Isnin, 9 Disember 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nani mahu jadi lebih lembut

Posted:

Nani mahu jadi lebih lembut

Nani mahu jadi lebih lembut

"TIDAK guna popular jika tidak terlibat dengan kempen yang mampu merubah diri dan orang di sekeliling menuju kebaikan," itu luahan dan ikrar yang dilafaz oleh aktres Sharifah Amani atau mesra disapa Nani dalam menyahut cabaran menyertai kempen Kongsi Kelembutan Bersama jenama tisu, Kleenex.

Terpilih bersama seorang model dan juga pengacara Deborah Priya Henry, kempen yang telah berlangsung pada 20 November 2013 sehingga 15 Januari 2014 itu dianjurkan Kleenex dengan tujuan mencapai 5,000 ikrar.

Usai ikrar diperoleh, sumbangan berupa wang tunai RM10,000 akan disalurkan Kleenex kepada kanak-kanak Sekolah Fugee, sebuah pertubuhan amal yang memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak pelarian.

Bukan sekadar sumbangan, Kleenex juga mahu seluruh penghuni Malaysia mempraktikkan sifat kelembutan dalam kehidupan dan sesama sendiri.

Luahan dan ikrar daripada Nani juga bukan omongan kosong sebaliknya, akui Nani, dia komited untuk menunaikan janji tersebut.

"Orang masih lupa. Masih lantang bersuara dan memberi komen tanpa berfikir perasaan orang lain dan keluarganya. Walaupun semasa kecil kita diajar cara-cara beradab, tetapi orang mudah lupa.

"Begitu juga saya. Dahulu saya akui berangan menjadi seperti Miley Cyrus dan Britney Spears. Keji semua orang, tetapi sekarang saya mahu jadi lebih lembut. Disebabkan itu saya terima untuk sertai kempen ini," ungkap Nani yang pernah mencetuskan kontroversi satu ketika dahulu apabila mengeluarkan kenyataan 'It will sound stupid, if I speak Malay' dalam sebuah acara anugerah.

Memang Nani terkenal dengan kelantangannya dalam bersuara namun pelakon filem Kolumpo itu akui dia kini mula berubah.

Belajar daripada nenek

Semangat untuk berubah itu juga, kata Nani, diperoleh daripada neneknya, Rohani Abdullah atau nama sebenarnya, Tan Mui Gee, 79.

SEIRING usia 27 tahun, Sharifah Amani atau Nani sedar bahawa mengkritik terlalu keras bukan cara yang mampu menyelesaikan sesuatu masalah.


"Nenek seorang bekas jururawat wanita yang kuat dan tegas di luar, tetapi ada kelembutan dalam dirinya. Saya belajar sifat tersebut daripada nenek. Harap boleh jadi seperti dia," ujarnya yang menjadikan neneknya sebagai idola untuk berubah menjadi lebih baik.

Berkongsi lanjut, ungkap Nani, minggu lalu dia ada membawa keluarga termasuk neneknya menonton malam prebiu filem lakonan terbaharunya berjudul Kolumpo.

Kegembiraan yang tidak dapat dizahirkan apabila neneknya akui menyukai lakonan dalam filem yang mengangkat tiga cerita itu.

"Dia (nenek) peluk saya dan cakap good job. Dia suka tengok filem Kolumpo dan lakonan saya. Sebenarnya seronok bila dapat komen daripada dia. Sebabnya, dia bukan orang seni. Jadi, bila kita dapat pandangan orang yang bukan dalam bidang seni, ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan.

"Cara pendekatan dia berbeza seperti mana yang saya pernah kongsikan dengan ibu dan Leya (Sharifah Aleya)," kongsi Nani yang menyimpan impian untuk menghasilkan filem berkisar tentang neneknya.

Pasangan

Sebelum ini Nani pernah kecewa dengan sikap Lembaga Penapis Filem (LPF) dan berasakan LPF bersikap berat sebelah apabila memberi klasifikasi 18PL terhadap filem lakonannya iaitu Psiko Pencuri Hati.


DARI kiri: Woon Yee, Deborah dan Nani teruja menjalankan kempen ikrar kelembutan Kleenex.


Ia dilihat secara tidak langsung mengehadkan jumlah penonton dan menjadikan filem itu kurang mendapat sambutan berbanding filem lain.

Namun, Nani tidak berpatah arang untuk bersama rakan-rakannya seperti Bront Palarae, Namron, Rozi Izma dan Sheikh Munasar dalam menghasilkan filem.

"Kami sedar ada peminat untuk filem indie disebabkan itu kami tidak putus asa buat filem seperti itu. Macam filem Kolumpo, mereka (Bront, Rozi dan Sheikh) berani membuat pinjaman, tubuh syarikat dan hasilkan filem tersebut. Sebenarnya rasa macam tak logik bila rakan seperti Bront boleh mengarah filem. Tetapi saya gembira dengan fakta tersebut," ulasnya.

Tambahnya lagi, memang ada sikap berat sebelah dalam industri filem.

"Memang saya akui banyak filem yang keluar tetapi yang merisaukan saya adalah dari segi kualiti filem tersebut. Kuantiti yang banyak perlu diseimbangkan juga dengan kualiti," luah Nani lagi.

Sedar kelantangannya dalam bersuara membidas LPF di dalam laman sosial sebelum ini tidak mendatangkan kesan, ujar Nani, apa yang boleh dilakukannya adalah terus menghasilkan filem berkualiti.

"Tak guna sebenarnya mengamuk. Baik saya dan rakan-rakan hasilkan filem dan tarik perhatian penonton perlahan-lahan," ujarnya.

Memasuki usia 27 tahun juga tidak membuatkan Nani tergerak hati mencari pasangan. Sebab, katanya, perempuan sepertinya tidak menjadikan lelaki sebagai keutamaan untuk menyempurnakan hidupnya.

"Saya tidak perlu cari. Jodoh yang ditetapkan Allah untuk saya akan sampai juga suatu hari nanti.

"Biar saya fokus pada menghasilkan skrip dan filem dulu," ungkapnya lanjut.

Cinta pandang pertama Icona Pop

Posted:

Cinta pandang pertama Icona Pop

Cinta pandang pertama Icona Pop

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


BERASAL dari Sweden, Icona Pop gembira kerana mereka kini tidak hanya terkenal di negara kelahiran, sebaliknya dikenali seluruh dunia.


DUO yang diberi nama Icona Pop ini dianggotai oleh dua wanita Caroline Hjelt and Aino Jawo. Menariknya, mereka tidak pernah menyangka akan menjadi fenomena dan dikenali di serata dunia.

Penglibatan mereka dalam industri juga merupakan satu momen yang terjadi secara kebetulan.

Tidak dinafikan, single pertama mereka yang berjudul I Love It dan yang terbaharu Girlfriends sering menjadi siulan peminat muzik dan dari situ, nama Icona Pop juga meniti di bibir peminat selain menantikan persembahan mereka.

Mula melibatkan diri dalam bidang muzik sebagai sepasang duo, bicara dua wanita tinggi lampai ini, tidak sangka pertemuan di dalam kelab beberapa tahun lalu, membuatkan mereka mengecapi 'dunia' yang diperoleh kini.

"Pada tahun 2009 kami telah bertemu di dalam sebuah kelab di Sweeden. Dari situ kami berkenalan dan terus berbicara tentang menjadi sebuah kumpulan duo. Ia kedengaran seperti mudah, bertemu dan membina sebuah kumpulan.

"Mungkin ya, kerana pada saat bertemu, kami cepat mesra dan serasi. Kami mula bersembang dan kami rasa perlu lakukan sesuatu bersama. Selepas itu, kami mula menulis sebuah lirik dan menulis tentang kehidupan daripada pengalaman kami," ungkap Aino panjang lebar tentang detik pertemuan dan penubuhan Icona Pop pada sidang akhbar mengenai single mereka di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur baru-baru ini.

ICONA POP kini hangat dengan single terkini mereka, Girlfriends.


Tambahnya lagi, penyatuan mereka seperti cinta pandang pertama. Ketika bersama tidak kiralah ketika bekerja mahupun di luar waktu bekerja, mereka rasa selesa dan gembira membuatkan apa yang ingin dilakukan. Malah, hampir tidak berhadapan dengan masalah sepanjang bekerjasama.

Sementara itu, bercerita tentang kewujudan nama Icona Pop itu sendiri, cerita Aino, nama tersebut hadir secara kebetulan daripada ibu Caroline.

"Sebenarnya nama tersebut kami dapat daripada ibu Caroline. Ceritanya, dia sedang menikmati makan malam bersama rakannya dari Itali, dan mereka sedang bercakap tentang kami. Secara tiba-tiba muncul soalan yang berbunyi adakah kami akan menjadi ikon pop yang seterusnya?

"Dalam bahasa Itali ia dipanggil Icona Pop. Memang kebetulan juga, kami sedang mencari nama untuk duo kami. Sejujurnya, kami rasa memang sukar untuk mencari nama yang sesuai dengan kami," tutur Aino dan Caroline sama-sama menjawab soalan yang diajukan pihak media itu.

Parti

Bercakap tentang kehidupan mereka, dua wanita yang berasal dari Sweeden itu mengaku mereka gemar berparti. Kata Caroline, itu merupakan antara sebab mereka mampu mengekalkan stamina.

"Kami sebenarnya gemar berparti dan menari. Itu sebenarnya merupakan salah satu perkara yang membolehkan kami mengekalkan stamina.

"Bagaimanapun, bukanlah hari-hari kami berparti. Ada masa tertentu dan kami juga menyusun jadual untuk memberi kelancaran dalam kehidupan seharian. Selain itu, kami mengamalkan pemakanan yang sihat untuk kekal cergas," tutur mereka yang juga gemar dengan cuaca dan masyarakat di Malaysia.

Pengalaman empat tahun dalam industri muzik banyak memberi mereka momen menarik untuk diabadikan. Tambahan pula, setelah menempa populariti, mereka sering diundang untuk mengadakan persembahan di beberapa buah negara.


CAROLINE HJELT and Aino Jawo tidak sangka menjadi popular selepas menubuhkan duo dengan nama Icona Pop pada tahun 2009.


Ketika diajukan persoalan tentang pengalaman berharga yang dikutip sepanjang bergelar penyanyi, tutur Aino dan Caroline berkongsi cerita, persembahan sulung di Paris sekitar empat tahun lalu merupakan ingatan yang paling indah berlaku dalam perjalanan karier mereka setakat ini.

"Kami rasa pengalaman paling berharga ialah ketika pertama kali mengadakan persembahan di luar Sweeden. Ketika itu kami di Paris, dan kami teruja kerana ada orang yang menaja kami untuk ke sana. Ia sebenarnya satu momen yang sangat indah.

"Bukan itu sahaja, setiap hari juga merupakan pengalaman yang berharga buat kami dan bertuah kerana mempunyai peminat yang menyokong Icona Pop sehingga kami dapat pergi ke serata dunia," akhiri duo Icona Pop yang teruja ingin kembali ke Malaysia pada masa akan datang.

Konsert percuma Versus Jam

Posted:

Konsert percuma Versus Jam

Konsert percuma Versus Jam


SEBAHAGIAN pemuzik yang akan terlibat dengan Versus Jam pada 21 Disember ini di Setia City Park, bergambar kenangan selepas majlis sidang akhbar baru-baru ini.


SELAMA dua musim program Versus berlangsung, program realiti TV9 itu membawa satu perspektif baharu dalam dunia seni tanah air.

Band tempatan yang diasak dengan tekanan kreativiti jelas membuktikan bahawa mereka mampu mencetuskan evolusi muzik yang lebih segar dan bijak.

Menyaksikan band Hujan menjadi juara musim pertama dan Menifesto pada musim kedua, Versus merupakan salah satu program realiti yang menjadi tumpuan.

Atas dasar itu, Hot FM sekali lagi berkolaborasi dengan TV9 bagi membawakan konsert yang diberi nama Versus Jam, sempena dengan kolaborasi Versus dan Hot FM pada 21 Disember ini di Setia City Park.

Konsert Versus Jam itu akan menampilkan lima buah band dari Versus musim pertama dan kedua seperti Manifesto, Kristal, Kyoto Protocol, Oh Chentaku dan Hujan.

Lebih menarik, tiga artis popular tanah air iaitu band Hyper Act, Awi Rafael dan ratu rock tanah air, Ella turut menghangatkan pentas.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd. Tahrim, pembabitan tiga nama popular itu dibuat kerana ingin memberi satu kelainan kepada konsert tersebut.

"Walaupun Ella, Hyperact dan Awi Rafael bukan artis Versus, tetapi mereka juga kena lakukan elemen-elemen seperti Versus dalam lagu yang akan dinyanyikan pada malam itu.


OH CHENTAKU bersedia menghiburkan peminat dengan muzik segar mereka.


"Saya sangat berbesar hati apabila Ella bersetuju untuk terlibat dalam konsert ini. Begitu juga Awi dan Hyper Act yang terkenal dengan lagu-lagu mereka," ujar Anida ketika ditemui pada majlis tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Konsert yang diadakan secara percuma itu akan menampilkan gabungan Ella bersama Manifesto, Kristal dan Hyper Act serta Oh Chentaku berpadu dengan Awi Rafael.

Menampilkan pengacara Aidid Marcello dan Hunny Madu, jelas Anida lagi, konsert tersebut juga diadakan bagi memberi penghargaan kepada peminat-peminat Versus selama ini.

"Versus Jam bakal menjadi satu penanda aras dan inspirasi kepada band yang baru memulakan tapak mereka di dalam industri tanah air.

"Konsert ini menjanjikan satu kelainan dari segi muzik untuk dinikmati bersama dan kami yakin kelima-lima band ini sudah bersedia untuk menghangatkan pentas Versus Jam dengan kehebatan masing-masing," ungkapnya.


MANIFESTO teruja untuk kembali beraksi bersama dalam konsert Versus Jam.


Sementara itu, Tomok yang menerajui band Manifesto dalam Versus menganggap, kolaborasi bersama Ella di pentas Versus Jam nanti merupakan perhormatan kepada mereka.

Tutur Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail lagi, selain konsert tersebut Manifesto juga baru mengeluarkan single bertajuk Jiwa Besi berserta klip video single tersebut.

"Insya-Allah pertengahan tahun depan album penuh Manifesto yang menampilkan tiga lagu dalam Versus akan keluar di pasaran. Antara lagu-lagu tersebut adalah Ombak Rindu, Biar Putih Tulang dan Titian Perjalanan," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai klip video Jiwa Besi, ia akan menampilkan pelakon popular Yana Samsudin.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Versus Jam 21 Disember ini pukul 8.30 malam di Setia City Park.

Bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang dan terlepas untuk menonton secara langsung konsert ini, TV9 akan menyiarkan konsert itu pada 31 Disember selama dua jam sebagai penutup tirai tahun 2013.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved