Selasa, 10 Disember 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Persiapan kahwin di hujung jari

Posted:

Persiapan kahwin di hujung jari

Persiapan kahwin di hujung jari

Oleh HAFIZ AHMAD

SETIAP wanita mengidamkan satu majlis perkahwinan yang lancar dan meriah dengan menyarungkan busana anggun sari sang pereka, pelamin dihias indah dengan kuntuman bunga segar dan disempurnakan dengan kehadiran tetamu yang dijamu santapan menyelerakan.

Kesemua persiapan bagi hari bersejarah itu perlu dilakukan secara teliti kerana kelalaian kecil mungkin mampu mencacatkan kelangsungan majlis idaman tersebut.

Bayangkan, beberapa jam sebelum acara bersanding diadakan, pengantin dikejutkan dengan berita perkhidmatan katering terlupa ditempah. Pasti kalut jadinya.

Jika dahulu, segala persediaan tersebut dilakukan secara gotong-royong bersama ahli keluarga dan bantuan jiran tetangga, namun situasi berbeza pada hari ini ekoran kekangan masa dan lokasi bersesuaian yang terhad, khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Disebabkan itu, agak sukar bagi bakal pengantin melakukan sendiri segala persiapan. Malah, ada antara keperluan pada hari bersejarah itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lebih awal seperti tempahan dewan majlis.

"Perkara paling kritikal untuk ditempah adalah dewan besar untuk majlis persandingan. Saya mengambil masa yang lama untuk mencari lokasi yang sesuai," ujar bakal pengantin, Nuratieqah Muhammad, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan.

Dia menambah, segala persiapan perlu dilakukan awal bagi mengelakkan tidak mendapat lokasi atau khidmat katering yang dimahukan.

PERSIAPAN perkahwinan memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan kelancaran majlis.


Maklumat lengkap

Selaras dengan kemajuan teknologi hari ini, kebanyakan bakal pengantin mengambil jalan mudah dengan mencari maklumat di laman web dan sosial memandangkan penggiat industri perkahwinan menggunakan internet sebagai salah satu medium promosi.

"Tidak dinafikan, penggunaan internet memudahkan saya dalam persiapan perkahwinan. Sebagai contoh, dalam laman Facebook terdapat banyak akaun yang diwujudkan oleh jurusolek, syarikat katering, pengusaha butik dan perkara-perkara lain yang berkaitan," ujar Nuratieqah.

Kesedaran terhadap kepentingan teknologi maklumat masa kini telah memberi idea kepada Azmierul Che Mat, 22, untuk mewujudkan satu laman web yang membantu pasangan pengantin membuat persiapan majlis berkahwinan mereka iaitu iKahwin.my.

Laman web itu mengumpulkan semua kategori penting sesuatu majlis perkahwinan secara percuma kepada pengunjung.

"Jika sebelum ini pasangan pengantin perlu mencari satu per satu maklumat perniagaan berkaitan di laman web atau sosial berbeza tetapi menerusi iKahwin.my, kesemua maklumat tersedia dalam satu portal," ujar Azmierul ketika ditemui Infiniti baru- baru ini.

Portal iKahwin.my memberikan maklumat terperinci kepada pengguna, terutamanya dari segi harga pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkaitan.

"Melalui senarai harga-harga yang terdapat dalam portal ini, pengguna dapat melakukan perbandingan sebelum melakukan tempahan. Ini dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan bagi majlis tersebut dengan lebih baik," katanya.


TULANG belakang iKahwin.my, Charmaine (kiri) dan Azmierul.


Demi terus menarik perhatian pengguna, portal tersebut turut menyediakan satu blog khas dalam pautan laman utama yang berkongsi pelbagai maklumat berguna kepada bakal pengantin seperti petua dan nasihat rumah tangga daripada pakar-pakar motivasi.

"Terdapat juga pautan yang memberikan panduan perbelanjaan perkahwinan. Ia turut disertakan kalkulator elektronik bagi memudahkan bakal pengantin mengatur perbelanjaan mereka," jelas Pengarang Urusan iKahwin.my, Charmaine Nash.

Tambahnya, kalkulator elektronik itu direka khas dengan senarai semak keperluan yang wajib dalam sesebuah perkahwinan. Bakal pengantin hanya perlu memasukkan amaun yang ditetapkan dan kalkulator itu akan menjumlahkan semua perbelanjaan terlibat.

Kesahihan maklumat

Bagi pengiklan di iKahwin.my, mereka diberikan platform perniagaan yang lebih meluas. Ia berikutan daripada permintaan pengguna muda yang mencari maklumat menerusi laman web.

"Kebanyakan bakal pengantin adalah dalam lingkungan usia 20-an yang aktif dalam penggunaan internet. Disebabkan itu, penggiat industri perkahwinan perlu mengambil peluang ini, khususnya bagi individu atau syarikat-syarikat baharu," kata Azmierul.

Bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat tepat, pihak pengurusan pemasaran iKahwin.my akan bertemu sendiri para pengiklan.

"Kami akan meminta mereka untuk memberikan maklumat tepat seperti alamat lengkap, nombor telefon dan pautan laman sosial, Facebook atau laman web rasmi," jelasnya.

Selain itu, harga-harga bagi setiap pakej juga perlu disertakan bagi memudahkan pengguna membuat perancangan perbelanjaan perkahwinan mereka.

"Namun, terdapat pengiklan yang tidak mahu berkongsi harga bagi pakej-pakej tersebut tetapi kami menasihatkan mereka untuk meletakkan anggaran kos sebagai rujukan pengguna," katanya.


PORTAL iKahwin.my mengumpulkan semua kategori penting sesebuah majlis perkahwinan termasuk penyedia perkhidmatan kad jemputan dan hantaran. - Gambar hiasan


Setiap pengiklan juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya lima keping gambar berkualiti. Jika tiada gambar tersebut, pihak penyedia portal akan membantu menyediakan foto-foto menarik kepada mereka.

"Ia menjadi kemestian dalam portal kami memandangkan terdapat pengiklan yang tidak mempunyai foto berkualiti. Ia menyulitkan pengguna untuk mendapat gambaran awal perkhidmatan yang diberikan pengiklan," jelasnya.

Selain mengambil foto, pihak portal juga membantu pengiklan dalam membuat laman sosial atau web mengikut keperluan pakej.

Sejak diwujudkan pada Januari 2013, iKahwin.my mempunyai lebih 500 pengiklan dan bakal meningkat dua kali ganda pada tahun depan berdasarkan peningkatan trafik pengunjung setiap bulan.

"Lima bulan sebelum ini, kami hanya menerima sekitar 100 sehingga 200 kunjungan sahaja. Sekarang, jumlah trafik meningkat kepada 15,000 sebulan," jelas Azmierul.

Rancangan

Setakat ini, kebanyakan pengiklan adalah sekitar Lembah Klang tetapi terdapat juga pengusaha dari Kedah dan Johor.

Perkembangan positif tersebut memberi peluang kepada iKahwin.my untuk mencari pengiklan dari seluruh Malaysia.

"Selain itu, kami bercadang untuk menerbitkan majalah dalam talian yang memberi fokus kepada dunia perkahwinan. Intipati majalah itu dapat dijadikan panduan kepada pengguna tanpa perlu membeli naskhah dalam bentuk salinan keras," katanya dengan penuh optimis.

Dalam masa terdekat, ujarnya, iKahwin.my merancang untuk mengadakan festival perkahwinan di lokasi-lokasi strategik yang bakal disertai oleh pengiklan-pengiklan portal tersebut.

Kesan negatif bencana banjir

Posted:

Kesan negatif bencana banjir

Kesan negatif bencana banjir


PENDUDUK Taman Seri Puah, Terengganu mengambil kesempatan pulang untuk melihat keadaan rumah dan mengambil barangan keperluan setelah paras air beransur surut.


BENCANA banjir yang melanda beberapa buah negeri di negara ini sejak 3 Disember lalu telah menyebabkan beberapa kawasan terjejas dan ribuan mangsa terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Situasi dijangka akan bertambah buruk ekoran ramalan berlakunya banjir gelombang kedua apabila beberapa tempat dijangka mengalami hujan sepanjang minggu ini.

Berita itu pastinya akan mendukacitakan penduduk-penduduk di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor yang terjejas teruk akibat bencana alam itu. Sehingga malam 7 Disember lalu, jumlah mangsa banjir telah meningkat kepada 64,752 orang.

Di Pahang, senario banjir melibatkan daerah Kuantan, Temerloh, Jerantut, Mara, Bera, Rompin dan Lipis, manakala di Johor, kawasan-kawasan terlibat adalah Segamat, Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Ledang.

Di Terengganu, daerah-daerah yang mengalami banjir buruk itu ialah Kemaman, Dungun, Marang dan Hulu Terengganu. Di Kelantan, bencana itu dirasai oleh penduduk di daerah Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang dan Tumpat.


BANDAR Kuantan hampir lumpuh akibat dilanda banjir besar ekoran hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu.


Jabatan Meteorologi baru-baru ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di kawasan Pantai Timur, terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

"Amaran ini bermaksud kawasan-kawasan yang berada di kawasan tanah rendah akan mengalami banjir. Pada masa yang sama, amaran peringkat kuning iaitu nasihat hujan lebat telah dikeluarkan di beberapa daerah di Terengganu dan Johor," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan jabatan berkenaan baru-baru ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa hujan sekejap-sekejap dan kadangkala sederhana melanda utara Terengganu dan Kelantan dan menjadikan banjir di kawasan tersebut bertambah buruk.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ialah seramai 39,580 orang dengan Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 34,222 orang yang ditempatkan di 38 daripada 121 buah pusat pemindahan banjir yang terlibat yang dicatat sehingga 7 Disember lalu.

Mangsa banjir di Terengganu telah dicatatkan seramai 22,040 orang dengan 18,676 orang daripada jumlah itu ditempatkan di 43 pusat pemindahan di Kemaman.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir ialah seramai 1,613 orang manakala di Johor seramai 1,221 orang. Di Melaka, kesemua 25 orang mangsa yang berada di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing ekoran banjir yang beransur pulih.

Langkah keselamatan

Kejadian banjir ini turut membawa berita sedih apabila di Kemaman, Terengganu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, Mohamad Ashraf Mohd. Nor ditemui lemas di Kampung Banggol, Ladang Pelatoh, Kijal pada Selasa lalu.

Sementara itu di Kuantan, pasukan penyelamat telah menemui mayat dua beranak, Megat Mohd. Nazli Jamali, 17, dan bapanya, Jamali Jani, 45, dua hari selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Isap, Rabu lalu.

Selain nasihat agar sentiasa menjaga diri ketika banjir oleh pihak-pihak berkenaan, penduduk di kawasan terlibat atau berisiko banjir turut digesa mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara kesihatan.


TENGKU Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melayan mangsa banjir dengan mencedok makanan buat mereka di Pusat Permindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Belukar, Kuantan, Pahang.


Penyakit-penyakit berjangkit seperti kencing tikus dan campak adalah antara ancaman kepada mangsa banjir.

Di samping itu, orang ramai juga perlu bersedia berhadapan dengan masalah penyakit biasa seperti batuk, selesema, demam dan jangkitan penyakit kulit.

Menurut pakar pemakanan dan kesihatan awam, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Wan Abdul Manan Wan Muda, jangkitan penyakit, terutamanya penyakit bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir.

"Ini kerana air banjir mengandungi banyak jenis kuman seperti virus, bakteria dan parasit ekoran percampuran air hujan dengan air kumbahan.

"Sehubungan itu, mangsa-mangsa banjir seharusnya menjaga kebersihan diri demi mengelak sebaran jangkitan penyakit dan menghindar sebarang kecederaan kerana jangkitan mudah berlaku, khususnya di kawasan luka akibat kecederaan," katanya.

Beliau mengingatkan, langkah-langkah pengawalan seharusnya diberi perhatian oleh setiap individu, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

Tambah Prof. Wan Abdul Manan, orang ramai diminta supaya menjaga kesihatan ketika berada di pusat pemindahan.

"Sentiasa minum dan makan makanan yang telah dimasak dengan sebaik-baiknya. Elakkan memakan makanan mentah dan menjaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling.

"Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor dan rawatan segera sekiranya mengalami cirit-birit dan muntah-muntah," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Komputer riba paparan terbaik

Posted:

Komputer riba paparan terbaik

Komputer riba paparan terbaik


XPS 11 ini merupakan ultrabook paling nipis dan ringan yang ditawarkan dalam pasaran semasa.


PENGELUAR komputer terkemuka, Dell Inc. (Dell) memperkenalkan tiga model komputer riba dan ultrabook rangkaian XPS yang dikemas kini untuk menawarkan paparan skrin terbaik kepada pengguna.

Model XPS 11 yang seberat 1.1 kilogram dengan ketebalan sehingga 1.5 sentimeter (sm), dilihat sebagai ultrabook kompak dua dalam satu yang paling nipis dan ringan di pasaran. Ia menawarkan rekaan tablet dengan fungsi sebuah komputer riba.

Mudah diubah daripada bentuk tablet ke komputer riba dengan rekaan engsel berputar dan papan cahaya belakang sesentuh yang inovatif, XPS 11 mempunyai paparan Quad HD pada skrin 29.5sm yang menawarkan pengalaman paparan yang jelas.

Ia juga mempunyai ciri-ciri tontonan True Color yang dikuasai byeeColor, membolehkan pengguna menikmati warna paparan imej sebenar yang konsisten dalam hampir sebarang cahaya persekitaran.

Model XPS 15 terus menawarkan resolusi tertinggi dalam kelas komputer riba itu dengan rekaan nipis seberat dua kilogram. Ia merupakan komputer riba 39.6sm yang mempunyai paparan Quad HD+ dan ditawarkan dengan pilihan paparan sesentuh dengan resolusi melebihi 5.7 juta piksel, iaitu lima kali amaun definisi tinggi standard.

Ia direka bagi golongan kreatif dengan pilihan pemproses Intel Core i5 dan i7 generasi keempat dan keanggunan grafik NVIDIA.

Sementara itu, model komputer riba XPS 13 yang didatangkan dengan skrin 33.8sm dan berat di bawah 1.4 kilogram. Operasinya lebih pantas dengan pemproses Intel Core generasi keempat, grafik Intel HD 4400 dan jangka hayat bateri yang lebih lama bagi golongan profesional yang inginkan rekaan anggun dan responsif.

Paparan definisi penuhnya menyediakan pengalaman menonton yang lebih terang dan lebih versatil dengan pilihan sentuhan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved