Isnin, 9 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Aksi Phoon Eyin menakjubkan

Posted:

Aksi Phoon Eyin menakjubkan

Aksi Phoon Eyin menakjubkan

ATLET wusyu negara, Phoon Eyin tampil cemerlang untuk meraih pingat emas dalam acara qiangshu wanita di Sukan SEA 2013Myanmar semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Atlet pelapis negara, Phoon Eyin melakar kejutan pada hari ketiga acara wusyu dipertandingkan di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A semalam.

Meskipun tidak diletakkan sasaran, Phoon Eyin, 17, berjaya menghadiahkan pingat emas ke-1,000 kontinjen Malaysia sejak menyertai temasya Sukan SEA/SEAP pada tahun 1959.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu mengutip 9.67 mata dalam acara qiangshu wanita untuk menewaskan pencabar daripada Vietnam, Duong Thuy Vi (9.59 mata) dan atlet Indonesia, Thalia Lovita Sosrodjojo (9.40 mata).

Kejayaan itu cukup bermakna buat Phoon Eyin yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA selepas merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Wusyu Dunia 2013 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.

"Ini merupakan penampilan pertama saya pada Sukan SEA. Pada awalnya, saya menyertai temasya ini sekadar untuk mencari pengalaman daripada atlet negara lain.

"Saya hanya melakukan yang terbaik dan cuba mengurangkan kesilapan ketika membuat persembahan. Saya langsung tidak tertekan kerana saya tiada sasaran untuk memenangi pingat emas," kata Phoon Eyin yang baharu dua tahun menyertai skuad kebangsaan.

Pada aksi semalam, sasaran pingat emas ke-1,000 kontinjen Malaysia diletakkan kepada juara dunia, Ho Mun Hua, Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuen.

Bagaimanapun, Mun Hua sekadar meraih pingat perak selepas mengutip 9.68 mata dalam acara nandao lelaki, manakala Diana Bong membawa pulang pingat gangsa dalam acara nangun wanita.

Pingat emas dalam acara yang disertai Mun Hua itu dimenangi atlet Myanmar, Aung Wai Phyo (9.69 mata) dan gangsa menjadi milik Pham Quoc Khanh dari Vietnam (9.67 mata), manakala seorang lagi atlet Malaysia, Kevan Cheah Peng Heng sekadar mengutip 9.63 mata).

Diana Bong, 28, pula mengumpul 9.49 mata untuk ketinggalan di belakang dua atlet Indonesia, Juwita Niza Wasni Wasni (9.64 mata) dan Ivana Ardelia Irmanto (9.61 mata), manakala Cheau Xuen di tempat kelima (9.44 mata).

Ng Say Yoke yang mengutip 9.67 mata turut menyubang pingat gangsa dalam acara daoshu lelaki selepas ketinggalan di belakang atlet Indonesia, Achmad Hulaefi (9.70 mata) dan Nguyen Manh Quyen dari Vietnam (9.68 mata).

Satu lagi pingat gangsa diperoleh menerusi Lim Chi Leng yang tewas kepada Wally Divine dari Filipina pada aksi separuh akhir acara wusyu sanshou wanita (48kg) kelmarin.

Ketua jurulatih skuad wusyu negara, Yoong Thong Foong berkata, Mun Hua telah membuat persembahan terbaik, manakala Diana Bong terlupa untuk melakukan satu gerakan.

"Pergerakan Mun Hua sangat baik dan dia tidak melakukan sebarang kesilapan. Dia berhak untuk memenangi pingat emas sekiranya mendapat sokongan penuh daripada juri.

"Diana Bong pula terlupa untuk melakukan satu pergerakan yang menyebabkan juri terpaksa memotong markahnya. Mungkin dia terlalu ghairah untuk membuat persembahan sehingga terlupa untuk melakukan pergerakan itu.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya tetap berpuas hati dengan persembahan atlet negara terutamanya kejutan yang dilakukan Phoon Eyin," katanya.

Selepas tiga hari bertarung, wusyu berjaya mengutip tiga pingat emas, lima (perak) dan lima (gangsa).

Bagaimanapun, jumlah itu akan bertambah sekiranya atlet negara berjaya mengutip beberapa lagi pingat pada hari terakhir acara wusyu dipertandingkan hari ini.

Hari cemerlang di Myanmar

Posted:

Hari cemerlang di Myanmar

Hari cemerlang di Myanmar


SEBAHAGIAN atlet Malaysia meraikan kejayaaan selepas berjaya memenangi pingat emas yang ke-1,000 di sepanjang pembabitan dalamSukan SEA.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad wusyu negara mengotakan janjinya untuk menghadiahkan pingat emas ke-1,000 kepada kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2013.

Pingat emas yang ditunggu-tunggu itu hadir pada saat-saat akhir menerusi atlet pelapis negara, Phoon Eyin yang menjuarai acara qiangshu wanita di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A semalam.

Phoon Eyin, 17, melakar kejutan itu, sekali gus menebus kekecewaan rakan sepasukan, Ho Mun Hua, Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuen yang diletakkan sasaran untuk memenangi pingat tersebut.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu mengutip 9.67 mata untuk menewaskan pencabar daripada Vietnam, Duong Thuy Vi (9.59 mata) dan atlet Indonesia, Thalia Lovita Sosrodjojo (9.40 mata).

Kejayaan itu cukup bermakna buat Phoon Eyin yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA selepas merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Wusyu Dunia 2013 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.

Selain sebutir pingat emas yang dimenangi Phoon Eyin, skuad wusyu negara turut mengutip satu perak dan tiga gangsa, sekali gus menambah koleksi pingat untuk menjadikan keseluruhan tiga pingat emas, lima (perak) dan lima (gangsa).

Mun Hua sekadar meraih pingat perak dalam acara nandao lelaki, Diana Bong membawa pulang pingat gangsa dalam acara nangun wanita, manakala dua lagi pingat gangsa diperoleh menerusi Ng Yoke Say dalam acara daoshu lelaki dan Lim Chi Leng (sanshou wanita).

Dalam acara lain semalam, skuad polo air lelaki negara merekodkan kemenangan pertama selepas menewaskan Myanmar 28-11 pada aksi keempat di di Kolam Renang Zayyat Thiri semalam.

Skuad bimbingan Fan Kow Jan itu tewas 7-18 kepada Singapura, tumpas 3-9 kepada Thailand dan 16-2 ke atas Indonesia pada tiga perlawanan sebelum ini.

Pasukan bola keranjang lelaki negara pula mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Kemboja 73-52 di Stadium Tertutup Zayar Thiri A.

Pada perlawanan pembukaan kelmarin, mereka menewaskan Indonesia 61-53.

Bagaimanapun, skuad bola keranjang wanita gagal menyaingi kehebatan Filipina apabila tewas 59-63 semalam.

Sementara itu, pingat gangsa sudah terjamin buat pesilat negara, Helmi Abd. Aziz selepas berjaya menewaskan JulOmhar dari Filipina 5-0 pada aksi suku akhir kelas B lelaki pada hari pertama saingan di Stadium Tertutup Zeyyer Thiri C semalam.

Seorang lagi pesilat negara, Mohamed Fikry Noh gagal untuk menghadiahkan pingat selepas tewas 0-5 kepada pesilat Indonesia, Awaluddin pada aksi suku akhir kelas A lelaki.

Setakat ini, Malaysia sudah merangkul tiga pingat emas, lima (perak) dan 11 (gangsa).

Hari ini, beberapa lagi acara akan berlangsung iaitu wusyu, tinju, badminton, bola keranjang dan silat.

Prospek pingat emas masih terbuka dan tumpuan pasti terarah kepada atlet wusyu negara terutamanya Mun Hua yang akan beraksi dalam acara nangun lelaki.

'Elak lakukan kesilapan'

Posted:

'Elak lakukan kesilapan'

'Elak lakukan kesilapan'

Daripada NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


KIM SWEE (tiga dari kiri) merancang strategi bagi menghadapi Brunei hari ini ketika sesi latihan Harimau Muda di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw petang semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad bola sepak Brunei bukan lawan sebenar Harimau Muda.

Bagaimanapun, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh memandang rendah kemampuan Brunei apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Zeyer Thiri petang ini.

Memenangi perlawanan pertama sangat penting buat Harimau Muda yang tampil dengan misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2013.

Kemenangan akan menyuntik moral pemain-pemain negara, manakala kekalahan bakal menyukarkan laluan mereka untuk memburu pingat emas hatrik pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu.

Harimau Muda perlu menjadikan aksi menentang Brunei sebagai medan untuk menguji kemampuan sebenar kerana selepas itu mereka perlu berdepan lawan yang lebih sukar iaitu Vietnam, Singapura dan Laos pada aksi peringkat kumpulan.

Skuad negara perlu mengikut jejak langkah Vietnam yang berjaya membelasah Brunei 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B kelmarin.

Meskipun Singapura dan Laos sekadar seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan kedua-dua pasukan tersebut.

Harimau Muda juga perlu mencatat kemenangan besar ke atas Brunei bagi memberikan 'amaran awal' kepada Myanmar dan Thailand yang memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan.

Tuan rumah, Myanmar menewaskan Kemboja 3-0, manakala Thailand menang 3-1 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu memandang rendah keupayaan Brunei dan terlampau yakin bahawa mereka mampu merekodkan kemenangan besar seperti mana yang dilakukan Vietnam.

"Tidak semestinya kami perlu menjaringkan gol yang banyak tetapi kalau kami boleh, kami akan melakukannya. Pada masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

"Kalau kami turun padang dengan sasaran untuk menjaringkan gol yang banyak, saya takut pemain-pemain akan hilang fokus dan tercari-cari gol yang diperlukan.

"Apa yang penting, kami perlu hormati pasukan lawan dan bukan takut kepada mereka. Kami perlu bermain mengikut strategi sendiri," kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Zayyar Thiri petang semalam.

Bagaimanapun, Harimau Muda perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan dalam dua edisi lalu.

Pada aksi di Laos empat tahun lalu, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua di belakang Vietnam.

Harimau Muda menewaskan pasukan tuan rumah 3-1 pada aksi separuh akhir sebelum memerlukan jaringan sendiri pemain Vietnam untuk melakar kemenangan 1-0.

Selain muncul juara dan memenangi gelaran kelima, kejayaan itu turut menamatkan penantian selama 20 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA.

Dua tahun kemudian, Harimau Muda yang dibimbing Kim Swee menamatkan saingan dalam Kumpulan A di depan pasukan tuan rumah, Indonesia.

Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir sebelum mengecewakan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh permainan sebenar.

Bagaimanapun, Harimau Muda memiliki kelebihan pada edisi kali ini.

Selain mempunyai pengalaman menjadi juara sebanyak dua kali berturut-turut, skuad negara juga bakal diperkuatkan dengan tujuh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas di Jakarta dua tahun lalu.

Khidmat penyerang Selangor, A. Thamil Arasu dan enam pemain lain iaitu Mohd. Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol), Izzaq Faris (penyerang), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah), Mohd. Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Mohd. Zubir Mohd. Azmi (pertahanan) dan Mohd. Irfan Fazail (tengah) ditagih merealisasikan misi memburu 'ibu emas' Sukan SEA 2013, sekali gus melakar kemenangan hatrik.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved