Khamis, 12 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Arab Saudi lubuk rezeki PATI

Posted:

Arab Saudi lubuk rezeki PATI

Arab Saudi lubuk rezeki PATI

MEMBINA kerjaya sebagai pengurus undang-undang di Jeddah, Arab Saudi selama lebih lima tahun memberi pelbagai cabaran buat Yunos Abdul Rahman.

Lelaki berusia 35 tahun dari Johor Bahru, Johor itu menganggap perbezaan bahasa dan budaya merupakan kekangan terbesar dalam menjalankan tugasan harian di syarikat usaha sama Malaysia dan Arab Saudi.

Baginya, pekerja yang terlibat dalam sektor kerajaan Arab Saudi amat menghormati pekerja dan pelancong dari negara lain terutama Malaysia walaupun mempunyai kekangan dalam berkomunikasi.

Namun, lambakan pekerja buruh asing dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Filipina yang mencari rezeki di Arab Saudi itu bukan satu fenomena baru. Kebanyakan pekerja asing itu juga mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

"Di Jeddah, saya tinggal di Sharbatli iaitu sebuah taman perumahan yang tertutup di daerah itu. Kebanyakan pengawal keselamatan, pemandu teksi, buruh kasar dan pembantu rumah di sini terdiri daripada pekerja asing.

"Saya jarang mendengar pekerja-pekerja asing menimbulkan masalah di negara ini. Mereka bekerja di bawah syarikat-syarikat kecil yang menjadi penaja untuk bekerja di sini. Tanpa tajaan itu, mereka dikira sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Arab Saudi," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian rusuhan pekerja asing di Riyadh pertengahan November lalu merupakan antara peristiwa yang menggemparkan rantau Arab itu.


PENDATANG asing Filipina mendirikan khemah di tepi jalan besar berhampiran konsulat mereka di Jeddah.


Rusuhan

Pada masa yang sama, pekerja asing di Jeddah turut mengadakan rusuhan berskala kecil untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pihak polis ekoran tindakan penghantaran mereka ke negara asal selepas tempoh pengampunan.

Rusuhan di Riyadh itu mengorbankan dua nyawa. Ratusan PATI terpaksa menyerah diri selepas pasukan keselamatan mengepung kawasan kejiranan di Riyadh.

Seminggu selepas tamat tempoh pengampunan selama tujuh bulan, PATI yang terdiri daripada golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak akan dipindahkan dengan bas ke pusat perhimpunan sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.

Akhbar Arab News melaporkan, rusuhan itu telah mengorbankan seorang warga Arab Saudi dan seorang pekerja yang tidak dikenali manakala 68 yang lain mengalami kecederaan.

Pihak polis telah menahan seramai 561 perusuh yang melontar batu dan menghalang jalan-jalan sempit di sekitar Riyadh. Mereka juga mengancam keselamatan orang ramai dengan mengacukan pisau, merosakkan lebih 100 buah kereta dan premis-premis di situ.

Pihak polis memberitahu, perusuh yang terdiri daripada PATI juga telah campur tangan dalam rusuhan di Manfuhah.

Daerah Manfuhah, Riyadh merupakan kediaman bagi PATI terutamanya dari timur Afrika.

Pihak polis Arab Saudi memberitahu, PATI di Manfuhah diberi peluang untuk datang kembali ke pusat pemindahan semasa proses penghantaran balik sedang diatur.

Pihak berkuasa mula memerangi beribu-ribu orang PATI berdasarkan tempoh tamat tarikh pengampunan mereka. Proses tersebut dilakukan untuk mengesahkan status mereka di negara itu.

Mereka dianggap sebagai PATI kerana tinggal di negara itu melebihi tempoh lawatan. PATI juga mencari pekerjaan sebagai pembantu kedai dan pembantu buruh harian untuk individu yang menggaji mereka.


PEKERJA asing membawa barangan mereka untuk dihantar ke pusat pengumpulan di Riyadh.


Mereka diwajibkan mempunyai penaja rasmi untuk menaja pekerjaan mereka sepanjang bekerja di negara itu. Tanpa tajaan daripada syarikat, mereka dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin.

Dianggarkan seramai sejuta PATI dari Bangladesh Filipina, India, Nepal, Pakistan dan Yemen mengambil peluang semasa proses pengampunan bagi meninggalkan negara itu.

Sementara itu, hampir empat juta PATI berjaya mencari pekerjaan dengan penaja yang sanggup menggaji mereka.

Walaupun dibayar rendah, pekerjaan pembantu rumah dan pekerja sektor binaan merupakan tawaran menarik kepada pendatang dari Asia dan negara-negara Arab lain untuk bekerja di negara itu.

Kadar pengangguran

Arab Saudi mempunyai kadar pengangguran lebih 12.5 peratus walaupun negara itu kaya dengan minyak dan gas.

Pakar ekonomi Arab Saudi menegaskan, ketibaan pekerja haram ke Arab Saudi memberi manfaat yang besar dalam jangka masa panjang.

Namun, kerajaan Arab Saudi merasakan peningkatan pembayaran kos untuk buruh akan melonjak kerana kekurangan pekerja harian.

Kementerian Tenaga Buruh pula memberitahu, pihaknya sentiasa menerima permohonan daripada PATI yang ingin mendapatkan status sah bekerja di negara itu. Namun, pihak kerajaan akan mengenakan denda bagi mereka yang telah melewati tarikh pengampunan pada 3 November lalu.

Menurut pakar hartanah, selepas ribuan ekspatriat pulang ke negara masing-masing, banyak kawasan perumahan kini kosong.

Disebabkan perkara itu, jumlah bayaran sewa juga berkurangan sebanyak 15 peratus.

Pakar-pakar juga menyarankan pemaju supaya menggunakan peluang itu untuk mengubah suai rumah dan pangsapuri terutamanya di kawasan popular bagi memenuhi permintaan dan keperluan rakyat.


RAKYAT Ethiopia berkumpul di Manfuhah sementara menunggu masa untuk dihantar pulang ke negara asal.


Pertambahan jumlah ekspatriat dan pekerja asing di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini ternyata telah meningkatkan permintaan unit-unit kediaman terutama di kawasan popular.

Peniaga hartanah Arab Saudi, Fuad Boqari, berkata pemilik hartanah mula mengubah suai dan memperbaharui kediaman untuk memenuhi keperluan golongan pendapatan rendah. Mereka membelanjakan 50 peratus daripada pendapatan untuk membayar sewa setiap bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Hartanah, Dewan Perniagaan dan Industri Madinah, Jamal Farghal memberitahu, golongan ekspatriat Arab Saudi tidak akan menjejaskan premis-premis dan pusat perniagaan komersial yang digunakan untuk melindungi mereka.

"Jumlah pendapatan mungkin akan terjejas terutama di premis-premis. Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan kedai-kedai komersial di pusat bandar kerana mereka bekerja di bawah pelabur yang tertakluk kepada undang-undang pekerja," jelasnya.

Pakar hal ehwal pajakan, Samer Al-Jeilani memberi tumpuan kepada nasib individu yang berpendapatan rendah di negara itu.

Menurutnya, mereka yang berpendapatan bulanan bawah RM2,578 (SAR3,000) didapati sukar untuk membayar sewa tahunan yang dianggarkan bernilai RM8,555 hingga RM12,832.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved