Jumaat, 13 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Hazwan tampil dengan hatrik

Posted:

Hazwan tampil dengan hatrik

Hazwan tampil dengan hatrik

HAZWAN (tiga dari kanan) tampil cemerlang untuk membantu Harimau Muda membelasah Laos 4-1 pada aksi kedua acara bola sepak Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar semalam.


NAY PYI TAW - Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri meledakkan hatrik untuk membantu Harimau Muda membelasah Loas 4-1 dalam acara bola sepak Sukan SEA 2013 di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Ahmad Hazwan, 22, yang tidak diturunkan ketika Harimau Muda mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brunei pada aksi pertama Kumpulan A, Selasa lalu membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Kemenangan itu meletakkan skuad negara di landasan tepat untuk mara ke separuh akhir, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Indonesia dua tahun lalu.

"Para pemain beraksi lebih baik pada babak kedua. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kami berjaya mengutip tiga mata penuh.

"Selepas menjaringkan gol pertama, pemain-pemain sedikit leka dan gol penyamaan hasil jaringan sendiri menyebabkan pemain negara berada dalam situasi sedikit tertekan.

"Namun, keadaan kembali baik dan mengikut perancangan pada babak kedua.

"Sistem penggiliran pemain memberikan kesan yang positif dan ini adalah satu perlawanan yang baik," kata Kim Swee.

Kim Swee berkata, Ahmad Hazwan memiliki kelebihan tersendiri terutamanya tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang di depan mata.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua pemain perlu bersedia untuk beraksi kerana kami mempunyai banyak perlawanan. Kami mahu menurunkan pemain yang masih segar. Dia (Ahmad Hazwan) beraksi cemerlang pada perlawanan ini dan saya perlu memikirkan semula sistem penggiliran ini," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Kim Swee mengotakan janjinya untuk melakukan sedikit perubahan taktikal dengan menyenaraikan lima muka baharu termasuk Ahmad Hazwan berbanding pada aksi menentang Brunei lalu.

Ahmad Hazwan meletakkan Harimau Muda di depan seawal minit keenam menerusi satu rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Laos, Seng Athit Somvang.

Bagaimanapun, kelekaan anak-anak buah Kim Swee dihukum dengan gol penyamaan Laos.

Pemain pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), K. Reuben tertanduk masuk bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Laos yang diambil Sauk Aphone Vongchiengkham pada minit ke-40.

Aksi pada babak kedua lebih rancak terutamanya selepas Kim Swee membawa masuk arkitek muda PKNS FC, Muhammad Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan S. Shanmugam.

Ahmad Hazwan kembali meletakkan Harimau Muda di depan pada minit ke-59 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-87, manakala satu lagi gol diperoleh menerusi jaringan sendiri pemain Laos, Ketsada Souksavanh pada minit ke-79.

Harimau Muda yang menewaskan Brunei 2-0 pada aksi pembukaan Selasa lalu akan bertemu Singapura esok sebelum menghadapi perlawanan terakhir kumpulan menentang Vietnam (17 Disember).

Sepak takraw mengecewakan

Posted:

Sepak takraw mengecewakan

Sepak takraw mengecewakan


PRESTASI pemain sepak takraw negara pada Sukan SEA 2013 tidak mencapai tahap yang diinginkan.


NAY PTI TAW, Myanmar - Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Jamaluddin Hassan tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya selepas Malaysia mencatat keputusan yang memalukan pada Sukan SEA 2013.

Selepas skuad wanita dibelasah 0-3 dalam ketiga-tiga perlawanan menentang Thailand, Myanmar dan Indonesia, semalam giliran skuad lelaki pula merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam acara berpasukan.

Skuad lelaki yang tewas 0-3 kepada Thailand dan 1-2 dalam dua perlawanan pertama sebelum ini tumpas 1-2 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir di Stadium Tertutup Wunna Theikdi B semalam.

Kekalahan itu merupakan yang terburuk dalam sejarah, sekali gus meleburkan impian Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara berpasukan sejak 22 tahun lalu.

"Saya bertanggungjawab di atas kekalahan ini. Saya kena terima dan akur dengan kelemahan yang ada pada skuad negara. Ini sahaja yang termampu saya lakukan.

"Saya rasa cukup setakat ini. Saya tidak cakap saya akan meletak jawatan tetapi terpulanglah kepada pihak pengurusan.

"Saya tidak menyalahkan para pemain tetapi kami telah melakukan segala-galanya. Ini sahaja pemain yang kami ada. Saya tidak mempunyai banyak pilihan," kata Jamaluddin yang kembali membimbing skuad negara pada 2011.

Jamaluddin berkata, beliau menyahut cabaran untuk memikul tanggungjawab yang besar bagi membentuk skuad yang mantap meskipun menyedari barisan pemain sedia ada masih muda dan kurang berpengalaman.

Bagaimanapun, Jamaluddin tidak menafikan bahawa kekalahan skuad negara berpunca daripada persembahan di bawah tahap sebenar yang dipamerkan para pemain ketika berada dalam gelanggang.

"Apa yang saya nampak, pemain-pemain negara tidak beraksi dengan baik ketika berada dalam gelanggang. Kami sudah bagi segala ilmu dan kini terpulanglah kepada mereka untuk melakukannya," katanya.

Pada aksi terakhir acara berpasukan lelaki semalam, regu pertama negara yang diketuai Mohd. Syareenqamar Salehan, Mohd. Hanafiah Dolah dan Noor Azman Abdul Hamid tewas 21-10, 21-17 dan 8-21.

Regu kedua yang menampilkan Fahran Adam, Norshahruddin Md. Ghani dan Sahidan Md. Ali pula tumpas 23-21 dan 21-12.

Meskipun regu ketiga yang dibarisi Mohd. Muqlis Borhan, Mohd. Kamal Alfiza Shafie dan Izurin Refin bangkit untuk menewaskan Indonesia 21-17, 21-8, ia sudah terlambat dan tidak memberikan sebarang makna.

Meskipun skuad lelaki dan wanita negara sekadar menduduki tempat tercorot, mereka tetap membawa pulang pingat gangsa bersama dengan pasukan yang menduduki tempat ketiga.

Dalam acara berpasukan lelaki, pingat emas dimenangi Thailand dikuti Indonesia (perak), Myanmar dan Malaysia (gangsa), manakala pingat emas bagi acara berpasukan wanita menjadi milik Thailand, Myanmar (perak), Indonesia dan Malaysia (gangsa).

Skuad negara akan meneruskan cabaran dalam acara regu lelaki dan wanita hari ini.

Satu emas dalam jangkauan

Posted:

Satu emas dalam jangkauan

Satu emas dalam jangkauan

GANDINGAN Woon Khe Wei (depan) dan Vivian Hoo Kah Mun menjadi wakil tunggal negara untuk memburu pingat emas dalam acara badminton.


NAY PYI TAW - Skuad muda badminton Sukan SEA menghampiri sasaran satu emas yang

dicari-cari selepas beregu wanita muncul satu-satunya wakil tunggal negara yang berjaya mara ke final hari ini.

Gandingan Woon Khe Wei-Vivian Hoo menghidupkan kembali peluang yang tersasar selepas kegagalan perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran apabila memenangi aksi separuh akhir, semalam.

Pasangan negara itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan beregu Singapura, Yao Li-Shinta Mulia dalam perlawanan tiga set 23-21, 17-21, 21-18.

Pada aksi final nanti, Khe Wei-Vivian akan menentang beregu Indonesia, Krishinda Nitya-Polli Greysia yang menewaskan dengan mudah beregu Thailand, Sapsiree Taerattanachai-Puttita Supajrakul 21-7, 21-11.

Jika berdasarkan ranking semasa, tugas Khe Wei-Vivian dijangka sukar kerana pasangan Indonesia itu berada pada kedudukan lebih baik.

Namun bagi pengurus pasukan, Mahizan Mustafa, pemainnya akan turun dengan keazaman tinggi untuk mencuba sebaik mungkin pada aksi final itu nanti.

"Mereka berjaya bangkit ketika aksi separuh akhir hari ini (semalam). Saya berharap mereka mampu melakukan kebangkitan sama pada final esok (hari ini),"

katanya yang turut berpuas hati dengan kesungguhan dua beregu lelaki walaupun tersekat di separuh akhir semalam.

"Mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan hanya kalah tipis sahaja. Cuma nasib tidak berpihak kepada mereka," tambahnya.

Dua beregu lelaki yang terkandas di separuh akhir adalah Goh V Shem-Teo Kok Siang dan Ow Yao Han-Lim Khim Wah. Kedua-dua mereka kalah kepada beregu Indonesia.

V Shem-Kok Siang kalah kepada Berry Angriawan-Suwardi Karanda 17-21, 18-21 manakala Yao Han-Khim Wah tumpas di tangan S. Rian Agung-Pratama Angga dengan 16-21, 15-21.

Harapan untuk menyaksikan beregu campuran turut mara ke final turut tidak kesampaian apabila gandingan Lai Pei Jing-Tan Aik Quan juga tewas di separuh akhir semalam.

Pasangan negara itu ternyata bukan lawan buat beregu Thailand, Maneepon Jongjit-Taerattanachai apabila terpaksa tunduk dengan 15-21, 17-21 dalam masa 41 minit.

Kekalahan itu membolehkan beregu lelaki dan beregu campuran menyumbang dua gangsa setakat ini.

Pada Sukan SEA dua tahun lalu di Indonesia, badminton hanya membawa pulang satu perak dan dua gangsa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved