Rabu, 11 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mula diberi perhatian

Posted:

Mula diberi perhatian

Mula diberi perhatian

JIKA sebelum ini filem Cina tempatan dipandang sinis oleh masyarakat Cina dan juga pemilik pawagam di Malaysia, namun sejak tahun 2010 senario tersebut mula berubah 100 peratus.

Filem Tiger Woohoo yang menceritakan mengenai upacara tarian harimau yang diadakan setiap 60 tahun itu membuka mata masyarakat Cina dan juga pemilik pawagam Malaysia bahawa filem Cina tempatan juga setanding dengan filem Cina luar (Hong Kong dan China).

Filem yang dibintangi oleh Royce Tan dan Jack Lim itu berjaya mencatat kutipan sehingga RM4.2 juta biarpun hanya ditayangkan menerusi 25 layar perak di seluruh pawagam Malaysia.

Ketika itu, pemilik pawagam yang dimonopoli oleh kaum Cina masih tidak yakin dengan filem tempatan.

Selepas itu, industri filem Cina tempatan mula mendapat semangat baharu apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif cukai seperti yang dinikmati oleh penerbit filem berbahasa Malaysia.

Sebelum ini, filem keluaran Cina mahupun India diklasifikasikan sebagai filem asing, kecuali jika 60 peratus dialognya menggunakan bahasa Malaysia.

Rentetan daripada itu, kebanyakan filem Cina tempatan tidak mendapat wajib tayang di pawagam. Lebih malang bagi filem yang tidak mendapat sambutan ia akan dikeluarkan dari pawagam serta merta.

Kini, filem yang menggunakan bahasa selain bahasa Malaysia juga menikmati keistimewaan seperti yang diperuntukkan kepada filem Melayu, termasuk syarat wajib tayang selama dua minggu di pawagam serta insentif cukai.

BARISAN penggiat tegar industri filem Cina di Malaysia (dari kiri), Jack Lim, Silver Yee dan Joshiah Chieng.


Ironinya, filem Cina tempatan masih lagi hijau, namun laju berkembang dan kukuh di Malaysia. Filem Cina tempatan juga berjaya menarik penonton mereka ke pawagam atas faktor jalan cerita dan pendekatan promosi yang dijalankan.

Selepas kejayaan filem Tiger Woohoo, muncul filem-filem Cina tempatan seperti Ah Beng The Movies: Three Wishes (RM7.6 juta), Great Day (RM6.6 juta) dan pada tahun ini, Once Upon A Time (RM5.5 juta) yang mendapat kutipan tertinggi mengatasi filem Cina luar.

Menurut penerbit filem Cina tempatan, Joshiah Chieng, industi filem Cina tempatan boleh dikategorikan sebagai masih hijau di Malaysia.

"Filem Cina tempatan bermula sekitar tahun 2005 tetapi tidak berjaya. Ketika itu filem Cina tempatan tidak lancar dari segi kutipan.

"Sebabnya, masyarakat Cina lebih suka menonton filem Cina Hong Kong dan China. Begitupun, situasi mula berubah apabila filem Tiger Woohoo muncul.

"Masyarakat mula pergi ke panggung semula dan menaruh kepercayaan pada filem Cina tempatan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


FILEM Tiger Woohoo menjadi pencetus ke arah memupuk minat audiens filem Cina tempatan.


Filem kekeluargaan

Mengulas mengenai perkara itu, kata pengarah filem aksi terkenal, Silver Yee pula, faktor filem Cina tempatan tidak mendapat sambutan ketika itu disebabkan kualitinya tidak setanding filem Cina luar.

Jelasnya, ramai penerbit dan pengarah ketika itu tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perfileman tetapi ingin menghasilkan filem.

"Kebanyakan filem Cina ketika itu tidak sihat. Filem yang berkualiti ketika itu juga tidak banyak. Sebabnya, penghasil filem ketika itu tiada pengalaman tetapi mahu buat filem," luah Silver yang juga merupakan pengarah filem Ah Beng The Movie: Three Wishes dan juga Balistik, lakonan Datuk Rosyam Nor serta Rita Rudaini itu.

Bersetuju dengan kenyataan Silver, ungkap Joshiah, jalan cerita sesebuah filem Cina tempatan juga harus kuat dan tidak perlu penggunaan futuristik. Rahsia kejayaan filem Cina tempatan adalah berkisar mengenai kehidupan normal masyarakat Cina Malaysia yang turut diselitkan dengan ciri-ciri kekeluargaan.

"Filem Malaysia, paling penting adalah jalan ceritanya. Kebanyakan filem Cina tempatan yang pecah panggung berkisarkan tentang kehidupan normal masyarakat Cina Malaysia. Tidak perlu buat filem futuristik dan juga elemen-elemen lain.

"Lagi satu, pelakon-pelakonnya juga mesti dalam kalangan orang Malaysia bukan pelakon luar," tutur Joshiah yang mengakui filem Ah Beng The Movie: Three Wishes memecah rekod filem tempatan bahasa Cina yang menerima kutipan tertinggi dalam sejarah filem Cina Malaysia iaitu RM7.5 juta.

Malah, filem yang ditayangkan pada Tahun Baru Cina itu juga berjaya menyaingi filem blokbuster Hong Kong ketika itu seperti Great Magican, Viral Factor, I Love Hong Kong dan All's Well, Ends Well 2012.

SATU babak filem Petaling Street Warriors.


Wajib tayang

Mengulas mengenai kejayaan itu, pelakon dan juga pengarah syarikat The Film Engine yang bertanggungjawab ke atas filem tersebut, Jack Lim memberitahu, filem Ah Beng mencipta kejayaan besar apabila ia memberi mesej yang bagus, tiada unsur seks dan diselitkan dengan nilai kekeluargaan.

"Apa yang saya sedar, masyarakat Cina Malaysia suka pada cerita yang ada mesej dan juga nilai-nilai kekeluargaan. Saya terharu bila ada kanak-kanak dan juga wanita tua yang menonton Ah Beng.

"Pada saya, promosi juga memainkan peranan yang penting. Penonton Cina juga ada sasaran mereka untuk tengok filem lakonan Jackie Chan dan Andy Lau sahaja misalnya.

"Jadi, penting pada produksi tempatan untuk buat promosi besar-besaran. Sebagai contoh, pergi ke setiap kampung kenalkan diri dan filem tersebut.

"Ambil hati kanak-kanak dan orang tua. Sebabnya, bagi masyarakat Cina, kanak-kanak dan orang tua adalah keutamaan mereka. Masyarakat Cina juga akan pergi menonton wayang dengan seisi keluarga," ujar Jack Lim yang juga merupakan penyampai radio terkenal itu.

Menyingkap sedikit sinopsis filem Ah Beng, ia menceritakan tentang seorang lelaki miskin bernama Ah Beng. Pada malam Tahun Baru Cina, semua orang sedang menunggu tuah daripada dewa yang dikenali sebagai God Of Fortune.

Ah Beng didatangi seorang dewa yang menyamar miskin dan meminta duit daripadanya. Biarpun miskin Ah Beng memberi duit tersebut. Sikap murni Ah Beng menyebabkan dewa God Of Fortune menunaikan tiga hasrat yang dimintanya.

Mengulas mengenai sistem wajib tayang, Joshiah bersetuju, malah berasa lega kerana nasib filem Cina tempatan kini terbela.

"Sistem wajib tayang melindungi filem tersebut bertahan di pawagam lama lebih kurang lima atau enam minggu tayangan.

"Dulu, filem Cina Hong Kong lebih mendapat tempat ketika tayangan Tahun Baru Cina tetapi kini filem Cina tempatan juga sudah mendapat tempat," akuinya yang gembira dengan perubahan tersebut.

Majlis anugerah filem Cina Malaysia pertama

Posted:

Majlis anugerah filem Cina Malaysia pertama

Majlis anugerah filem Cina Malaysia pertama


NASKHAH Ice Kacang Puppy Love dijulang sebagai filem terbaik Anugerah Golden Wau Awards.


DALAM tempoh empat tahun sahaja (bermula tahun 2010), filem Cina tempatan menerima perubahan yang begitu ketara.

Tidak hanya berjaya mendapat kepercayaan penonton Cina Malaysia tetapi mereka juga mendapat syarat wajib tayang serta insentif cukai daripada kerajaan Malaysia.

Tahun ini, buat julung-julung kalinya juga masyarakat Cina Malaysia mempunyai anugerah sendiri iaitu Golden Wau Awards. Anugerah itu juga menyamai Golden Horse Awards di Taiwan dan juga Hong Kong Film Awards di Hong Kong.


FARID KAMIL (kiri) turut muncul sebagai pelakon undangan dalam filem Hantu Gangster.


Sama juga seperti anugerah-anugerah yang memberi pengiktirafan kepada filem-filem Melayu seperti Festival Filem Malaysia dan Anugerah Skrin terbitan TV3.

Dianjurkan oleh Persatuan Filem Cina Malaysia (CFAM), Golden Wau Awards (GWA2013) telah berlangsung buat julung-julung kalinya di Pullman Hotel Kuala Lumpur Bangsar pada 15 Oktober lalu.

Sebagai edisi sulung, mereka memutuskan untuk memberi pengiktirafan kepada filem-filem yang ditayangkan bermula tahun 2010 hingga 2012.

Wanita Uighur dilarang bertudung

Posted:

Wanita Uighur dilarang bertudung

Wanita Uighur dilarang bertudung

SEKUMPULAN wanita Uighur berdiri di luar masjid di Kashgar, wilayah Xinjiang, China.


SEORANG kakitangan awam China yang berada di Kashgar memberi isyarat kepada dua orang wanita di seberang jalan untuk datang kepadanya, lalu mencatat butiran mereka di bawah pengawasan sebuah kamera. Kesalahan yang telah dilakukan oleh kedua-dua wanita berkenaan ialah memakai tudung.

Tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen Projek Kecantikan yang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menggalakkan wanita Islam Uighur mendedahkan muka dan tidak berpurdah. Tindakan itu didakwa dilakukan demi untuk meningkatkan tahap keselamatan negara.

Bagaimanapun, pengkritik memberi amaran bahawa tindakan itu akan menyemai perasaan benci rakyat terhadap pihak berkuasa.

"Kami perlu berpegang teguh kepada agama dan mereka (pihak berkuasa) sepatutnya memahaminya," kata seorang wanita berusia 25 tahun yang pernah ditahan sebanyak dua kali.

Bercakap di sebalik penutup wajah yang dikait benang putih, dia memaklumkan, pesalah dipaksa menonton filem tentang keseronokan menunjukkan wajah mereka.

"Bagaimanapun, cerita itu tidak berjaya mengubah pemikiran orang ramai," jelasnya.

Xinjian, sebuah kawasan luas yang bersempadan dengan Pakistan dan Asia Tengah di bahagian barat China, telah mengikuti ajaran Islam sejak berabad-abad lamanya. Ia telah berada di bawah pemerintahan China semasa Dinasti Qing pada lewat tahun 1800-an.

Sejak bertahun-tahun, ketenteraman kawasan tersebut didakwa terganggu oleh tindakan masyarakat etnik Uighur. Ini menurut kumpulan hak asasi, dipacu oleh penindasan budaya dan gangguan langkah keselamatan. Namun demikian, kepada pemerintah China, keadaan itu disebabkan oleh tindakan pelampau agama, keganasan dan perpecahan kaum.

Cetuskan konflik

Kebimbangan pihak berkuasa semakin meningkat selepas serangan maut yang berlaku di Dataran Tiananmen, Beijing baru-baru ini yang didakwa pihak polis telah dilakukan oleh masyarakat Uighur.

Penduduk di Kashgar memberitahu, larangan memakai tudung telah mencetuskan sekurang-kurangnya konflik yang mengakibatkan kematian di bandar yang 90 peratus daripada 3.3 juta penduduknya terdiri daripada etnik Uighur.

"Bagi pihak pemerintah China, proses itu terpaksa dijalankan ekoran dakwaan pejuang Islam meminta kemerdekaan dan perpisahan. Ekoran daripada itu, mereka telah menetapkan had ketat ke atas aktiviti keagamaan masyarakat Islam," kata seorang saintis politik di Universiti Nasional Singapura, Shan Wei.

Bagi pihak Uighur pula, mereka mendakwa tidak terlibat dalam pergerakan politik dan bukan puak pemisah, tetapi pihak pemerintah telah menjalankan banyak sekatan yang mengganggu aktiviti keagamaan sehingga menimbulkan perasaan benci.

Menurut lelaki tersebut, masyarakat Islam minoriti di China tidak menghadapi perkara yang sama seperti Uighur.

Atlet-atlet wanita di Kashgar akan memakai pelbagai fesyen tudung, dengan skarf berwarna terang yang dililit di kepala dan mendedahkan bahagian leher seperti turban. Tidak kurang juga yang memakai purdah hitam dengan hanya menampakkan mata seperti wanita-wanita Arab Saudi.

Bagaimanapun, polisi yang menghalang mereka daripada menutup wajah dan menunjukkan rambut tidak diuar-uarkan. Pihak berkuasa bandar itu enggan mengulas mengenai perkara tersebut dan pada masa yang sama pegawai-pegawai Xinjiang juga tidak dapat dihubungi. Sungguhpun demikian, papan-papan tanda Projek Kecantikan boleh dilihat di seluruh bandar berkenaan.

Seorang tukang jahit berkata, kakitangan kempen tersebut telah mengarahkannya supaya tidak menerima tempahan jubah labuh yang sering dipakai dengan penutup muka.

Menurut penduduk tempatan lain, untuk memasuki pejabat-pejabat kerajaan, bank atau mahkamah, wanita Muslim terpaksa menanggalkan tudung mereka dan lelaki pula perlu mencukur jambang.

Di Hotan, sebuah lagi bandar yang mempunyai ramai penduduk Uighur, sekurang-kurangnya satu hospital telah menerima borang daripada pihak pemerintah untuk melaporkan kemasukan pesakit-pesakit yang memakai tudung.

Ironinya, portal web Xinjiang memaparkan bahawa Projek Kecantikan tidak menyatakan sebarang larangan memakai tudung sebaliknya menyenaraikan matlamatnya yang menggalakkan penggunaan produk-produk kecantikan tempatan dan barangan lain. Ia turut menggalakkan wanita China menjadi pengamal budaya moden.

Bersikap terbuka

Menurut seorang pakar Xinjiang di Indiana University Bloomington, Gardner Bovingdon, pihak pemerintah telah cuba menghalang pemakaian tudung sejak mengambil alih kuasa pada tahun 1949, melancarkan usaha ateisme dan mengenakan larangan secara menyeluruh pada tahun 1960-an dan 1970-an.

"Peraturan tersebut dilonggarkan pada tahun 1980-an apabila pemerintah China lebih bersikap terbuka. Tetapi ia menjadi ketat semula pada dekad seterusnya selepas protes-protes berunsurkan agama berlaku," katanya.

Walaupun demikian, sesetengah etnik Uighur menyokong tindakan kerajaan dengan alasan pembunuh berani mati atau pencuri mungkin akan mengeksploit purdah dan jubah yang dipakai dengan menyembunyikan bahan letupan dan identiti mereka.

Mereka turut mengeluarkan hujah tentang pendekatan agresif pihak berkuasa yang telah menimbulkan kebencian dan keganasan, termasuk serangan masyarakat Uighur terhadap polis di Maralbishi, sebuah daerah di luar Kashgar pada bulan April lalu yang menyebabkan 21 kematian.

Segelintir penduduk Uighur memberitahu, serangan itu berlaku selepas orang ramai kecewa dengan tindakan seorang pegawai kerajaan yang memaksa seorang wanita menanggalkan tudungnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved