Ahad, 8 Disember 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Siapkan novel tiga bulan

Posted:

Siapkan novel tiga bulan

Siapkan novel tiga bulan

NURUL HUSNA (kanan) bergambar bersama barisan penulis novel dari syarikat Love Novel Publication.


MINAT membaca cerita-cerita cinta ketika di bangku sekolah menjadi pendorong utama kepada Nurul Husna Razali, 20, untuk menulis novel berkaitan genre tersebut.

Ia juga ekoran pengaruh rakan-rakan yang gemar membaca buku seumpama itu ketika mereka remaja.

Novel pertama yang dibaca Nurul Husna ialah Ombak Rindu karya Fauziah Ashari pada tahun 2006. Novel itu berjaya menyuntik minatnya untuk meneruskan hobi membaca.

Ketika di bangku sekolah, Nurul Husna menulis cerita-ceritanya di dalam sebuah buku nota ketika waktu lapang.

"Penulisan saya bermula dengan menulis di atas kertas dan dibaca oleh rakan-rakan yang rapat dengan saya. Mereka memberikan komen-komen yang membina terhadap cerita-cerita tersebut.

"Rentetan itu, minat saya terhadap bidang penulisan semakin meningkat dan saya mula mencari idea-idea dan cerita-cerita yang menarik untuk ditulis," katanya.

Menurut penuntut Diploma Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang itu, hobi menulisnya menjadi serius selepas dia mula mempunyai komputer riba sendiri.

Kata Nurul Husna, daripada menulis di atas kertas, karya-karyanya kemudian dipaparkan dalam medium yang lebih terkini dan senang untuk dibaca iaitu blog.

"Kehidupan saya sebagai mahasiswi yang agak sibuk membuatkan saya terpaksa membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran dan hobi," ujarnya.

Gadis bertubuh genit ini turut memberitahu, novel sulungnya yang berjudul Hantu Punya Bos! mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

"Syukur kerana novel ini berjaya disiapkan dalam waktu yang singkat tanpa sebarang masalah yang besar," katanya.

Novel tersebut menerima sambutan yang memberangsangkan dengan memasuki cetakan keempat dan terjual lebih daripada 12,000 buah naskhah sejak diterbitkan pada Ogos lalu.

Ia merupakan satu-satunya karya Nurul Husna yang diterbitkan, manakala selebihnya boleh dibaca menerusi dalam blog http://deknalee.blogspot.com.

Menurut Nurul Husna atau nama penanya Dekna Lee, novel Hantu Punya Bos! tidak hanya berkisar tentang cinta tetapi turut menyelitkan unsur-unsur komedi untuk terus menarik minat pembaca.

Novel itu menceritakan kisah seorang lelaki bernama Arrayyan Zainuddin yang merupakan ketua di sebuah syarikat.

Perwatakannya yang garang dan suka mencari kesalahan orang lain menyebabkan dia kurang disukai oleh masyarakat sekeliling, terutamanya kakitangan syarikat itu sendiri.

Keadaan berubah apabila satu hari dia bertemu dengan seorang gadis bernama Abby yang gemar melatah.

Ini menyebabkan berlakunya beberapa kejadian lucu yang melahirkan bibit-bibit cinta antara kedua-dua watak yang berbeza itu.

Menurut Nurul Husna, karakter-karakter dalam novel berkenaan dipengaruhi oleh individu yang rapat dengannya.

"Watak Arrayyan sebagai seorang majikan yang garang diinspirasikan oleh perwatakan abang ipar saya, manakala nama Abby diilhamkan daripada adik sendiri," katanya.

Kini, gadis ini sedang giat menyiapkan beberapa manuskrip untuk dihantar kepada penerbit.

Sambut Krismas dalam air

Posted:

Sambut Krismas dalam air

Sambut Krismas dalam air

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my


GOLONGAN cilik begitu teruja sewaktu melihat seorang penyelam skuba yang lengkap berpakaian Santa Claus turut sama berenang dengan ribuan hidupan laut di Aquatheatre.


SUASANA di hadapan akuarium gergasi yang menempatkan ratusan jenis ikan dan hidupan laut itu sunyi sepi walaupun hakikatnya ruang tersebut sesak dengan kehadiran pengunjung.

Kesemua pengunjung seolah-olah terpukau melihat keindahan akuarium berkenaan yang direka mirip dasar laut sebenar. Akuarium tersebut menjadi habitat pelbagai jenis ikan yang berbeza saiz, bentuk dan warna.

Bagaimanapun, suasana tenang itu bertukar riuh-rendah dengan sorakan pengunjung, terutamanya kanak-kanak, apabila seorang penyelam skuba berpakaian lengkap seperti Santa Claus tiba-tiba muncul dalam akuarium berkenaan.

"Lazimnya, setiap kali Santa Claus muncul, dia akan dikerumuni kanak-kanak yang inginkan hadiah. Tetapi di sini kita dapat melihat Santa Claus itu dikejar oleh ikan-ikan yang turut inginkan 'hadiah' daripadanya.

"Bukan sahaja kanak-kanak, malah kami yang dewasa ini pun terhibur melihat persembahan tersebut," ujar Amy, 23, seorang pengunjung dari Kanada yang teruja dengan keunikan aktiviti program A Sensetional Christmas di Aquaria KLCC.

Selain melihat si Santa Claus memberi makan kepada ribuan spesies ikan di Aquatheatre, para pengunjung Aquaria KLCC berpeluang untuk mencuba beberapa lagi aktiviti menarik bertemakan perayaan Hari Krismas sehingga 31 Disember ini.


IKAN pari gergasi yang kelihatan begitu jinak sewaktu diberi makan.


Menurut Pengarah Urusan Aquaria KLCC, Datuk Simon Foong, segala aktiviti yang disusun sepanjang tempoh sebulan itu direka bagi menerapkan semangat saling memberi dalam kalangan pengunjung, terutamanya kanak-kanak.

"Sebagai contoh, kanak-kanak akan diberi peluang untuk memberikan makanan kepada empat ekor memerang yang kita dipelihara di sini.

"Bagaimanapun, apa yang berbeza daripada biasa ialah makanan tersebut akan diletakkan di dalam bekas unik yang berbentuk seakan-akan 'kotak hadiah' yang sering digunakan sewaktu sambutan Hari Krismas," ujarnya memberitahu segala aktiviti yang dijalankan bertemakan perayaan tersebut.

Keceriaan perayaan

Bagi menyemarakkan lagi tema sambutan Hari Krismas, dekorasi dalaman Aquaria turut mendapat sentuhan baharu dengan warna hijau dan merah yang sinonim dengan perayaan tersebut.

Jika kena pada waktunya, para pengunjung juga bakal disajikan dengan persembahan tarian selamat datang oleh para petugas di Aquaria yang pasti memberikan keceriaan kepada para pengunjung tanpa mengira peringkat usia.


PENGUNJUNG berpeluang untuk menyentuh beberapa spesies hidupan laut di kolam-kolam khas yang disediakan.


Seorang pengunjung cilik, Mohd. Danish Hakim Mohd. Faisal, 10, berkata, dia berasa teruja untuk mengikuti aktiviti yang dijalankan memandangkan dia tidak berpeluang untuk merasainya pada pada dua lawatan yang lalu.

"Kali ini merupakan kali ketiga keluarga saya melawat Aquaria. Setiap kali tiba cuti sekolah, kami akan ke sini memandangkan setiap tahun, ada sahaja aktiviti baharu yang disediakan.

"Saya juga berasa gembira kerana dapat melihat dua maskot Aquaria iaitu ikan jerung yang dikenali sebagai Rocky dan memerang, Okie yang begitu mesra melayan saya dan adik-beradik saya yang lain," ujarnya.

Kepada pengunjung yang datang berkeluarga, Aquaria KLCC turut menyediakan pakej khas bernilai RM108 untuk empat individu iaitu dua tiket dewasa dan dua kanak-kanak.

Aquaria KLCC dibuka setiap hari dari pukul 10.30 pagi hingga 8 malam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved